Anda di sini

cityone megamall

Advertisement

Kes letupan CityOne Megamall: Syarikat CityOne Mc dilepaskan tanpa perlu membela diri

 

KUCHING: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini melepaskan syarikat CityOne Mc Sdn Bhd tanpa perlu dipanggil membela diri atas tuduhan gagal memastikan tahap keselamatan pekerja terjamin di CityOne Megamall pada 4 Disember 2018.

Hakim Dayang Ellyn Narisa Abang Ahmad menetapkan demikian setelah mendapati pihak pendakwaan gagal menubuhkan kes prima facie terhadap syarikat tersebut, di akhir kes pendakwaan.

Difahamkan, mahkamah akan memberikan alasan keputusan kepada pihak pendakwaan dan tertuduh kelak.  

Hadir mewakili syarikat tersebut pada hari ini adalah Pengurus Besar syarikat CityOne Mc Sdn Bhd, Lo Wei Han.

Seramai 12 orang saksi dipanggil ke mahkamah untuk memberikan keterangan dalam kes ini.

Mengikut pertuduhan, syarikat tersebut didakwa gagal memastikan tahap keselamatan pekerja terjamin di CityOne Megamall sehingga menyebabkan tiga maut iaitu O Kui Lim, 49 dari Batu Kawa, Tchee Kiam Jong, 24 (Stutong) dan Chin Hsien Loong, 29 dari Butterworth, Pulau Pinang.

Syarikat berkenaan didakwa di bawah Seksyen 18 (1) Akta Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan 1994, yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Menurut seksyen itu, penghuni sesebuah premis hendaklah mengambil sebarang langkah yang praktik untuk memastikan bahawa premis itu adalah selamat dan tidak mendatangkan risiko kepada kesihatan.

CityOne Mc diwakili peguam Alvin Yong dan J.B Singh manakala pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Safwan Lokman dan Wilson Lee Wui Siang serta turut disaksikan oleh Peguam Pemerhati, David Hii Chin Loung.

Sementara itu, ketika ditanya Utusan Borneo sekiranya pihak JKKP akan membuat rayuan berhubung keputusan mahkamah, pihak JKKP berkata ia terpulang kepada Timbalan Pendakwa Raya JKKP di Putrajaya untuk membuat rayuan ataupun tidak.

Insiden yang berlaku sekitar pukul 3.30 petang itu menyaksikan tiga terkorban dan 41 cedera termasuk empat cedera parah dalam kejadian letupan gas di CityOne Megamall di sini. 

Letupan berlaku akibat kebocoran gas ketika menyiapkan kerja-kerja pengubahsuaian sebelum sebuah rantaian makanan segera dibuka secara rasmi.

Tiga individu maut manakala 44 lagi cedera termasuk seorang pekerja binaan warganegara Indonesia berusia 29 tahun.

Setakat ini, dua entiti lagi didakwa bagi insiden letupan berkenaan dan kedua-duanya mengaku tidak bersalah serta kes masih dibicarakan di mahkamah.

Mereka adalah syarikat Sin Nyen Electronic Electrical dan pengurus subkontraktor berusia 56 tahun.

Syarikat elektrikal yang diwakili peguam, Siew Chen Fui, didakwa di bawah Seksyen 15(1) manakala pengurus subkontraktor berkenaan bakal didakwa di bawah Seksyen 17(1) Akta Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan 1994 .

Subkontraktor tersebut diwakili peguam Voon Lee Shan.

  • oleh
  • Letupan gas CityONE: Subkontraktor mengaku tidak bersalah abai aspek keselamatan

     

    KUCHING: Seorang lagi individu iaitu subkontraktor didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini kerana mengabaikan aspek keselamatan sehingga menyebabkan kematian tiga pekerja dalam insiden letupan gas di CityONE Megamall pada 4 Disember tahun lepas. 

    Chia Yit Siong, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh Pegawai Pendakwa Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Wilson Lee.

    Hakim Marutin Pagan kemudian menjadualkan 1 November depan sebagai tarikh pengurusan kes selain membebaskan tertuduh dengan ikat jamin RM10,000 beserta dua penjamin tempatan yang beralamat di Kuching.

    Yit Siong, seorang pengurus subkontraktor berusia 56 tahun didakwa di bawah Seksyen 17(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHA) 1994.

    Individu berkenaan gagal memastikan sistem kerja selamat bagi aktiviti kerja memeriksa, membaiki dan pemasangan paip sehingga menyebabkan kemalangan maut ke atas orang lain.

    Dia juga gagal menjalankan kewajipannya, terutamanya mengenai keselamatan, kesihatan dan kebajikan semasa bekerja bagi pekerjanya selain gagal mengadakan sistem kerja selamat.

    Mengikut Seksyen itu, tertuduh bakal berhadapan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

    Setakat ini, sejumlah empat entiti didakwa bagi insiden letupan gas berkenaan iaitu CityOne Mc Sdn Bhd dan Borneo Landmark (M) Sdn. Bhd. yang masing-masing diwakili pengarahnya, Stephen Long Tine Chung; Pengurus Sin Nyen Electronic Electrikal dan seorang subkontraktor iaitu Chia Yit Siong. 

    Namun, Hakim Marutin Pagan hari ini melepas tanpa membebaskan Borneo Landmark (M) Sdn. Bhd. daripada pertuduhan di bawah Seksyen 15(1) OSHA 1994.

    Hal ini kerana pihak pendakwaan memerlukan lebih masa untuk menyiasat kes berkenaan.

    Peguam J.B Singh dan Alvin Yong mewakili pengarah syarikat Cityone Mc Sdn. Bhd dan Borneo Landmark (M) Sdn. Bhd. 

    Syarikat elektrikal itu pula diwakili peguam, Siew Chen Fui manakala subkontraktor itu diwakili peguam Voon Lee Shan.

    Insiden letupan gas di CityONE Megamall tahun lepas berlaku akibat kebocoran gas dan menyebabkan tiga terkorban dan 41 cedera termasuk empat cedera parah dalam kejadian sekitar pukul 3.30 petang itu.

  • oleh
  • Kes letupan gas CityONE: Syarikat elektrikal dihadapkan ke mahkamah

     

    KUCHING: Sebuah lagi syarikat didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini berikutan insiden letupan gas di CityONE Megamall 4 Disember tahun lepas.

    Pengurus Sin Nyen Electronic Electrical, yang namanya tidak didedahkan, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh Pegawai Pendakwa (PO) Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Wilson Lee. 

    Hakim Taufik Mohd @ Mohd Yusoff menetapkan 23 Oktober depan sebagai tarikh pengurusan kes selain membenarkan pengurus syarikat itu dibebaskan dengan jaminan mahkamah berjumlah RM10,000. 

    Mahkamah juga mengarahkan PO untuk menyediakan pertuduhan baharu yang lebih jelas dan terperinci berikutan pertuduhan yang dikemukakan tidak jelas.

    Syarikat elektrikal berkenaan didakwa di bawah Seksyen 15(1) Akta Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan 1994. 

    Jika sabit kesalahan, entiti berkenaan boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

    Sebutan kes hari ini juga menyaksikan individu yang mewakili subkontraktor sepatutnya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen berbeza untuk dituduh bagi insiden sama. 

    Namun, Hakim Marutin Pagan, hakim yang mengendalikan kes berkenaan sedang menjalankan tugas di tempat lain. 

    Justeru, kes membabitkan pengurus subkontraktor berusia 56 tahun itu dijadualkan untuk disebut semula pada 8 Oktober depan. 

    Individu berkenaan didakwa di bawah Seksyen 17(1) Akta Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan 1994. 

    Syarikat elektrikal itu diwakili peguam, Siew Chen Fui manakala subkontraktor itu diwakili peguam Voon Lee Shan. 

    Insiden letupan gas di CityONE Megamall tahun lepas itu berlaku akibat kebocoran gas.

    Peristiwa itu menyaksikan tiga terkorban dan 41 cedera termasuk empat cedera parah dalam kejadian letupan sekitar pukul 3.30 petang itu.

  • oleh
  • Pelbagai outlet akan dibuka di CityONE pada tahun ini

    Stephen (kiri) menyerahkan jersi acara E-Sport anjuran CityONE, yang pertama kali dianjurkan di Sarawak kepada Presiden Persatuan E-Sport Sarawak, Afiq Fadhli Narawi (kanan) sempena Upacara Pembukaan Semula CityONE di sini, hari ini.
    Stephen (kiri) menyerahkan jersi acara e-Sport anjuran CityONE, yang pertama kali dianjurkan di Sarawak kepada Presiden Persatuan E-Sport Sarawak, Afiq Fadhli Narawi (kanan) sempena Upacara Pembukaan Semula CityONE di sini, hari ini.

    KUCHING: Pusat beli-belah CityONE menjanjikan suasana dan pengalaman yang lebih menarik kepada pengunjungnya pada tahun ini, dengan membawa masuk banyak  dan pelbagai lagi outlet.

    Pemilik CityONE, Ir. Stephen Long berkata pihaknya sedang berurusan dengan banyak outlet besar untuk membuka cawangan di CityONE dan mereka juga positif dengan tawaran tersebut.

    “Kami sedang mencuba yang terbaik untuk membawa balik keyakinan orang ramai berkunjung ke CityONE dan sedang berusaha membawa masuk lebih banyak lagi outlet.

    “Kami mahu menjadikan CityONE lebih menarik untuk orang ramai dengan banyak benda dapat dilihat, membeli belah dan makan.

    “Saya berjanji ini akan berlaku dalam tahun 2019 di mana dalam beberapa bulan lagi anda akan melihat perubahan di sini,” katanya ketika ditemu-bual sempena Upacara Pembukaan Semula CityONE di sini, hari ini.

    Menurut Stephen, CityOne kini juga sudah beroperasi sepenuhnya dengan terdapat kira-kira 140 outlet yang dibuka, setelah ia ditutup dalam tempoh kira-kira 10 hari susulan insiden letupan membabitkan restoran Nene Chicken di dalam pusat beli-belah berkenaan pada 4 Disember tahun lepas.

    Ditanya sama ada akan membuka semula Nene Chicken di CityONE, beliau berkata sedang menelitinya dan amat berharap agar ia dapat direalisasikan.

    “Ya, kami amat suka untuk memilikinya semula (Nene Chicken) tetapi kami perlu melihat dulu bagaimana keadaannya.

    “Kami amat positif dan tidak akan berputus asa,” katanya.

    Pada 4 Disember lalu, CityONE yang merupakan antara pusat beli-belah terbesar di bandaraya ini telah digegarkan dengan letupan gas daripada sebuah restoran makanan segera Korea, Nene Chicken ketika kerja-kerja akhir sedang dijalankan sebelum ia dibuka.

    Insiden turut mengorbankan tiga orang termasuk puluhan orang cedera dan melecur teruk.

  • oleh
  • CityONE dibuka kembali hari ini

    Kelihatan keadan berselerak selepas kerjadian letupan kuat di CityONE pada pukul 3.30 petang Selasa lepas. - Gambar Bernama
    Kelihatan keadan berselerak selepas kerjadian letupan kuat di CityONE pada pukul 3.30 petang Selasa lepas. - Gambar Bernama

    KUCHING: Kompleks beli-belah CityOne Megamall yang terbabit insiden letupan gas pada Selasa, kembali beroperasi hari ini selepas diberi kebenaran berbuat demikian oleh pihak berkuasa. 

    Menurut pemajunya Kenbest Sdn Bhd, kebenaran beroperasi semula itu diberikan kepada Blok C dan D yang menempatkan Mall dan Mall 2.

     “Perunding kejuruteraan struktur telah mengesahkan letupan itu tidak menjejaskan integriti struktur bangunan,” demikian menurut Pengarah Kenbest, Stephen Long Tine Chung dalam kenyataan hari ini.

    Katanya Blok A dan B kompleks itu pula dijangka dibuka semula selewat-lewatnya Rabu ini. 

    “Pengunjung juga akan menikmati kemudahan tempat letak kenderaan percuma sehingga diberitahu kelak,” katanya.

    Dalam kejadian itu yang dipercayai disebabkan kebocoran gas di outlet NeNe Chicken, tiga lelaki dikenal pasti sebagai O Kui Lim, 49 dan Tchee Kiam Jong, 24, masing-masing dari sini, serta Chin Hsien Long, 29 dari Pulau Pinang maut selepas tertimbus di bawah runtuhan.

    Kejadian turut menyebabkan 41 lagi cedera. - Bernama 

    Jasad mendiang Chin selamat disempurnakan

    Anggota keluarga mendiang Chin tidak dapat menahan kesedihan semasa hadir upacara pembakaran jasad mendiang di Tanah Perkuburan Cina di Berapit hari ini. - Gambar Bernama
    Anggota keluarga mendiang Chin tidak dapat menahan kesedihan semasa hadir upacara pembakaran jasad mendiang di Tanah Perkuburan Cina di Berapit hari ini. - Gambar Bernama

    BUTTERWORTH: Jasad mendiang Chin Hsien Loong yang maut dalam tragedi letupan gas di pusat beli-belah CityOne Megamall di Kuching, Sarawak Selasa lalu selamat disempurnakan melalui proses pembakaran.

    Upacara pembakaran mayat telah disempurnakan sekitar 12.45 tengah hari di Pusat Krematorium Berapit di sini, sambil disaksikan oleh kira-kira 200 anggota keluarga terdekat dan sahabat mendiang bagi memberikan penghormatan terakhir.

    Terdahulu, upacara keagamaan telah dijalankan di tempat kediaman mendiang di Taman Kimsar, Perai pada 10.30 pagi.

    Rakan-rakan mendiang Chin beratur untuk memberi penghormatan terakhir semasa hadir upacara pembakaran jasad mendiang hari ini. - Gambar Bernama
    Rakan-rakan mendiang Chin beratur untuk memberi penghormatan terakhir semasa hadir upacara pembakaran jasad mendiang hari ini. - Gambar Bernama

    Turut kelihatan adik perempuan dan adik lelaki mendiang menyempurnakan upacara keagamaan diikuti anggota keluarga dan sahabat yang lain.

    Bagaimanapun, kedua-dua ibu bapa mendiang gagal ditemu bual pihak media ekoran masih bersedih atas kejadian yang menimpa anak sulung mereka.

    Dalam kejadian 3.30 petang Selasa lalu, tiga lelaki maut dan 44 orang cedera.

    Selain Chin, 29, dua lagi mangsa yang maut dikenali sebagai Ooi Kui Lim, 49, dan Tchee Kiom Joong, 24, kedua-duanya dari Kuching. - Bernama 


     

    Pemilik CityONE hulur bantuan kewangan kepada mangsa, waris 

    Long ketika ditemu bual wakil media di CityONE hari ini.- Gambar Bernama
    Long ketika ditemu bual media di CityONE hari ini.- Gambar Bernama

    KUCHING: Bantuan kewangan akan diberikan kepada mangsa tercedera serta waris tiga yang terkorban dalam insiden letupan di pusat beli belah CityONE pada Selasa lepas.

    Perkara itu dimaklumkan pemilik Pusat Beli Belah CityONE, Stephen Long Tine Chung ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini yang turut menyaksikan isterinya Sim Ewe Kee serta menantu lelakinya Johnny Lau Sie Yan cedera dalam insiden berkenaan.

    "Kita sangat bersedih dengan apa yang berlaku, amat sedih dengan insiden ini yang telah meragut tiga nyawa. Sekarang apa yang boleh saya lakukan ialah menjaga kebajikan mereka, melawat mereka di hospital dan menyediakan bantuan kewangan kepada keluarga tiga mangsa yang terkorban," katanya.

    Long menambah, keselamatan adalah keutamaan CityONE dan pekerja rakan-rakan restoran Nene Chicken, dalam insiden letupan akibat kebocoran gas yang berlaku, ketika menyiapkan kerja-kerja pengubahsuaian sebelum rantaian makanan segera itu dibuka secara rasminya hari ini.

    "Ramai mereka sangat teruja, tetapi satu letupan telah mengubah segala-galanya," ujar Long yang juga Pengarah Kenbest Sdn Bhd.

    Selain mengurus CityONE, beliau juga merupakan francais bertauliah rantaian Nene Chicken  di Sarawak.

    Mengimbau detik cemas itu, Long berkata dalam kejadian yang berlaku sekitar pukul 3.30 petang semalam, menantunya berada di dapur Nene Chicken melecur 20 peratus manakala isterinya hanya cedera ringan.

    Sementara itu anak lelaki Long, Jonathan yang ketika kejadian berada di dalam kedai, meminta maaf selepas bertindak agresif kepada orang ramai yang tular dalam media sosial.

    "Ketika itu saya terkejut, segala-galanya runtuh di hadapan saya dan perkara pertama dalam fikiran saya ketika itu ialah kesalahan orang di dalam (kedai)," jelasnya.

    Dalam kejadian itu, tiga maut dikenal pasti O Kui Lim, 49 dari Batu Kawa Tchee Kiam Jong, 24 (Stutong) dan Chin Hsien Loong, 29 dari Butterworth, Pulau Pinang.

    Manakala 44 lagi cedera termasuk seorang pekerja binaan warganegara Indonesia berusia 29 tahun.

    Detik cemas pewarta Bernama dan keluarga semasa berlaku letupan

     
    Keadaan sekitar pusat beli-belah selepas insiden letupan petang semalam.
    Keadaan sekitar pusat beli-belah selepas insiden letupan petang semalam.

    KUCHING: Tidak sampai 10 minit pewarta Bernama di Sibu, Frank Julian Martin mengambil tempat duduk di sebuah gerai makanan segera apabila berlaku letupan yang menggegarkan tingkat bawah CityONE Megamall di sini kira-kira pukul 3.30 petang tadi.

    Beliau terkejut seketika tetapi apa yang mula terlintas dalam fikirannya ketika itu ialah mengenai anak perempuannya Joanna Cassandra yang ketika itu berada di sebuah kedai buku di tingkat tiga pusat membeli-belah itu.

    "Panggil Joanna, panggil Joanna," Frank memberitahu isterinya, Bejau Japang, yang sedang membeli makanan di sebuah gerai dan dia segera menaiki eskalator yang terhenti dengan harapan untuk mencari anaknya.

    Melihat kepada kerosakan yang disebabkan oleh letupan, Frank yakin ia tidak melibatkan kedai buku dan anak perempuannya selamat.

    Selepas menerima panggilan dari isterinya yang menyatakan anak perempuan mereka selamat, dan oleh kerana memiliki naluri sebagai wartawan, Frank tanpa berlengah lagi mengambil rakaman video mengenai insiden itu lalu menghantarnya ke ibu pejabat Bernama di Kuala Lumpur.

    Dia kemudian berlari balik ke tingkat bawah dan mendapati isteri dan anak perempuannya yang kebetulan adalah anggota Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia di sekolahnya, sedang membantu mangsa-mangsa yang cedera.

    Mereka disertai oleh dua orang jururawat tempatan yang walaupun telah tamat waktu bertugas tetapi sanggup membantu dan orang awam yang menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta pihak hospital untuk bantuan.

    Frank yang bercuti di sini memaklumkan rakan-rakannya di Bernama Kuching dan menghantar WhatsApp kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak untuk meminta pihak berkuasa menghantar bantuan kerana jumlah mreka yang cedera mula meningkat.

    Mangsa-mangsa yang mengerang kesakitan dan orang ramai berasa lega apabila pasukan bomba dan penyelamat serta ambulans mula tiba kira-kira 3.45 tengah hari.

    "Saya ketakutan dan berfikir untuk mencari tempat yang selamat. Tetapi saya tidak sampai hati jika tidak membantu mereka yang cedera. Saya harus melakukan sesuatu dan anak perempuan saya juga membantu dengan memanfaatkan ilmu yang dipelajari sebagai anggota Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia," kata Bejau kepada Bernama.

    Bejau terharu dengan kesediaan orang ramai yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama untuk membantu mangsa-mangsa yang cedera.

    "Walaupun ramai daripada mereka tidak mempunyai kepakaran atau pengetahuan dalam menangani krisis seperti itu, mereka tampil dan membantu. Ada yang memberikan air kepada mangsa sambil mententeramkan mereka yang saya fikir membantu mangsa-mangsa untuk terus bersemangat kental," katanya.

    Sementara itu, Frank bekata jika tidak kerana eskalator bersebelahan, dia dan isterinya mungkin mengalami kecederaan akibat letupan tersebut kerana letupan itu berlaku kira-kira 50 meter dari tempat mereka berada.

    “Jika tidak kerana eskalator, kami berdua mungkin adalah mereka yang cedera. Kerana memikirkan apa yang akan berlaku kepada anak perempuan saya memang menakutkan saya. Tetapi nasib baik, kami semua selamat, " katanya.

    Gambar-gambar mengena insiden itu dikongsi melalui media sosial dan panggilan daripada saudara-mara dan rakan-rakan mencurah-curah diterima apabila mereka melihat Bejau dan Joanna dalam gambar tersebut.

    Sehingga 6.30 petang, tiga orang maut sementara 29 orang cedera dalam letupan tersebut.

    Insiden itu dipercayai berpunca daripada kebocoran gas di sebuah kedai yang sedang diubahsuai. - Bernama 

    Runtuhan akibat letupan gas, tiga maut

    Mayat mangsa maut diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut
    Mayat mangsa maut diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. 
     

    KUCHING: Tiga maut dan empat cedera parah dalam kejadian runtuhan yang berpunca dari letupan gas di pusat beli belah CityONE, hari ini.

    Tiga lelaki yang meninggal dunia di tempat kejadian dikenal pasti sebagai Tchee Kiam Jong, 24; dan O Kui Lim, 49, masing-masing warga tempatan, dan seorang lelaki yang berasal dari Pulau Pinang, Chin Hsien Loong, 29.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak Khirudin Drahman berkata kesemua mangsa maut merupakan pekerja yang sedang melakukan penyelenggaraan di dapur premis makanan tersebut.

    "Tiga mangsa disahkan mati oleh pihak perubatan di tempat kejadian apabila dihempap timbunan batu (dinding) semasa letupan berlaku, manakala tiga lagi mangsa (terperangkap) berjaya dikeluarkan dan terus dihantar ke hospital," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

    Khirudin ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian. - Gambar Chimon Upon

    Menurut Khirudin, 22 lagi mangsa terdiri daripada pekerja restoran dan pelanggan dikeluarkan orang awam sebelum pasukan bomba tiba di tempat kejadian.

    Kejadian itu katanya dipercayai berpunca daripada kebocoran silinder gas. 

    Jelasnya, siasatan lanjut akan dijalankan oleh pihak Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan serta pihak berwajib.

    Mayat mangsa diangkat keluar dari tempat kejadian. 

    Seorang mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Benny, 40an berkata semasa kejadian kira-kira 20 orang berada di sekelilingnya sebelum mereka dikejutkan dengan bunyi letupan yang kuat.

    “Premis tersebut sedang menjalani persiapan akhir sebelum dijadualkan dibuka esok. Ketika kejadian kami sedang bekerja apabila tiba-tiba ia meletup dan dinding serta siling di dalam terus runtuh.

    “Kejadian berlaku terlalu pantas, saya cuma ingat itu sahaja,” katanya yang turut mengalami kecederaan di beberapa anggota badannya.

    Sementara itu, pihak pengurusan CityONE dalam satu kenyataan memberitahu pusat beli belah itu ditutup serta merta sehingga tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.
     

    Advertisement