Anda di sini

18,000 jentera Wanita GRS sedia hadapi PRN-17

Advertisement
 Azizah merakamkan gambar kenangan bersama Ketua-Ketua Wanita GRS selepas mempengerusikan Mesyuarat Wanita GRS.
ALBUM: Azizah merakamkan gambar kenangan bersama Ketua-Ketua Wanita GRS selepas mempengerusikan Mesyuarat Wanita GRS.


KOTA KINABALU: Hampir 18,000 anggota jentera Pergerakan Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah bersiap sedia untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17  (PRN-17) kelak.


Ketua Wanita GRS, Datuk Seri Panglima Azizah Mohd Dun berkata, persiapan itu melibatkan seluruh 73 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dijangka ke semuanya akan menyaksikan pertandingan.


Menurut beliau, segala gerak kerja telah pun bermula dan jentera berkenaan akan lebih kerap menemui rakyat di peringkat akar umbi bagi melaksanakan program yang dirancang.


"Pada masa kini 18,000 jentera telah pun bergerak dan mereka akan terus bekerja sehingga kerajaan negeri dibubarkan dan PRN-17 bermula.


"Kita berharap jentera berkenaan yang terdiri daripada pelbagai peringkat usia akan melaksanakan sebaik mungkin aktiviti masing-masing," katanya.


Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Taklimat Gerak Kerja Wanita GRS, baru-baru ini.


Dalam perkembangan berkaitan, Aziah turut berharap lebih ramai calon wanita dapat diketengahkan pada pilihan raya yang akan datang.


Katanya, meskipun tidak mendesak tetapi Wanita GRS berpendapat matlamat memenuhi 30 peratus calon wanita penting sejajar dengan hasrat pembelaan wanita dan sumbangan kepada Sabah.


Terdahulu, Azizah dalam ucapan turut mengingatkan jentera Wanita GRS agar tidak berasa selesa atau terlalu yakin untuk memperoleh kemenangan.


"Kemenangan sebenar hanya boleh diraikan sebaik sahaja pengumuman atau pengisytiharan Suruhanjaya Pilihan Raya pada malam hari mengundi PRN kelak.


"Berdasar kepada sejarah pilihan raya lalu baik PRN atau PRU, apa sahaja boleh berlaku dan corak rakyat mengundi kadang-kadang begitu kompleks dan sukar diramalkan. Apa sahaja boleh berlaku. Ramalan terbalik 360 darjah biasa berlaku," katanya.


Oleh itu, jentera Wanita perlu lebih agresif dalam mendekati rakyat dan pengundi dan tindakan itu memerlukan perancangan yang rapi, kecekalan dan kesabaran yang tinggi.


Malah katanya, gerak kerja juga harus lebih progresif serta cekap membaca sikap pengundi.


"Kita tidak boleh lagi bergantung kepada persepsi dan andaian semberono. Kita memerlukan satu gerak kerja yang lebih mendalam bagi mendapatkan fakta lebih tepat terhadap sokongan yang diterima parti," katanya.


Tambah Azizah, pada masa yang sama pengundi anak muda kini menjadi elemen penting dalam setiap pilihan raya dan sikap mereka juga sangat sukar untuk diramal.


"Sikap mereka mudah berubah. Mereka mudah terdedah dan terpengaruh dengan persekitaran, pengaruh rakan-rakan, ahli keluarga dan juga dakyah di media sosial.


"Hanya dengan janji-janji palsu, bulan bintang sahaja, golongan ini mudah bertukar corak pengundian. Meskipun, apa yang dijanjikan tidak praktikal dan sukar dilaksanakan. Di sinilah pentingnya, gerak kerja kempen untuk meneutralkan semula dakyah yang wujud," katanya.


 

  • oleh
  • Advertisement