Anda di sini

Sultan Pahang

Advertisement

Sultan Abdullah dimasyhur sebagai Sultan Pahang

Sultan Pahang Sultan Abdullah Ahmad Shah berkenan mencium Al-Quran sempena Istiadat Pemasyhuran Sultan Pahang Keenam di Balairung Seri Istana Abu Bakar hari ini.
Turut berangkat Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Sultan Abdullah berkenan mencium Al-Quran sempena Istiadat Pemasyhuran Sultan Pahang Keenam di Balairung Seri Istana Abu Bakar hari ini. Turut berangkat Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. - Gambar Bernama 

PEKAN: Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah hari ini dimasyhurkan sebagai Sultan Pahang VI, menggantikan Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah.

Pemasyhuran yang penuh adat istiadat diraja di Balairung Seri, Istana Abu Bakar di Bandar Diraja ini diumumkan oleh Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah, yang membacakan Pengisytiharan Pelantikan Raja di bawah Perkara 9A Undang-undang Tubuh Kerajaan Pahang (Bahagian Pertama).

“Maka adalah dengan ini dimasyhurkan bagi pengetahuan orang ramai bahawa Jumaah Pangkuan Negeri kali ke-110 yan bermesyuarat pada 11 Januari 2019 bersamaan 5 Jamadilawal 1440 Hijrah dan mengikut hukum syarak telah bersetuju memilih, melantik dan memasyhurkan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Mahkota Tengku Abdullah Alhaj DK SSAP, SIMP, DK Terengganu, DK Johor, Pemangku  Raja Pahang, Waris Ganti menjadi raja pemerintah yang menaiki takhta negeri Pahang dan segala jajahan takluknya bagi menggantikan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang Sultan Haji Ahmad Shah Al Musta’in Billah berkuatkuasa 11 Jan 2019 bersamaan 5 Jamadilawal 1440 Hijrah.

“Maka yang demikian ketahuilah pada semua yang hadir seluruh rakyat Pahang dan semua orang supaya mengambil maklum dan menjunjung taat setia kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Abdullah Alhaj ibni Sultan Haji Ahmad Shah,” katanya.

Pemasyhuran Sultan Abdullah sebagai Sultan Pahang yang baharu hari ini melayakkan baginda dalam senarai pemilihan sebagai Yang di-Pertuan Agong XVI.  

Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja bagi tujuan memilih Yang di-Pertuan Agong baharu, berikutan peletakkan jawatan oleh Sultan Kelantan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong XV pada 6 Januari lepas, akan diadakan pada 24 Januari ini di Istana Negara.

Mengikut konvensyen penggiliran senarai sembilan negeri beraja, turutan negeri dalam pusingan pertama sistem penggiliran ini sejak 1957 ialah Negeri Sembilan, Selangor, Perlis, Terengganu, Kedah, Kelantan, Pahang, Johor dan Perak.

Pada istiadat pemasyhuran itu, selesai ​​​​​​membaca Pengisytiharan Pelantikan Raja, Tengku Abdul Rahman mempersembahkan watikah Pemasyhuran Pelantikan Raja kepada Sultan Abdullah.

Orang Kaya Indera Pahlawan kemudiannya dititah menghadap sebelum menyembahkan Titah Ikrar kepada Sultan Abdullah, 59, yang sejurus itu menyempurnakan ikrar berkenaan.

Sultan Abdullah, yang berbaju Melayu berwarna kuning diraja, kemudiannya melafazkan sumpah sebagai Sultan dan Raja Pemerintah bagi negeri Pahang dan dan segala jajahan takluknya.

“Bahawa beta dengan sesungguhnya dan dengan sebenarnya mengaku dan taat setia bagi  menjalankan dengan adil dan amanah pemerintahan bagi negeri Pahang dan segala jajahan takluknya mengikut sebagaimana undang-undang tubuh jajahan negeri Pahang yang telah dan yang  akan disahkan serta dimasyhurkan dari semasa ke semasa,” titah baginda.

Sultan Abdullah berikrar dan mengaku akan bersungguh-sungguh memelihara dan mempertahankan pada setiap masa kesucian agama Islam, keamanan dan kesejahteraan rakyat dan negeri Pahang.

Usai Sultan Abdullah menyempurnakan Titah Ikrar, ungkapan takbir 'Allahuakhbar' dilaungkan tiga kali diikuti dengan laungan ‘Daulat Tuanku’ sebanyak tiga kali.

Sultan Abdullah yang diputerakan pada 30 Julai 1959, di Istana Mangga Tunggal Pekan merupakan cahaya mata keempat dan putera sulung Sultan Ahmad Shah dan Almarhum Tengku Ampuan Afzan Tengku Muhammad.

Sebelum dilantik menjadi raja pemerintah negeri ini, Sultan Abdullah pernah dua kali diamanahkan menjadi Pemangku Raja Pahang iaitu kali pertama pada 28 April 1979 semasa Sultan Ahmad Shah menjadi Yang di-Pertuan Agong ketujuh dan kali kedua pada 28 Dis 2016 semasa kesihatan Sultan Ahmad Shah mula merosot.

Istiadat pemasyhuran diadakan tepat 11 pagi dengan keberangkatan tiba Sultan Abdullah dengan diiringi Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Baginda berdua berangkat dari Istana Mahligai Mahkota yang terletak kira-kira satu kilometer dari Istana Abu Bakar dengan menaiki kereta Bentley berwarna hitam. 

Turut bersama mengiringi baginda berdua, Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah dan Tengku Ariff Temenggong Pahang Tengku Fahd Mua'dzam Shah.

Perarakan masuk ke dalam Balairung Seri dengan tujuh pembawa cogan kerajaan, pedang terhunus, pedang kerajaan dan keris kerajaan. 

Sultan Abdullah dan Tunku Azizah kemudian bersemayam di atas singgahsana sebelum lagu ‘Allah Selamatkan Sultan’ dimainkan dan sejurus selepas lagu itu dimainkan Timbalan Datuk Paduka Maharajalela menghadap memohon perkenan untuk memulakan istiadat pemasyhuran.

Tengku Muda Pahang mewakili Kerabat-kerabat Bergelar, Ahli-ahli Jumaah Pangkuan Diraja, kerabat dan orang-orang besar Pahang membaca perutusan taat setia dan diikuti dengan persembahan ucapan sembah ikrar taat setia oleh Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mewakili Anggota Mesyuarat Kerajaan Negeri, wakil rakyat, pegawai kerajaan, badan berkanun, dan keseluruhan rakyat negeri Pahang.

Kemuncak istiadat, Sultan Abdullah menyampaikan titah diraja sempena pemasyhuran baginda.

Sejurus itu, Mufti Negeri Pahang Datuk Seri Abdul Rahman Othman membacakan doa dengan diiringi Kadi Daerah Kuantan Abdul Zaki Md Zain dan Kadi Daerah Pekan Ahmad Nizam Abdul Manan.

Selesai istiadat, Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berangkat meninggalkan Balairung Seri.

Sultan Abdullah mendirikan mahligai dengan Tunku Azizah pada 6 Mac 1986.

Baginda dikurniakan empat putera dan lima puteri. - Bernama 

Sultan Pahang serah kepada Majlis Raja-Raja pilih Yang di-Pertuan Agong

 Sultan Abdullah berkenan bersalaman dengan para jemaah ketika berangkat bagi menunaikan solat Subuh di Masjid Imam Syafie, Kota SAS hari ini. - Gambar Bernama 

KUANTAN: Sultan Pahang Sultan Abdullah Ahmad Shah menyerahkan kepada kebijaksanaan Majlis Raja-Raja yang akan bersidang pada 24 Januari ini untuk mengumumkan pilihan calon yang terbaik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 demi kebaikan negara.

Baginda bertitah demikian ketika diminta mengulas kemungkinan baginda dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 berikutan pelantikan baginda sebagai Sultan Pahang keenam berkuat kuasa Sabtu.

"Ketika ini saya tidak dapat nyatakan lagi, kalau sudahpun tercatit ke situ ke situlah saya, kita lihat surah Yasin ayat 82, barulah kita faham apa yang saya maksudkan," titah baginda.

Surah Yasin ayat 82: Innama amruhu idza arada syaian an yaqula lahu kun fayakun. Ertinya, Sesungguhnya urusannya-Nya apabila Dia menghendaki sesuatu hanyalah berkata kepadanya, Jadilah! Maka jadilah ia.

Sultan Abdullah bagaimanapun enggan mengulas lanjut tentang perkara itu kerana mahu memfokuskan kepada soal pemasyhuran baginda sebagai Sultan Pahang pada 15 Januari ini.

"Saya akan fikir apakah yang harus saya buat selepas itu," titah baginda ketika ditemui pemberita selepas solat subuh di Masjid Imam Syafie, Kota SAS, di sini hari ini.

Sementara itu, Sultan Abdullah turut berkongsi perasaan baginda sebaik mendapat maklum tentang pengumuman pelantikan sebagai Sultan Pahang, yang diumumkan oleh Timbalan Pengerusi Jumaah Pangkuan Diraja Negeri, Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah semalam.

"Perasaan insaf dan tawaduk sebaik terima panggilan dan cadangan menjadikan saya sebagai Sultan Pahang keenam...ini sudah tentu satu perasaan berbelah, ada perasaan sedih ada perasaan syukur tanda kepercayaan ayahanda dan adik-beradik serta sebahagian besar rakyat Pahang.

"Ini juga satu tanggungjawab besar saya kepada rakyat  dan saya akan usahakan untuk lakukan yang terbaik untuk rakyat Pahang tidak kira bidang apa sekalipun," titah baginda.

Baginda juga berharap dapat bekerjasama dengan kerajaan tidak kira kerajaan negeri mahupun kerajaan pusat untuk membela rakyat yang memerlukan bantuan.

Semalam baginda diumumkan sebagai Sultan Pahang yang baharu menggantikan ayahanda baginda yang kini dilaporkan dalam keadaan gering.

Cadangan untuk melantik Sultan Abdullah, 60, dikemukakan pada mesyuarat Jumaah Pangkuan Diraja Pahang yang berlangsung di Kuala Lumpur Jumaat lalu setelah perbincangan diadakan dalam kalangan kaum keluarga dan dipersetujui sebulat suara. - Bernama 

Tengku Abdullah Sultan Pahang yang baharu

Tengku Abdullah

PEKAN: Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dilantik sebagai Sultan Pahang keenam bagi menggantikan Sultan Ahmad Shah berkuatkuasa serta-merta. 

Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah yang membuat pengumuman itu berkata, cadangan melantik Tengku Abdullah dibuat ekoran keadaan ayahanda Sultan Ahmad Shah yang kini berada dalam keadaan gering.

Baginda berkata cadangan untuk melantik Tengku Abdullah dikemukakan pada mesyuarat Jumaah Pangkuan Diraja Pahang yang berlangsung di Kuala Lumpur semalam setelah perbincangan diadakan di kalangan kaum keluarga dan dipersetujui sebulat suara. 

"Dalam keadaan sedih, dan dukacita saya dan keluarga menerima hakikat bahawa paduka ayahanda saya tidak lagi boleh memikul tugas dan tanggungjawab sebagai raja pemerintah

"Menyedari keadaan ini, saya dan keluarga terdekat telah bersependapat untuk mencadangkan kepada Jumaah Pangkuan negeri supaya paduka kekanda saya Tengku Abdullah untuk dilantik sebagai pengganti kepada ayahanda Sultan Pahang," katanya pada sidang media khas di Istana Abu Bakar di sini, hari ini.

Sidang media itu turut dihadiri Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Setiausaha Kerajaan negeri Datuk Seri Salehuddin Ishak, Tengku Arif Temenggong Pahang Tengku Abdul Fahd Mu'adzam Sultan Ahmad Shah, kerabat dan barisan pentadbiran negeri. 

Tengku Abdul Rahman berkata berikutan itu Jumaah Pangkuan Diraja Pahang pada mesyuarat itu telah bersetuju meluluskan pindaan pada Bahagian 1 Perkara 9 A Undang-undang Tubuh Negeri Pahang untuk memberi kuasa kepada Jumaah Pangkuan Diraja Pahang untuk menurunkan takhta dari raja kerana kegeringan besar dan berat selepas disiasat, berkuatkuasa 11 Jan. 

Katanya semasa pindaan itu dilakukan Sultan Abdullah selaku salah seorang ahli majlis berkenaan meninggalkan mesyuarat berkenaan untuk perkara itu dibincangkan dan selepas keputusan diambil ia telah dipersembahkan kepada baginda Sultan Abdullah untuk dipersetujui. 

"Saya yakin paduka kekanda saya akan menjadi seorang Sultan yang cekap, cergas dan seadil yang tidak kurang daripada ayahanda saya... ayahanda saya mendidik baginda dengan memberi segala latihan, tunjuk ajar dan bimbingan dan telah menjalankan tugas sebagai Pemangku Raja Pahang," katanya. 

Selari dengan pelantikan itu, Sultan Abdullah bertitah supaya ayahanda baginda berdua, Sultan Ahmad Shah diisytiharkan sebagai gelaran Duli Yang Maha Mulia Ayahanda Sultan Ahmad Shah, katanya. 

"... ini bersesuaian dengan keprihatinan dan sifat kebapaan ayahanda tuanku Ayahanda Sultan kepada rakyat Pahang keseluruhannya. Tiada apa yang lebih dekat dihatinya selain daripada rakyat," katanya. 

Beliau berkata istiadat pemasyuran  akan berlansung di Istana Abu Bakar pada 11 pagi, 15 Jan depan, manakala istiadat pertabalan akan diadakan dalam tempoh setahun. 

Mengulas mengenai waris ganti kepada Sultan Pahang selepas ini, Tengku Abdul Rahman berkata perkara itu lebih sesuai dimaklumkan sendiri oleh Sultan Pahang memandangkan anakanda sulung Sultan Abdullah, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Tengku Abdullah sedang melanjut pelajaran di luar negara. 

Sementara itu, semasa ditanya mengenai keadaan Ayahanda Sultan Ahmad Shah, Tengku Abdul Rahman meminta semua rakyat Pahang mendoakan kesihatan baginda bertambah baik dan dapat bersama-sama mereka istiadat pemasyhuran. 

"Semalam, pakar-pakar telah memberi keterangan kepada Jumaah Pangkuan Diraja dan saya kalau boleh mahu biarkan ia setakat itu sahaja.

"Saya sekeluarga merakamkan penghargaan kepada seluruh rakyat Pahang yang mendoakan kesejahteraan dan kesihatan Ayahanda Sultan. Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada pakar-pakar dan pasukan kesihatan atas khidmat dan menjaga Ayahanda Sultan dengan cemerlang," katanya.

Bagaimanapun Tengku Abdul Rahman berkata mesyuarat Jumaah Pangkuan Diraja Pahang semalam tidak membincangkan isu melantik Sultan Abdullah sebagai Yang Dipertuan Agong ke-16. 

"Perbincangan Jumaah Pangkuan Diraja Pahang adalah perihal berkaitan negeri.., pelantikan (Yang Dipertuan Agong) adalah terletak di bawah Majlis Raja-raja," katanya. - Bernama 

Advertisement