Anda di sini

Long Pasia

Advertisement

Luba' buayeh lambang tradisi etnik Lundayeh di Long Pasia

Rip Libat 75, (kanan) bersama rakan-rakannya dari Kampung Long Pasia menunjukkan seekor buaya yang dibentuk menggunakan nasi.

SIPITANG: Kampung Long Pasia bukan hanya kaya dengan keindahan rimba semulajadinya malahan ia menyimpan adat budaya etnik Lundayeh, yang sekian lama menetap di sini.  

Terletak dalam daerah Sipitang, kampung ini bersempadan antara Sabah, Sarawak dan Kalimantan  Timur, Indonesia yang dihuni kira-kira 1,000 penduduk.

Kampung, yang berusia lebih 400 tahun, itu masih mengekalkan tradisi yang melambangkan kekuatan pahlawannya pada zaman dahulu iaitu dengan mengadakan upacara tarian mengelilingi tugu berbentuk buaya diperbuat daripada tanah.  

Menurut Penasihat Persatuan Kebudayaan Lundayeh Sabah, Ricky Ganang, tradisi itu dahulunya diadakan selepas seseorang pahlawan itu berjaya memenggal kepala musuhnya.  

Pahlawan itu akan mendirikan kayu yang dihias di kiri dan kanan tugu buaya yang dikenali sebagai "ulung buayeh".    

"Bagi meraikan kejayaan itu, upacara tarian mengelilingi tugu diadakan dan kemuncaknya, pahlawan akan menetak belakang ulung buayeh itu dengan sebilah pedang yang dipanggil "felefet" diikuti oleh pahlawan yang lain.      

"Sementara semua kepala musuh yang dipancung akan disimpan dalam bakul yang dipanggil "kuran" oleh seorang penghuni rumah panjang yang dikenali sebagai "lun ngimet kuran," katanya kepada Bernama.  

Beliau berkata etnik Lundayeh menganggap buaya melambangkan kekuatan dan sebagai simbol musuh yang berjaya dikalahkan melalui upacara yang dijalankan.  

Namun selepas kedatangan agama Kristian pada awal 1930an, perbuatan memenggal kepala tidak lagi diamalkan kerana ia perbuatan kejam selain bertentangan dengan ajaran agama.  

Malah upacara tarian juga sudah tidak diadakan sebaliknya simbolik tugu kini diubahsuai digantikan dengan menggunakan nasi yang digubah seperti seekor buaya sehingga diberi nama 'nasi buaya' atau luba' buayeh.    

Ricky berkata hidangan nasi buaya itu hanya dibuat pada majlis tertentu seperti perkahwinan dan keramaian bagi menyambut tetamu ke Long Pa'Sia, yang juga dikenali sebagai Kuala Sungai Merah.      

Penduduk kampung Madah Laban, 63, berkata golongan wanita akan bekerjasama memasak nasi dan bahan lain sebagai persiapan membuat nasi buaya.  

Adakalanya mereka menggunakan nasi kuning di samping bahan masakan lain yang dihidangkan termasuk telur ayam yang dimasak, ubi kayu, bunga kantan, kelupis, tuhau dan timun.  

"Sehari sebelum majlis kami akan menyediakan bahan-bahan untuk nasi buaya dan semuanya boleh didapati di sini (Long Pasia)," katanya yang telah berhijrah ke kampung itu sejak berusia lima tahun.    

Long Pasia terletak kira-kira empat jam perjalanan dari Pekan Sipitang hanya boleh dilalui jalan hutan balak dengan menggunakan kenderaan pacuan empat roda.      

Berada kira-kira 1,000 kaki dari aras laut maka tidak hairanlah suhu pada waktu pagi seolah-olah berada di kawasan kaki Gunung Kinabalu.    

Kini Kampung Long Pasia meskipun terletak jauh terpencil namun ia juga tidak dilupakan dalam menerima arus pembangunan terutamanya dalam bidang pendidikan selain telah memiliki menara telekomunikasi.    

-- Bernama
 

Advertisement