Anda di sini

Cheng Hoe

Advertisement

[Video] Jangan fikir ganjaran dulu - Cheng Hoe

KUCHING: Pemain bola sepak muda perlu mengikis budaya terlalu mementingkan ganjaran terlebih dahulu jika mahu pergi jauh, tegas pengendali kebangsaan Tan Cheng Hoe.

Menurut beliau, bakat sahaja belum menjamin kejayaan seseorang pemain jika mereka tidak berdisplin dan hilang fokus.

“Bakat sahaja tidak cukup, semua orang tahu tendang bola. Kita kena rajin dan perlu ada kekuatan diri. Pemain juga mesti ada keinginan untuk terus belajar memperbaiki kelemahan.

“Ganjaran pasti akan datang secara automatik jika orang melihat potensi kamu. 

“Kerana itu kamu perlu sentiasa bekerja keras meningkatkan prestasi diri dan jangan mengalah,” katanya ketika melawat sesi latihan skuad Sarawak di Stadium Negeri, Petra Jaya hari ini.

Cheng How (kanan) berkongsi tips dengan pemain Sarawak semasa sesi latihan di Stadium Negeri, Petra Jaya hari ini.
Cheng How (kanan) berkongsi tips dengan pemain Sarawak semasa sesi latihan di Stadium Negeri, Petra Jaya hari ini.

Menurut Cheng Hoe, untuk berjaya seorang pemain itu perlu memiliki ilmu selain bola sepak dan sentiasa fokus baik semasa latihan mahupun ketika perlawanan.

Apa yang penting tegasnya, pemain perlu mempunyai sikap positif dan ‘winning mentality’.

Tambahnya, sokongan berterusan dari persatuan bola sepak negeri dan penyokong tempatan juga penting dalam menyokong perkembangan karier pemain muda.

Cheng Hoe berada di Kuching atas undangan Presiden Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS), Datuk Posa Majais untuk menghadiri majis perkahwinan anak perempuan beliau hari ini.

Ditanya sama ada berminat melatih Sarawak satu hari kelak, beliau berkata, “Saya jurulatih profesional dan boleh melatih di mana-mana. Sudah tentu satu hari nanti saya mahu melatih Sarawak. Ini negeri yang besar dan mempunyai ramai bakat-bakat yang berpotensi. 

“Kita perlukan program akar umbi yang baik kerana ia bukan sahaja membantu pasukan Sarawak malah untuk masa depan pasukan negara,” katanya lagi.

Skuad Sarawak akan bertandang ke Semenanjung Malaysia untuk mengadakan dua perlawanan persahabatan menentang Kuala Lumpur (21 Mac) dan Melaka United (23 Mac).

“Kita memilih pasukan Liga Super sebagai ‘sparring’ kerana mahu melihat kelemahan-kelemahan yang masih ada dalam pasukan ini,” jelas Pengurus Pasukan Hamzah Brahim.
 

  • oleh
  • Advertisement