Anda di sini

Kepimpinan

Advertisement

Ketahui Apa Yang DiPerjuangkan Syarikat Anda, Kata Vivy Yusof

Seringkali kita dengar bahawa jika ingin menjana wang berjuta-juta, kita harus menyelesaikan permasalahan berjuta umat manusia. Dalam erti kata lain, idea perniagaan yang terbaik menawarkan nilai dan juga kemudahan kepada pelanggan.

Antara salah satu daripada kisah kejayaan yang sangat menyuntik inspirasi, FashionValet adalah sebuah kedai fesyen dalam talian yang pertama di Malaysia. Ia merupakan tempat sehenti bagi pelanggan yang mencari-cari fesyen berkualiti tinggi pada harga mampu milik.

Pengasas bersama Vivy Yusof dan Fadzarudin Shah telah membuktikan bahawa mereka merupakan rakan kongsi yang sukar diatasi. Dari cuma tiga orang pada tahun 2010, perniagaan mereka kini menggaji 150 orang pekerja. Syarikat ini kini menawarkan 500 jenama untuk pelanggan serata dunia.

Titik permulaan

Vivy dan Fadza bertemu semasa mereka sama-sama menuntut di London. Vivy ialah siswazah perundangan dari London School of Economics manakala Fadza, siswazah kejuruteraan dari Imperial College London.

Kedua-dua mereka berkongsi keghairahan membeli-belah dalam talian. Apabila pulang ke tanah air, mereka menyedari mereka rindukan kemudahan membeli-belah dalam talian, seperti yang dinikmati di United Kingdom.

Pasangan rakan kongsi ini, yang juga suami isteri, mendapati mereka perlu memandu serata Kuala Lumpur untuk mencari jenama pereka kegemaran mereka. 

Detik ‘A-HA’ yang mencetuskan idea untuk melahirkan FashionValet terjadi semasa mereka memandu dalam hujan renyai-renyai dan diselubungi kekecewaan apabila tidak menemui semua jenama kegemaran mereka di bawah satu bumbung.

Kisah terungkap

Sebagai tetamu jemputan AmBank BizClub Show yang berlangsung semasa AmBank BizCONFERENCE di Sabah baru-baru ini, Vivy dan Fadza ditemu bual oleh Ketua Pegawai Eksekutif Leaderonomics, Roshan Thiran. Di hadapan audiens yang begitu terpesona dengan mereka, pasangan ini menceritakan pengalaman membina FashionValet dan bagaimana perniagaan ini boleh berkembang maju sehingga berjaya seperti hari ini.

Berkongsi tentang semangat keusahawanannya, Vivy menceritakan bahawa dia seorang yang suka memberontak tetapi berazam tinggi sejak dari kecil. Walaupun memeningkan kepala guru-gurunya, Vivy sering mendapat semua A dalam mata pelajarannya.

Vivy sentiasa bersungguh-sungguh merebut apa sahaja peluang perniagaan, sekalipun kecil nilainya, seperti mencipta rantai tangan persahabatan untuk rakan sedarjah dan mengecaj buku hasil tulisannya pada harga RM1 sekali sewa.

Rakan kongsi yang betul

Dengan keperibadian yang lebih introvert, berlawanan dengan Vivy, Fadza mendedahkan bahawa walaupun mereka mempunyai rasa dan sukakan benda yang berlainan, pasangan ini berkongsi nilai yang sama. Melalui nilai-nilai utama inilah kedua-dua perkongsian profesional dan peribadi mereka mekar subur.

Di FashionValet, Vivy sebagai Ketua Pegawai Kreatif menguruskan urusan pembelian, barang dagangan dan pemasaran kreatif. Fadza pula sebagai Ketua Pegawai Eksekutif mengendalikan operasi dan kewangan harian.

Seperti yang dijelaskan Vivy, rakan kongsi yang betul melengkapi kekuatan kita dan ini boleh terjadi sebaliknya. Maka aspek ini penting untuk melahirkan model perniagaan yang berjaya.

Jangan mudah berpuas hati 

Walaupun FashionValet kini merupakan perniagaan yang bernilai jutaan dolar dan sedang berkembang maju, terdapat beberapa cabaran besar yang dihadapi semasa perniagaan ini mula-mula ditubuhkan, yang memerlukan perubahan ketara dari segi cara perjalanan syarikat.

Fadza menceritakan bahawa semasa FashionValet baharu sahaja ditubuhkan, ia tiada persaingan. Hasilnya pasukan mereka semakin selesa sehinggalah mereka perlu menghadapi persaingan daripada Amerika Syarikat dan Eropah.

Ditanya tentang persaingan, Fadza memberi komen, “Ini membuatkan kami sedar bahawa kami sedang duduk di atas lubuk emas dan kami hanya bersenang-senang tanpa melakukan apa-apa. Pesaing mula mengikat kontrak dengan jenama-jenama yang kami pasarkan, dan kami sedar bahawa kami perlu bersaing dengan mereka. Untuk enam bulan pertama, kami kalah teruk.”

Berpegang kepada misi utama

Untuk terus mengasah taring dalam arena fesyen, pasangan ini memutuskan bahawa daripada bersusah payah bersaing dengan mana-mana jenama yang muncul, mereka melepaskan jenama-jenama yang murah dan hanya memberi tumpuan pada jenama yang berkualiti tinggi, serta masih kekal dengan misi utama, iaitu menaikkan imej jenama tempatan sehingga mencapai taraf antarabangsa.

Satu-satunya perjuangan FashionValet adalah tidak akan sekali-kali beralih arah daripada fokusnya untuk menarik perhatian dunia dengan fesyen terbaik yang dibawa khas dari Malaysia.

Semasa syarikat ini berkembang, dengan bantuan daripada pelabur dalam dan luar negara, keyakinan pelanggan terhadap jenama ini bertambah kerana pelanggan percaya dengan nilai kualiti dan keaslian Fashionvalet dalam mendukung bakat tempatan.

Artikel berkaitan: AmBank Bantu Bangunkan PKS

Mentor dan maklum balas

Salah satu faktor utama yang menjadikan syarikat ini berkembang pesat ialah kesediaan pasangan ini menerima maklum balas daripada mentor serta pelanggan berkenaan pandangan mereka terhadap FashionValet dan kualiti perkhidmatannya.

Vivy berkata, “Tidak mampu saya tekankan lagi, bahawa mentor kami telah mengubah pandangan kami, kerana apabila anda terlibat dalam perniagaan, anda tidak dapat melihat dari sudut pandang orang luar, sebab itulah anda tidak sedar kenapa usaha anda tidak berhasil. Tetapi jika anda bertanya pendapat orang luar untuk meneliti syarikat anda, ini akan membuka mata anda pada banyak perkara.”

Kepimpinan

Walaupun tidak pernah mempunyai pengalaman dalam membangunkan perniagaan, Vivy percaya bahawa kepimpinan yang kuat boleh menghasilkan kesan yang nyata berbeza, terutamanya apabila berurusan dengan pekerja.

Berkongsi tentang pengalamannya semasa baharu menapak langkah, Vivy berkata, “Kami belajar daripada pengalaman sedikit demi sedikit.  Kami membuat banyak kesilapan. 

  • Menetapkan jangkaan: Perkara utama yang perlu kita lakukan adalah menetapkan jangkaan untuk pasukan dan apa yang perlu dicapai mereka.
  • Beri penghargaan apabila tiba masanya: Kedua, sebagai seorang pemimpin, kita perlu memberi penghargaan apabila tiba masanya. Manusia sangat suka menerima pengiktirafan dan penghargaan, walaupun dengan komen ringkas ‘kerja anda bagus’. Ini  sangat bermakna buat mereka.”

Artikel berkaitan: Penghargaan: Rendah Kos, Tinggi Impak

Teknik penceritaan

Dalam membina jenama yang berjaya, Fadza percaya bahawa teknik penceritaan memainkan peranan utama untuk menggalakkan orang ramai menyambut baik apa yang dilakukan sebagai sebuah syarikat.

“Salah satu kelebihan Vivy ialah dia seorang pencerita yang hebat,” kata Fadza, “dan saya rasa teknik penceritaan merupakan kekuatan syarikat kami. Cara kami mencari idea untuk pemasaran bukanlah dengan menyentuh soal jualan sahaja. Kami juga mencari jalan untuk mewujudkan gembar-gembur atau membuatkan orang ramai terus berhubung dengan kami.”

Nilai yang berharga

Walaupun teknik penceritaan adalah resepi penting bagi kejayaan sesuatu jenama, Vivy menyarankan jika sesebuah syarikat ingin menawarkan sesuatu kepada pelanggan, produk tersebut perlulah mempunyai nilai yang tinggi, jika tidak, tiada alasan untuk pelanggan datang membeli semula.

Dia berkata, “Semuanya bukanlah hanya tentang penceritaan. Jenama hasil keluaran rakyat Malaysia tidak mampu bertahan lama disebabkan sikap suka meniru. Apa-apa sahaja yang berhasil waktu itu, kita tiru sahaja. Jadi berapa lama anda mampu bertahan? Bagaimana anda boleh kekal jika tidak berpegang pada apa-apa?

“Saya benar-benar percaya bahawa setiap jenama perlu ada tujuannya, dan orang di luar sana mahu menjadi sebahagian daripadanya. Anda boleh menghasilkan penceritaan yang terbaik di dunia, tetapi jika produk anda teruk, ia sememangnya teruk.

“Jadi anda harus menawarkan pakej yang bagus – jenama, apa yang anda perjuangkan… semua ini harus tampak jelas. Tetapi pada masa yang sama, produk anda mestilah yang terunggul.”

Kesimpulan

Berikut merupakan beberapa mesej utama daripada temu bual ini:

  • Jangan mudah berpuas hati, terutamanya apabila anda telah menikmati kemanisan awal daripada kejayaan perniagaan. Sentiasa peka dengan apa dan siapa yang anda hadapi (pesaing), dan sentiasa mendahului pesaing anda.
  • Teruskan bercita-cita tinggi dan jelas dengan hala tuju perniagaan. Letakkan penanda aras pada perniagaan anda melalui perbandingan dengan jenama/syarikat terbaik dunia.
  • Percaya dengan tujuan anda dalam perniagaan, dan sampaikannya kepada pengikut melalui penceritaan yang menarik dan asli.
  • Ambil nasihat daripada orang yang tidak setuju dengan anda. Ini kerana perspektif ‘dari luar ke dalam’ yang jujur daripada mereka boleh menjadi kunci untuk perniagaan anda melangkah lebih jauh.
  • Jadilah versi terbaik diri anda. Kenali kekuatan dan kelemahan diri. Dapatkan panduan daripada mentor. Cari rakan kongsi atau bakat yang boleh melengkapi kelemahan anda.
  • Jangan biarkan ketakutan tentang ‘apa yang akan jadi’ menyekat anda daripada mencuba idea baharu. Jika anda jatuh, jatuhlah. Teruskan dengan mencari jalan untuk bangkit dan terus berlari.
  • Daripada merungut tentang onak dan duri, ubah kekangan ini menjadi peluang bagi perniagaan anda.

Sumber

  • oleh
  • Menjadi Pendengar Yang Aktif: 10 Cara Terbaik

    Anda mungkin menghabiskan banyak masa mengasah #KemahiranInterpersonal, tetapi sedarkah anda bahawa kemahiran #mendengar juga komponen #komunikasi yang perlu dikuasai? #DuaTelingaSatuMulut

    Sumber

    Berhenti = Mengalah?

    Vince Lombardi pernah berkata, “Orang yang menang tidak pernah mengalah dan orang yang mengalah tidak pernah menang.” Bagi saya, pendapat itu SALAH sama sekali! 

    Mereka yang menang sentiasa mengalah. Nelson Mandela berjuang dan tabah bertahan dalam sel penjara selama 27 tahun. Beliau dilantik menjadi Presiden Afrika Selatan dan meletak jawatan selepas satu penggal. 

    Ramai juga pemimpin bisnes yang hebat yang pernah menarik diri dan beralih arah. Mereka berhenti dan fokus pada aspek yang mampu dijayakan. Sering kali mereka berhenti, tetapi pada masa yang tepat serta atas sebab yang betul.

    Beberapa tahun yang lepas, saya berbual panjang dengan seorang insan yang kecewa dengan kerjanya. Gaji yang rendah, masa kerja yang panjang serta bos yang tidak bertimbang rasa menekannya sehingga ke ambang kebinasaan. Dia betul-betul ingin berhenti kerja dan datang bertemu dengan saya untuk mendapatkan nasihat. 

    Kalangan kita pernah mengalami keadaan sebegini, sehinggakan terfikir, “mungkin aku sepatutnya berhenti dan beralih arah”. Tetapi adakah anda pasti berhenti kerja adalah pilihan yang terbaik? 

    Kadangkala, ada baiknya kita bertahan dan memajukan diri. Saya bertahan di General Electric selama lebih daripada 12 tahun; kemahiran saya meningkat dengan ketara tahun demi tahun.

    Jadi, bagaimana boleh kita ketahui bilakah masa yang sesuai untuk berhenti dan beralih arah?

    Peraturan dua tahun

    Apabila anda terfikir, “Perlukah saya berhenti kerja?”, soalan pertama yang bakal saya ajukan ialah, “Sudahkah anda berkhidmat selama sekurang-kurangnya dua tahun dalam kerja semasa?” Tempoh yang ideal ialah tiga tahun.

    Rasional bagi peraturan dua tahun ini adalah seperti berikut:

    • Anda memerlukan sekurang-kurangnya enam bulan untuk memahami peranan anda, proses yang terlibat di sebalik kerja anda serta mampu mengerti unit perniagaan dan bahagian anda bekerja.
    • Anda akan memerlukan paling kurang enam bulan lagi untuk mengenal pasti aspek yang boleh anda tambah baik dan lakukan perubahan.
    • Anda akan ambil enam bulan lagi sebelum anda mampu melaksanakan, membuat perubahan dan mendorong sehingga memberi impak.
    • Anda kemudiannya memerlukan enam bulan lagi untuk melihat hasil kerja anda dan mengetahui sekiranya perubahan yang anda laksanakan berhasil dan mengerjakannya semula jika perlu.

    Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Anders Ericson, anda akan membiasakan diri dengan kerja anda dan menjadi betul-betul mahir setelah menghadapnya selama 10,000 jam. 

    Jika anda bekerja selama 12 jam sehari, anda akan mencapai tempoh 10,000 jam kerja setelah meluangkan masa selama tiga tahun melakukan kerja tersebut. Jika anda telah berkhidmat sekian lama, maka barulah sesuai untuk anda ajukan soalan seperti “Perlukah saya berhenti kerja?” atau mula berkira-kira untuk memegang jawatan lain di organisasi anda sekarang.

    Namun demikian, terdapat beberapa pengecualian bagi peraturan ini. Jika anda rasa diri anda terpinggir, atau rasa berat hati untuk melakukan kerja tersebut, jangan buang masa. Terus beralih arah. 

    Pekerjaan anda sepatutnya menyemarakkan nyala rasa, bukannya membuatkan anda terseksa dan menghauskan tenaga. Secara ideal, jangan sesekali meninggalkan sesuatu pekerjaan sebelum berkhidmat selama dua tahun melainkan anda betul-betul pasti bahawa pekerjaan dan syarikat tersebut tidak sesuai untuk anda.

    Ada manfaatnya jika bertahan!

    Apabila anda berasa gelisah dan tidak puas hati, anda mungkin percaya ini merupakan tanda untuk anda berhenti dan beralih arah. Tetapi janganlah terus angkat kaki apabila riak ketidakpuasan hati baru saja timbul, seperti mana anda tidak seharusnya berfikir untuk bercerai selepas bertengkar dengan pasangan. 

    Jika anda merancang untuk berhenti kerja hanya kerana ada konflik di tempat kerja sekarang, anda harus ingat masalah sebegini akan kembali timbul di tempat kerja baharu jika anda tidak ambil masa untuk meneliti kesilapan yang berlaku dalam kerja sekarang. 

    Jika anda meletak jawatan tanpa menyelesaikan konflik sedia ada, anda mungkin menimbulkan masalah serupa dalam kerja seterusnya. Maka, selesaikan konflik tersebut sebelum anda meletak jawatan.

    Semasa saya di NBC, iaitu sebuah syarikat TV di New York, saya berasa sangat kecewa dengan bos. Saya menyangka dia bencikan saya kerana kerja-kerja yang diberikannya tidak membawa erti dan saya disuruh mengendalikan hal-hal yang remeh.

    Saya mula menghantar resume permohonan kerja ke organisasi media yang lain. Saya juga menghadiri beberapa sesi temu duga. Namun seorang mentor yang hebat di NBC menyarankan saya untuk berterus-terang dengan bos. Apabila berhadapan dengan bos, saya memulakan perbualan secara tanpa konfrontasi dengannya. Selepas itu, keadaan jauh bertambah baik kerana sebelum ini dia tersilap membuat anggapan terhadap saya.

    Saya bukan sahaja berjaya menangani masalah yang berlarutan selama beberapa bulan, malah saya mampu menjayakan beberapa projek di NBC dan meraih beberapa anugerah selama berkhidmat di sana. Saya bertahan di situ lebih lama dan pengalaman di NBC meninggal kesan yang mengagumkan dalam dunia karier saya.  

    Secara praktikal, ada manfaatnya apabila anda bertahan dengan kerja. Sebagai contoh, ada merit yang dikaitkan dengan tempoh perkhidmatan; hakikatnya susah untuk majikan melepaskan seseorang yang terlatih dengan pengetahuan kerja yang begitu mendalam.

    Ini bukanlah bermaksud anda perlu bertahan di situ tidak kira apa yang berlaku. Saya percaya bagus untuk kita bertukar angin, terutamanya jika ini membolehkan anda berkembang maju dan keluar dari zon selesa. 

    Berhenti atas sebab yang betul. Ingat, bagi kebanyakan orang yang berjaya menangani keadaan yang menjerut leher, istilah berhenti tiada dalam kamus kehidupan mereka.

    Bila sepatutnya kita berhenti?

    Berikut merupakan beberapa sebab yang munasabah untuk berhenti:

    • Syarikat anda beroperasi tanpa arah tujuan yang jelas, dan anda tidak lagi berasa bangga bekerja di situ. Berhenti kerana ini baik untuk anda dan syarikat.
    • Hubungan anda dengan pengurus ibarat retak menanti belah. Anda telah cuba sedaya upaya untuk membaiki hubungan tetapi masih tidak berhasil. Jika mampu, tinggalkan tempat tersebut dengan baik.
    • Kehidupan anda sudah berubah. Mungkin anda baru menimang cahaya mata, dan budaya kerja di situ tidak sesuai dengan gaya hidup baharu anda. Atau mungkin aspirasi hidup anda telah berubah.
    • Prinsip anda bercanggah dengan prinsip dan budaya syarikat, atau tidak menepati etika anda. Apa-apa isu sekalipun, jangan kekal dalam sesebuah organisasi yang menjejaskan prinsip dan integriti anda.
    • Atas sebab-sebab tertentu, anda mula menunjukkan tingkah laku yang tidak sepatutnya di tempat kerja. Atau anda telah merosakkan hubungan dengan rakan sekerja. Atau reputasi anda sebati dengan kegagalan. Reputasi sebegini, apabila mula melekat dengan diri, sukar sekali untuk dibersihkan, maka lebih baik anda beralih arah apabila mendapat peluang yang lain.
    • Tahap stres anda amat tinggi sehingga menjejaskan kesihatan dan hubungan sosial anda. Jika anda berasa lembik, pertama anda perlu tahu adakah tuntutan kerja anda bertambah sedangkan sumber yang ada terhad. Anda mungkin kehausan tenaga, maka masalah yang perlu diselesaikan adalah berkenaan pengurusan sumber, bukannya mencari kerja baharu.
    • Anda rasa dipinggirkan pengurus anda atas sebab yang tak diketahui, tidak mempedulikan kehadiran anda, tidak mengajak anda turut sama terlibat dalam sesi konsultasi dan membuat keputusan. Jangan lakukan apa-apa sehingga berbincang terlebih dahulu dengan bos untuk mengetahui apakah yang berlaku. Bos anda mungkin memberi isyarat untuk anda meletak jawatan; jika ini yang berlaku, anda perlu faham bahasa badannya.
    • Anda sudah tidak gembira di tempat kerja. Cari punca sebenar yang menyebabkan anda berasa berat untuk pergi kerja. Adakah anda naik bosan? Kerja anda kurang mancabar? Atau adakah anda telah berubah? Jangan tinggalkan kerja tersebut hanya sebab rasa bosan. Cuba cipta semula peranan anda. Meletak jawatan merupakan langkah terakhir. Tetapi jika anda masih tidak ketemui rasa suka terhadap kerja, berhenti sahaja!

    Kenali punca sebenar

    Jangan sesekali berhenti kerja disebabkan ketakbahagiaan. Jika anda tidak gembira dengan aspek lain dalam hidup, mudah sahaja untuk menyalahkan kerja anda. Jangan harapkan pekerjaan kita mendatangkan kebahagian sekiranya aspek kehidupan yang lain huru-hara. Atasi punca sebenar yang menyebabkan anda tidak gembira dan kerja anda mungkin menjadi lebih baik lagi. Jika anda betul-betul gundah-gulana disebabkan oleh lapan perkara yang telah saya gariskan, maka anda boleh berhenti.

    Jika tidak, perbaiki masalah sebenar. Ada pepatah yang berbunyi

    “Penuaan merenyukkan badan tetapi berhenti merenyukkan jiwa.”

    Jika anda bekerja untuk bos yang lagaknya seperti diktator dan menyeksa jiwa anda, serta anda hampa dengan persekitaran yang menyesakkan dan amalan tikam belakang disebabkan bos yang kurang berwibawa, maka ini merupakan pendorong yang kuat untuk berhenti. Dunia bisnes bukannya seperti dunia bersistem demokrasi. Anda tidak mampu mengubah bos anda. Boleh jadi berhenti ialah jalan yang terbaik. 

    Hakikatnya, tindakan berhenti kerja sepatutnya jarang sekali berlaku dalam kerjaya anda. Tempoh menganggur yang terpapar pada resume membuatkan bakal majikan berjaga-jaga untuk mengambil anda bekerja. 

    Cari mentor kerjaya. Rajinkan diri berbicara dengan individu dari bahagian sumber manusia, atau berpindah peranan di syarikat sekarang. Anda harus ingat, sekali sahaja anda berhenti kerja, ia boleh menjadi kebiasaan.

    Akhir kata

    Pokok pangkalnya, kunci kepada kerjaya yang cemerlang adalah terus belajar dan berkembang maju. Maka, setiap kali anda mengambil keputusan untuk berhenti, pastikan anda menggalas cabaran yang lebih besar dalam kerja baharu demi pembelajaran dan kemajuan diri. Jika anda memikul peranan yang sama dan meletak jawatan atas sebab wang, jaga-jaga, ada perangkap yang menanti anda. 

    Semasa berhenti, jangan rosakkan hubungan anda dengan pekerja di situ. Biarpun rasa bagus sekali berpeluang mengulangi babak dalam cerita “The Devil Wears Prada”, iaitu babak apabila Anne Hathaway meletakkan gagang semasa bosnya masih bercakap di telefon, dunia kita agak kecil dan anda seharusnya meletak jawatan dengan cara yang baik.  

    Kemukakan sebab untuk meletak jawatan secara professional dan pastikan anda mengucapkan terima kasih kepada bos atas peluang yang diberi dan bantu syarikat untuk memudahkan proses peralihan kerja.

    Sumber

  • oleh
  • Mampukah Belia Malaysia Majukan Negara?

    A: “Pakcik, saya rasa pakcik patut lapangkan masa mendidik orang ramai bagaimana gunakan Touch ‘n Go… jam tangan ini hebat tapi saya rasa pakcik patut ajar mereka lebih lagi.”

    B: “Ya ke? Tapi pakcik dah banyak ajar orang ramai.”

    A: “Ya, tapi rasanya pakcik belum buat secukupnya.”

    Perbualan tersebut adalah di antara seorang budak lelaki berumur 10 tahun dengan Ketua Pegawai Eksekutif Touch ‘n Go, Syahrunizam Samsudin, mengenai ‘Time Traveller‘ – jam tangan yang berfungsi seperti kad Touch ‘n Go.

    Dalam temu bual dengan Leaderonomics baru-baru ini, Syahrunizam (atau Nizam, nama singkatan yang digemarinya) berkata beliau terkejut dengan tahap kematangan dan kebolehan berfikir budak lelaki itu, sama sekali tidak serupa dengannya pada usia itu dahulu.

    Bagaimana ini boleh berlaku? Apa yang membuatkan generasi muda kini berbeza daripada generasi dahulu?

    Potensi mereka hari ini adalah bayangan sekilas masa hadapan

    Kata Nizam, generasi muda kini telah disemai dengan nilai dan norma yang diturunkan daripada generasi ibu bapa dan datuk nenek mereka. Tambahan, minda mereka lebih berkembang dengan adanya akses mudah kepada pendidikan dan informasi di Internet.

    “Itulah sebabnya generasi muda telah sampai ke tahap lebih tinggi berbanding kita yang lebih tua ini!” katanya.

    Pernyataan ini tepat sekali jika anda mengikuti sesi dialog Transformasi Kebangsaan 2050 anjuran kerajaan yang melibatkan 1.5 juta belia Malaysia di serata negara.

    Para belia yang menghadiri sesi-sesi itu telah menyuarakan hal-hal berkaitan, antaranya, kesihatan mental kanak-kanak, pemerdagangan manusia, membina masyarakat berfikiran sivik, dan mengadakan sistem pendidikan holistik. Ini menunjukkan mereka berfikiran ke hadapan dan peka dengan persekitaran sekeliling mereka.

    Bagaimana kita memimpin mereka ke jalan yang betul?

    Boleh dikatakan bahawa belia Malaysia hari ini adalah bijak, inovatif, kreatif dan mempunyai tahap pengetahuan am yang tinggi.

    Tetapi, untuk mereka menterjemahkan kebolehan ini kepada tindakan supaya dapat memacu Malaysia ke tahap selanjutnya, mereka harus dilengkapi dengan sokongan dan bimbingan yang sewajarnya.

    Kata Nizam, saat-saat kritikal – atau masa mencabar yang dilalui seseorang dalam hidupnya – adalah elemen penting yang membentuk sifat perwatakan seseorang, dan mempengaruhi bakal diri mereka.

    “Pelumba basikal kebangsaan, Azizulhasni Awang, menghadiahkan saya sebuah lukisan yang ditandatangani dan ditulis dengan perkataan ‘derita’. Lukisan itu mengingatkan saya kepada setiap pengalaman yang perlu saya lalui untuk menimba ilmu baharu,” katanya.

    Nasihatnya kepada ibu bapa, pendidik dan mentor adalah supaya berkongsi pengalaman serta cabaran yang ditempuhi dan bagaimana mereka mengatasinya. Anak-anak muda juga perlu diberi ruang untuk membuat kesilapan dan belajar daripadanya, kerana itu yang akan memberi ketahanan dalam diri mereka.

    Perkara lain yang ditekankan Nizam adalah kepentingan menyemai nilai penting dalam diri anak-anak muda.

    Mengakui bahawa dirinya masih berfikiran tradisional dalam beberapa perkara, Nizam berkata budi bahasa kita, makanan dan cara berbahasa yang unik (menggunakan ‘lah’ dan menggabungkan dua atau tiga bahasa) menunjukkan keunikan bangsa Malaysia, dan semua aspek ini membantu merangsang perasaan kasih dan bangga pada Malaysia.

    “Semasa zaman persekolahan saya, dalam era 70an dan 80an, saya berasa yang saya berada di dalam kelompok rakyat Malaysia yang berfikiran serupa. Kami semua ingin berbuat yang terbaik untuk negara. Kami ingin pergi ke luar negeri untuk menjadi kebanggaan ibu bapa dan pulang menabur bakti pada masyarakat,” kongsi Nizam.

    Ibu bapa Nizam serta persekitaran mengajarnya erti kebanggaan dan kepentingan semangat perpaduan dan cintakan negara.

    “KALAU KITA INGIN MAJU SEBAGAI SEBUAH NEGARA, ASAS DAN NILAI YANG KUKUH HARUS TERUS DISEMAI DAN DITURUNKAN KEPADA GENERASI MUDA SUPAYA MEREKA MENGERTI AKAN PERANAN YANG PERLU MEREKA MAINKAN.”

    Bagaimana Touch ‘n Go membina pemimpin muda?

    Menerajui syarikat yang memperkenalkan sistem pembayaran elektronik pertama negara sejak dua tahun lalu, Nizam membawa bersama-samanya semangat yang tinggi kepada para pekerja di Touch ‘n Go. Bagaimana?

    Kuncinya adalah dengan menyemai rasa tujuan dalam setiap pekerja — ini adalah elemen penting bagi bakat muda. Mereka perlu merasa kerja mereka membantu memudahkan kehidupan orang ramai.

    Selain itu, beliau juga mengamalkan langkah-langkah berikut:

    Kepimpinan melalui teladan

    Salah satu cara Nizam mempersiapkan para pekerjanya untuk menjadi pemimpin adalah melalui sukan.

    Apa yang beliau ingin sampaikan adalah biarpun beliau berjawatan ketua pegawai eksekutif tetapi apabila berada di lapangan, beliau bukan lagi kapten tetapi hanya salah seorang anggota pasukan.

    “Saya ingin mereka sedar bahawa seorang pemimpin boleh juga menjadi pengikut, dan begitu juga seorang pengikut boleh menjadi pemimpin,” katanya.

    Menyesuaikan diri dengan bakat muda

    Bakat muda mempunyai cara berfikir dan keperluan yang berbeza daripada ‘Gen X’ dan ‘Baby Boomers’, misalnya keperluan untuk fleksibiliti, kebebasan dan pemerkasaan.

    Oleh itu, Nizam berkata syarikat-syarikat hari ini hendaklah fleksibel untuk menyesuaikan proses tanpa mengabaikan nilai teras dan pegangan syarikat untuk membantu bakat-bakat muda ini ‘terbang tinggi’.   

    Dekat di hati

    Apa yang jelas sepanjang perbualan kami dengan Nizam adalah kasihnya terhadap para pekerjanya. In kelihatan dalam cara beliau berinteraksi dengan mereka, yang membuahkan rasa kekitaan dan perpaduan dalam syarikat.

    Selain daripada sesi perjumpaan bersama pekerja pada setiap suku tahun, Nizam juga meluangkan masa mengadakan sesi teh tarik bersama 30 pekerja dalam satu-satu masa pada setiap hari Jumaat. Beliau menggelarnya ‘sesi terapi’ di mana mereka membincangkan perkara berbangkit. 

    “Kami mungkin tidak dapat mencapai penyelesaian pada sesi-sesi ini, tetapi kami memberi mereka platform untuk menyumbangkan idea kerana saya tidak mungkin ada jawapan untuk setiap persoalan,” katanya.

    Selain itu, syarikat juga mempunyai seorang jurulatih sukan yang mengendalikan pelbagai sesi setiap hari.

    Nizam juga bercakap mengenai kempen Projek57 Unity Ride di mana beliau mengambil bahagian sebagai pelumba basikal bersama-sama peserta berbilang usia dari syarikat-syarikat lain.

    Inisiatif Unity Ride ini, yang dilancarkan oleh Projek57 bersama Touch ‘n Go pada 6 Ogos, ialah penjelajahan berbasikal seluruh negara yang terdiri daripada sembilan peringkat. Matlamatnya adalah untuk menggalakkan perpaduan dan mengetengahkan cerita-ceritamengenai keindahan rakyat Malaysia.

    Berpandukan kepada pengalaman Nizam dalam peringkat pertama, di mana pelumba menaiki basikal sejauh 57km dari Dataran Merdeka ke IOI City Mall di Putrajaya, Nizam berkata: “Acara itu sungguh simbolik. Ia menunjukkan bahawa apabila kita sebagai rakyat Malaysia menumpukan perhatian kepada sesuatu perkara, kita akan berjaya melakukannya.”

    “Melalui sukan dan aktiviti sosial seperti inilah kita dapat mencapai perpaduan dalam sesebuah organisasi.”  

    Berganding bahu membentuk bangsa

    Menurut sebuah artikel dalam akhbar The Star baru-baru ini, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata polarisasi kaum masih bertapak di kalangan anak-anak muda, terutamanya di sekolah.

    Hal ini, di samping isu politik dan ekonomi yang membelenggu negara kini, mencabarkan nilai-nilai dan asas kehidupan yang dipegang oleh kaum belia.

    Pengasas bersama Projek57 Collin Swee berkongsi pengalaman yang dilalui bersama-sama para pelajar Sekolah Menengah Sains Dungun, Terengganu, salah satu tempat berhenti sepanjang Unity Ride ini.  

    “Semasa bengkel perpaduan yang kami kelolakan berkenaan hubungan kaum, pelajar-pelajar ini menyuarakan keinginan berjumpa dengan lebih ramai pelajar daripada kaum lain (memandangkan 100% pelajar di sekolah itu adalah daripada kaum Melayu).

    “Mereka ingin memeluk kepelbagaian. Mereka sedar masyarakat Malaysia semakin hari semakin jauh dipisahkan perkauman, dan ini tidak baik. Mereka memberi idea bagaimana mengatasi masalah perkauman. 

    “Kita selalu berfikiran bahawa mereka yang tinggal di tempat-tempat yang berjauhan sebegini tidak tahu atau kisah mengenai perkara seperti ini. Tetapi pengalaman yang saya lalui memberi saya harapan!”

    Inilah sebab mengapa ibu bapa, guru-guru, kerajaan, syarikat-syarikat dan masyarakat memainkan peranan penting dalam kehidupan generasi muda.

    Mereka perlu memberi peringatan kepada generasi muda tentang nilai-nilai positif yang diajarkan oleh nenek moyang mereka dan bagaimana ia penting untuk pembangunan negara.

    Mempunyai idea yang pintar dan inovatif adalah bagus, tetapi mengerjakannya sebagai satu bangsa adalah cara kita dapat maju sebagai sebuah negara.

    Ikutilah www.leaderonomics.com/bm untuk artikel, podcast dan video kepimpinan yang pasti membantu kembara kepimpinan anda! Untuk maklumat lanjut, sila e-mel editor@leaderonomics.com

    SUMBER

  • oleh
  • Tiada Pengalaman Kerja? Jangan Bimbang

    Anda telah memperoleh segulung ijazah dan sedang memburu kerja! Masalahnya ialah kebanyakan jawatan kosong yang ditawarkan memerlukan pengalaman. Namun, bagaimanakah anda boleh memperoleh pengalaman tanpa mendapat kerja terlebih dahulu. Dilema yang tidak berkesudahan ini menyebabkan graduan baharu, termasuklah sesiapa yang berniat untuk melompat kerja, mudah putus harapan.

    Jangan panik, dan jangan putus asa! Ramai yang dalam situasi yang sama. Pelajar yang menjalani latihan amali boleh menggunakan latihan tersebut sebagai pengalaman kerja, sekiranya relevan. Tetapi jika anda tidak berpeluang menjalani latihan amali, atau jawatan yang anda idamkan nyata berbeza daripada kerja yang pernah anda lakukan, berikut adalah beberapa tip untuk anda mendapatkan kerja yang diingini, walaupun pengalaman kerja anda serba kosong!

    Tip 1: Pupuk kualiti peribadi yang bagus 

    Kemahiran boleh dipindah milik ialah senjata rahsia anda! Anda pernah mengetuai kelab di sekolah? Ini dipanggil sebagai kepimpinan. Anda pernah menyertai pasukan sukan? Itu kerja berpasukan. Jika anda pernah mengendalikan acara, ini dikira sebagai pengurusan acara. Adakah sekarang anda melihat resume dari kaca mata berbeza?

    Semua yang pernah anda lalui ada impaknya dalam hidup. Sebagai graduan baharu, terdapat kemahiran yang mungkin anda miliki seperti pembacaan pruf, semakan fakta, penyelidikan, mahir dalam penggunaan Microsoft Office, pandai mengatur belanjawan, dan pandai menjalin interaksi sosial.

    Anda mungkin tidak pernah bekerja dalam persekitaran pejabat, namun anda sebenarnya pernah bekerja, dan jika anda mampu terjemah pengalaman yang anda lalui itu sebagai kemahiran, anda mungkin berjaya meyakinkan bakal majikan bahawa anda sememangnya ada pengalaman bekerja.

    Tip 2: Libatkan diri dalam kegiatan sukarela 

    Organisasi yang memerlukan sukarelawan tidak begitu cerewet akan pengalaman kerja dan sebagainya. Sambil menanti bakal majikan membalas permohonan kerja anda, jangan berlengah lagi!

    Kerja sukarelawan menawarkan peluang yang terbaik untuk anda meneroka dan memantapkan kemahiran, serta minat (dan sebaliknya), yang mungkin tidak pernah anda sedari. Jika anda bercadang untuk memohon kerja yang melibatkan kanak-kanak, menjadi sukarelawan di rumah anak yatim merupakan idea yang bijak.

    Anda bukan sahaja memperoleh pengalaman berurusan dengan kanak-kanak, sekali imbas anda juga dapat melihat perjalanan sesebuah organisasi, cara pengurusan dana, dan belajar melakukan pelbagai tugas dalam satu masa.

    Tip 3: Terus belajar 

    Jika anda kekurangan pengalaman kerja, maka ilmu ialah sahabat anda. Anda tidak memerlukan ijazah kedua, sebaliknya hanyalah sijil kemahiran, sama ada teknikal mahupun sosial, ini cukup untuk menarik hati bakal majikan.

    Pensijilan membekalkan anda lebih daripada ilmu; sijil juga menandakan anda seorang yang sanggup belajar dan komited untuk memantapkan diri. Sudah tentu pelajaran sahaja bukanlah ganti kepada pengalaman sebenar, tetapi ia merupakan batu loncatan yang baik.

    Tip 4: Sertakan sampel kerja

    Pujangga berkata, “Hanya jauhari mengenal manikam”. Sekiranya anda mempunyai sampel yang memberi gambaran tentang kemahiran anda, yang anda rasa boleh menarik hati bakal majikan, tonjolkannya!

    Sertakan dengan sampel reka bentuk jika anda memohon jawatan sebagai pereka grafik, dan sampel penulisan jika anda berhasrat untuk menjadi seorang penulis. Hasilkan video anda sedang memberi penerangan jika anda inginkan kerjaya dalam bidang jualan, dan rangka rancangan pemasaran untuk produk rekaan sekiranya anda mahu memulakan karier dalam bidang pemasaran.

    Sampel kerja menunjukkan majikan bukti kukuh akan kemampuan anda dan membantu majikan untuk lebih mempertimbangkan permohonan anda. Ingat, pemohon yang mempunyai pengalaman kerja mempunyai bukti dari segi pencapaian kerja terdahulu, maka anda memerlukan sesuatu yang lebih baik sebagai sokongan supaya tidak tewas dengan pesaing yang ada.

    Tip 5: Tonjolkan diri!

    Ini bukan masa untuk melangut; inilah masanya untuk anda menyambar peluang, dan lebih penting, PEKERJAAN. Sekiranya ada persaingan, bersedia untuk beradu tenaga! Mantapkan resume anda dengan surat pengiring yang menakjubkan!

    Jika perlu, hubungi syarikat tersebut seminggu selepas anda menghantar resume, dan tanya tentang status permohonan anda. Ini merupakan peluang yang baik untuk anda berhubung dengan pekerja di situ. Jika anda mampu membuatkannya kagum dalam masa lima minit, peluang anda untuk ditemu duga adalah lebih cerah.

    Tip 6: Jalin rangkaian sosial 

    Kadang-kadang, titik tolaknya bukanlah perkara yang anda tahu, tetapi siapa yang anda kenal! Manfaatkan sebahagian besar rakan dan kenalan anda!

    Jika rakan ibu anda memerlukan pekerja tambahan, tidak rugi untuk anda mendapatkan maklumat tambahan daripadanya. Siapa tahu, anda mungkin beroleh pengalaman kerja yang anda inginkan.

    Pertanyaan secara bersahaja tentang jawatan kosong membolehkan anda meraih peluang yang besar! Ajukan soalan kepada rakan berkenaan kerja mereka, serta kerja kosong di tempat kerja mereka, supaya anda beroleh gambaran jelas tentang tempat kerja tersebut dan melihat sama ada anda merupakan calon yang sesuai untuk pekerjaan tersebut atau tidak.

    Kunjungan ke pameran kerjaya turut membantu anda memperoleh rangkaian sosial kerana anda boleh mengenali insan penting dalam pencarian kerjaya anda, iaitu kumpulan Sumber Manusia! Paling utama, banyakkan bersabar. Teruskan dengan menghantar resume dan jangan berputus asa! Salah satu cara untuk gagal 100% adalah dengan tidak mencuba langsung.

    Teruskan usaha menambah baik diri. Berusaha untuk meningkatkan diri dan maju ke depan. Selidik syarikat yang anda ingin sertai dan sesuaikan dengan resume dan surat pengiring yang sepadan. Anda mungkin tidak berjaya memperoleh kerja yang anda inginkan, tetapi hal ini biasa  berlaku kepada kebanyakan orang, tidak kira apa-apa pengalaman kerja sekalipun. Bersabarlah. Sambil menunggu panggilan daripada majikan, asah kemahiran anda.

    Tip 7: Karyakan resume yang menarik 

    Surat pengiring membolehkan orang lain melihat diri anda dan perkara yang anda jangkakan secara sekali imbas. Apabila menulis surat pengiring, kemukakan sebab anda mahu menyertai syarikat tersebut, apa yang anda ada dan mengapa anda rasa anda boleh berjaya.

    Pastikan surat itu pendek (antara 200 dan 300 perkataan) kerana pengarah Sumber Manusia  perlu meneliti banyak permohonan dan tiada masa untuk membaca novel pendek!

    Sekiranya anda mempunyai personaliti yang menarik, kenapa tidak tonjolkan diri anda yang sebenar kepada bakal majikan? Buat sebuah resume video dan sertakan dengan permohonan kerja. Hal ini sangat berguna jika anda memohon kerja yang menekankan personaliti, seperti dalam bidang penjualan atau perkhidmatan pelanggan.

    Apabila menulis resume, selalunya anda perlu juga memasukkan pengalaman kerja. Jika anda tiada pengalaman, tekankan apa yang anda ADA, seperti gred dan kemahiran sosial yang diperoleh semasa di sekolah atau sewaktu menjadi sukarelawan.

    Jangan terlalu segan untuk menghubungi jabatan Sumber Manusia dan bertanya tentang status permohonan anda! Satu panggilan sudah memadai, seminggu selepas permohonan kerja dihantar.

    Ikutilah www.leaderonomics.com/bm untuk artikel, podcast dan video kepimpinan yang pasti membantu kembara kepimpinan anda! Untuk maklumat lanjut, sila e-mel editor@leaderonomics.com

    SUMBER

  • oleh
  • Adakah Anda Kenal Diri Sendiri?

    "Jika anda mahu tahu tentang masa silam anda, lihat keadaan semasa anda. 

    Jika anda ingin tahu tentang masa hadapan anda, perhatikan tindakan semasa anda."

    Goleman, Boyatzis dan McKee, dalam buku mereka Primal Leadership (Kepimpinan Primal), mentakrifkan "penyakit ketua pegawai eksekutif” sebagai "vakum informasi yang wujud di sekitar seseorang pemimpin apabila orang lain menahan informasi penting (dan yang kadang-kadang tidak menyenangkan) daripadanya."

    Gejala ini banyak terjadi di organisasi-organisasi Asia yang ketua pegawai eksekutifnya berada dalam keadaan penafian tentang situasi sebenar bisnes mereka dan tidak terbuka kepada kritikan atau berita buruk.

    Malah, di beberapa organisasi, lembaga pengarahnya dianggotai kroni-kroni dan orang lain yang tidak mungkin mengkritik prestasi ketua pegawai eksekutif berkenaan. Akibat ini, ketua pegawai eksekutif tersebut akan mempunyai titik buta yang signifikan yang tidak disedarinya. Penawar untuk penyakit ini adalah kesedaran diri.

    "Apabila tentera anda tidak lagi membincangkan masalah mereka dengan anda, ini bermakna anda telah berhenti menjadi pemimpin mereka,” kata Colin Powell. "Mereka sama ada telah hilang keyakinan bahawa anda boleh membantu mereka atau membuat kesimpulan bahawa anda tidak peduli."

    Tidak ada sesiapapun yang mengalu-alukan berita buruk tentang diri sendiri. Tetapi pemimpin yang mempunyai kesedaran diri bukan sahaja menerima maklum balas, malah mereka juga mencarinya. Mereka berbuat demikian kerana mereka mahu terus belajar dan berkembang. Tanpa kesedaran diri, prestasi pemimpin tidak akan tumbuh.

    Tanyalah mana-mana pemimpin dan mereka akan bersetuju bahawa kesedaran diri adalah kritikal untuk berjaya. Namun, ramai yang tidak mengetahui kekuatan sebenar atau aspek-aspek diri yang perlu ditingkatkan. Apabila seseorang pemimpin lebih menyedari diri, dia akan menjadi pemimpin yang lebih hebat. Namun begitu, kebanyakan pemimpin tidak ada masa untuk membuat renungan peribadi. Kenapa kita elak daripada menerokai diri sendiri?

    Kesedaran diri bermakna menyedari kekuatan-kekuatan diri sambil mengakui apa yang masih perlu dipelajari. Ini termasuk mengakui anda tidak tahu jawapan untuk sesuatu dan mengakui telah membuat kesilapan, yang mana kadang-kadang sangat menyakitkan. Sama ada anda mengakui kelemahan anda atau tidak, semua orang tetap dapat melihatnya.

    Kesedaran diri yang berterusan adalah kuncinya

    Kesedaran diri yang berterusan sangat kritikal kerana kekuatan anda, yang telah membawa anda ke tahap sekarang, mungkin menjadi isu pada masa ini.

    Beberapa tahun yang lalu, kami melantik seorang individu yang berprestasi tinggi ke jawatan pengurusan. Dia sangat hebat dalam hal-hal yang terperinci, melaksanakan tugasnya dengan baik dan mempunyai kemahiran proses yang kuat. Setelah dinaikkan pangkat, dia menghadapi masalah-masalah yang signifikan dengan pasukannya.

    Kekuatannya dalam ketelitian dan pelaksanaan proses bertukar menjadi kelemahannya kerana dia cuba mengurus secara mikro dalam segala sesuatu dan tidak memperkasakan pasukannya. Malah, kekuatannya dalam pelaksanaan secara individu juga tidak dapat dipergunakan dalam situasi bekerja dalam pasukan. Kami semua dapat melihat kelemahan-kelemahannya tetapi dia sendiri tidak sedar kenapa dia tidak berjaya.

    Kesedaran diri amat mencabar kerana sangat sukar untuk kita melihat diri sendiri seperti mana orang lain dapat melihat diri kita dengan begitu mudah. Jadi bagaimana boleh kita memulakan perjalanan kesedaran diri ini?

    Tingkap Johari

    Baru-baru ini, saya telah membantu seorang pemimpin kanan mendapatkan lebih banyak wawasan tentang kepimpinannya. Saya berbuat demikian dengan menggunakan pendekatan Tingkap Johari, yang mempunyai 4 kuadran utama:

    • Kawasan Terbuka: Apa yang orang lain dan anda tahu tentang diri anda.
    • Kawasan Terlindung: Apa yang orang lain tahu tentang anda, tetapi yang anda sendiri tidak mengetahui. 
    • Kawasan Rahsia: Apa yang orang lain tidak tahu tentang anda, tetapi anda mengetahuinya - rahsia anda.
    • Kawasan Gelap: Apa yang orang lain dan anda tidak tahu tentang diri anda.

    Kita semua mempunyai titik-titik buta dan jika kita mengetahuinya, kita boleh menjadi pemimpin yang lebih baik. Tingkap Johari menggalakkan kita untuk membesarkan Kawasan Terbuka sambil mengecilkan Kawasan Terlindung dan Kawasan Gelap supaya kita boleh mengawal diri dengan lebih baik. Tidak mengetahui titik buta sendiri adalah punca berkembang biaknya “penyakit ketua pegawai eksekutif”.  

    Cara terbaik untuk mengecilkan Kawasan Buta adalah dengan mendapatkan maklum balas yang berterusan. Terdapat pelbagai pendekatan yang boleh digunakan termasuk penilaian multi-taksir 360, Indikator Jenis Personaliti Myer-Briggs, dan Pencari Kekuatan. Ia mungkin mengambil masa seumur hidup untuk mengenali diri sepenuhnya tetapi ia boleh dipercepatkan dengan maklum balas yang jujur daripada orang lain. Peter Drucker menggalakkan semua pemimpin supaya mengkaji semula secara berkala jangkaan-jangkaan yang telah ditetapkan berbanding keputusan sebenar yang telah dicapai.

    Doug Baker, yang berusia tiga puluhan, adalah pekerja yang berprestasi tinggi di Ecolab. Dia dinaikkan pangkat untuk menguruskan sebuah anak syarikat. Oleh kerana dia selalu sahaja berjaya, dia menjadi sangat angkuh dan mementingkan diri sendiri. Tetapi pekerja-pekerja bawahannya memberinya beberapa maklum balas yang keras dan mendedahkan 'kawasan buta'nya.  

    Dia berkata, "Ia seperti seseorang memegang cermin di hadapan saya semasa saya menunjukkan sikap yang paling buruk. Apa yang saya lihat sangat menakutkan, tetapi adalah pengajaran yang besar. Selepas itu, saya melakukan banyak pencarian jiwa tentang jenis pemimpin yang saya bakal jadi, berbincang dengan pasukan saya dan meminta bantuan mereka.” Kesedaran diri inilah yang mendorongnya untuk menjadi ketua pegawai eksekutif Ecolab sembilan tahun kemudian.

    Sekolah bisnis juga turut mencari pemohon yang memiliki kesedaran diri. "Tiada yang lebih baik daripada mempunyai kesedaran diri dan keupayaan untuk menyatakan dengan jelas bagaimana mereka dapat menyesuaikan diri seperti yang sepatutnya," kata Rosemaria Martinelli, Pengarah Kemasukan Wharton. Pete Johnson, Pengarah Kemasukan MBA di Berkeley, berkata, “adalah lebih baik jika pemohon mempunyai kesedaran diri daripada mendakwa bahawa dirinya tiada kelemahan". Namun begitu, kebanyakan sekolah bisnis jarang mengajar pelajar MBA tentang cara mereka patut mengambil masa untuk mencari diri. 

    Jeff Immelt, Ketua Pegawai Eksekutif General Electric, berkata, "Saya patut menjadi pendengar yang lebih baik berikutan krisis ini. Saya seharusnya telah melakukan lebih banyak lagi untuk menjangkakan perubahan radikal yang telah berlaku." Pengakuan kesedaran diri seperti ini mendedahkan bahawa Immelt akhirnya mungkin terdaya membawa GE maju ke hadapan.

    Sebagaimana kita dapat mengemas rambut dengan elok apabila kita berada di hadapan cermin, maklum balas tentang tingkah laku kita akan membantu kita menjadi pemimpin yang lebih baik, dan meningkatkan pertimbangan kita. Ramai di antara kita mempunyai kawasan buta Tingkap Johari yang besar dan perlu memperbetulkannya dengan segera.

    Baru-baru ini, saya bekerja dengan seorang ketua pegawai eksekutif yang tidak disenangi dan dicurigai rakan-rakan sekerjanya kerana dia pemimpin yang amat agresif. Dia tidak begitu memahami titik-titik buta ini sehinggalah dia dipaksa untuk mendapatkan maklum balas secara kerap. Kita semua akan bergelut dengan maklum balas yang negatif, tetapi jika kita tidak tahu bagaimana orang lain melihat kita, kita tidak akan dapat beroperasi dengan efektif.

    Menjadi ketua yang sahih

    Andrea Jung, Ketua Pegawai Eksekutif Avon, mengambil masa untuk merenung dan menyedari kekuatan dan tujuannya sebelum dia mengubah Avon dan misinya daripada organisasi menjual kosmetik kepada organisasi yang memperkasakan kaum wanita.

    Howard Schultz menubuhkan Starbucks hasil daripada saat kesedaran diri pada awal zaman kanak-kanaknya apabila dia bersumpah untuk memperbaiki satu kesalahan yang ditanggung oleh bapanya.

    Beberapa minggu lalu, saya berpeluang menemu ramah dan menghabiskan masa dengan Ram Charan, seorang pakar bisnis. Ram menegaskan kepada saya tentang kepentingan kesedaran diri dan bagaimana seseorang boleh menjadi pemimpin yang tulen.

    Kevin Sharer, Ketua Pegawai Eksekutif Amgen yang bekerja dengan Jack Welch dalam tahun 80-an, berkata, "Semua orang mahu menjadi seperti Jack, tetapi kepimpinan mempunyai banyak suara. Anda perlu menjadi diri sendiri, bukannya cuba untuk menjadi seperti orang lain."

    Seperti yang dikatakan oleh Bill George, realitinya adalah bahawa “tidak ada seorang pun yang boleh menjadi sahih dengan cuba menjadi seperti orang lain. Tidak dapat dinafikan bahawa anda boleh belajar daripada pengalaman orang lain, tetapi anda tidak boleh berjaya dengan mencuba untuk menjadi seperti mereka. Orang mempercayai anda apabila anda bersikap tulen dan sahih, bukan tiruan.” Dan anda hanya boleh menjadi pemimpin yang sahih dengan membina kepimpinan anda atas dasar anda yang sebenar - personaliti, ciri-ciri dan pilihan anda yang akan menjadikan kepimpinan anda unik.

    Fokus pada kekuatan, bukannya kelemahan

    Pada tahun 1982, para penyelidik telah merakam video dua pasukan boling yang sedang bermain dalam beberapa pusingan pertandingan. Pasukan-pasukan itu kemudiannya menonton rakaman tersebut untuk memperbaiki permainan mereka. Tetapi video yang ditonton telah disunting dengan cara berbeza;  satu pasukan menerima rakaman yang hanya menunjukkan kesilapan mereka manakala video pasukan lain hanya menekankan persembahan-persembahan baik mereka. Selepas mengkaji video tersebut, kedua-dua pasukan itu berjaya meningkatkan permainan mereka. Tetapi pasukan yang mengkaji video yang menunjukkan persembahan baik berjaya memperbaiki skor mereka dua kali ganda lebih banyak berbanding pasukan yang menonton video yang menunjukkan kesilapan-kesilapan mereka.

    Kajian ini menyimpulkan bahawa jika kita memberi tumpuan kepada diri sendiri, tanpa mengira kesilapan atau kekuatan, ia akan menghasilkan pembaikan. Tetapi sekiranya kita berfokus kepada kekuatan kita, ia akan mendatangkan lebih banyak faedah.

    Rath dan Conchie dalam buku mereka yang bertajuk Strength Based Leadership (Kepimpinan Berdasarkan Kekuatan) mendedahkan rahsia untuk menjadi pemimpin yang berkesan: Mengetahui kekuatan-kekuatan anda dan memanfaatkannya.

    Setiap pemimpin bisnis yang telah saya temu ramah memulakan perjalanan kepimpinan mereka dengan disiplin kesedaran diri. Kesemua mereka memberi tumpuan kepada kekuatan mereka dan membina gaya kepimpinan yang sahih daripada diri mereka yang sebenar. Anda juga boleh berbuat demikian.

    Jadi, ambillah masa untuk berfikir tentang diri anda serta siapa anda sebenarnya. Lebih baik lagi kalau anda boleh dapatkan beberapa maklum balas. Tetapi berhati-hati, anda mungkin akan mula berubah!

    Ikutilah www.leaderonomics.com/bm untuk artikel, podcast dan video kepimpinan yang pasti membantu kembara kepimpinan anda! Untuk maklumat lanjut, sila e-mel editor@leaderonomics.com

    Sumber

  • oleh
  • Ada Sahabat Di Tempat Kerja?

    Tony Stark si Iron Man, Dr. Bruce Banner ataupun Incredible Hulk, Hawkeye, Black Widow dan Captain America merupakan adi wira terhebat yang berlawan dalam pertempuran secara berseorangan. Kemudian mereka disatukan oleh Nick Fury untuk menyelamatkan dunia daripada kejahatan Loki. Beginilah permulaan filem “Avengers.” Semasa menonton filem ini, kita nampak sekumpulan adi wira dengan ego menggunung, yang tidak cekap membuat kerja dan kerap bertengkar sesama mereka, tetapi tiba-tiba mereka berubah menjadi sebuah pasukan berprestasi tinggi. Bagaimanakah transformasi ini terjadi?

    Jika anda menonton semula filem ini (seperti yang saya lakukan) dan melihat cara mereka berinteraksi antara satu sama lain, anda akan menyedari bahawa titik perubahan kejayaan mereka berlaku apabila mereka berhenti bertumpu pada diri sendiri dan bersahabat dengan yang lain. Lebih banyak masa yang diluangkan bersama-sama dan sewaktu ikatan persahabatan ini semakin erat, kerja mereka menjadi lebih cekap. Apabila persahabatan mereka bertambah rapat, ahli Avengers ini menyedari betapa penting setiap orang dan mereka mula mengambil peduli akan kekuatan masing-masing. 

    Persahabatan memberi dorongan

    Dalam kehidupan (malah dalam cerita Avengers!), tiada sesiapa mampu mengharunginya secara berseorangan. Hakikatnya, tiada sesiapa mampu hidup tanpa berhubung dengan orang lain. Jauh di pelosok hati kita sedar bahawa kita dicipta untuk berhubung dengan orang lain. Entah bagaimana Tuhan menciptakan kita dengan keinginan memiliki sesuatu yang tidak dapat dikecapi sekiranya kita bersendirian. 

    Persahabatan menggerakkan Avengers. Selalunya persahabatanlah yang menjadi pendorong bagi perniagaan-perniagaan besar. Penubuhan Sony bertitik tolak daripada persahabatan yang mendalam antara Akio Morita dan Masaru Ibuka. Asal penubuhan Intel pula berpunca daripada persahabatan antara Andy Groove, Gordon Moore dan Bob Noyce. Malah kewujudan Apple juga terhasil daripada persahabatan antara Steve Jobs dan Steve Wozniak. Persahabatan yang erat membolehkan perkongsian dalam sesuatu perniagaan bertahan lama.

    Pernyataan saya ini didokong beberapa kajian. Menurut kajian yang dijalankan oleh Gallup, persahabatan secara personal meningkatkan kepuasan hati sebanyak 50%. Dalam kajian Gallup yang bertajuk “Vital Friends: The People You Can’t Afford To Live Without,” (Sahabat Baik: Insan Yang Anda Tidak Boleh Hidup Tanpa Mereka), hasilnya menunjukkan bahawa pekerja yang mempunyai tiga orang kawan di tempat kerja mempunyai 46% kebarangkalian berasa puas dengan kerja mereka dan 88% daripadanya berpuas hati dengan kehidupan, selain kurang terdedah dengan kemalangan berkaitan kerja, dan lebih berminat untuk berurusan dengan pelanggan.

    Malah, kaji selidik penanda aras keterlibatan pekerja Q-12 oleh Gallup menyertakan soalan seperti ‘Adakah saya mempunyai kawan baik di tempat kerja?’ sebagai salah satu penanda keterlibatan yang bagus di tempat kerja. Mempunyai sahabat baik di tempat kerja dikaitkan dengan produktiviti, keuntungan, dan pengekalan pekerja yang lebih tinggi serta meningkatkan motivasi dan kepuasan pelanggan bagi sesuatu organisasi.

    Satu lagi kajian menyeluruh tentang persahabatan yang dijalankan oleh Gabriella Conti merumuskan bahawa pendapatan kita (orang dewasa) adalah 2% lebih tinggi apabila seseorang menganggap kita sebagai kawan rapat semasa di sekolah menengah. Ini bermaksud jika ada lima orang menganggap anda sebagai salah seorang daripada tiga kawan rapat yang sama jantina, gaji anda mungkin 10% lebih tinggi. Nampaknya persahabatan juga memberi kesan kepada gaji anda secara langsung.

    Donald Trump Salah!

    Pada sambutan Krismas yang lepas, saya menerima sebuah buku Donald Trump sebagai hadiah. Sebaik sahaja menyelak buku itu, ada cerita tentang siri realiti TV Trump yang terkenal iaitu The Apprentice. Dalam hampir kesemua episod The Apprentice, anda dapat melihat ahli perniagaan yang terkemuka berlawan antara satu sama lain untuk merebut kemegahan dalam dunia korporat. Ayat yang biasa digunakan ialah, “Saya di sini bukan untuk mencari kawan! Tiada kaitan dengan urusan peribadi." 

    Bagi kebanyakan ketua perniagaan, persahabatan merupakan aspek yang dianggap pantang larang untuk meraih kejayaan dalam perniagaan. Mereka sememangnya salah (ya, termasuklah Donald Trump, kini Presiden Amerika Syarikat). Perniagaan yang terbaik mempunyai pasukan yang memaparkan persahabatan yang erat, yang setiap ahlinya sanggup “bermati-matian demi satu tujuan” dan demi pasukan itu sendiri.

    Ada perkara yang tidak disedari oleh Donald Trump dan ketua perniagaan yang lain, iaitu punca utama kegagalan dalam perniagaan adalah disebabkan tahap kepercayaan yang rendah. Kepercayaan bertambah baik apabila anda bersahabat dengan rakan sekerja. Hal ini berlaku melalui perhubungan dan persahabatan dari hati ke hati. 

    Dalam filem Avengers, persahabatan antara adi wira tersebut akhirnya membentuk kepercayaan antara satu sama lain. Malah, mereka mula menyelamatkan antara satu sama lain apabila ada yang terjatuh dari bangunan dan mereka memberi kepercayaan kepada rakan sepasukan untuk memimpin dan melaksanakan sesuatu misi. 

    Pasukan yang bagus berkembang maju kerana setiap orang memainkan peranan masing-masing. Sekali-sekala mereka juga turut membantu menyelesaikan masalah yang timbul apabila salah seorang daripada mereka gagal. Jika kita tidak berkawan sesama kita dalam sesebuah pasukan, kita tidak mungkin akan ‘menyelamatkan’ yang lain apabila mereka jatuh. Lebih teruk, jika ada kebencian antara rakan sekerja dalam sesebuah organisasi, mereka akan ‘seronok’ melihat kejatuhan orang lain, kerana ini menyediakan jalan pintas untuk mencapai kejayaan buat diri sendiri.

    Hidup lebih lama

    Yang menakjubkan, persahabatan di tempat kerja boleh memanjangkan umur (ya, inilah hakikatnya!). Pengkaji dari Universiti Tel Aviv melaporkan bahawa seseorang yang suka berkawan dengan orang lain di tempat kerja mempunyai risiko meninggal dunia yang nyata lebih rendah, tanpa mengira apa-apa punca kematian sekalipun. Hasil ini kekal sama sepanjang kajian dijalankan selama 20 tahun. 

    Sebuah lagi kajian oleh Universiti Flinders menemui bahawa sesiapa yang menjalinkan persahabatan yang erat hidup lebih lama daripada orang yang mempunyai tidak ramai kawan. Perbezaan ini adalah sebanyak 22%. Lagi memeranjatkan, hubungan kekeluargaan langsung tidak memberi kesan kepada kadar kematian. Yang mengagumkan, sebuah lagi kajian menunjukkan bahawa seseorang yang mempunyai hubungan sosial yang bagus mempunyai kadar risiko mati 50% lebih rendah daripada mereka yang terhad hubungan sosial.

    Daripada kajian ini juga, bos yang teruk didapati tidak menyumbang kepada kematian awal. Rakan-rakan yang ramai membantu memberi kesan yang ketara kepada jangka hayat kita; namun demikian bos yang suka memberikan pertolongan tidak pula menyumbang apa-apa. 

    Bersantai bersama rakan sekerja? 

    Banyak syarikat menghabiskan sejumlah wang mengusahakan inisiatif keterlibatan pekerja. Berapa banyakkah inisiatif sebegini termasuk strategi yang dijalankan untuk membantu membangunkan dan mengekalkan hubungan persahabatan antara pekerja? Persahabatan itu penting dan ada nilainya. 

    Sahabat merupakan insan yang mengenali anda, memahami perkara yang telah anda lalui, menerima anda seadanya, dan mendorong anda untuk menjadi lebih maju.  Bukankah ini merupakan inti pati keterlibatan pekerja dan kepimpinan? Iaitu menerima dan memberi galakan sesama kita serta menolak antara satu sama lain untuk berkembang maju dan memenuhi potensi diri. Ini semua menjadi impian ketua-ketua perniagaan. Jadi, kenapa tidak kita usahakan cara meningkatkan persahabatan untuk semua di tempat kerja? 

    Salah satu cara dalah dengan memberi ruang kepada para pekerja untuk makan angin bersama-sama bagi mewujudkan ikatan persahabatan. Di Leaderonomics, kami bekerja keras memastikan kami sentiasa berpeluang untuk mengeratkan persahabatan di tempat kerja.

    10 langkah merapatkan persahabatan 

    1. Hulurkan tangan terlebih dahulu. Ambil langkah pertama untuk memulakan persahabatan. Jangan tunggu orang lain menegur anda terlebih dahulu.
    2. Tidak hakimi seseorang. Kawan kita boleh jadi sesiapa sahaja. Jangan terpengaruh dengan penampilan atau reputasi seseorang. Anda mungkin tidak berpeluang untuk membina persahabatan yang terunggul apabila anda mudah menghakimi orang lain.
    3. Luangkan masa untuk berkawan di tempat kerja.  Tetapkan masa untuk ‘berkenalan’ dengan rakan sekerja dan pupuklah persahabatan itu. 
    4. Pastikan anda memberi perhatian penuh. Apabila berada bersama dengan rakan sekerja, belajar menjadi pendengar dan dengar betul-betul.
    5. Belajar untuk sayangkan orang lain. Persahabatan yang tulus lahir daripada rasa sayang dan ambil berat.
    6. Belajar untuk sayangkan diri. Apabila anda tidak menyukai diri sendiri, orang lain boleh ‘menghidu’ perasaan ini dan akan memberi reaksi yang sama seperti yang anda lakukan.
    7. Jadilah sahabat seperti yang anda mahukan. Anda akan mendapat hasil sebanyak yang anda semaikan dalam persahabatan
    8. Berlaku jujur dengan rakan-rakan. Tanpa kejujuran tiadalah persahabatan.
    9. Selalu berhubung apabila ada masa. Sekiranya anda selalu mengembara, ketiadaan anda boleh menjejaskan persahabatan. Cari jalan untuk terus berhubung.
    10. Tanda kebaikan. Sekali sekala hujani kawan-kawan anda dengan hadiah yang ringkas, nota dengan kata-kata yang disertai galakan dan isyarat kecil yang menunjukkan mereka sentiasa dalam ingatan anda. Rakan-rakan anda akan sayang pada anda.

    Akhir kata 

    Ramai ahli genetik menyatakan kita semua patut berkawan sesama kita kerana hakikatnya kita semua bersaudara. Menurut mereka, setiap yang hidup hari ini mempunyai 1.1 juta saudara sejak dari zaman 1066 SM; waktu itu jumlah penduduk dunia hanyalah seramai 200 juta orang. Hal ini bermaksud kebarangkalian dua individu yang hidup hari ini lahir daripada nenek moyang yang sama beberapa ribu tahun lepas adalah kira-kira satu per dua ratus. Ini bermakna kita semua berasal daripada nenek moyang yang sama. 

    Maka untuk kita membina persahabatan di tempat kerja, ini sepatutnya tidak menjadi masalah. Kita boleh menganggap kita hanya menjalinkan persahabatan dengan ‘saudara-mara’ yang telah terputus hubungan. Ingat, jika anda sedang mencari-cari kerja, anda sepatutnya mempunyai sahabat. Cara utama seseorang memperoleh kerja adalah melalui rujukan rakan-rakan.

    Kita banyak meluangkan masa seharian di tempat kerja, maka kita perlulah menghargai persahabatan di tempat kerja, dengan menjadikan aspek ini sebagai perkara utama untuk kita kekalkan. Maka, marilah kita berusaha untuk menjalinkan hubungan persahabatan yang erat dengan rakan sepejabat dan pekerja kita. Ini boleh menentukan jatuh bangun kita dalam perniagaan.

    Ikutilah www.leaderonomics.com/bm untuk artikel, podcast dan video kepimpinan yang pasti membantu kembara kepimpinan anda! Untuk maklumat lanjut, sila e-mel editor@leaderonomics.com

    Sumber

  • oleh
  • Cungkil Permata Tersembunyi Dari Dalam

    Sewaktu kami sekeluarga menonton cerita Avengers, saya mula terfikir tentang adi wira dan perubahan menakjubkan yang dialami mereka. Hampir semua adi wira, sama ada Spiderman mahupun Incredible Hulk, melalui proses transformasi,  bertukar daripada insan biasa menjadi makhluk yang sangat berkuasa.

    Peter Benjamin Parker, adi wira kegemaran saya sepanjang zaman, hanyalah seorang lelaki muda yang miskin dan yatim piatu. Dia menjalani perubahan aneh, bertukar menjadi Spiderman Hebat setelah terkena gigitan lelabah radioaktif.  

    Begitu juga musuh ketatnya, Green Goblin. Lelaki ini, pada asalnya seorang ahli perniagaan, bertukar bentuk menjadi penyangak yang tersangat jahat. Dr. Bruce Banner pula secara tidak sengaja terdedah kepada radiasi; hasilnya Banner memiliki kuasa Hulk yang luar biasa.

    Hampir kesemua adi wira dan penyangak ini berubah memiliki kuasa yang menakjubkan hasil pengaruh luaran (iaitu labah-labah, serum, radiasi).

    Lucunya, kajian pula menunjukkan transformasi diri kebanyakannya bermula dari dalam. Malah kepimpinan dan gandingan yang hebat juga tercapai dari dalam, bukannya melalui perubahan dari luar.

    Transformasi dalam dunia perniagaan

    Namun tidak menghairankan, banyak perniagaan yang tercari-cari ‘gigitan berbisa’ untuk melaksanakan perubahan. Kebanyakannya melakukan transformasi dengan melantik ketua pegawai eksekutif baharu. Ada yang memilih untuk meninggalkan industri ‘lapuk‘ lalu menceburi pasaran baharu yang  tengah hangat.  

    AOL dan Time Warner membuat keputusan untuk bergabung dengan harapan gandingan dua gergasi ini bakal melahirkan harimau muda yang tajam taringnya.  Namun perniagaan lain memilih untuk memperkenalkan produk baharu atau meniru idea dari luar untuk mengubah organisasi. Lazimnya usaha sebegini gagal.

    Meskipun begitu, banyak transformasi  dalam perniagaan bukannya datang dari luar. Sebaliknya transformasi luar biasa yang tercatat dalam sejarah, seperti pembaharuan Apple pada tahun 1997 sehinggalah kebangkitan Old Spice, semuanya bertumpu pada desakan dalaman.

    Marvel

    Malah, syarikat induk Spiderman, yang menampilkan kisah transformasi Marvel Entertainment, semuanya secara jelas menunjukkan perubahan tidak tercetus dari luar, tetapi bermula dari dalam.

    Pada tahun 1996, Marvel mencatatkan kerugian besar sebanyak $464 juta. Pada 8 Oktober 1996, Marvel mengumumkan ia akan melanggar perjanjian pinjaman bank tertentu disebabkan oleh penurunan hasil jualan dan keuntungan. Satu pertiga daripada pekerjanya dipecat.  

    Kemudian pada 27 Disember 1996, penerbit Marvel Comics memfailkan tuntutan bawah Bab 11 Perlindungan Kemuflisan di New York. Ini merupakan peluru terakhir yang menenggelamkan Marvel, setelah berusaha mencari penyelesaian selama bertahun-tahun.

    Kesemua usaha awal Marvel untuk berubah ditumpukan terhadap mencari ‘gigitan berbisa’ ajaib.  

    Pertama, mereka percaya bahawa satu-satunya cara untuk berubah adalah melalui pengambilalihan dan perkembangan rantaian nilai. Ini bermula dengan pengambilalihan Hero World, pengedar komik kecil-kecilan. Kemudian disambung pula dengan Fleer and Skybox Trading, iaitu pengeluar kad dagangan sukan. Ini diteruskan lagi dengan pengambilalihan Toy Biz, pereka dan peruncit mainan kanak-kanak; Panini Group, pengeluar pelekat hiburan dan sukan dari Itali; serta Kumpulan Penerbitan Welsh dan Penerbitan Malibu.

    Setiap pengambilalihan membawa mereka tersasar lebih jauh daripada transformasi yang diidamkan. Mereka turut menceburi perniagaan restoran dengan menubuhkan Restoran Marvel. Mereka berbuat demikian dengan harapan usaha ini bakal menyuntik ‘gigitan berbisa’ yang bakal mengubah syarikat.  

    Namun semuanya tidak berkesan. Jadi, bagaimana Marvel  berjaya melakukan transformasi?

    Kejayaan Marvel mengubah diri

    Pada tahun 1999, Marvel akhirnya memutuskan untuk meneliti masalah dari akar umbi. Dengan meneliti satu-persatu aspek dalaman, akhirnya mereka menyedari mereka ada banyak harta tersembunyi.

    Salah satunya ialah karakter remaja lelaki canggung yang bergayut dengan tali lelabah, sekumpulan mutan dan seorang saintis yang berubah menjadi hijau apabila berang. Marvel mempunyai koleksi adi wira dan penyangak yang menakjubkan, tetapi mereka tidak pernah menyedari lubuk emas yang mereka miliki.  

    Adi wira Avengers yang membariskan Spider Man, Iron Man, Incredible Hulk, X-Men serta penyangak terjahat seperti Venom, Loki, Dr. Doom yang melengkapi pasukan adi wira ini merupakan segerombolan selebriti komik yang  tidak diambil peduli dan dipandang enteng oleh Marvel bertahun-tahun lamanya.  

    Marvel mula menyedari kelebihannya sendiri, yang mencakupi lebih 5000 karakter dan kisah. Inilah yang benar-benar memenangi hati para pembaca komik sebelumnya (termasuklah saya). Kelebihan ini diguna pakai sebagai strategi untuk mengubah syarikat ini.

    Daripada menjadi pemilik francais komik, Marvel bertukar peranan sebagai pemegang lesen bagi karakter dan penceritaan, lalu mengangkat karakter popular Marvel menjadi bintang filem.

    Pada tahun 2005, Marvel mencatatkan keuntungan melebihi $120 juta.  Rupa-rupanya, transformasi Marvel bertitik tolak dari dalam.  Namun, bertahun-tahun lamanya, semua di Marvel mencari-cari cara membaik pulih dari luar.

    Permata tersembunyi ada dalam organisasi

    Kisah ini sama sahaja bagi kebanyakan organisasi. Transformasi anda tidak bergantung pada ‘gigitan berbisa’ seseorang konsultan terkemuka mahupun ketua pegawai eksekutif baharu. Penggabungan selalunya tidak berhasil.  

    Harta karun yang dicari-cari sebenarnya terletak pada organisasi anda. Dan selalunya harta karun ini jarang dianggap sebagai aset yang bernilai. Hakikatnya, harta ini terhijab walaupun berada di hadapan mata. Ambil masa untuk selidiki harta yang bernilai dalam perniagaan anda sedalam-dalamnya, anda pasti menemuinya.

    Kajian 10 tahun oleh Bain & Co. mendedahkan bahawa 75% daripada syarikat Fortune 500 “menghadapi ancaman pemupusan dalam sedekad penubuhannya” melainkan jika syarikat dapat mengcungkil “harta tersembunyi ... bagi mengenal pasti diri semula”.  

    Kebangkitan Marvel daripada pemupusan menunjukkan adi wira bukan satu-satunya entiti yang mempunyai kuasa tersembunyi.

    Perniagaan juga memiliki kuasa tersebut, yang berada dalam bentuk aset yang tidak dimanfaatkan dan tidak dihargai. Kuncinya ialah kita perlu keluar dan mencari permata tersembunyi itu, serta memanfaatkannya seperti yang dilakukan Marvel.

    Cari permata tersembunyi dalam diri

    Hal ini boleh juga diaplikasikan oleh kita semua. Dalam diri kita, tertanam permata yang tersembunyi, mungkin bakat yang tidak diasah dan aspirasi yang sudah lama terbenam.

    Transformasi diri sebenarnya bermula dari dalam. Namun kita semua masih tercari-cari akan gigitan ajaib yang bisa merobah hidup. Kita melanggan program diet untuk mengubah penampilan diri. Kita mencari sesuatu yang baharu untuk mengubah nasib. Tetapi, semua pemimpin terkemuka akan memberitahu anda bahawa kekuatan anda sebenarnya terletak dalam diri. Kita hanya perlu mencari kekuatan itu dan memanfaatkannya sehabis baik.

    CEO Avon Products, Andrea Jung meluangkan masa untuk bermuhasabah, mengenali kekuatan tersembunyi dan tujuan hidupnya sebelum dia mengubah Avon, daripada misi menjual kosmetik kepada memerkasakan wanita.  

    Howard Schultz menubuhkan Starbucks setelah bermuhasabah sewaktu dia kecil, apabila dia berjanji pada diri untuk membetulkan kesilapan yang dilakukan terhadap ayahnya.

    Rakan saya Jamie Andrew kehilangan kedua-dua tangan dan kakinya dalam kemalangan di sebuah gunung, namun dengan bermuhasabah, dia menyedari kemampuannya untuk menjadi yang terhebat. Dia telah mendaki gunung, menyertai triatlon Ironman, dan boleh menjugel beberapa biji bola, sekalipun tanpa tangan dan kaki.

    Untuk berubah, kita tidak memerlukan "gigitan berbisa" (pengaruh luaran). Semuanya datang dari dalam.

    Langkah mencari permata tersembunyi

    Jadi, bagaimana boleh kita ketemui permata tersembunyi dalam organisasi dan diri kita sendiri?  Saya sarankan anda untuk mengikuti langkah-langkah ini:

    • Mulakan dengan menyelami perniagaan/diri anda sedalam-dalamnya.  Lontarkan soalan-soalan yang rumit.  Lakukan diagnostik rapi terhadap perniagaan dan cuba fahami keadaan semasa perniagaan dan kekuatan anda.
    • Selidiki setiap aspek perniagaan dari kaca mata berbeza untuk mencari aset tersembunyi. Ingat, aset tersembunyi ini bukanlah betul-betul tersorok dari pandangan mata. Aset sebegini mempunyai ciri-ciri yang membolehkan anda melihat perniagaan dari cara yang tidak pernah anda sedari sebelum ini.
    • Wujudkan inventori aset tersembunyi. Senaraikan setiap satu aset tersembunyi yang ada. Selalunya hal ini memerlukan anda untuk keluar serta berborak dengan pelanggan dan pekerja.
    • Manfaatkan aset tersembunyi ini dalam proses transformasi. Apabila anda telah kenali aset tersembunyi itu, bangunkan model perniagaan dengan memanfaatkan kelebihan aset kepunyaan anda.

    Akhir kata

    Beberapa tahun lepas dalam majlis perkahwinannya, seorang lelaki bernama John menerima hadiah daripada ibu bapanya, iaitu sebuah lukisan. Lukisan itu bukanlah kesukaannya namun dia menyimpan hadiah itu selama 45 tahun, sehingga ibu bapanya meninggal dunia. Dia kemudian menyerahkan lukisan itu kepada seorang lelaki pengutip sampah.

    Pengutip sampah itu pergi ke sebuah kedai untuk memasang bingkai baru kerana bingkai yang lama sudah usang. Pemilik kedai itu menilai lukisan tersebut dan memberitahu bahawa lukisan itu nilainya berjuta-juta. Pengutip sampah tersebut terus menjual lukisan itu dan tidak percaya bahawa tuah berpihak pada dirinya.

    Selama 45 tahun, John tidak pernah menyedari apa yang ada dalam rumahnya sendiri, iaitu sebuah aset yang sangat menakjubkan. Akhirnya, dia menyerahkan permata tersembunyi itu, tanpa mengambil manfaat daripadanya.

    Dalam diri kita terdapat permata-permata sebegini.  Adakah kita bakal mensia-siakan permata bernilai ini dan kehilangannya seperti John?  

    Permata tersembunyi ini ada dalam perniagaan kita.  Adakah kita sedar akan kewujudannya? Janganlah kita tertunggu-tunggu tibanya saat gigitan lelabah berbisa.

    "Transformasi bermula dari diri kita."

    Ikutilah www.leaderonomics.com/bm untuk artikel, podcast dan video kepimpinan yang pasti membantu kembara kepimpinan anda! Untuk maklumat lanjut, sila e-mel editor@leaderonomics.com

    Sumber

  • oleh
  • Akui Kesilapan Di Tempat Kerja: 10 Cara Terbaik

    Dalam #KembaraHidup, kita tidak boleh lari dari kesilapan. Jika kita orang yang membuat kesalahan itu, akuilah. Jangan asyik pertahankan diri.

    Ikutilah www.leaderonomics.com/bm untuk artikel, podcast dan video kepimpinan yang pasti membantu kembara kepimpinan anda! Untuk maklumat lanjut, sila e-mel editor@leaderonomics.com

    SUMBER

    Perbaiki Tingkap Pecah!

    Ketika saya mula bekerja di General Electric (GE) pada pertengahan tahun 90-an, Jack Welch sedang dalam peringkat terakhir melaksanakan transformasi di GE. Beliau mengubah GE daripada sebuah perniagaan warisan Amerika menjadi sebuah organisasi yang amat produktif. Majalah Fortune menganugerahkan gelaran "Pengurus Abad Ini” kepadanya untuk pencapaiannya yang luar biasa. Pelbagai inisiatif dikatakan adalah penyebab kejayaannya tetapi apabila organisasi-organisasi lain cuba “meniru” langkah-langkah transformasinya, mereka gagal mencapai kejayaan yang diharapkan.

    Welch memberitahu pemegang-pemegang saham, “Jika kita tidak menyingkir pekerja-pekerja di lapisan 10% terbawah, ia bukan hanya satu kegagalan pengurusan tetapi kebaikan hati yang palsu”. Welch berkeras berbuat demikian pada setiap tahun, justeru itu berjaya memperbaharui GE setiap tahun. Tetapi, apabila organisasi lain cuba mengikut jejak Welch menyingkirkan 10% pekerja terbawah mereka, pekerja-pekerja yang terbabit mengambil tindakan undang-undang ke atas mereka, moral pekerja terjejas, dan produktiviti menurun. Welch memperkenalkan “WorkOut”, menjadikan “Six Sigma” fad pengurusan yang popular di seluruh dunia, mengadakan pergiliran kerja dan memperkenalkan praktis seperti “menjadi No. 1 atau No. 2”.

    Namun begitu apa yang berjaya di GE tidak bererti akan berjaya di syarikat lain. Contohnya, Ford Motor terpaksa membelanjakan $10.5 juta untuk menyelesaikan kes guaman oleh pekerja-pekerjanya ketika ia cuba meniru sistem penyenaraian kedudukan yang diperkenalkan oleh GE. Kenapa ini boleh terjadi?

    Neutron Jack

    Mungkin tidak ramai yang menyedari bahawa Welch sebenarnya tidak mencapai kejayaan pada peringkat awal transformasi. Media mengejeknya dengan gelaran “Neutron Jack” dan para pekerja menolaknya. Welch bergelut untuk membuat perubahan di GE dan cuma mendapat hasil yang sangat kecil. Beliau memberhentikan 118,000 pekerja GE tetapi pengurus tingkat pertengahan mengupah semula mereka sebagai pekerja sementara, perunding atau pekerja kontrak. Setiap sesuatu yang dilakukannya kadangkala dibuat kembali seperti asal oleh tenaga kerjanya .

    Akhirnya beliau menyedari penglibatan para pekerjalah yang membolehkan sesuatu perubahan berlaku. Apa yang perlu dicapai ialah revolusi budaya. Welch menyedari bahawa kunci kepada perubahan organisasi terletak dalam kemampuan untuk mengubah budaya. 

    Beliau menumpukan perhatian terhadap beberapa budaya GE yang menghalang proses pembaharuan. Pada mulanya WorkOut dilaksanakan untuk menyelesaikan masalah kurang kepemilikan oleh para pekerja tetapi kemudian digunakan untuk membantu meningkatkan produktiviti. Pada mulanya dasar pusingan kerja bertujuan untuk menangani budaya rasa puas hati dan budaya tolak perubahan, tetapi pada akhirnya berjaya menghasilkan generasi pemimpin yang dinamik.

    Dasar 10% pekerja terbawah pula menangani isu budaya prestasi. Setiap tindakan yang diambil terhadap isu budaya mempunyai kesan langsung kepada kejayaan transformasinya. 

    Oleh kerana Welch sangat mementingkan perubahan budaya, beliau melabur jutaan wang membina sebuah pusat budaya yang bernama Crotonville. Pusat ini menjadi pusat nadi kepada perubahan budaya tetapi syarikat-syarikat tersalah tafsirnya sebagai pusat pembelajaran.

    WorkOut, Crotonville atau Dasar 10% merupakan usaha-usaha yang mudah ditiru. Tetapi apa yang mereka gagal memahami adalah bahawa setiap inisiatif yang diambil adalah untuk menangani isu-isu budaya GE, bukan isu budaya mereka. Jadi tindakan meniru langkah-langkah transformasi GE tidak banyak membawa faedah kepada organisasi-organisasi lain seperti yang disedari Ford dan yang lain.

    Pengajaran perit

    Saya mempelajari pengajaran yang perit apabila ditugaskan ke Dallas untuk memimpin sebuah projek pengintegrasian. Itu adalah tugas kepimpinan saya yang pertama dan saya benar-benar ingin melihat keberkesanannya. Saya mengumpulkan input, mengadakan perbincangan dengan para pemimpin, mengambil tindakan dan melaksanakan perubahan dengan pantas. Tetapi transformasi berkenaan tidak menjadi kenyataan. Saya mempersoalkan kegagalan saya dan mendapati bahawa walaupun saya melakukan semuanya dengan “betul”, saya gagal menangani isu budaya organisasi. Kegagalan ini sangat penting kerana saya belajar secara langsung kaitan antara perhubungan dan budaya.

    Beberapa tahun kemudian saya kembali ke Malaysia untuk bekerja di sebuah syarikat membaik pulih pesawat yang mengalami masalah produktiviti dan pertumbuhan yang rendah. Dengan segera, kami menyedari bahawa kami mesti memberi perhatian terlebih dahulu kepada masalah budaya. Dan hasilnya sangat mengkagumkan. Syarikat tempatan itu berkembang menjadi sebuah organisasi global yang mempunyai piawaian bertaraf antarabangsa. Kami mendapat perkhidmatan pekerja ekspatriat bukan untuk pengetahuan teknikal mereka tetapi untuk membantu mengembangkan dan meneladani budaya baru.

    Untuk mengembangkan budaya baru, kami mengadakan parti satay untuk meraikan individu-individu dan kumpulan yang berjaya meningkatkan produktiviti. Kami melaksanakan projek-projek tindakan-pembelajaran yang melibatkan para pekerja dan menyemai rasa kepemilikan terhadap syarikat dan kekitaan sesama sendiri. Dalam masa beberapa tahun, kami mencapai hasil positif daripada pendekatan berasaskan budaya ini.

    Pemulihan Penerbangan Malaysia 2008-2010

    Datuk Seri Idris Jala berjaya menyelamatkan Penerbangan Malaysia (MAS) yang hampir muflis menjadi sebuah syarikat yang meraih keuntungan besar dalam masa dua  tahun semasa beliau menjadi ketua pegawai eksekutifnya. Ramai orang menganggap rancangan pemulihan dalam tiga tahun itu sebagai tindakan yang bijak. Tetapi jika anda mengkaji apa yang telah dilakukannya di MAS, perubahan budayalah yang sebenarnya telah membawa perubahan-perubahan di syarikat penerbangan itu.

    Semasa saya menemuramah beliau, Datuk Seri Idris menggariskan langkah-langkah yang digunakan dalam mengubah MAS daripada “sesuatu yang mustahil” kepada “campur tangan Yang Maha Berkuasa”. Beliau menerangkan bahawa sebahagian daripada budaya MAS mencerminkan persekitaran yang bebas kebimbangan, dan yang langsung tidak pedulikan apa-apa.

    Setiap kali MAS mengalami masalah, seseorang akan menyelamatkannya. Datuk Seri Idris merombak perubahan berlandaskan kenyataan Perdana Menteri ketika itu yang menyatakan bahawa kerajaan TIDAK akan lagi menyelamatkan MAS. Mereka perlu menyelamatkan diri. Beliau menggunakan situasi itu untuk membangkitkan semangat organisasi ke arah perubahan budaya.

    Satu lagi tindakan yang dikuatkuasakannya dikenali sebagai “berpaut segala semua kepada untung rugi”. Untung rugi organisasi disemak beliau setiap hari. Pada masa itu, MAS mempunyai budaya kurang kebertanggungjawaban. Dengan membuat semakan untung rugi secara teliti pada setiap hari, beliau mengubah budaya MAS daripada budaya kurang kepemilikan kepada budaya kebertanggungjawaban peribadi.

    Langkah-langkah lain seperti ‘tindakan disiplin’ dan ‘membina pakatan yang berjaya” telah dapat menangani isu-isu budaya yang lain di MAS, termasuk kurang pemberdayaan dan pelaksanaan. “Makmal Keuntungan” (Profitability Labs), di mana mereka yang bertanggung jawab untuk laluan penerbangan dan hasil akan “dikurung" dalam bilik sehingga mereka menghasilkan pelan untuk mendapatkan keuntungan dan hasil yang lebih. Ini telah mengubah budaya kerja di kalangan tenaga kerja MAS dan mewujudkan budaya pelaksanaan yang penuh semangat dan fokus.

    Teori Tingkap Pecah 

    Teori revolusi budaya sebelum proses perubahan bukanlah perkara yang baru. Ahli psikologi menamakannya sebagai Teori Tingkap Pecah (Broken Window Theory).

    Pada tahun 1992, terdapat 2,154 kes pembunuhan dan 626,182 kes jenayah yang serius di New York. Dalam tempoh lima tahun, kes pembunuhan di New York jatuh sebanyak hampir 70% dan kes jenayah yang serius pula berkurangan sebanyak 50%. Pada masa itu saya menetap dan bekerja di New York dan menyaksikan sendiri transformasi sebuah bandaraya yang berbahaya menjadi salah sebuah bandaraya yang paling selamat. Bagaimana jenayah dapat turun dalam masa sesingkat itu?

    David Gunn dan William Bratton, yang memainkan peranan utama dalam transformasi itu, mengamalkan Teori Tingkap Pecah. Teori ini menegaskan bahawa budaya adalah sebab utama berlakunya jenayah, bukan kerana orang menjadi jahat. Jadi, daripada menangkap penjenayah dan pembunuh, kes jenayah boleh menurun sekiranya kita dapat mengubah budaya tempat itu. Dalam kes ini, tingkap-tingkap pecah di bandaraya itu melambangkan bahawa tiada sesiapa peduli tentang kes jenayah dan ia telah menjadi sebahagian daripada norma budaya Bandaraya New York.

    Gunn dan Bratton menumpukan perhatian kepada sistem kereta api bawah tanah New York dan menghapus jenayah-jenayah kecil serta membaiki semua tingkap pecah dan contengan-contengan di bandaraya itu. Mereka bekerja tanpa mengenal penat-lelah untuk menangkap penumpang-penumpang yang tidak membayar tambang dan membersihkan semua contengan di jalan bawah tanah.

    Apabila jalan-jalan bawah tanah bertukar menjadi lebih bersih dan jenayah-jenayah ringan kurang berlaku, ia melahirkan suasana bahawa jenayah bukanlah "budaya" bandaraya itu. Dalam masa yang singkat, kes jenayah besar juga tidak berlaku lagi. Perubahan ini wujud bukan kerana pihak-pihak berkuasa menumpukan perhatian terhadap penghapusan pembunuh atau pelaksanaan program pencegahan. Tetapi kerana mereka menumpukan perhatian kepada tindakan membersihkan imej bandaraya itu, dan mewujudkan "budaya" baharu yang boleh dilihat dan diterap di bandaraya itu.

    Jadi, jika anda mahu melakukan perubahan di sekolah, bandar atau syarikat anda, tumpukan perhatian pada budaya. Ia bukan meniru apa yang dilakukan oleh Datuk Seri Idris Jala atau Jack Welch kerana budaya di tempat anda adalah berbeza. Sebaliknya, anda hanya perlu memperbaiki 'tingkap-tingkap pecah' di tempat anda dan melihat bagaimana budaya baharu membawa hasil kepada usaha-usaha transformasi anda.

    Ikutilah www.leaderonomics.com/bm untuk artikel, podcast dan video kepimpinan yang pasti membantu kembara kepimpinan anda! Untuk maklumat lanjut, sila e-mel editor@leaderonomics.com

    Sumber

  • oleh
  • Advertisement