Anda di sini

Peranan Pertubuhan Peladang diakui bantu pembangunan Sabah

Advertisement
 Salleh melancarkan beras jenama Peladang yang akan dipasarkan oleh PPN Sabah di majlis itu.
PELADANG: Salleh melancarkan beras jenama Peladang yang akan dipasarkan oleh PPN Sabah di majlis itu.

KOTA KINABALU: Pertubuhan Peladang (PP) diakui memainkan peranan penting dalam membantu membawa pembangunan di Sabah, khususnya menerusi sektor pertanian dan perladangan.

Presiden Kehormat Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Sabah, Datuk Seri Panglima Dr. Salleh Said Keruak berkata, banyak manfaat yang dibawa pertubuhan itu kepada rakyat Sabah jika ia digerakkan dengan aktif.

Katanya, aktiviti peladang yang berasaskan tanah sebagai medium untuk menggerakkan pertanian dan perladangan cukup mudah jika ada komitmen untuk membangunkannya.

"Walaupun sekarang ini ada pelbagai teknologi yang diperkenal, asasnya adalah tanah. Tanah berperanan penting dalam aktiviti peladang seperti orang kata, berbudi kepada tanah.

"Konsep saya jangan terlalu kreatif, contohnya biarlah satu campur satu itu sama dengan dua, tidak perlu fikir bagaimana untuk menjadikannya lebih daripada itu.

"Maknanya, usahakan saja tanah dengan kepakaran yang ada kerana apa yang penting ialah bagaimana menggunakan tanah untuk membangunkan negeri," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Sempena Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Negeri Sabah Kali Ke-36, di Hotel Promenade, di sini.

Hadir sama Pengerusi PPN Sabah, Datuk Mohd Nazri Abdullah.

Salleh yang juga bekas Ketua Menteri Sabah, berkata, jawatan tidak semestinya boleh membantu dalam memastikan kejayaan sesebuah organisasi seperti Pertubuhan Peladang.

Sebaliknya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan itu berkata, komitmen terhadap usaha memajukan pertubuhan itu lebih penting dan harus diutamakan oleh kepemimpinan Pertubuhan Peladang di negeri ini.

"Saya pernah menjadi Ketua Menteri, Menteri Persekutuan, Ahli Parlimen dan Senator, tapi semua itu tidak penting. Apa yang penting ialah kita berkhidmat kepada masyarakat, jawatan tidak semestinya boleh membantu, yang penting adalah komitmen.

"Kuncinya apakah kita sudah tambah pendapatan peladang, kalau pendapatan tidak selari dengan kos, maka akan timbul masalah pada masa akan datang," katanya.

Salleh berkata, sebagai Presiden Kehormat PPN Sabah, beliau sentiasa memantau perkembangan pertubuhan itu dan berkongsi perkara yang bermanfaat ke arah kemajuan PP di Sabah.

Pada majlis itu, Salleh turut melancarkan beras dengan jenama Peladang yang akan dipasarkan PPN Sabah sebagai antara aktiviti perniagaan pertubuhan berkenaan.

Salleh turut melancarkan Pusat Khidmat Sehenti Hal Ehwal Majikan dan Pekerja Peladang Sabah serta menyampaikan sumbangan PPN Sabah kepada anak ahli Pertubuhan Peladang yang mencatat kecemerlangan dalam pelajaran.

Sementara itu, Pengurus Besar PPN Sabah, Ruddy Hasmawie Mohamad berkata, perniagaan pemasaran beras PPN Sabah dijalankan di premisnya di Lot 49-50, Kian Yap Industrial Estate, Lorong Durian 3, Kolombong.

Katanya, lokasi itu sebagai permulaan perniagaan beras yang dilaksanakan PPN Sabah sebelum diperluaskan ke seluruh Sabah untuk manfaat ahli dan rakyat keseluruhannya.

"Objektifnya ialah membekalkan beras dengan harga berpatutan untuk membantu masyarakat dan juga Ahli Peladang khususnya. 

"Ia juga bagi membantu dan memperkukuhkan jenama Peladang yang menjadi ikon kepada pergerakan Pertubuhan Peladang dalam semua produk yang dipasar dan dikeluarkan oleh pergerakan ini," katanya.

Beliau berkata, produk itu sama ada dikeluarkan ahli individu, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK), Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) atau Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS).

Katanya, PPN Sabah menjual Beras Putih Import (5 kilogram (KG), 10KG, 50KG) dan Beras Wangi import (5KG, 10KG, 50KG) jenama Peladang.

Advertisement