Anda di sini

PTM pentaskan Puteri Maharani selama tiga hari

Advertisement
SAKRANI
SAKRANI

KOTA KINABALU: Selepas Puteri Golbadalperi dan Megat Terawis, Persatuan Teater Malaysia (PTM) mengakhiri program pementasan Siri Panggung Bangsawan tahun ini dengan Puteri Maharani di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini mulai hari ini hingga 13 Oktober depan.

Presiden PTM, Sakrani Shamsuddin berkata program itu adalah usaha sama PTM dengan DBP, Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara serta disokong oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

Katanya, ia bertujuan memartabatkan seni persembahan bangsawan di samping menarik minat dan memperkenalkan masyarakat terhadap teater bangsawan.

“Bangsawan merupakan satu bentuk kesenian tradisional. Usaha pemuliharaan dan menyemarakkan seni pementasan bangsawan perlu dilaksanakan oleh pihak kerajaan serta penggiat seni teater tanah air.

“Siri Panggung Bangsawan secara tidak langsung akan membangunkan seni bangsawan di Malaysia dan mengembalikan kegemilangan pementasan bangsawan sebagai satu cabang seni yang popular bagi menarik pelancong domestik dan luar negara. 

“Persembahan Bangsawan perlu dipentaskan secara berterusan agar seni teater bangsawan akan terus menjadi warisan negara, hak milik Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, semalam.

FAIZAL RUHAIJAT, AISYAH INSYIRAH
FAIZAL RUHAIJAT, AISYAH INSYIRAH

Sakrani yang juga pengarah Puteri Maharani berkata selain pementasan bangsawan itu, turut diadakan Bengkel Seni Lakon yang akan dikendalikan oleh beliau sendiri pada 12 Oktober nanti.

Katanya, bengkel itu diadakan khas untuk para pelajar Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus (IPGM) Bahasa Melayu yang merupakan penggerak utama projek pementasan itu.

Puteri Maharani mengisahkan pengembaraan Tengku Kamar Al-Zaman ke Inderapuri bagi menimba pengalaman bertemu dan mengetahui kehidupan rakyat.

Baginda akhirnya bertemu dengan Puteri Gambus yang kemudian menjadi pasangan hidup baginda dan ditabalkan sebagai Puteri Maharani.

Antara pelakon yang menjayakan pementasan ini ialah Faizal Ruhaijat sebagai Tengku Kamar Al-Zaman dan Aisyah Insyirah sebagai Puteri Gambus/Puteri Maharani.

  • oleh
  • Advertisement