Anda di sini

Ops Lesen

Advertisement

Jabatan Tenaga Kerja Sarawak lancar Ops Lesen

Raduan (kanan) menemu ramah seorang pekerja asing yang bekerja di sebuah restoran di sini.
Raduan (kanan) menemu ramah seorang pekerja asing yang bekerja di sebuah restoran di sini.

KUCHING: Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sarawak melancarkan operasi khas pemeriksaan berkanun, Ops Lesen yang pertama bagi tahun ini di seluruh negeri ini.

Pengarahnya Awang Raduan Awang Omar berkata, operasi itu dijalan serentak di seluruh bahagian di negeri ini yang menumpukan kawasan pekerjaan yang dikeluarkan Lesen Penggajian Pekerja Bukan Pemastautin di bawah Seksyen 119 Ordinan Buruh (Sarawak Bab 76).

"Seramai 70 pegawai penguatkuasa terlibat dalam operasi ini yang bermula serentak pukul 9 pagi tadi di seluruh bahagian di Sarawak yang menyasarkan tempat-tempat pekerjaan terdiri daripada pekerja asing.

"Tujuan operasi ini dijalankan bagi memastikan pihak majikan mematuhi syarat yang ditetapkan dalam lesen yang telah diberikan kepada mereka," katanya ketika ditemui pemberita di sebuah lokasi di bandar raya ini hari ini.

Raduan menjelaskan tumpuan operasi itu diberikan kepada pematuhan syarat lesen yang dinyatakan dalam Lesen Penggajian Pekerja Bukan Pemastautin termasuk tempat pekerjaan dan jenis pekerjaan yang dibenarkan dalam lesen tersebut.

"Di samping itu, operasi ini juga dijalankan untuk memastikan pematuhan Ordinan Buruh (Bab 76) seperti waktu kerja dan pemberian cuti rehat, cuti umum dan sebagainya serta undang-undang buruh lain yang berkaitan," tambahnya.

Menurutnya lagi, dalam operasi khas ini, sekiranya majikan didapati melanggar syarat lesen ditetapkan, lesen yang dikeluarkan akan dibatalkan dan pekerja yang digaji di bawah lesen berkenaan perlu diberhentikan.

Pegawai penguat kuasa Jabatan Tenaga Kerja Sarawak mendapatkan butiran daripada majikan.
Pegawai penguatkuasa mendapatkan butiran daripada majikan.

"Pada masa sama sekiranya pelanggaran undang-undang ditemui ketika operasi dijalankan, notis pelanggaran akan dikeluarkan oleh pegawai kepada majikan untuk diambil ditindakan pembetulan.

"Sekiranya majikan gagal berbuat demikian, kertas siasatan akan dibuka dan tindakan undang-undang akan diambil terhadap majikan itu," tegasnya.

Mengulas lanjut operasi itu, Raduan mendedahkan, pada tahun lepas JTK Sarawak melancarkan beberapa siri operasi khas pemeriksaan berkanun yang mana sebanyak 439 tempat pekerjaan diperiksa.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 2,393 pelanggaran undang-undang dikesan melibatkan peruntukan di bawah Ordinan Buruh (Sarawak Bab 76), Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 dan Akta Pampasan Pekerja 1952.

"JTK Sarawak akan meneruskan dan mempergiatkan lagi operasi khas pada tahun ini untuk meningkatkan pematuhan undang-undang perburuhan di kalangan majikan.

"Malah, ia juga dapat memastikan para pekerja menikmati hak-hak mereka di bawah undang-undang yang berkaitan," ujarnya.

Hadir sama, Timbalan Pengarah JTK Sarawak Sulaiman Ismail, Ketua Bahagian Standard Pemburuhan Jamillah Putit dan pengawai penguatkuasa JTK Sarawak lain.
 

  • oleh
  • Advertisement