TUARAN: Sebuah keluarga kehilangan tempat tinggal apabila rumah mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Selupoh di sini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran Mohammad Nor Amit berkata, kejadian jam 8 malam Rabu itu bagaimanapun tidak membawa sebarang kemalangan jiwa.
Katanya, sepasukan pegawai serta anggota digerakkan ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 8.03 malam.
“Semasa ketibaan pihak bomba, kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis tidak kekal berkeluasan 30x20 terbakar sepenuhnya.
“Pihak bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran, 300 kaki, dua pancutan daripada sumber air jentera bomba,” katanya.
Menurutnya, operasi berjaya dikawal setengah jam kemudian dan tiada mangsa terlibat dilaporkan.
“Punca kejadian serta jumlah keseluruhan kejadian masih dalam siasatan dan sebaik memastikan tiada bahaya lain dilokasi operasi ditamatkan pada jam 9.02 malam,” katanya.