Anda di sini

Kepimpinan

Advertisement

Anda Pemberi Atau Penerima?

"Pemimpin yang hebat adalah pemberi yang hebat." ~ John Maxwell

Saya sering diberitahu bahawa wang tidak dapat membeli kebahagiaan. Tetapi kini saintis mengatakan sebaliknya iaitu ia mampu memberi kebahagiaan selagi kita membelanjakannya ke atas orang lain!

Menurut kajian saintifik yang dilakukan oleh Profesor Elizabeth Dunn dan pasukannya di Universiti British Columbia, “Tanpa mengira pendapatan, mereka yang membelanjakan wang ke atas orang lain menikmati hidup yang lebih bahagia daripada mereka yang menggunakannya demi kepentingan diri sendiri.”

Profesor Michael Norton dari Universiti Harvard pula berkata tindakan menderma, biarpun sekadar beberapa ringgit, memadai untuk meningkatkan tahap kebahagiaan seseorang.

Kesan yang sama juga boleh dikatakan mengenai negara-negara. Menurut kajian global Arwin dan Lew, “Bukti statistik daripada kajian ini mencadangkan bahawa untuk menikmati kebahagiaan, adalah lebih baik memberi daripada menerima bantuan.”

Dengan berasaskan Pangkalan Data Kebahagiaan Dunia, kajian ini menunjukkan bahawa negara-negara yang memberi bantuan mencatatkan tahap kebahagiaan yang berkaitan manakala tahap kebahagiaan negara yang menerima pula tidak menunjukkan sebarang perubahan.

Yang menarik adalah situasi ini sama untuk bidang bisnes. Bisnes yang tertumpu kepada meningkatkan nilai pemegang saham (iaitu meraih keuntungan) mempunyai tenaga kerja yang kurang gembira berbanding bisnes permulaan (“start-up”) dan organisasi sosial (iaitu syarikat yang memberi kepada masyarakat).

Banci yang dilakukan di United Kingdom juga menunjukkan bahawa biarpun pekerja di syarikat besar dibayar gaji yang jauh lebih tinggi daripada generasi sebelumnya tetapi mereka tidak lebih gembira. Tenaga kerja yang tidak gembira bermakna produktiviti yang rendah dan kos penjagaan kesihatan yang lebih tinggi.

Kebanyakan orang lupa bahawa kepimpinan yang berinspirasi adalah mengenai orang,   bukannya produk atau keuntungan. Organisasi dan pemimpin yang lebih memberi daripada menerima merupakan sumber ilham yang kuat kepada orang ramai.

Belajar nilai memberi daripada pemimpin masa silam

Sejarah penuh dengan manfaat memberi. Kubur Christopher Chapman pada tahun 1680 di Westminster Abbey tertulis:

“Apa yang aku berikan, aku miliki. Apa yang aku belanjakan, pernah aku miliki. 

Apa yang aku tinggalkan menjadi kerugian kerana tidak sempat diberikan 

kepada orang lain.”

Longfellow menulis, “Berikan apa yang anda miliki.” Seorang penulis terkenal John Bunyan mengingatkan kita, “Ada seorang lelaki, walaupun orang menganggapnya tidak siuman; semakin banyak dia memberi semakin banyak pula harta yang dimilikinya.”

Ada pula orang yang percaya bahawa mereka tidak mampu untuk memberi dengan banyak, dan pemberian kecil mereka tidak akan membuat sebarang perbezaan. Mother Teresa melawan corak berfikir sedemikian dengan berkata:

“Kehidupan yang tidak digunakan untuk orang lain bukanlah kehidupan.”

Jika ada seseorang yang benar-benar mengamalkan kehidupan memberi, orang itu ialah Mother Teresa.

Pemimpin kadangkala memberi dengan kos pengorbanan diri yang besar. Mahatma Gandhi kehilangan nyawanya demi perjuangannya. Begitu juga dengan Martin Luther King. Tetapi legasi kepimpinan mereka hidup selama-lamanya.

Bagaimanapun, hari ini kita melihat suatu bentuk kepimpinan yang berbeza iaitu yang tidak habis-habis menerima. Dalam filem Wall Street, Gordon Gekkober berkata “ketamakan adalah bagus”. Ini menunjukkan kenapa menerima kini adalah mantera kepimpinan yang baharu.

Jurnal Wall Street pula mengutarakan bahawa ‘budaya ketamakan’ adalah punca krisis kewangan kebelakangan ini. Pelabur juta-jutawan Stephen Jarislowsky juga menekankan bahawa ‘ketamakan yang melampau’ harus dipersalahkan untuk krisis tersebut. Ini jelas kelihatan apabila kita tetap membaca tentang pemimpin sesebuah syarikat yang kian menjadi kaya walaupun syarikatnya berada di ambang kehancuran.

Tiga ciri kepimpinan pemimpin legenda yang menonjol

Apabila kita menerokai penyelidikan baharu mengenai ‘pemimpin-pemimpin legenda’, berikut adalah tiga ciri kepimpinan yang menonjol:

  • Mengejar kesignifikan (orang) dan bukannya kejayaan (keuntungan). Mereka menghargai orang – keluarga, pekerja dan pelanggan. Mereka membuat keputusan berdasarkan kesan ke atas pihak-pihak berkepentingan yang utama.
  • Membuat sesuatu kerana melayani tujuan dan bukan semata-mata untuk mencapai keputusan. Pemimpin-pemimpin legenda menahan tekanan untuk menikmati kepuasan segera dan menumpukan kepada tujuan jangka panjang. Mereka menilai produk dan perkhidmatan baharu berdasarkan keperluan pasaran serta bagaimana ia mampu meningkatkan kehidupan penggunanya.
  • Pemimpin-pemimpin legenda memberi tumpuan kepada “apa yang boleh saya berikan?” dan bukan “apa yang boleh saya terima?” Mereka mengikuti falsafah berkelimpahan. Mereka bukan berjuang untuk mendapatkan potongan kek yang lebih besar, tetapi bekerja untuk menjadikan kek tersebut lebih besar.

Ketiga-tiga sifat tersebut menunjukkan ciri-ciri seorang pemimpin yang memberi. Ini bertentangan dengan Gordon Gekko dalam Wall Street. Mereka menumpukan perhatian kepada orang dan bukannya keuntungan. Mereka mementingkan tujuan jangka panjang yang akan membawa kebaikan kepada masyarakat. Yang menariknya, 

organisasi-organisasi sosiallah yang menumpukan kepada kesignifikan dan memastikan kesan kepada masyarakat. Organisasi-organisasi inilah yang akhirnya membuka pasaran baharu di dalam proses tersebut.

Misi berkhidmat kepada masyarakat

Tidak lama sebelum ini, saya telah dijemput untuk menjadi salah seorang hakim bagi rancangan realiti TV3, Sejuta Impian, yang bertujuan membantu rakyat Malaysia untuk memenuhi ‘impian’ mereka asalkan impian tersebut membawa kebaikan kepada masyarakat.

Saya sungguh kagum dengan pembentangan impian kesemua 92 peserta peringkat akhir untuk mendapatkan pendanaan. Mereka bersungguh-sungguh ingin membuat sesuatu untuk masyarakat. Yang lebih menarik lagi adalah kewujudan organisasi sosial seperti cendawan dengan misi sosial yang jelas dan rancangan yang padu untuk terus mampan dan meraih keuntungan.

Organisasi yang "memberi"

Semakin banyak organisasi hari ini beralih daripada ‘mengejar keuntungan’ kepada misi-misi ‘berkhidmat kepada masyarakat’. General Electric menceburi kehijauan alam dengan misi ‘eko-imaginasi’; Google dengan misi ‘tidak melakukan kejahatan’; manakala misi sosial AirAsia pula adalah memastikan “semua orang boleh terbang”. Semakin banyak organisasi mula sedar bahawa amalan memberi menjamin pulangan yang besar, justeru itu mereka kini mengubah tumpuan daripada hanya meraih keuntungan kepada misi yang berasaskan kemasyarakatan.

Organisasi-organisasi sosial dan syarikat-syarikat yang ‘memberi’ bukan sekadar menderma wang dan hadiah sahaja. Mereka memberi semula kepada masyarakat untuk menjadikan dunia ini lebih baik, serta melibatkan diri dengan pihak-pihak berkepentingan dan masyarakat setempat. Mereka memberi semula kepada pekerja mereka melalui amalan-amalan kerja yang lebih baik.

Syarikat-syarikat yang mempertimbangkan pihak-pihak berkepentingan dan masyarakat setempat secara konsisten menunjukkan peningkatan prestasi sebanyak dua kali ganda daripada S&P 500 sejak 15 tahun yang lalu (Schmidt, 2000). Keputusan tersebut disahkan Universiti Harvard, yang mendapati syarikat-syarikat yang ‘berasaskan kemasyarakatan’ menunjukkan peningkatan sebanyak empat kali ganda dan kadar pengambilan pekerja meningkat sebanyak lapan kali ganda apabila dibandingkan dengan syarikat-syarikat yang mementingkan pemegang-pemegang saham semata-mata (Universiti Harvard, 2000).

Organisasi yang "memberi" lebih beruntung

Mengapakah syarikat-syarikat yang ‘memberi’ mengatasi organisasi-organisasi yang mementingkan ‘peningkatan nilai pelabur’ secara tradisional? 

C.K Prahalad, dalam bukunya yang berjudul “The Fortune at the Bottom of the Pyramid” (Harta Kekayaan Di Bawah Piramid), mencabar syarikat-syarikat besar dengan memaparkan bahawa keuntungan yang lebih boleh diraih dengan menumpukan kepada mereka yang bergaji serendah $2 sehari.

Dia menunjukkan bagaimana organisasi-organisasi sosial yang memberi tumpuan kepada orang miskin dan isu-isu sosial yang lain memperoleh keuntungan yang lebih signifikan daripada syarikat-syarikat besar. Bank Grameen di Bangladesh mengatasi semua bank yang lain. Tetapi misi utama mereka adalah berkhidmat kepada orang miskin, bukan meningkatkan nilai pemegang saham.

Perniagaan tradisional bersaing dari segi harga, tahap kualiti ataupun perkhidmatan manakala agensi-agensi bukan kerajaan (NGO) sering menggunakan nilai perkhidmatan atau faedah masyarakat sebagai kelebihan daya saing mereka.

Organisasi-organisasi sosial pula mengambil kesempatan kedua-dua kelebihan daya saing ini, tetapi turut menekankan khidmat sosial yang boleh digunakan untuk tujuan persaingan seperti memberi bantuan kepada masyarakat, identiti jenama yang lebih unggul, komitmen pelanggan terhadap perjuangan sosial mereka, dan penglibatan pekerja.

Tidak ada perkara yang mampu menyatukan orang ramai (terutama sekali para pekerja) sebaik kerjasama untuk berkhidmat kepada masyarakat. ‘Memberi’ akan membuat para pekerja anda berasa teruja dan menguatkan semangat mereka untuk mencapai tujuan syarikat sehingga menjamin prestasi dan keuntungan yang lebih tinggi.

Pemimpin kanan yang "memberi"

Kita sering mendengar cerita-cerita tentang pemimpin yang meninggalkan jawatan ketua pegawai eksekutif untuk mencari sesuatu yang lebih bermakna. Ia adalah fenomena yang ganjil di mana seorang yang sudah berusaha kuat dan kini berada di puncak kerjaya tiba-tiba berasa terdesak untuk ‘memberi semula’.

Peter Lynch berada di puncak kerjayanya bersama Tabung Fidelity Magellan ketika dia tergerak untuk meninggalkan pekerjaannya untuk memulakan dana dermawan. Begitu juga dengan Bill Gates, Carnegie dan Rockfeller.

Mengapakah fenomena ‘memberi’ mengambil tempat pada saat-saat akhir kerjaya seseorang?

Memberi adalah mudah. Memberi bukan hanya membekalkan bantuan kewangan. Pemimpin-pemimpin terbaik percaya bahawa “anda akan menerima yang terbaik daripada orang lain apabila memberi yang terbaik daripada diri anda” dan mereka mula memberi sejak dari usia yang muda lagi.

Tiga cara mudah memberi dalam kehidupan harian

Jadi, bagaimanakah pemimpin dalam dunia bisnes memberi sepanjang kerjaya mereka? Berikut adalah tiga cara mudah yang boleh kita lakukan dalam proses memberi semula.

  • Mendengar - Ihsan terbaik yang boleh diberikan seorang pemimpin adalah mendengar. Setiap orang ingin didengar. Masalahnya adalah kebanyakan pemimpin tidak mempunyai masa untuk mendengar dan memberi telinga empati kepada rakan sekerja, tenaga pekerja, pembekal dan pelanggan mereka. Anda pasti terkejut dengan informasi dan idea-idea yang akan anda terima dengan mendengar kepada mereka.
  • Memberi maklum balas kepada pekerja – Pemimpin yang berani tahu bahawa memberi dan menerima maklum balas di dalam perbualan adalah diperlukan untuk menginspirasikan hubungan. Sebanyak 70% daripada pekerja merasa mereka kurang mendapat maklum balas dan masa berinteraksi dengan majikan mereka. Maklum balas positif dan membina juga adalah kurang. Kebanyakan orang melihat penilaian prestasi sebagai proses yang teruk untuk memberi maklum balas. Secara peribadi, saya bergelut dengan perkara ini kerana ia sangat memakan masa, tetapi semakin banyak maklum balas yang anda berikan, semakin baiklah pencapaian pasukan anda.
  • Membina orang lain – Kepimpinan bukanlah anjakan untuk memanipulasi orang lain tetapi untuk membina mereka. Legasi seorang pemimpin bukan dikira melalui pencapaian, tetapi tindakan melatih pengganti yang akan mencapai kejayaan yang lebih baik. Sekiranya anda ingin berjaya sebagai seorang pemimpin, tumpukan kepada apa yang boleh anda lakukan untuk orang lain dan bukan kepada apa yang boleh anda terima daripada mereka. Ajar, latih dan mentor pekerja anda. Sebagai balasan, mereka akan mencecah tahap kejayaan yang melebihi tahap anda.

Akhir kata

Memberi adalah terhad apabila anda memberikan harta milik anda. Tetapi apabila anda memberi diri, baharulah anda benar-benar memberi dan mendapat ganjarannya. Seperti yang dikatakan Albert Einstein:

“Nilai seorang manusia terletak kepada apa yang diberinya dan bukan apa yang boleh diterimanya.”

Jadilah pemimpin yang murah hati – selalulah memberi kepada orang lain.

Ikutilah www.leaderonomics.com/bm untuk artikel, podcast dan video kepimpinan yang pasti membantu kembara kepimpinan anda! Untuk maklumat lanjut, sila e-mel [email protected]

Sumber

  • oleh
  • Siapa Lipat Payung Terjun Anda?

    Baru-baru ini saya membaca tentang pengalaman ngeri seorang juruterbang jet Tentera Laut Amerika Syarikat, Charles Plumb. Dalam misi kombat ke-75nya, pesawatnya terhempas akibat terkena tembakan peluru berpandu dari tanah-ke-udara.

    Dia berjaya melepasi diri dengan payung terjun tetapi tertangkap dan menghabiskan enam tahun dalam penjara komunis Vietnam. Bagaimanapun, dia terselamat dan kini mengajar tentang kepimpinan!

    Beberapa tahun kemudian, seorang lelaki terserempak dengan Plumb di sebuah restoran lalu berkata: "Anda Charles Plumb! Anda menerbangkan jet pejuang di Vietnam dari pesawat pengangkut Kitty Hawk! Anda terkena tembakan dan terhempas!”

    "Bagaimana anda tahu semua ini?" tanya Plumb. "Saya yang melipat dan menyediakan payung terjun anda," jawab lelaki itu.

    Plumb terperanjat sekali. Lelaki itu tersenyum dan berkata, “Ia berjaya, kan?” Tanpa berlengah-lengah, Plumb menjawab, "Sudah tentu. Jika tidak, saya tidak akan ada di sini hari ini.”

    Plumb tidak dapat tidur malam itu kerana asyik berfikir tentang lelaki itu. Dia tertanya-tanya sama ada dia pernah berlaku baik terhadapnya semasa mereka sama-sama berkhidmat di tentera.

    Plumb berkhidmat sebagai juruterbang pejuang sedangkan lelaki itu hanya kelasi biasa. Jadi, besar kemungkinan dia tidak terfikir atau memberi perhatian kepada kelasi berpangkat rendah itu.

    Kelasi itu kemungkinan besar menghabiskan masa berjam-jam di bahagian bawah kapal, berhati-hati melilit kain payung terjun dengan tergenggam di tangannya nasib seseorang yang tidak dikenalinya. Apabila Plumb mengenang kembali kejadian itu, dia bersyukur mempunyai teman sepasukan yang begitu berhati-hati membuat kerjanya.

    Siapakah yang melipat payung terjun anda setiap hari?

    Selepas membaca cerita Plumb, saya pun bertanya diri, “Siapakah yang melipat payung terjun saya?”.

    Setiap hari dunia bisnes dan kehidupan penuh dengan pelbagai cabaran dan kita memerlukan bantuan dan sokongan ramai untuk memastikan ‘payung terjun’ kita berfungsi dengan baik pada saat-saat yang penting. Contohnya, memastikan bahawa slaid powerpoint tersiap dengan sempurna, dokumen usul cadangan kepada pelanggan utama tersusun dan terjilid dengan baik, atau memastikan produk berfungsi dengan baik.

    Setiap orang saling bergantung kepada orang lain dalam sesebuah pasukan untuk menyediakan apa yang diperlukan untuk hari tersebut. Dunia bisnes hari ini melibatkan seribu sesuatu, justeru itu adalah mustahil untuk kita menguruskan semua aktiviti harian yang berkaitan secara sendirian.

    Namun, ramai di antara kita tidak pernah berfikir tentang pasukan kita yang telah menyokong kita atau berterima kasih kepada mereka yang "melipat payung terjun kita" setiap hari.

    Richard Branson adalah contoh model seorang pemimpin yang mengasihi dan mementingkan orang lain. Ciri ini jelas kelihatan dalam setiap aspek kepimpinannya. 

    Menurutnya,

    "faktor insan adalah asas kepada kebanyakan kejayaan keusahawanan. Banyak kegagalan terjadi kerana pemimpin bisnes mengetepikan faktor ini."

    Branson menerapkan ini dengan lebih lanjut; keseluruhan model bisnes Kumpulan Virgin berpusat pada orang. Beliau berjaya membangunkan Virgin menjadi salah satu jenama terbesar di dunia kerana beliau bersungguh-sungguh mendengar dan prihatin terhadap orang lain.

    Semasa muda, beliau menerbitkan majalah Student kerana berpendapat bahawa akhbar besar tidak mempedulikan golongan pelajar. Beliau menubuhkan Virgin Records kerana berpendapat bahawa label rekod besar tidak mempedulikan orang-orang muda dan muzik mereka memandangkan mereka dikenakan bayaran harga yang terlalu tinggi. Beliau melakukan yang sebaliknya dan sangat prihatin terhadap orang ramai.

    Beliau menubuhkan Virgin Atlantic kerana beliau kecewa dengan perkhidmatan dalam penerbangan yang buruk dan beliau mahu mengubah pengalaman itu. Menurutnya, "Adalah penting untuk memiliki personaliti yang mengambil berat tentang orang. Anda tidak boleh menjadi pemimpin yang baik melainkan anda pada umumnya sukakan orang. Inilah caranya bagaimana anda mencungkil yang terbaik dalam mereka.”

    Pada tahun 1990, British Airways (BA) melancarkan kempen sulit dengan pekerja terpilih mereka yang dipanggil ‘Helpliners’ untuk mengodam sistem komputer Virgin Atlantic dalam usaha mencuri penumpang Virgin. “Helpliners” BA mengambil tindakan yang agak melampau lagi -- mereka menelefon penumpang Virgin dan berbohong bahawa penerbangan mereka telah dibatalkan dan mereka perlu menempah semula penerbangan mereka dengan BA.

    Perkara ini berlaku selama beberapa bulan sebelum Branson menyedari apa yang sedang berlaku. Branson menyaman BA yang kemudian membuat keputusan untuk menyelesaikan kes tersebut dengan membayar £500,000 kepada Branson, £110,000 lagi untuk Virgin dan £3 juta untuk kos perundangan.

    Apakah yang Branson lakukan dengan wang penyelesaian itu? Beliau berkongsi pampasan itu (memanggilnya “bonus daripada BA”) dengan tenaga kerjanya, memastikan bahawa semua orang mendapat manfaat daripada "kemenangan" tersebut sebagai ucapan terima kasih kerana telah berjuang keras bagi Virgin. Adakah anda kenal pemimpin seperti Branson yang tidak segan ‘berkongsi kejayaan’ dengan pasukan mereka?

    Branson telah menyemai benih kepercayaan dengan menunjukkan rasa terima kasihnya. Branson kenal “mereka yang melipat payung terjunnya” dan meluangkan masa untuk mengiktiraf para pekerjanya. 

    Beliau berkongsi rahsia bahawa anda boleh sentiasa menunjukkan penghargaan dan rasa syukur kepada pekerja-pekerja sekiranya anda mendengar dengan baik, selalu memuji “mereka yang melipat payung terjun” atas usaha baik mereka, dan jangan sesekali mengkritik mereka di khalayak umum.

    Beliau menambah, "Untuk menjadi seorang pemimpin yang baik, anda perlu menumpukan perhatian untuk mencungkil yang terbaik dari dalam pekerja anda. Manusia tidak banyak berbeza daripada bunga - mereka perlu dijaga dan disiram sepanjang masa. Jika tidak mereka akan layu dan mati. Ini benar, tidak kira sama ada seseorang itu pengendali papan suis atau pengerusi syarikat”.

    Prihatin terhadap mereka yang melipat payung terjun anda

    Adakah anda benar-benar mengambil berat tentang mereka yang 'melipat payung terjun’ anda? Atau adakah anda hanya peduli hasil daripada kerja yang diamanahkan kepada mereka? Para pekerja bukan sekadar sumber kerja dalam bisnes anda; mereka adalah bisnes anda!

    Bisnes yang berkesan bukan tentang produk, perkhidmatan, rantaian bekalan atau pelan bisnes yang hebat. Ia sebenarnya adalah tentang sekumpulan orang yang bersemangat dan terangsang, yang dikenal sebagai tenaga kerja yang melaksanakan perancangan bisnes anda dengan baik.

    Jose Mourinho, salah seorang jurulatih yang paling berjaya di dunia, benar-benar percaya bahawa semua pekerjaan adalah penting.

    Semasa bertugas sebagai jurulatih pasukan bola sepak Chelsea, beliau melayan tukang pembersih (seorang perempuan) dengan penuh hormat dan syukur seperti mana beliau melayani Didier Drogba, bintang pemain mereka.

    Mourinho sedar bahawa jika seorang ahli pasukannya tidak berkesan menjalankan peranannya, keseluruhan pasukan akan menderita dan beliau akan “gagal”. Justeru itu, beliau memastikan bahawa setiap seorang dalam pasukannya menunjukkan rasa penghargaan kepada setiap yang lain dalam “keluarga” tanpa mengira pangkat atau kedudukan masing-masing.

    Sebagai pemimpin, saya amat terhutang budi dan berterima kasih kepada setiap seorang yang saya berpeluang untuk bekerja dengan pada setiap hari. Jadi, bagaimanakah saya boleh menunjukkan rasa terima kasih kepada mereka? Dengan mengucapkan “terima kasih”.

    Hormati tenaga kerja anda, dan iktirafkan komitmen dan sumbangan mereka sepanjang tahun. Kebanyakan kita mengucapkan terima kasih cuma sekali setahun, barangkali semasa majlis makan malam tahunan. Kajian menunjukkan bahawa untuk mencapai keberkesanan yang berpatutan, kita harus kerap mengucapkan terima kasih.

    "Jika anda tidak melakukannya sekerap mungkin, anda tidak akan menikmati manfaatnya." kata Profesor Lyubomirsky, "Ia adalah seperti anda hanya pergi ke jimnasium setahun sekali. Apa kebaikan yang anda akan peroleh jika berbuat demikian?"

    Tetapi apabila beban kerja semakin bertimbun dan tarikh penamat kian menghampiri, kita akan mudah naik angin. Pada masa-masa seperti ini, saya teringatkan satu tanggapan mudah: Layanilah tenaga kerja anda bagaikan mereka sukarelawan.

    Saya sedar bahawa tenaga kerja di Leaderonomics, terutamanya mereka yang berprestasi tinggi, boleh meninggalkan jawatan mereka pada bila-bila masa. Kemahiran dan kepakaran mereka amat diperlukan pasaran. Jadi, yang penting bukan hanya membayar gaji yang kompetitif tetapi juga memastikan bahawa mereka sedar mereka sangat dihargai.

    Dalam kerja kemasyarakatan, kenyataan sebaliknya adalah benar. Anda perlu "melayani sukarelawan anda seolah-olah mereka adalah pekerja-pekerja anda." Di banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO), tenaga sukarelawan sangat penting tetapi sering terlepas pandang apabila keputusan-keputusan penting dibuat, menyebabkan mereka merasa tidak dihargai dan diperkecilkan.

    Pelajaran yang penting bagi kita adalah untuk terus mengingatkan diri bahawa semua orang patut dihormati dan dihargai sumbangan yang mereka buat.

    Rasa terima kasih adalah penting

    Kajian menunjukkan bahawa rasa terima kasih menghasilkan manfaat besar termasuk kesihatan baik dan kebahagian kepada yang memberi, serta optimisme dan daya tenaga kepada yang menerima. Tambahan, ahli psikologi Dr Robert Emmons menyimpulkan bahawa mereka yang selalu berterima kasih akan kurang berasa iri hati dan sakit hati, tidur dengan lebih nyenyak, lebih banyak bersenam dan mengalami penurunan dalam tekanan darah.

    Ahli psikologi David DeSteno mendapati bahawa "rasa berterima kasih menyebabkan orang untuk bertindak dengan cara yang lebih mulia atau tidak mementingkan diri sendiri." Ini bermakna jika anda sentiasa menunjukkan rasa terima kasih kepada mereka yang 'melipat payung terjun' anda, mereka pula akan terdorong untuk memberi lebih daripada diri mereka tanpa mementingkan diri sendiri kepada anda.

    Terdapat banyak cara untuk menunjukkan rasa terima kasih. Kunci utama adalah anda harus mengambil masa untuk berbuat demikian. Kita mudah lupa.

    Henry Ford terpilih sebagai 'Ahli Perniagaan Abad ke-20' oleh majalah Fortune. Ford sangat taksub membantu orang dan ingin melihat orang ‘miskin’ juga mampu memiliki kereta. Beliau akhirnya berjaya mencapai hasratnya dengan mengurangkan harga kereta kepada $950 sebuah (kereta termurah di dunia).

    Ketika kebanyakan orang yang menjual produk 'murah' akan cuba memotong kos, terutamanya gaji, Henry Ford pula melakukan yang sebaliknya. Beliau membayar para pekerjanya gaji tertinggi di negara itu. Semua orang mahu bekerja dengan Ford.

    Sebagai langkah tambahan untuk benar-benar mengucapkan terima kasih dan menunjukkan penghargaan kepada para pekerjanya, Ford mengurangkan masa bekerja daripada 9 hingga 10 jam sehari kepada 8 jam sehari, tanpa memotong gaji mereka.

    Apabila anda berterima kasih kepada tenaga pekerja anda, ia akan meningkatkan keyakinan diri mereka. Sekiranya anda mengimbas kembali, anda akan teringat beberapa orang pemimpin yang telah menginspirasikan dan mendorong anda dengan galakan dan rasa terima kasih mereka. Anda perlu juga berbuat sedemikian. Yang terbaik sekali ialah pemimpin yang berasa terima kasih jarang murung. Ini kerana anda tidak mungkin murung dan berterima kasih pada masa yang sama.

    Rasa terima kasih mudah berjangkit. Apabila anda menceriakan hari orang lain dengan ucapan terima kasih, ia akan mengukir senyuman di wajah mereka. Ketua Pegawai Eksekutif Starbucks, Howard Schultz, membina empayarnya berasaskan ini. Starbucks ditubuhkan kerana bapa Schultz telah dilayani dengan teruk oleh majikannya dan Schultz mahu membina sebuah syarikat yang mengambil berat tentang hal-ehwal setiap pekerjanya, termasuk mereka yang bekerja secara sambilan di sana.

    Falsafahnya adalah “Pedulikan orang lebih daripada mereka fikir berpatutan.” Para pekerjanya turut dijangkiti sikap penyayang dan positifnya, sama ada secara sengaja atau tidak sedar. Dan mereka pula mula memperlakukan sedemikian kepada pelanggan mereka. Hasilnya, perniagaan Starbucks mula meningkat.

    Akhir kata

    Adakah anda masih terhutang rasa terima kasih kepada sesiapa dalam pasukan anda? Binalah sikap mengakui dan menghargai sumbangan orang lain. Tenaga kerja adalah nadi sesebuah syarikat. Mereka perlu dihargai dan sekali-sekala diraikan.

    Jadi, pergilah dan ucapkan terima kasih kepada rakan-rakan sekerja anda. Anda akan terkejut dengan kesan positif dua perkataan kecil ini ke atas seseorang. Jadilah seorang pemimpin yang berterima kasih!

    Roshan Thiran ialah Ketua Pegawai Eksekutif Leaderonomics. Anda boleh menghubunginya melalui e-mel [email protected] atau media sosial  Facebook, LinkedIn atau Twitter @lepaker

    Ikutilah www.leaderonomics.com/bm untuk artikel, podcast dan video kepimpinan yang pasti membantu kembara kepimpinan anda! Untuk maklumat lanjut, sila e-mel [email protected]

    Sumber

  • oleh
  • Strategi Kasih Dalam Kepimpinan Yang Unggul

    "Kasih itu sabar; kasih itu murah hati; ia tidak cemburu. Ia tidak memegahkan diri dan tidak sombong. Ia tidak melakukan yang tidak sopan dan tidak memburu kepentingan sendiri. Ia tidak cepat marah dan tidak menyimpan kesalahan orang lain. Kasih tidak bersukacita kerana ketidakadilan, ia gembira meraikan kebenaran. Kasih tidak pernah berputus asa, tetapi percayakan segala-galanya, berharap akan segala-galanya, terus-menerus menanggung segala-galanya. Kasih tidak pernah gagal." - Paulus dari Tarsus  

    Apabila suasana kasih menyelubungi Hari Valentine, saya terkenang masa saya berada di apartmen lama saya di Dallas yang terletak berhampiran Love Field, pangkalan syarikat penerbangan 'cinta', Southwest. Identiti diri pita Southwest di Bursa Saham New York adalah “LUV”. Southwest adalah syarikat penerbangan terbesar dan satu-satunya syarikat yang meraih keuntungan dengan konsisten walaupun sewaktu melalui masa huru-hara. Model kejayaan Southwest telah memberi inspirasi kepada banyak organisasi termasuk AirAsia.

    Yang menakjubkan sekali ialah pengasas dan mantan pemimpin Southwest, Herb Kelleher, membina bisnesnya atas dasar kasih. Pada penghujung kerjayanya, Kelleher berkata kasih adalah penyebab keunggulan Southwest.

    “Jika anda inginkan kejayaan yang berterusan untuk bisnes anda, layani pekerja-pekerja anda seperti keluarga dan Pimpinlah Dengan Kasih.”

    Kelleher melantik Colleen Barrett, yang memulakan kerjayanya sebagai seorang setiausaha undang-undang, sebagai penggantinya, kerana “beliau tahu bagaimana untuk mengasihi orang untuk mencapai kejayaan”. Menurut Barrett, beliau menghabiskan 85% daripada masanya bersama-sama tenaga kerja. Kelleher menambah, "... penerapan kasih sayang merupakan ramuan yang penting, tetapi sering diabaikan dalam mana-mana suasana bisnes”.

    Ini adalah sesuatu yang menarik. Jarang sekali kasih ditonjolkan sebagai kecekapan kepimpinan. Namun, kekurangan kasih pada umumnya mengakibatkan kegagalan dalam kepimipinan.

    Kita mahu pelanggan kita mengasihi kita dan produk kita. Kita mahu pekerja kita mengasihi pekerjaan dan syarikat mereka. Namun, apabila kita bercakap mengenai kepimpinan, kita mengabaikan unsur kasih. “Ia mungkin kedengaran sedikit pelik,” kata Ken Blanchard, pakar kepimpinan, "tetapi salah satu kunci kepimpinan yang berkesan adalah mengasihi semua orang yang anda pimpin.”

    Jadi, kenapakah kasih selalu diabaikan? Ini mungkin kerana kasih biasanya disalahsamakan dengan seks, kecantikan dan bentuk fizik, justeru itu menjadikannya kurang sesuai diperbualkan dalam suasana organisasi. Tambahan pula, kasih adalah sesuatu yang tidak dapat diterangkan, menyebabkan para pemimpin berasa ragu-ragu. Kebanyakan pemimpin bimbang berbicara mengenai kasih kerana percaya ia berkaitan dengan memberi pelukan, bercakap dengan lemah-lembut atau seolah-olah berpegang tangan mengelilingi unggun api sambil menyanyi lagu “Rasa Sayang”.

    Tetapi apa yang dimaksudkan oleh Kelleher apabila beliau berkata "memimpin dengan kasih" ialah benar-benar mengambil tahu, melayani dan mengasihi pekerja dan pelanggan kita. "Kami tidak pernah menamatkan perkhidmatan pekerja kami,” kata Kelleher. "Pekerja kami tahu bahawa jika mereka sakit, kami akan menjaga mereka. Jika mereka mengalami peristiwa-peristiwa yang sedih atau gembira, kami pasti akan bersama mereka. Kami menghargai mereka sebagai insan, bukan alat atau mesin," tambahnya.

    Kelleher benar-benar mengasihi para pekerja dan pelanggannya. Beliau mengenali mereka semua dan nama mereka masing-masing. Beliau juga mengambil berat tentang kesejahteraan mereka tanpa meletakkan diri atas segala-galanya.

    Walaupun Southwest adalah syarikat penerbangan kos rendah tetapi gaji tenaga kerjanya adalah setaraf dengan syarikat penerbangan lain. Dan kerana produktiviti pekerja mereka kekal di tangga tertinggi, ia boleh menawarkan tiket pada harga yang rendah.

    Juruterbang Southwest menghabiskan lebih banyak masa di udara berbanding masa di darat. Pesawat-pesawatnya boleh terbang semula dalam masa 20 minit berbanding penerbangan lain yang bergelut dengan hal ini. Penerbangan jarak dekatnya lebih jimat tenaga berbanding penerbangan jarak jauh kebanyakan syarikat penerbangan yang besar. Oleh kerana pemimpin Southwest mengasihi pekerja mereka dan mempunyai strategi ‘kasih’, pekerja mereka selalu menjalankan tugas mereka dengan baik.

    Satu lagi contoh pengamal kasih yang berjaya ialah Mark Cuban, pemilik Dallas Maverick NBA. Oleh kerana beliau selalu berusaha memberi kasih penuh kepada pelanggan-pelanggannya, Mark kini adalah seorang jutawan. Apabila timbul sebarang sesuatu yang berkaitan dengan pelanggan-pelanggannya, Mark dengan bersungguh-sungguh akan memastikan bahawa pelanggan-pelanggannya berasa gembira dan puas hati walaupun ini mungkin bermakna beliau dan tenaga kerjanya perlu bekerja 24 jam untuk berbuat demikian.

    Strategi kasih untuk bisnes

    Menurut Patch Adams, seorang pakar 'kasih', setiap organisasi memerlukan 'strategi kasih' kerana ia memberikan Pulangan untuk Pelaburan (ROI) yang lebih baik daripada apa-apa bentuk pelaburan yang lain. Penyelidikan terbaharu menunjukkan bahawa pemimpin yang menggabungkan kasih ke dalam pekerjaan mereka lebih berjaya daripada mereka yang memimpin dengan mempergunakan ketakutan.

    Pemimpin yang hebat didorong oleh kasih - mereka mengasihi apa yang mereka lakukan dan orang yang bekerja dengan mereka. Indra Nyooyi, Ketua Pegawai Eksekutif PepsiCo, mencipta semula Pepsi dengan memberi nafas baru kepada soal-soal berhubung kemanusiaan dan alam sekitaran, justeru itu mendorong PepsiCo menjadi “syarikat hijau” iaitu organisasi yang mementingkan perihal persekitaran.

    Kebanyakan pemimpin bisnes enggan menerima kasih sebagai strategi bisnes kerana mereka sudah biasa percaya bahawa kepimpinan bermaksud bersikap gagah, agresif dan tidak menjalin persahabatan dengan rakan sekerja. Mereka percaya kasih adalah untuk yang pengecut dan sekiranya mereka berbaik-baik dengan rakan sekerja, mereka akan dianggap sebagai pemimpin yang lembut dan ini akan mengakibatkan mereka kehilangan cengkaman kepimpinan.

    Tidak ada apa-apa yang lebih jauh daripada kebenaran. Pemimpin yang mengasihi pekerja-pekerja lebih cenderung mendorong mereka untuk melaksanakan kerja yang sesuai dengan potensi masing-masing dan dengan diberi maklum balas yang jujur. Mereka secara konsisten akan menaikkan garisan kecemerlangan, sama seperti seorang ibu atau bapa yang sukakan apa yang dilakukan oleh anak-anak mereka, mendisiplinkan mereka dan memastikan anak-anak mereka tabah menghadapi kesukaran supaya mereka boleh belajar dan berkembang.

    Milton Mayeroff percaya bahawa kasih adalah “promosi pertumbuhan orang lain tanpa mementingkan diri kita sendiri”.

    Kasih adalah tindakan

    Kasih bukan apa yang anda katakan atau rasakan tetapi apa yang anda lakukan. Kepimpinan Mahatma Gandhi didorong oleh kesungguhan dan tindakan. Beliau hidup dengan merendahkan diri kerana beliau mengasihi orang lain dan mahu melibatkan diri dengan semua lapisan masyarakat.

    Kasih adalah tindakan. Kasih membawa kepada pemikiran yang positif; pemikiran kepada kata-kata dan kata-kata kepada tindakan. Emosi yang negatif boleh memusnahkan sesebuah organisasi. Humberto Maturana, seorang ahli biologi yang terkenal, menyatakan bahawa kasih adalah satu-satunya emosi manusia yang secara konsisten menghasilkan tindakan yang produktif dan bijak. Pemimpin tidak boleh mengabaikan perasaan kerana kepimpinan adalah emosi yang berurusan dengan impian, semangat, inspirasi dan kasih.

    Tetapi bertentangan dengan kasih adalah kebencian. Kebencian memaparkan diri melalui ketakutan. Ketakutan mengekang perilaku. Kasih pula membebaskannya. Ketakutan membendung keusahawanan, melemaskan kreativiti, dan menghalang orang daripada meregang dan berkembang. Ketakutan mendorong pematuhan tetapi tidak mendorong komitmen.

    Malangnya, kebanyakan amalan kepimpinan kita mendorong ketakutan dan ini sudah sedia berakar umbi dalam struktur serta budaya kerja kita.

    Kasih membawa kejayaan

    Jurulatih legendaris bola keranjang, John Wooden, yang memegang rekod 10 anugerah NCAA, menganggap kasih sebagai "perkara yang paling berkuasa pernah wujud.” Kasih membekal tenaga kepada kerjayanya sebagai jurulatih. Beliau berkata, "Pemain anda mesti tahu bahawa anda mengambil berat tentang mereka lebih daripada sekadar sebagai atlet. Mereka memang tahu mereka ada di sana kerana keupayaan keolahragawan mereka. Tetapi apabila mereka berada di bawah pengawasan anda, maka terpulanglah kepada anda untuk memastikan bahawa mereka tahu anda mengambil berat tentang mereka sebagai individu. Saya tidak pernah mempunyai seorang pun yang saya tidak kasihi.”

    Wooden pasti belajar ini daripada Seni Perang (The Art of War) Sun Tzu - "Dia yang mengasihi mereka sebagai anak-anak sendiri akan merangsangkan mereka supaya terus berjuang bersama biarpun sampai ke lembah yang paling dalam.”

    Kajian menunjukkan bahawa kasih lebih berkesan dalam memacu perubahan budaya organisasi daripada kenyataan berwawasan atau matlamat yang cemerlang. Malah pemimpin yang tegas seperti Rudy Giuliani, mantan Datuk Bandar Bandaraya New York, juga percaya bahawa “jangan jadi pemimpin jika anda tidak mengasihi orang."

    Dalam mengkaji pemimpin yang berjaya, kami mendapati bahawa kejayaan sesebuah organisasi adalah didorong oleh kualiti hubungan kasih dalam organisasi berkenaan. Hubungan kasih ini dilihat melalui pemaparan tingkah laku seperti belas kasihan, komitmen, mengambil berat, kebaikan, refleksi, gerak hati, keterangkuman dan pengampunan.

    Seorang pemimpin yang terkemuka, John Hope Bryant, yang merupakan pengasas Operasi HOPE, percaya terdapat empat hukum kepimpinan berasaskan kasih untuk bisnes:

    • Ketakutan melumpuhkan. Memimpin dengan mempergunakan ketakutan adalah cara yang kuno dan melumpuhkan. Kasih sayang adalah penawar untuk ketakutan.
    • Kasih menguntungkan. Hubungan kasih yang terjalin dengan pelanggan dan pekerja akan memanfaatkan semua orang dalam jangka panjang.
    • Keterbukaan diri adalah kuasa. Apabila anda mengamalkan sikap terbuka dengan orang lain, mereka juga akan berbuat sedemikian dengan anda.
    • Memberi adalah menerima. Memberi akan mengilhamkan kesetiaan dan memberikan kekayaan sebenar.

    Rockefeller yang dianggap sebagai orang terkaya pernah hidup dimotivasi oleh kasih dan percaya bahawa adalah lebih hebat untuk memberi daripada menerima. Orang lain tertarik kepadanya kerana beliau suka memberi. Beliau kemudian menggunakan kekayaannya untuk membina universiti dan membiayai pelbagai usaha murni.

    Kasih dalam tentera

    Sesuatu yang menghairankan ialah tahap kepercayaan yang tinggi terhadap pemimpin-pemimpin tentera. Kebanyakan orang menyangka ketakutan adalah gaya kepimpinan yang dominan tetapi menurut kolonel bersara Scott Snook, ia sebenarnya adalah kasih. Tambahnya, "kasih yang mendalam dan rasa hormat terhadap seseorang komrad” adalah sifat yang paling penting dalam medan pertempuran.

    Pakar-pakar sosiologi Shils dan Janowitz telah menjalankan kajian untuk memahami kenapa askar-askar berjuang sehingga mati. Kesimpulan mereka adalah seorang askar akan terus berjuang bermati-matian walaupun mereka telah kalah dalam pertempuran "selagi dia memberi kasih kepada dan menerima kasih daripada ahli-ahli lain dalam skuadnya."

    Askar-askar saling kasih-mengasihi dan bersedia untuk mengorbankan nyawa untuk satu sama lain. Jika kasih boleh menjadi batu uji kepimpinan dalam kerjaya yang penuh keganasan seperti tentera, mengapa ia tidak boleh diterapkan dalam dunia bisnes?

    Snook menambah, bahkan semasa latihan ketenteraan di West Point, kasih tetap ditekankan secara berterusan: Kasih terhadap negara, kasih terhadap rakan sekelas dan kawan-kawan, kasihi pegawai-pegawai yang anda bakal berkhidmat dengan, serta kasihi askar-askar yang suatu hari nanti anda akan pimpin. Komander yang hebat mengasihi askar-askar mereka dan mengutamakan kesejahteraan mereka.

    Akhir kata

    Berikut adalah tujuh soalan untuk membantu anda memupuk kasih sayang dalam organisasi anda, dan memulakan perjalanan sebagai pemimpin yang berasaskan kasih:

    • Bilakah kali terakhir anda melakukan sesuatu kebaikan yang tidak disangka-sangka untuk seseorang di tempat kerja?
    • Bilakah kali terakhir anda mengucapkan terima kasih atau mengiktiraf seseorang untuk usaha istimewa yang mereka lakukan bagi syarikat anda?
    • Siapakah yang anda terlepas pandang untuk mengucapkan terima kasih atas usahanya yang amat berguna terutama sekali dalam menolong anda baru-baru ini?
    • Siapakah yang telah membuat kerja tambahan (contohnya bekerja lewat atau melakukan kerja di luar batas tanggungjawabnya) yang anda telah terlepas pandang?
    • Apakah perkara yang anda boleh lakukan dengan lebih kerap untuk meningkatkan suasana "kasih” di tempat kerja anda?
    • Apakah tindakan yang boleh anda ambil untuk benar-benar 'mengasihi' pelanggan anda? (Bukan tindakan yang bermotifkan alasan-alasan bisnes dan pemasaran)
    • Apakah yang boleh anda lakukan untuk membawa keriangan dan kegembiraan di tempat kerja?

    Tentera unggul Mejar Jeneral John Stanford, yang dikenali kerana kesetiaan luar biasanya terhadap angkatan tenteranya, mendakwa bahawa, "Kunci kepada kejayaan adalah hidup dengan penuh kasih sayang. Perasaan ini akan merangsangkan anda untuk menggalakkan orang lain. Seseorang yang tidak mengenali kasih tidak akan berasa keseronokan yang membantunya untuk memimpin orang lain. Saya tidak tahu apa-apa rangsangan lain atau sebarang apa pun yang lebih menyeronokkan dan positif selain daripada rasa kasih.”

    Ramai di antara kita semestinya masih ingat akan kegembiraan yang mengasyikkan semasa kita jatuh cinta dan bercinta. Kita memerlukan tenaga seperti itu di tempat kerja kita juga. Kepimpinan adalah suatu urusan hati.

    Kasih bermula dengan anda. Anda perlu tanya diri dan memutuskan bahawa pekerja dan organisasi anda berhak mempunyai pemimpin yang berani dan yang mengasihi mereka.

    ####

    Roshan Thiran ialah Ketua Pegawai Eksekutif Leaderonomics. Anda boleh menghubunginya melalui e-mel [email protected] atau media sosial  Facebook, LinkedIn atau Twitter @lepaker

    Ikutilah www.leaderonomics.com/bm untuk artikel, podcast dan video kepimpinan yang pasti membantu kembara kepimpinan anda! Untuk maklumat lanjut, sila e-mel [email protected]

    Sumber

  • oleh
  • Luangkan Masa Untuk Merenung

    Beberapa tahun yang lepas, saya terdengar cerita tentang seorang pekerja pembinaan yang sudah lanjut usia. Pekerja itu ingin berhenti kerja dan memberitahu demikian kepada majikannya. Kerana dia seorang pekerja yang cemerlang, majikannya amat sedih. Sebagai permintaan peribadi terakhir, majikannya meminta pekerja itu untuk membina sebuah rumah untuknya.

    Pekerja itu bersetuju tetapi hatinya agak berat untuk melakukannya. Dia tiada lagi semangat untuk membuat kerja. Biarpun itu, dia terus membina rumah itu tetapi tanpa mempedulikan mutu kerja yang dihasilkan. Dia menggunakan bahan-bahan yang bermutu rendah, dan mengambil jalan pintas untuk menyiapkan kerjanya.

    Apabila rumah itu siap, majikannya menyerahkan kunci rumah tersebut kepadanya dan berkata, “Rumah ini milikmu. Ia adalah hadiah saya kepadamu.” Pekerja tersebut terkejut dan menyesal kerana dia tidak berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk membina rumah itu. Kalaulah dia tahu yang dia sedang membina rumah sendiri, dia pasti akan membinanya dengan sebaik mungkin.

    Sikap endah tak endah menular

    Bukankah itu sama dengan kita? Seringkali kita bekerja keras tetapi selepas beberapa waktu, kita menjadi endah tak endah. Sikap kita mula berubah tetapi kita memujuk diri dengan berkata itu tidak penting. Tetapi dalam kebanyakan kes, ia sebenarnya sangat penting.

    Setiap hari kita membina kehidupan kita, sedikit demi sedikit. Tiap-tiap hari adalah penting kerana kita sedang membina bangunan kehidupan kita. Semasa saya bekerja dengan General Electric (GE), orang sering bercakap tentang “rumah yang dibina oleh Jack”. 

    Dengan penuh kesungguhan, Jack Welch membina asas GE selama 20 tahun, kemudian bilik-bilik, bumbung dan akhirnya menyiapkan pemulihan organisasi yang sungguh luar biasa. Ini melibatkan banyak kesabaran dan masa serta tempoh bertahun-tahun lamanya.

    Apabila kita gagal mendapat kenaikan pangkat yang kita idamkan, ataupun kita gagal mencapai apa yang orang lain ada, kita berasa terkejut. Mungkinkah ini kerana rumah yang kita bina tidak mempunyai asas yang kukuh ataupun bahan yang berkualiti? Kita perlu ingat bahawa yang penting bukan prestasi tahun lepas atau urus janji minggu lepas yang diambil kira, tetapi keberkesanan yang terkumpul pada setiap hari.

    Jadi, bagaimanakah kita memastikan kita hidup dengan efektif setiap hari? Berdasarkan kajian kami, ia memerlukan keseimbangan antara tindakan dan renungan. Biarpun kebanyakan pemimpin lebih cenderung bertindak tetapi mereka yang berjaya adalah yang mengimbangi tindakan dan renungan, meluangkan masa setiap hari untuk bersendirian supaya dapat bertindak dengan efektif.

    Pemimpin yang tidak efektif

    Kebanyakan pemimpin mengeluh mereka selalu kesuntukan masa. Tetapi jika kita memerhatikan aktiviti mereka, kita akan mendapati bahawa sepanjang hari mereka asyik sibuk bermesyuarat, asyik menoleh telefon bimbit, pandai mengelakkan diri daripada bersemuka dengan masalah atas alasan mereka sedang membuat kerja yang lebih penting.

    Selama 10 tahun, Bruch dan Ghoshal memerhati tingkah laku pengurus yang sibuk, dan kesimpulan mereka adalah berikut: 90% daripada pengurus membazir masa dalam pelbagai aktiviti dan tindakan yang tidak efektif sementara 10% yang lain menggunakan masa mereka dengan cara yang komited, penuh keazaman dan renungan. Mereka yang tergolong dalam 10% ini selalunya dikelaskan sebagai pemimpin-pemimpin yang hebat.

    Lebih parah lagi, ahli psikiatri John Diamond mendapati bahawa 90% orang “membenci pekerjaan mereka”. Mereka masuk kerja tetapi tidak sabar untuk pulang. Perbezaan di antara pemimpin yang meminati pekerjaan mereka dengan yang tidak adalah pemimpin ini mengambil masa setiap hari untuk menyegarkan diri dan memberi tumpuan melalui renungan.

    Merenung 

    Amalan merenung wujud sejak berabad-abad yang lalu dan kuat diamalkan oleh pelbagai institusi termasuk samurai Jepun. Benjamin Franklin, salah seorang idola kepimpinan saya, mengamalkan renungan sistematik sebagai asas kehidupannya. Setiap hari beliau akan menilai kepimpinannya mengikut 13 sifat baik yang disenaraikannya.

    Bukan sesuatu yang mudah membuat penilaian jujur ke atas diri sendiri. Kita mesti sanggup berhadapan dan mengakui semua kesilapan, kegagalan dan kelemahan kita. Albert Schweitzer, pemenang anugerah Nobel, percaya renungan adalah kritikal kepada kepimpinan kerana ia membenarkan anda untuk “mempertimbangkan perkara-perkara yang anda terlepas pandang”.

    Salah satu langkah penting dalam program Alcholics Anonymous (kumpulan penagih alkohol tanpa nama) adalah para peserta dikehendaki membuat inventori dan penilaian jujur ke atas diri sendiri. Steve Jobs pergi ke India untuk membuat renungan tentang hidupnya sebelum beliau mengasaskan Apple.

    Di dalam bisnes, renungan memberi peluang untuk mempertimbangkan kesan-kesan yang dihasilkan oleh perkhidmatan anda dan cara yang boleh diambil untuk meningkatkan lagi mutu perkhidmatan anda. Bisnes anda akan kian berkembang apabila anda membuat renungan ke atas diri sendiri.

    Jadi, apakah yang dicapai oleh seseorang melalui renungan dan berfikir secara mendalam? Tindakan produktif bergantung kepada gabungan tiga ciri-ciri berikut:

    1. Fokus: kemampuan untuk memberi fokus kepada sesuatu objektif dan membuat tugas itu sampai siap.
    2. Tenaga: Kekuatan berunsurkan komitmen peribadi yang tertumpu.
    3. Pembelajaran: Kebolehan membetulkan kesilapan lama dan memperbaiki diri.

    Fokus tanpa tenaga menyebabkan kepenatan ataupun kelesuan emosi. Tenaga tanpa fokus membawa kepada kesibukan tanpa tentu arah. Tidak belajar daripada kesilapan pula menjamin pengulangan kegagalan yang sama.

    Ketiga-tiga perkara tersebut hanya boleh diperolehi melalui renungan. Mereka yang suka berlengah-lengah selalunya adalah mereka yang mempunyai tahap tenaga dan fokus yang rendah. Pemimpin yang berfokus tinggi tetapi bertenaga rendah tidak akan memberi inspirasi, sebaliknya akan mengetepikan pasukannya. Pengurus yang mempunyai tenaga yang kuat tetapi tiada fokus mengelirukan pekerjanya dengan aktiviti-aktiviti yang kucar-kacir.

    Pengurus yang suka merenung adalah orang yang didorong oleh tujuan dengan tahap tenaga yang tinggi, dan yang belajar daripada kesilapan mereka. Mereka memulakan hari mereka dengan meluangkan masa untuk berenung untuk memastikan pelaksanaan dan tindakan mereka penuh dengan tujuan.

    Fokus

    Confucius pernah berkata, “Orang yang mengejar dua ekor arnab akan kehilangan kedua-duanya!” Di dalam filem Star Wars Episod 1, Qui-Gon berkata kepada Jedi Anakin yang masih muda, “Ingatlah, fokus anda akan menentukan realiti anda.” Ada kebenaran dalam kata-kata hikmah Jedi tersebut. Seseorang yang berfokus biasanya akan mencapai matlamatnya.

    Setelah mengharungi hari yang memenatkan, sekiranya fokus kita dijuruskan kepada betapa penatnya kita, kemungkinan besar kita akan kekal penat dan akhirnya terlantar di hadapan TV. Jika kita mengarahkan fokus kita daripada keletihan kepada kepentingan menjaga kesihatan, kemungkinan besar kita akan bersenam.

    Mudah sekali kita menyimpang dengan adanya pelbagai gangguan seperti TV, internet dan peranti mudah alih yang kita miliki dewasa ini. Semua gangguan ini boleh memesongkan kita dari hala tujuan kita dan melesapkan tenaga kita. Renungan boleh membetulkan itu semua.

    Tenaga dan nyala rasa

    Renungan menjana tenaga dan nyala rasa. Tenaga datang daripada nyala rasa. Nyala rasa pula terjana dengan sendiri kerana anda boleh memotivasikan diri untuk menjadi teruja dengan apa yang anda lakukan.

    Pengarang Bill Strickland menulis: “Nyala rasa tidak boleh ditepis. Ia adalah idea-idea, harapan dan segala kemungkinan yang secara semula jadi menarik perhatian dan fikiran anda, iaitu perkara-perkara yang membuat anda menumpukan masa dan fokus anda.”

    Strickland percaya bahawa hanya dengan mengikuti nyala rasa, barulah anda mampu membuka kunci potensi sebenar anda. “Saya tidak pernah menikmati kehidupan yang penuh makna jika bukan kerana nyala rasa. Dan saya tidak pernah menemui seseorang yang hidup dengan penuh semangat yang hidupnya tidak, dalam aspek-aspek penting, luar biasa.”

    Belajar daripada kesilapan

    Renungan membolehkan kita untuk belajar daripada kesilapan. Kita semua melakukan kesilapan – saya sendiri pernah melakukan kesalahan yang teruk pada seseketika masa. Kita semua pernah berada dalam situasi di mana apa yang berlaku itu tidak seperti yang dirancangkan. Tetapi berapa kerapkah kita mengambil masa untuk duduk dan merenung kembali di mana kesilapan kita?

    Kata-kata Plato yang terkenal “kenalilah dirimu” mencadangkan bahawa pemeriksaan diri sepanjang hidup adalah asas kepada pengetahuan. John Dewey berkata:

    “KITA TIDAK BELAJAR DARIPADA PENGALAMAN; KITA BELAJAR DARIPADA MERENUNGI PENGALAMAN.”

    Malah Kolb Learning Cycle adalah berdasarkan kepada kepercayaan bahawa pembelajaran demi mencapai pemahaman sebenar datang daripada rangkaian pengalaman, renungan, keabstrakan dan tindakan. Semua pembelajaran hanya boleh diperolehi melalui renungan.

    Periksa sikap anda setiap hari

    Sekiranya kita ingin menikmati kehidupan yang luar biasa, kita mesti usahakannya dari dalaman dengan menyemai sikap positif setiap hari. Sikap dan pilihan yang anda lakukan hari ini akan membina rumah yang akan anda diami pada keesokan hari. Binalah dengan bijak! Binalah dengan komitmen, kebanggaan, kegembiraan, kasih sayang dan keghairahan.

    Sikap anda mudah berjangkit dan akan menentukan suasana bagi mereka yang ada di sekeliling anda. Sekiranya anda teruja, rakan-rakan sekerja anda juga akan turut teruja. Apabila anda bertenaga, mereka juga turut bertenaga.

    Plato membuka Akademi di Athens ketika berusia 40 tahun, walaupun jangka hayat waktu itu adalah 36 tahun. Beliau mengelola universiti yang pertama itu, melatih Aristotle dan yang lain, sehingga beliau berumur 80 tahun. Mengejar mimpi-mimpi yang positif membekalkan seseorang dengan tenaga yang tinggi dan membawa kepada kehidupan yang diperpanjangkan serta memuaskan.

    ‘Saya tak ada masa untuk merenung!’

    “Saya tidak ada masa untuk membuat renungan.” Ini adalah kenyataan yang lazim diucapkan.

    Persoalannya adalah: Adakah anda mempunyai masa untuk membuat kesilapan yang sama berulang-ulang kali? Ataupun untuk kekal tidak mempunyai fokus, berlari ke hulu ke hilir seperti ayam tidak berkepala? Atau kekurangan tenaga untuk melaksanakan impian anda?

    Saya masih ingat bos lama saya pernah memberitahu saya bahawa saya tidak dibayar untuk duduk berfikir. Apabila mengimbas kembali, nasihat itu barangkali nasihat paling buruk yang pernah saya terima. Pemimpin seharusnya meluangkan sekurang-kurangnya seperempat daripada masa mereka untuk berfikir tentang masa depan syarikat dan membuat renungan tentang masa silam. Ia mungkin kelihatan tidak masuk akal, tetapi ‘kerja sebenar’ hanya boleh dilakukan dengan betul apabila anda mengetahui hala tujuan anda dan mempunyai tenaga untuk sampai ke sana.

    Akhir kata

    Sekiranya kita boleh menghidupkan kembali masa yang berlalu, kita mungkin akan menggunakan cara berbeza danyang lebih baik. Namun masalahnya ialah kita tidak boleh kembali ke masa yang sudah berlalu.  Kita adalah seperti pekerja pembinaan itu. Setiap hari kita menukul paku, menyusun papan, menegakkan tiang dalam karier, keluarga dan kehidupan kita. Adakah kita melakukannya dengan fokus dan tenaga? Adakah kita belajar daripada kesilapan-kesilapan kita untuk menambah baik diri?

    Jika kesungguhan semakin pudar dalam hidup kita dan kita hidup secara auto-kemudi dan kegembiraan hidup semakin lesap, inilah masanya kita berhenti sejenak dan merenungkan kehidupan kita. 

    Socrates, Franklin dan ramai lagi pemimpin hebat yang lain percaya bahawa renungan membawa kepada kehidupan yang produktif dan memuaskan. Dan jangan sesekali katakan bahawa anda tidak ada masa. Lagipun, seperti yang dikatakan Buddha:

    “SEGALA YANG KITA JADI ADALAH HASIL DARIPADA APA YANG KITA FIKIRKAN.”.

    Roshan Thiran ialah Ketua Pegawai Eksekutif Leaderonomics. Anda boleh menghubunginya melalui e-mel [email protected] atau media sosial  Facebook, LinkedIn atau Twitter @lepaker

    Ikutilah www.leaderonomics.com/bm untuk artikel, podcast dan video kepimpinan yang pasti membantu kembara kepimpinan anda! Untuk maklumat lanjut, sila e-mel [email protected]

    Sumber

  • oleh
  • Kembangkan Kecerdasan Otak Anda

    Semasa saya di IMD Switzerland tidak berapa lama yang lalu, saya bertemu dengan seorang penyelidik otak yang bernama Terry Small. Dia mengemukakan satu soalan yang sangat menarik: "Apakah bahagian badan anda yang paling penting untuk kepimpinan?"

    Dengan segera saya menjawab: "Otak." Emosi, intelek, pengetahuan dan kepakaran kita semuanya tersimpan di dalam otak. Dia menjawab: "Tepat sekali!" Kemudian dia bertanyakan soalan kedua: "Jadi, jika otak anda kritikal untuk kejayaan kepimpinan, berapa banyak buku tentang otak yang sudah anda baca?" 

    Saya terdiam. Betul juga katanya. Jika otak sangat penting bagi kepimpinan, mengapa pemimpin tidak lebih berminat untuk mengetahui bagaimana untuk membangun dan mengembangkan otak yang sihat? Dengan itu, bermulalah eksplorasi saya terhadap otak dan kepimpinan.

    Bahagian otak dan fungsi masing-masing

    Otak terlibat dalam semua yang kita lakukan. Dalam buku Primal Leadership: Realizing the Power of Emotional Intelligence (Kepimpinan Primal: Menyedari Kuasa Kecerdasan Emosi), Goleman, Boyatzis dan McKee menunjukkan bahawa biasanya pemimpin-pemimpin dilantik semata-mata atas dasar keupayaan kecerdasan intelek (Intelligence Quotient, IQ) dan teknikal mereka, tetapi mereka kekurangan kecerdasan emosi (Emotional Quotient, EQ) untuk memimpin secara efektif. Mereka berpendapat bahawa pemimpin yang mampu melaksanakan sesuatu dengan baik patut mempunyai kedua-dua tahap EQ dan IQ yang tinggi. Kedua-duanya ada kaitan secara langsung dan dikawal oleh otak. Sistem limbic di dalam otak mengawal emosi, gerak hati dan desakan,  manakala neokorteks (otak berfikir) adalah bahagian di dalam otak yang mengurus IQ, pengetahuan dan pembelajaran.

    Emosi manusia dikawal oleh otak dan merebak secara berkarisma apabila orang berhampiran antara satu sama lain, walaupun tanpa hubungan lisan. Apabila pemimpin mengambil bahagian dan berhubung dengan emosinya, pengikut mereka dengan mudah menjadi harmoni dengan idea-idea pemimpin tersebut, dan akhirnya dapat 'menangkap' perasaan hati pemimpin. Pemimpin yang bertenaga tinggi dan positif seperti Richard Branson dengan mudah memindahkan optimisme mereka kepada pengikut mereka, manakala yang bersifat negatif melemahkan pekerja mereka.

    Sebaliknya, apabila seorang pemimpin merasakan ancaman atau mengalami tekanan, otak mereka bertindak dengan cara yang berbeza dan satu 'rampasan amygdala' (amygdala ialah bahagian otak yang mengesan ketakutan dan bersedia untuk kecemasan) akan berlaku, di mana kita bertindak mengikut gerak hati dan bukannya kewarasan. Seseorang dengan kecerdasan emosi yang tinggi membatalkan rampasan ini tetapi otak yang tidak ‘terlatih’ akan mengakibatkan satu 'rampasan amygdala' dan reaksi menentang kemajuan.

    Baru-baru ini saya telah  menulis tentang 'keberanian kata hati' dan bagaimana kebijaksanaan dan pengalaman hidup kita disimpan oleh otak dan ia boleh diperoleh semula apabila kita menghadapi sesuatu situasi kecemasan yang kompleks. Pemimpin-pemimpin bertaraf dunia belajar untuk membangunkan 'keberanian kata hati' mereka dengan menguruskan bahagian otak yang beremosi yang dikenali sebagai ganglia basal (kumpulan sel saraf yang mengkordinasi gerakan badan).

    Lebih banyak digunakan, lebih tajam ia menjadi

    Menariknya, otak kita sebenarnya menjadi lebih baik jika kita banyak menggunakannya. Sama seperti tubuh kita - lebih banyak anda menggunakannya, lebih lama ia bertahan. 

    Sejak tahun 1986, ahli sains David Snowdon menjalankan kajian ke atas 678 orang biarawati di Mankato memandangkan ramai yang hidup melebihi 100 tahun. Dia mengumpul data, menguji mereka dan membedah otak mereka yang meninggal. Antara penemuan-penemuan Kajian Biarawati ini termasuklah:

    • Kehidupan intelektual yang aktif memanjangkan jangka hayat otak dan melindungi seseorang daripada mengidap penyakit Alzheimer (penyakit penurunan fungsi dan daya ingatan otak).
    • Mereka yang menunjukkan emosi yang paling positif dalam bahasa mereka akan hidup lebih lama.
    • Otak mengekalkan kapasiti untuk berubah dan menjadi lebih kuat walaupun di kalangan orang tua.
    • Mereka yang mengajar dan sentiasa mencabar minda mereka akan hidup lebih lama daripada mereka yang tidak melakukan sedemikian.
    • Ikatan yang kuat membangunkan kecerdasan emosi yang positif yang membawa kepada pemikiran yang lebih tajam.

    Selepas kematian mereka, ahli-ahli sains terkejut melihat bahagian otak yang biasanya kecut mengikut usia tidak berlaku pada otak-otak biarawati Mankato.. Bagaimana biarawati-biarawati ini mampu kekal tajam dan produktif walaupun sudah berumur lebih daripada 100 tahun?

    Para penyelidik mendapati bahawa stimulasi intelektual selama hanya 20 minit sehari boleh merangsang pertumbuhan neuron baharu. Senaman-senaman otak adalah norma bagi biarawati-biarawati ini, yang hidup dengan prinsip bahawa 'minda yang terbiar adalah taman permainan syaitan'. Mereka menulis meditasi kerohanian dalam jurnal, surat-surat kepada ahli-ahli politik dan sering mencabar diri mereka melalui kuiz, teka-teki, dan perbahasan mengenai peristiwa-peristiwa semasa.

    Perubahan dan cabaran mendesak perkembangan otak 

    Otak anda mempunyai kapasiti untuk terus bertumbuh dan berkembang. Otak yang bertumbuh terus menguasai kecekapan-kecekapan kepimpinan - daripada keyakinan diri dan pengambilan keputusan kepada empati dan pujukan, sehingga kepada menjalankan mesyuarat-mesyuarat yang effektif – sampai ia menjadi dengan baik.

    Otak kita hidup berkembang maju dengan adanya perubahan dan cabaran. Tetapi dalam kebanyakan kes, orang menentang perubahan kerana perubahan biasanya mendatangkan kesakitan. Fungsi utama otak adalah untuk memastikan anda hidup dan melawan kesakitan. 

    Secara umumnya, otak menolak kembali apabila diarahkan untuk melakukan apa yang perlu. Hal ini disebabkan oleh homeostasis, iaitu pergerakan organisma ke arah keseimbangan tetapi menjauhi dari perubahan yang diarahkan. Sebaliknya, otak anda akan melepaskan neurotransmiter adrenalin (penghantar neuron atau penghantar impuls)  dengan segera apabila anda memikirkan bagaimana untuk menyelesaikan masalah sendiri dan bukannya diberitahu tentang bagaimana ia  diselesaikan oleh bos anda.

    Apabila saya pulang ke Malaysia lebih 10 tahun yang lalu dan membantu dalam pemulihan sebuah organisasi, salah satu kaedah yang kami kerahkan adalah menjalankan tindakan makmal mini di mana para pekerja diberi peluang untuk menyelesaikan masalah, memberi cadangan dan melaksanakan penyelesaian. Hasil daripada  penglibatan para pekerja yang tinggi, pemulihan berlaku dengan pantas dan bersahaja dalam masa yang singkat.

    Bandingkan hal ini dengan pelbagai cubaan pemulihan apabila ketua pegawai eksekutif datang memerintah dan menentukan terma perubahan. Biasanya, terdapat halangan yang besar terhadap perubahan dan kegagalan. Pemimpin yang memanfaatkan kuasa otak akan memahami keperluan bagi penglibatan dan penyertaan pekerja dalam apa-apa usaha perubahan.

    Empati dan kecerdasan sosial pendekatan kepimpinan ke hadapan

    Ramai pemimpin masih berpegang kepada pepatah lama kepimpinan melalui arahan dan kawalan. Sebaliknya, empati dan kecerdasan sosiallah yang merupakan jalan ke hadapan. Neuron otak yang baru ditemui, yang dipanggil neuron cermin, membolehkan pemimpin mempelajari empati.

    Neuron cermin ditemui secara tidak sengaja oleh pakar sains neuro  Itali ketika memantau otak seekor monyet.  Ia menunjukkan bahawa otak mempunyai neuron yang mencerminkan apa yang orang lain lakukan. "Apabila kita secara sedar atau tidak sedar mengesan emosi orang lain melalui tindakan mereka, neuron cermin kita akan melahirkan emosi tersebut. Secara kolektif, neuron ini mewujudkan perasaan serta-merta tentang perkongsian pengalaman." (Goleman/Boyatzis).

    Selain itu, neuron cermin juga membolehkan emosi dan tindakan pemimpin-pemimpin dicerminkan oleh para pengikut mereka. Memodelkan peranan ini tidak pernah benar-benar difahami sehinggalah penemuan cermin neuron. Jadi, tindakan seorang pemimpin adalah lebih penting daripada kata-katanya. Otak memikirkannya dalam bentuk gambaran dan bukannya perkataan.

    Akhir kata

    Jika anda benar-benar tidak mempunyai masa untuk membangun dan mengembangkan otak anda, sekurang-kurangnya anda perlu menjaga kesihatan otak anda.

    Penyelidikan Terry Small menyimpulkan bahawa dengan hanya memakan beberapa biji prun setiap sehari, anda "mengurangkan risiko menghidap penyakit Alzheimer sebanyak 92%." Otak terdiri daripada 80% air. Oleh itu, banyak meminum air akan mengelakkan otak dehidrasi. Dan mendengar muzik Baroque meningkatkan keupayaan anda untuk belajar sebanyak 25 hingga 400 peratus.

    Seperti anda, saya juga masih baru dalam perjalanan menjelajahi kuasa otak dalam kepimpinan. Sebagai permulaan, apa salahnya membuat pelaburan selama 20 minit untuk melakukan sesuatu di luar kepompong keselesaan anda asetiap hari? Sekurang-kurangnya anda akan mengembangkan beberapa neuron baru!

    Roshan Thiran ialah Ketua Pegawai Eksekutif Leaderonomics. Anda boleh menghubunginya melalui e-mel [email protected] atau media sosial  Facebook, LinkedIn atau Twitter @lepaker

    Ikutilah www.leaderonomics.com/bm untuk artikel, podcast dan video kepimpinan yang pasti membantu kembara kepimpinan anda! Untuk maklumat lanjut, sila e-mel [email protected]

    Sumber

  • oleh
  • Makna Jawapan Anda Semasa Temu Duga

    Apabila penemu duga bertanya soalan semasa sesi temu duga, dia bukan cuma bertujuan mendapat jawapan tetapi juga untuk memahami keperibadian, pengalaman dan pendekatan calon dalam menangani rintangan.

    Di sini terdapat beberapa soalan yang mungkin ditanya semasa sesi temu duga dan jawapan anda akan mendedahkan tentang diri anda.

    Soalan 1

    Beri contoh bagaimana anda menangani rintangan yang menghalang anda daripada mencapai matlamat.

    Tujuan: Jawapan anda akan memberi gambaran kepada bakal majikan tentang jenis situasi yang anda anggap sebagai rintangan. Dia akan menilai cara anda menyelesaikan masalah dan kebijaksanaan dalam mendekati isu yang melibatkan orang.

    Soalan 2

    Apakah langkah-langkah yang akan anda ambil untuk meningkatkan kemahiran anda untuk mencapai kemajuan profesional?

    Tujuan: Jawapan anda akan menunjukkan sama ada anda memiliki kebolehan mengenal pasti peluang yang akan membantu memajukan diri atau anda cuma bergantung kepada majikan untuk menyediakan berbagai pilihan.

    Soalan 3

    Apakah perkara pertama yang akan anda lakukan sekiranya anda dilantik ke jawatan ini?

    Tujuan: Jawapan anda akan menunjukkan sejauh mana anda memahami keperluan jawatan berkenaan dan sama ada anda telah membuat kajian tentang organisasi tersebut dan cara ia berfungsi.

    Pengetahuan anda mengenai organisasi dan fungsi serta perwakilannya akan memberi gambaran pertama yang baik kepada penemu duga.

    Sekiranya anda berupaya menangani soalan-soalan itu dengan sempurna, kemungkinan besar anda akan ditawarkan pekerjaan tersebut.

    Selamat Berjaya!

     #########################################

    Prema Jayabalan ialah jurupimpin pengurusan klien di Bahagian Pembelajaran Digital Leaderonomics. Anda boleh menghubunginya melalui e-mel [email protected]

    Ikutilah www.leaderonomics.com/bm untuk artikel, podcast dan video kepimpinan yang pasti membantu kembara kepimpinan anda! Untuk maklumat lanjut, sila e-mel [email protected]

    Sumber

  • oleh
  • SL1M: Memiliki Ijazah Tetapi Masih Menganggur?

     

    Apabila menulis resume, kita biasanya akan meminta nasihat daripada ibu bapa atau ‘rakan’ yang dipercayai, Google. Jika kita ‘mengenali’ orang tertentu, pencarian kerja menjadi lebih mudah.

    Apa akan terjadi jika kita tidak mempunyai ‘hubungan sedemikian’? Bayangkan jika kita berada di pekan kecil dengan akses yang terhad untuk peluang pekerjaan dengan syarikat besar. Bagaimana kita hendak memohon pekerjaan sedangkan kita mempunyai kelayakan, pengalaman dan kemahiran yang terhad?

    Persoalan yang lebih besar adalah adakah ibu bapa – dan institusi pendidikan – menyediakan belia dengan panduan untuk menghadapi situasi sebenar seperti temu duga pekerjaan, suasana tempat kerja, majikan atau orang yang cerewet?

    Kebenaran yang menyedihkan

    Menurut laporan McKinsey, 87% graduan mahukan lebih banyak khidmat nasihat kerjaya; 63% alumni berharap pihak universiti menggiatkan komunikasi dengan mereka; 79% graduan memerlukan bantuan dalam mencari pekerjaan; dan sepertiga golongan pelajar tidak tahu hala mana yang hendak dituju untuk kerjaya mereka.

    Walau bagaimanapun, bukan golongan pelajar sahaja yang sukar mendapat pekerjaan. Sebanyak 39% majikan berkata mereka semakin menghadapi kesukaran mencari tenaga kerja mahir untuk mengisi kekosongan pekerjaan berkemahiran tinggi. Mengapa berlaku ketidakpadanan ini?

    Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) ditubuhkan untuk menaikkan kadar kebolehpasaran dalam kalangan graduan menerusi kerjasama dan penglibatan Syarikat Berkaitan Kerajaan dan sektor swasta. Organisasi-organisasi tersebut melaksanakan atau mengambil bahagian dalam program SL1M sebagai Tanggungjawab Sosial Korporat. Untuk mengetahui bagaimana program SL1M dilaksanakan dan manfaat-manfaat yang dinikmati syarikat-syarikat daripada penyertaan ini, sila rujuk kepada carta yang berikut:

    Jerayawara SL1M

    Baru-baru ini, 60 syarikat-syarikat berkenaan telah pergi ke Alor Star, Kedah – di bawah Jerayawara Kawasan Utara SL1M – untuk mengadakan temu duga dan pengambilan kerja serta-merta. Pasukan dari Leaderonomics mendapat peluang untuk melihat sendiri trend pencarian kerja dan perekrutan.   

    Kampus Leaderonomics juga mengambil bahagian dalam jerayawara ini dan telah membantu lebih daripada 400 pelajar menguatkan Kurikulum Vitae (CV) mereka menerusi “Klinik CV” percuma. “Klinik CV” adalah program komuniti yang dikendalikan oleh Kampus Leaderonomics.

    Ketua Kampus Leaderonomics, Aaron Tang, dan Penganalisis Kanan, Awatif Ghapar, adalah antara penceramah dan fasilitator utama yang memberi panduan menulis CV yang padu serta soalan yang patut ditanya dan yang tidak patut ditanya semasa sesi temu duga.

    Artikel berkaitan: Menulis CV Yang Hebat

    Pelajar diingatkan bahawa mempunyai CV yang nampak hebat tidak mencukupi dan mereka perlu memaparkan kemahiran insani – terutama sekali mereka yang tidak mempunyai pengalaman dan kemahiran teknikal dan operasi – semasa sesi temu duga dengan bakal majikan.

    Mitos yang mengatakan anak-anak abad ke-21 adalah pemalas cuma mitos semata-mata. Beratus-ratus pelajar dan pencari kerja telah datang dari segenap pelusuk negara ke acara itu untuk mencari peluang yang lebih baik untuk masa depan mereka.

    Kami mendapati ramai daripada graduan yang datang sudah menganggur selama beberapa bulan – ada juga yang selama setahun – walaupun mempunyai kelayakan tinggi seperti ijazah kedoktoran atau sarjana. Ada juga yang mempunyai banyak pengalaman kerja.  

    Apakah masalah sebenar?  Apa kata majikan… 

    Majikan yang hadir di acara SL1M itu mengatakan bahawa salah satu ciri utama yang mereka cari dalam graduan adalah kebolehan dan kesanggupan untuk belajar. Majikan bersedia untuk melatih graduan menjalankan pelbagai tugas meskipun mereka memiliki kelayakan dalam bidang lain. Ini adalah untuk membantu mereka keluar dari zon selesa, dan berusaha kuat memandangkan mereka tidak mempunyai pengalaman dan kelayakan yang berkaitan.

    Mohd Najib Mohd Seth, pengurus perancang korporat di Boustead Holdings Bhd, memberitahu kami: “Seorang graduan yang menyertai program SL1M yang memohon untuk bekerja dengan kami ialah seorang yang sangat pemalu,  seorang introvert. Namun kami mengambilnya bekerja dan melatihnya. Sekarang, dia adalah ahli kmpulan perancang korporat kami.”

    “Apa yang kami harapkan daripada graduan adalah sikap yang baik dan kesanggupan untuk meningkatkan kemahiran insani mereka,” katanya.

    Seorang wakil syarikat telekomunikasi terkenal memberitahu kami bahawa mereka juga telah mengambil seorang graduan yang menyertai program SL1M dan melatihnya untuk menyertai kumpulan jualan. Menurut mereka, pekerja itu berjaya beroleh pendapatan sebanyak setengah juta Ringgit dalam masa enam bulan.

    Salah sebuah bank terkemuka Malaysia yang melibatkan diri dalam jerayawara ini juga berkata mereka ingin memberi peluang kerja kepada graduan yang mempunyai sikap yang baik dan berpandangan jauh.

    Mereka berkongsi cerita tentang seorang graduan kejuruteraan elektrikal yang sukar mendapat pekerjaan dalam industri itu. Mereka menggalakkannya supaya keluar dari zon selesa dan mencuba menceburi bidang jualan. Berbekalkan sokongan dan motivasi, dia kini salah seorang jurujual terhandal bagi syarikat itu di Kedah.

    Majikan-majikan ini tidak hanya melihat kepada kelayakan, markah atau pencapaian akademik. Kami diberitahu walaupun graduan mempunyai markah CGPA yang rendah, sesetengahnya menunjukkan prestasi cemerlang kerana mereka bekerja kuat dan ada kemahiran insani yang baik seperti komunikasi, pengurusan masa, kemahiran pemikiran kritis, tekun, keupayaan menyesuaikan diri dan kemahiran berpidato umum.  

    Majikan yang kami temui mahu graduan yang boleh menyumbang kepada situasi sebenar. Walau bagaimanapun mereka tidak akan membiarkan graduan baharu terkapai-kapai pada hari pertama. Syarikat itu akan menawarkan kursus latihan sebelum memberi tugasan kepada pekerja, bergantung kepada industri.

    Artikel Berkaitan: Makna Jawapan Anda Semasa Temu Duga

    Apa kata pekerja…

    Semasa jerayawara itu, kami juga bertemu dengan graduan yang menyertai program SL1M yang berjaya mendapat pekerjaan melalui program lapangan terdahulu yang dianjurkan oleh Unit Perancang Ekonomi.

    “Ia adalah penghormatan bagi saya untuk menjadi salah seorang peserta SL1M-UMW kerana saya didedahkan dengan suasana bekerja yang sebenar. Penyelia dan rakan sekerja menolong saya memahami tugasan di bahagian sumber manusia dengan memberi panduan dan penjelasan secara terang mengenai proses dan prosedur kerja,” kata Jalaluddin Ali kakitangan kumpulan sumber manusia UMW Toyota Motor Sdn Bhd.

    Seorang graduan sains komputer yang kami temui juga memohon untuk mengikuti program ini setelah lebih setahun menganggur. Setelah mendapat kelulusan, dia mengikuti latihan selama enam bulan dengan salah sebuah syarikat pendanaan kerajaan yang utama dan kini menjadi sebahagian daripada kumpulan sokongan sumber manusia syarikat berkenaan.

    Pada tahun lalu sahaja, syarikat yang sama telah menggaji 3,000 graduan dan pencari kerja yang telah dihantar ke semua syarikat perkongsian menerusi program SL1M.

    Mengapa belia masih menghadapi cabaran? 

    Graduan baru, Siti Raudhah Abu Bakar, yang sudah dua bulan mencari pekerjaan berkata, “Saya telah menghantar resume ke beberapa syarikat, dan menghadiri banyak temu duga. Tetapi tiada satu pun yang memberi maklum balas. Ada yang memberitahu akan memberi jawapan dalam masa seminggu tetapi hingga kini saya masih menunggu. Lebih baik jika kami diberitahu apabila permohonan kami ditolak.”

    Graduan teknologi tekstil, Sharifah Dayana, bekerja keras mencari pekerjaan kerana bidang pengajiannya terlampau khusus. Dia bukan keseorangan dalam masalah ini; ramai juga yang ditemui pada acara itu yang bernasib sepertinya. Ramai yang masih tertanya-tanya mengapa mereka tidak mendapat pekerjaan selepas menghadiri temu duga, memandangkan mereka tidak diberi penjelasan, keputusan atau maklum balas daripada penemuduga atau syarikat berkenaan.

    Graduan terpaksa bergelut dalam kegelapan tanpa menyedari apa kesalahan yang mereka buat semasa ditemu duga. Ini kerana mereka tiada pendedahan tentang cara mengendalikan diri semasa sesi temu duga, dan juga kerana tidak menerima maklum balas yang sewajarnya selepas temu duga berlangsung.

    Kebanyakan majikan yang ditemui berkata ramai graduan menunjukkan prestasi akademik yang cemerlang dan markah keputusan yang tinggi. Masalahnya ialah graduan-graduan ini kurang atau gagal merebut peluang untuk menonjolkan kemahiran insani mereka. Akibatnya, mereka tidak dapat meyakinkan majikan yang mereka mempunyai kemahiran yang mencukupi seperti bekerja berpasukan, berpemikiran kritis, cekap dalam pengurusan orang dan boleh membuat keputusan yang bernas.

    Mengasingkan pelajar mengehadkan mereka

    Pelajar boleh meningkatkan kemahiran insani dengan mengambil bahagian dalam aktiviti kokurikulum di sekolah dan di peringkat tinggi. Bagaimanapun, sistem pendidikan – termasuk tekanan daripada ibu bapa dan masyarakat – menitikberatkan gred yang baik.

    Berazam untuk mendapatkan gred yang baik adalah wajar, tetapi sekolah awam mula memisahkan pelajar mengikut gred. Secara tidak langsung, sistem ini menentukan masa hadapan pelajar dengan mengelaskan mereka ke dalam aliran sains dan sastera selepas Peperiksaan Tingkatan 3 (PT3).

    Kadang-kadang sistem ini menjejaskan prestasi pelajar, khususnya mereka yang mempunyai kekuatan dan minat dalam pelbagai bidang. Golongan pelajar ini tidak akan dapat memenuhi minat mereka, atau mengikuti kursus yang diminati – tanpa mengeluarkan ribuan Ringgit. Bagi yang tidak mampu untuk mendapat pendidikan di sekolah swasta, mereka akan berada dalam keadaan terawang-awang.

    Program SL1M dapat membantu menangani isu ini dengan menyediakan peluang untuk semua. Tidak kira latar belakang, kelayakan, keputusan atau pengalaman, fokus syarikat-syarikat yang mengambil bahagian dalam inisiatif SL1M ini adalah untuk menggalakkan sesiapa sahaja yang sanggup belajar dan menyesuaikan diri dengan tugas.  

    Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kejayaan yang dicapai menerusi inisiatif ini sangat memberangsangkan. Ia melenyapkan pengasingan dan sistem kepercayaan bahawa hanya pencapai tinggi atau mereka yang ada keistimewaan sahaja yang akan mencapai kehebatan. Program ini adalah inklusif dan menyediakan peluang kepada mereka yang ingin mencapai prestasi yang lebih tinggi dan memperbaiki diri.   

    SL1M – Fakta sepintas lalu  Apa: SL1M adalah program kebolehpasaran bakat yang bertujuan untuk membantu graduan menganggur menambah peluang pekerjaan dengan mempertingkatkan kemahiran insani, ilmu dan keupayaan teknikal mereka. Siapa: Program ini diselia oleh Unit Perancang Ekonomi (UPE), Jabatan Perdana Menteri (JPM). Program ini dijayakan melalui kerjasama dan penglibatan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan syarikat swasta. Graduan menganggur dari kawasan pedalaman atau keluarga berpendapatan rendah, atau mereka yang bekerja tetapi tidak setaraf dengan kelulusan ijazah yang diperolehi layak untuk program SL1M. Bagaimana: Syarikat yang menggaji graduan di bawah program ini akan membantu mengalihkan graduan-graduan ini ke jawatan berkenaan melalui program latihan tersasar. Sebagai insentif, kerajaan menyediakan pemotongan cukai berganda untuk syarikat-syarikat ini. Kos latihan juga dibayar balik sama ada secara penuh atau separa menerusi insentif PSBM-SL1M. Ini adalah tertakluk kepada persetujuan yang dibuat. Tempoh latihan adalah terpulang kepada syarikat dan boleh dipanjangkan hingga tempoh maksimum 12 bulan. Graduan boleh melayari portal SL1M di sl1m.my untuk memohon mengikuti program ini. Borang berkenaan boleh dimuat turun, dan selepas diisi sepenuhnya, pemohon boleh menghantar borang tersebut bersama dokumen tambahan kepada Sekretariat UPE. Program latihan: Syarikat-syarikat akan memberi fokus kepada latihan kemahiran insani dan latihan semasa kerja serta modul lain yang boleh meningkatkan kebolehskalaan dan kebolehpasaran peserta seperti kecekapan berkomunikasi, kemahiran pemikiran kreatif dan analitis, kebolehsesuaian organisasi, profesionalisme yang didorong nilai, dan etika pendandanan dan perniagaan.

    Syarikat-syarikat yang menyertai program SL1M layak untuk pengecualian cukai berganda ke atas elaun bulanan tidak kurang daripada RM1,000 yang dibayar kepada graduan untuk jangka masa maksimum setahun. Ini termasuk perbelanjaan dan yuran untuk menjalankan latihan untuk para graduan. Jumlah pengecualian yang dibenarkan untuk tujuan latihan tidak boleh melebihi RM5,000 bagi tahun taksiran. Kesemua syarikat layak SL1M, program dan modul mesti disahkan oleh EPU.   Untuk mengetahui bagaimana syarikat anda boleh melaksanakan program SL1M, e-mel terus kepada [email protected]Untuk maklumat terkini program SL1M, layari Facebook rasmi Skim Latihan 1Malaysia.

    Ikutilah www.leaderonomics.com/bm untuk artikel, podcast dan video kepimpinan yang pasti membantu kembara kepimpinan anda! Untuk maklumat lanjut, sila e-mel [email protected]

    SUMBER

  • oleh
  • GIAT BERLATIH UNTUK MENCAPAI KECEMERLANGAN

     

    Apakah persamaan yang dimiliki The Beatles, Warren Buffet, David Beckham, Mokhtar Dahari dan Bill Gates? Mereka semua terkenal, berbakat dan sangat cemerlang dalam bidang masing-masing. Tetapi yang penting sekali adalah mereka mencapai tahap kejayaan semasa mereka dengan melakukan sesuatu yang sama - mereka mencurahkan seluruh hati dan jiwa, darah dan air mata untuk “meraih” kesempurnaan melalui banyak latihan.

    Ada pepatah yang mengatakan:

    “Genius adalah 1% inspirasi dan 99% keringat (usaha).”

    Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Anders Ericsson dan sekumpulan ahli sains, mereka mendakwa bahawa mereka mengetahui berapa banyak ‘usaha” yang diperlukan untuk mencapai kecemerlangan -- rupa-rupanya 10 tahun atau 10,000 jam.

    Ericsson menulis: “Ramai orang percaya mereka dilahirkan dengan beberapa keterbatasan. Tetapi terdapat amat sedikit bukti kukuh yang menunjukkan orang boleh melakukan hal yang luar biasa tanpa menghabiskan banyak masa untuk menyempurnakannya.”

    Buku Outliers tulisan Malcolm Gladwell memperkukuhkan lagi hal ini dengan pernyataan bahawa seseorang akan menjadi hebat dengan melakukan banyak latihan.

    Bagaimana mencapai kehebatan? 

    The Beatles

    Sehingga kini, The Beatles tetap merupakan kugiran terlaris sepanjang masa. Tetapi kejayaan mereka tidak datang semalaman. Dalam bukunya, Gladwell menjelaskan bagaimana The Beatles menjadi sangat hebat. Mereka membuat persembahan selama berjam-jam di ruang bawah tanah di Hamburg, Jerman tanpa menerima ganjaran yang banyak atau penghargaan yang melimpah-limpah. Cuma masa latihan yang banyak.

    Menurut John Lennon, mereka membuat persembahan selama lapan jam setiap malam, tujuh hari seminggu selama 270 malam walhal kebanyakan kumpulan muzik pada waktu itu (dan mungkin juga pada masa sekarang!) hanya melakukan persembahan selama sejam seminggu.

    Fab Four

    Pada awal kemunculan Fab Four, mereka telah membuat persembahan secara langsung sebanyak 1200 kali!. Kebanyakan kugiran pada hari ini juga tidak pernah membuat persembahan muzik sebanyak itu sepanjang kerjaya mereka. Persembahan secara langsung sebanyak 1200 kali itu merupakan satu faktor yang membezakan.

    Warren Buffet

    Warren Buffet terkenal sebagai pelabur terhebat di dunia. Kejayaannya dicipta berdasarkan sifat disiplin, kerja keras dan latihan semata-mata. Dia mengamalkan disiplin “strategi mental” dalam pelaburan selama bertahun-tahun sehingga dia menjadi pakar dalam pelaburan.

    Beckham

    Beckham juga tidak jauh berbeza.  Pemain bola sepak, yang terkenal dengan tendangan bebasnya yang berkesan dan merbahaya, tidak dilahirkan dengan kemahiran-kemahiran tersebut. Pada mulanya, dia berlatih tendangan bebas untuk menarik perhatian ayahnya. Tendangannya kemudian menjadi tanda dagangannya.  

    Sir Alex Ferguson berkata:

    “Dia berlatih dengan disiplin yang tinggi untuk mencapai ketepatan yang tidak dihiraukan oleh pemain lain.”

    Selepas selesai sesi latihan, Beckham akan tetap di padang dan meneruskan latihan -- 500 tendangan bebas sehari, 180,000 tendangan bebas setahun. Akhirnya, latihan yang tidak mengenal penat lelah itu menjadikannya pemain cemerlang yang mempamerkan kebolehan dan bakat yang luar biasa.

    Bill Gates

    Apa pula cerita Bill Gates? Seorang yang pintar dalam bidang komputer yang tercicir dari Universiti Harvard kini merupakan orang yang terkaya di dunia. Gates belajar di sebuah sekolah elit yang membolehkannya menggunakan komputer. (Masa itu adalah pada sekitar tahun 60-an di mana universiti-universiti belum mempunyai komputer!) Ini membolehkannya melakukan pemprograman. Pada masa itu, dia cuma berumur 14 tahun!

    Disebabkan keghairahannya melakukan pemprograman lapan jam sehari, tujuh hari seminggu, dia tidak menyertai aktiviti olahraga, curi-curi keluar selepas waktu tidur, menggodam kata laluan, dan bercakap bohong. Dia berbuat demikian supaya mempunyai masa yang lebih untuk membuat pemprograman. Pada ketika dia tercicir dari Universiti Harvard, dia sudah melakukan 10,000 jam pemprograman!

    Latihan menjadi penentu

    Kejayaan hanya dapat dicapai melalui latihan yang keras, menyakitkan dan dengan pemerhatian yang tinggi. “Ia boleh mengambil masa 10 tahun atau 10,000 jam latihan untuk menjadi cemerlang dalam sesuatu bidang”, kata George Kohlrieser, pengurus kepimpinan IMD. Dia percaya bahawa bakat dan tuah sangat penting, tetapi latihanlah yang menentukan sama ada seseorang menjadi baik atau hebat. Apakah maksud ini semua?

    Dunia kita pada masa ini adalah dunia “segera” -- mee segera, kopi segera, keuntungan segera, bahkan kita mahu melahirkan pemimpin “segera” dengan menggunakan buku panduan One Minute Manager.  

    Hakikatnya, kita perlu memperuntukkan banyak masa untuk menjadi luar biasa dan hebat. Kita mahu melahirkan pemain bola sepak bertaraf antarabangsa di Malaysia tetapi kita cuma mengadakan latihan rasmi bola sepak untuk kanak-kanak pada usia 12 tahun, sedangkan kumpulan seperti Everton mula mengembangkan bakat Wayne Rooney seawal usia empat tahun. Dan kita hairan mengapa kita tidak memiliki pemain bola sepak yang unggul? Tidak ada jalan pintas untuk menjadi seorang genius.

    Kita juga boleh membuat kesimpulan yang sama untuk kepimpinan. Tidak ada orang yang boleh menjadi pemimpin yang hebat tanpa berusaha. Untuk melahirkan seorang pemimpin, kita perlu menyediakan bakal pemimpin itu dengan pendedahan awal dan latihan kepimpinan dari masa dia di bangku sekolah lagi. Mengapa tidak ada kelab kepimpinan yang khusus di sekolah-sekolah yang membolehkan anak-anak kita belajar mengenai kepimpinan?

    Sesetengah pihak percaya seseorang tidak perlu berusaha untuk menjadi hebat dalam sesuatu hal. Sayangnya itu tidak benar. Untuk menjadi pemimpin yang hebat, seseorang perlu menggiatkan masa latihannya.

    Tetapi ada satu masalah: bagaimana seseorang boleh berlatih untuk mengurus perniagaan? Terdapat banyak aspek dalam bidang perniagaan yang seseorang boleh berlatih untuk menambah baik prestasi, misalnya cara membuat penyampaian, berunding , membentang penaksiran, menyampai penyata kewangan. Bahkah seseorang juga boleh berlatih dalam menguruskan hal-hal yang berkaitan dalam bidang pengurusan seperti memberi maklum balas tentang prestasi, menulis laporan dan menggaji pekerja yang tepat.

    Nasihat Mokhtar Dahari 

    Saya teringat semasa saya masih kecil dan bermain bola sepak di bawah penyeliaan Mokhtar Dahari sebagai jurulatih saya. Mokhtar adalah seorang jurulatih yang gigih, yang selalu mendorong kami melepasi had batasan kami semasa latihan. Pada suatu hari, saya bertanya kepadanya tentang gol yang dijaringkannya semasa perlawanan dengan England. Beliau menjawab: “Agaknya saya bernasib baik pada ketika itu.” Kemudian beliau berpaling kepada saya dan berkata:

    “Tetapi Roshan, kamulah yang menentukan nasib kamu sendiri. Semakin banyak kamu berlatih, semakin bertuah akan kamu jadi. Jadi, berhenti bertanya dan mulalah berlatih!”

    Saya mengikut nasihatnya dan tidak lama kemudian saya terpilih menyertai pasukan negeri.

    Kesimpulan

    Ang Hui Ming, yang bersama-sama saya menubuhkan Leaderonomics, pernah berkata:

    “Kepintaran bukan dikhaskan kepada beberapa orang yang istimewa sahaja.”

    Latihan memang tidak mudah. Sekiranya ia begitu mudah untuk mencapai kejayaan besar, pencapaian itu bukan istimewa lagi. Jadi, kalau anda ingin menjadi seorang yang pintar atau cemerlang, berlatih, berlatih, berlatih. Anda pasti berjaya!

    Roshan Thiran ialah Ketua Pegawai Eksekutif Leaderonomics. Anda boleh menghubunginya melalui e-mel [email protected] atau media sosial  Facebook, LinkedIn atau Twitter @lepaker

    Ikutilah www.leaderonomics.com/bm untuk artikel, podcast dan video kepimpinan yang pasti membantu kembara kepimpinan anda! Untuk maklumat lanjut, sila e-mel [email protected]

    Sumber

  • oleh
  • PILIHAN KATA PENTING DALAM MEMBINA PERWATAKAN PEMIMPIN

    Setiap hari kita berpeluang untuk berhubung dengan orang lain. Kita berpeluang untuk membina atau mematah semangat mereka, menyemai hubungan kita dengan mereka atau meretakkannya, memimpin mereka ke ambang kejayaan atau membantut perkembangan mereka. Kemungkinan yang ada tiada had batasnya.

    Satu-satunya cara bagaimana kita lakukan itu semua adalah dengan pilihan kata-kata yang kita ungkapkan, moga-moga kata-kata itu sudah diproses otak kita terlebih dahulu. Tiada yang lain...cuma pilihan kata-kata!

    Mari kita teliti senario berikut yang membawa makna “pembelajaran kepimpinan” yang tersendiri.

    Dua rakan sekerja terserempak di dalam lif. Mereka tidak begitu rapat kerana baru sahaja mula bekerja di organisasi tersebut. Mereka saling bertegur sapa:

    Mee Lian: Pergi makan tengah hari?

    Boon: Ya. Dan kamu ke mesyuarat? 

    Mee Lian: Ya. Pergi jumpa bekas majikan kau. Mereka dah bocorkan rahsia kau! (dengan nada sinis)

    Boon bingung dan tergamam dengan pernyataan “bocorkan rahsia”.  Tetapi dia hanya berdiam diri. Dalam fikirannya, dia tertanya-tanya kenapa Mee Lian bercakap sedemikian. Adakah Mee Lian bermaksud dia menyembunyikan sesuatu? 

    Walaupun seketika, perjumpaan itu sarat dengan pembelajaran tentang komunikasi dan kemahiran interpersonal, kedua-duanya merupakan kompetensi kepimpinan.

    Menurut kajian Jobstreet.com, 51% majikan memilih “personaliti hebat” sebagai kriteria penting seseorang pekerja yang baik, manakala hanya 14% memilih “kelulusan”.

    Apabila diminta menilai kepentingan beberapa kemahiran dalam kalangan pekerja, kemahiran interpersonal dan komunikasi adalah antara lima kemahiran teratas yang majikan kehendaki.

    Kajian itu dijalankan ke atas lebih 500 golongan profesional Sumber Manusia yang mewakili pelbagai industri di Malaysia.

    Berikut adalah pembelajaran dari perbualan ringkas di atas: 

    1. Tapis pilihan kata 

    Berfikir sebelum bercakap. Guna perkataan yang anda fahami. Pilih kata-kata yang sesuai dan jangan leka gunakan perkataan yang berbunyi hebat seperti yang pernah dinasihati guru dahulu. Yang paling penting, guna perkataan yang mudah dan ungkapan yang senang difahami. Jangan guna ungkapan atau perkataan yang berdwi makna, terutama dengan orang yang kurang anda kenali.

    Patuhi arahan yang sama dalam komunikasi lisan mahupun bertulis di tempat kerja. Ketahui makna perkataan atau ungkapan sebelum menggunakannya. Kalau tersalah guna dan tersalah difahami, ia mungkin menjejaskan kerjaya dari segi kehilangan promosi, kerja ataupun pelanggan.

    “Prosa yang bagus haruslah telus, bagai kaca tingkap.” - George Orwell

    2. Waspadai bahasa badan

    Nada suara dan ekspresi wajah adalah elemen penting dalam komunikasi bukan lisan. Ia memainkan peranan penting dalam menyampaikan mesej. Adakah ia penuh hormat, formal, terselit sindiran atau kelakar?

    Apabila Mee Lian berkata dengan senyuman sinis “...bekas majikan anda. Mereka dah bocorkan rahsia kau!”, itu adalah tamparan berganda. Dia mungkin tidak berniat demikian tetapi nada suara dan ekspresi wajarnya seakan menghina dan sinis. Maksud yang tidak diungkapkan bagaikan berkata “”Kami sudah ketahui rahsia anda!”

    “Orang mendengar kata-kata anda, tetapi mereka merasakan sikap anda.”

    - John Maxwell

    3. Jaga batasan

    Melainkan anda telah menjalinkan hubungan yang baik dengan orang yang anda sedang berbual, adalah lebih baik sekiranya anda menjaga batasan. Janganlah terlalu mesra dalam perbualan mahupun dalam komunikasi bukan lisan. Biar bersahaja tetapi berisi dalam perbicaraan anda. Memadai bersikap mesra tetapi jangan sampai menyentuh isu peribadi. Ini akan membantu membina perhubungan yang baik secara beransur-ansur, baik di tempat kerja mahupun dalam suasana sosial.

    Kata-kata akhir

    Dalam kembara kepimpinan kita, baik sekali sekiranya kita mengambil iktibar dari kata-kata berikut:

    “Anda mungkin mempunyai kemahiran hubungan antara perorangan yang kuat dan bukan seorang pemimpin yang bagus, tetapi anda tidak boleh menjadi seorang pemimpin yang bagus tanpa kemahiran hubungan antara perorangan.” - John Maxwell

    ##########################################################

    Yeoh Lin Lin ialah editor Bahasa Malaysia Leaderonomics.com. Anda boleh menghubunginya melalui e-mel [email protected] atau media sosial  Facebook dan Twitter.

    Ikutilah www.leaderonomics.com/bm untuk artikel, podcast dan video kepimpinan yang pasti membantu kembara kepimpinan anda! Untuk maklumat lanjut, sila e-mel [email protected]

    Sumber

  • oleh
  • Nasihat Gates Buat Graduan Kelas 2017

    Pada bulan Mei 1996, kira-kira 21 tahun dahulu, saya memperoleh segulung ijazah daripada Universiti Bridgeport dan melangkah masuk ke dunia pekerjaan dengan menyertai General Electric (GE) Capital.

    Mengimbas kembali tempoh dua dekad ini, saya percaya kembara kerjaya saya amat menarik dan memberi kepuasan biarpun saya membuat banyak kesilapan dan kecelaruan dalam pelbagai perkara sama seperti orang lain.

    Ketika itu, Internet masih pada peringkat awal, dan terdapat hanya sedikit nasihat dan bimbingan kerjaya. Alangkah baiknya kalau pada ketika itu saya dapat menerima kata-kata hikmat yang dikongsikan oleh insan-insan terulung, sebelum mengorak langkah dalam dunia kerjaya.

    Fasa hidup yang seterusnya

    Pengijazahan merupakan detik yang sangat kritikal dalam kehidupan seseorang. Peranan kita beralih daripada seorang penuntut menjadi pekerja bergaji. 

    Keputusan yang besar menanti kita - perlukan kita memulakan perniagaan sendiri atau bekerja untuk sesebuah organisasi? Industri apakah yang perlu kita ceburi? Organisasi manakah yang betul-betul sesuai dengan diri kita? Apakah pekerjaan atau peranan yang perlu kita mohon? Apa yang bakal terjadi sekiranya kita gagal mendapatkan pekerjaan yang bagus? 

    Apa maksud pekerjaan yang bagus?

    Terlalu banyak persoalan yang menyelubungi diri. Ditambah pula dengan berbagai-bagai ketidaktentuan, termasuklah keadaan ekonomi semasa, hal ini kadang-kadang menyebabkan graduan universiti yang masih muda berada dalam kegusaran dan tekanan.

    Pertemuan dengan bos yang pertama

    Saya sangat bertuah kerana bos pertama saya sangat tegas; dia sentiasa memberi nasihat yang keras tetapi praktikal. Dia menggesa saya supaya menceburi fungsi-fungsi kerja yang tidak saya minati.

    Dia ‘memaksa’ saya untuk bekerja lebih keras melangkaui kepompong keselesaan, menjadikan kerja yang sukar tampak mudah, dan mengajar saya bahawa tiada ‘kotak’ atau ‘siling’ yang membatasi sesuatu perkara. Saya akan sentiasa menghargai nasihat dan pandangannya.

    Menyingkap kata-kata hikmat Gates

    Seorang insan yang tidak menamatkan pengajian di universiti tetapi kaya dengan kata-kata hikmat yang amat bernilai ialah Bill Gates, pengasas dan mantan ketua pegawai eksekutif Microsoft. Dia meninggalkan Universiti Harvard semasa dalam tahun kedua di sana dan tidak menamatkan pengajiannya.

    Walaupun Gates sendiri bukanlah seorang graduan universiti, baru-baru ini beliau berkongsi nasihat dengan para pelajar yang tamat pengajian pada tahun 2017. Secara peribadi, saya telah banyak membaca artikel yang ditulisnya serta menonton video mengenainya, maka saya yakin nasihat Gates sangat bermanfaat buat penuntut yang menamatkan pengajian universiti pada tahun ini.

    Berikut adalah teks penuh nasihat Gates untuk majlis pengijazahan pelajar yang tamat pengajian universiti pada tahun 2017, diperoleh daripada Mic.com.

    Tahniah! Kalian baru sahaja mencapai sesuatu yang tidak pernah saya berjaya lakukan -- mencapai segulung ijazah daripada universiti.

    Saya pasti anda akan menerima banyak nasihat baik daripada pengucaptama majlis pengijazahan mahupun setiap orang dewasa yang hadir untuk meraikan pengijazahan anda. Namun itu, saya ingin berkongsi beberapa perkara dengan anda.

    Graduan universiti yang baru tamat pengajian seringkali meminta pendapat saya berhubung kerjaya. Saya bernasib baik kerana semasa umur saya mencecah awal 20-an, revolusi digital baru sahaja mahu berkembang.  Saya dan Paul Allen berpeluang mengambil bahagian dalam pembentukannya. (Inilah sebabnya saya tidak meneruskan pengajian di universiti. Saya bimbang tidak dapat melibatkan diri dalam revolusi digital!)

    Tiga bidang yang menguja

    Jika saya sedang melangkah ke dunia pekerjaan hari ini dan mencari peluang yang sama untuk membuat impak yang besar di dunia, saya akan memberi pertimbangan kepada tiga bidang.

    Pertama ialah kecerdasan buatan (artificial intelligence). Kita baru sahaja mengorak langkah untuk memanfaatkannya dalam pelbagai cara ia akan menjadikan kehidupan seseorang lebih produktif dan kreatif.

    Kedua ialah tenaga. Penghasilan tenaga yang bersih, pada kadar yang berpatutan dan boleh dipercayai, sangat penting dalam membendung kemiskinan dan perubahan iklim.

    Ketiga ialah biosains. Bidang ini terbuka luas dengan peluang untuk membantu manusia menikmati kehidupan yang lebih lama dengan lebih sihat.

    Realiti kehidupan

    Tetapi beberapa realiti kehidupan memang benar, tidak kira kerjaya yang anda pilih. Bukankah ia baik sekiranya saya lebih arif tentang beberapa perkara ini semasa saya meninggalkan bangku sekolah. Misalannya, kepintaran tidaklah begitu penting seperti mana saya fikirkan, dan ia wujud dalam berbagai bentuk.

    Apabila Microsoft mula-mula ditubuhkan, saya berpendapat bahawa jika seseorang mampu menulis kod dengan hebat, dia mampu untuk mengurus manusia dengan baik atau mengetuai pasukan pemasaran atau memikul apa-apa tugasan. Sangkaan saya meleset. Saya terpaksa menerima hakikat -- mengenali dan menghargai bahawa manusia dianugerahkan dengan bakat yang berbeza-beza. Lebih cepat anda sedar akan hal ini, sekiranya masih belum, kehidupan anda akan menjadi lebih bermakna.

    Satu lagi perkara yang sepatutnya saya ketahui lebih awal ialah rupa sebenar ketidaksamaan dalam hidup. Saya betul-betul tidak menyedari hal ini, sehingga umur saya mencecah lewat 30-an, apabila saya dan Melinda menjejakkan kaki ke Afrika. Kami sangat terkejut dengan apa yang kami lihat. Sejurus sahaja pulang, lebih banyak yang kami belajar. Fikiran kami berlegar-legar dengan penderitaan berjuta-juta kanak-kanak akibat penyakit yang tidak pernah menjadi kebimbangan negara-negara yang kaya. Kami rasa inilah perkara yang paling tidak adil di dunia. Kami sedar kami tidak boleh berlengah-lengah; kami perlu melakukan sesuatu, iaitu menyumbang kepada masyarakat dengan serta-merta.

    Kalian mengetahui lebih banyak perkara berbanding saya semasa umur yang sama. Teknologi membolehkan kalian melihat permasalahan dari sisi yang tidak dapat digarap saya dan rakan-rakan. Kesedaran ini memperkasakan kalian untuk membantu melalui cara yang tidak kami mampu. Kalian boleh menangani ketidaksamaan dengan lebih pantas, sama ada dalam komuniti kalian sendiri atau di mana-mana negara di ceruk dunia.

    Insan yang mencabar, mengajar dan mendorong

    Sementara itu, saya menggalakkan kalian untuk mengelilingi diri dengan insan yang mencabar, mengajar, dan mendorong kalian menjadi manusia yang terbaik. Melinda melakukan hal yang sama pada saya, dan saya menjadi insan yang lebih baik kerananya. Seperti rakan kami Warren Buffet, saya menilai kebahagiaan dengan melihat sama ada insan yang dekat dengan saya berasa gembira dan menyayangi diri saya, dan melalui perubahan yang saya lakukan dalam kehidupan yang lain.

    Jika saya boleh menghadiahkan kalian sesuatu sebagai hadiah pengijazahan, saya akan memberi sebuah buku berjudul ‘The Better Angels of Our Nature', hasil tulisan Steven Pinker. Setelah beberapa tahun belajar, kalian mungkin tidak begitu teruja untuk membaca naskhah setebal 700 muka surat. Tetapi masukkan buku ini dalam senarai yang akan kalian baca suatu hari nanti. Buku ini merupakan buku yang paling banyak memberi inspirasi, berbanding buku-buku yang pernah saya baca.

    Dunia semakin hari semakin baik

    Pinker mengemukakan hujah yang meyakinkan, bahawa dunia ini semakin hari semakin baik, bahawa kita tinggal dalam zaman yang paling aman dalam sejarah manusia. Pendapat sebegini sukar untuk diutarakan, terutamanya pada masa sekarang. Apabila kalian memberitahu orang lain bahawa dunia ini berubah ke arah yang lebih baik, mereka akan melihat kalian seolah-olah kalian naif ataupun gila!

    Tetapi hal ini benar. Dan apabila kalian memahami hal ini, kalian akan melihat dunia ini dari sisi yang berbeza. Jika kalian berfikir keadaan menjadi semakin baik, maka kalian akan ingin mengetahui perkara yang menghasilkannya supaya kalian akan berusaha mempercepatkan proses berkenaan dan menyebarkannya kepada segenap umat manusia dan pelosok dunia.

    Ini tidak bermakna kalian mengetepikan masalah serius yang kita hadapi sekarang. Ini bermakna kalian percaya masalah boleh diselesaikan, dan kalian tergerak untuk bertindak atas kepercayaan ini.

    Akhir kata

    Ini ialah intipati pandangan hidup saya. Hal ini membolehkan saya tekal dalam menghadapi kesukaran dan menjadi sumber keterujaan untuk saya terus melakukan kerja-kerja amal, yang kini melangkaui lebih 17 tahun. Saya yakin hal ini akan membuahkan hasil yang sama kepada kalian.

    Semoga kalian mencapai kejayaan. Inilah zaman kehidupan yang amat menakjubkan. Maka buatlah sebanyak mungkin yang terdaya.

    – Bill Gates

    Renungan

    Apabila saya merenungi nasihat Gates, saya teringat kembali matlamat peribadi sejurus tamat pengajian - iaitu menjadikan dunia ini sebuah tempat yang lebih baik. Gates mengingatkan kita bahawa pandangan hidup amat kritikal dalam interaksi kita dengan dunia.

    Jika kita benar-benar percaya bahawa dunia semakin hari semakin baik dan peranan kita adalah untuk “mempercepatkan proses berkenaan dan menyebarkan kepada segenap umat manusia dan pelosok dunia”, maka kita boleh menjadi pemangkin untuk mengubah dunia menjadi lebih baik.

    Akhir kata

    Hasrat saya buat setiap penuntut yang akan menamatkan pengajian pada tahun ini, tidak kira apa kerjaya atau peranan atau perniagaan yang anda pilih, berusahalah untuk menjadikan dunia ini lebih baik melalui tindakan, keputusan dan perlakuan anda.

    Saya percaya jika setiap penuntut mempunyai aspirasi yang membuak-buak untuk membawa kesan yang positif kepada dunia, kita akan terus menikmati hidup yang lebih baik pada tahun-tahun yang mendatang.

    Semoga setiap daripada anda menikmati kerjaya yang penuh bermanfaat!  Semoga semua impian anda terlaksana dan anda mampu membawa cahaya menerangi kegelapan di dunia ini, menjadikannya lebih baik.

     #########################################

    Roshan Thiran ialah Ketua Pegawai  Eksekutif Leaderonomics. Anda boleh menghubunginya melalui e-mel [email protected] atau media sosial  Facebook, LinkedIn atau Twitter @lepaker

    Ikutilah www.leaderonomics.com/bm untuk artikel, podcast dan video kepimpinan yang pasti membantu kembara kepimpinan anda! Untuk maklumat lanjut, sila e-mel [email protected]

    Sumber

  • oleh
  • Advertisement