Anda di sini

WARISAN belum putuskan bertanding semua kerusi DUN

Advertisement
 Shafie (dua kiri) bersama Darrel (kiri) dan Azis (dua kanan) pada sidang media selepas majlis itu.
SIDANG MEDIA: Shafie (dua kiri) bersama Darrel (kiri) dan Azis (dua kanan) pada sidang media selepas majlis itu.

KOTA KINABALU: Parti Warisan (WARISAN) belum memutuskan sama ada akan bertanding di semua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

Bagaimanapun, Presiden WARISAN Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal memberi jaminan WARISAN akan bertanding di semua kawasan DUN yang pernah dimenangi parti itu sebelum ini.

Katanya, persoalan sama ada WARISAN akan bertanding di semua kerusi DUN atau tidak perlu melihat kepada aspek kedudukan, kekuatan dan kebolehan yang dimiliki parti.

Menurutnya, langkah itu bagi memastikan semua kerusi yang ditandingi terus diperkuat dan diperkukuhkan untuk menang pada PRN17.

"Bagi merealisasikan supaya kejayaan itu dapat kita lahirkan, di antara pertimbangan yang kita sedang lakukan ialah penilaian di peringkat akar umbi," katanya pada sidang media selepas Majlis Sembang Santai Bersama Datuk Seri Shafie Apdal (DSSA) di sini hari ini.

Beliau berkata, ada beberapa kerusi yang pernah dipegang kuat oleh WARISAN dan beberapa kerusi yang pernah dimenangi parti itu.

Sehubungan itu, pihaknya akan membuat penilaian dari segi latar belakang pengundi untuk memperkuatkan lagi kedudukan WARISAN di kawasan berkenaan.

Selain itu, pihaknya juga akan melihat jumlah kerusi yang boleh ditambah untuk membolehkan kawasan DUN berkenaan akan dapat memberi kekuatan kepada WARISAN.

"Memang ada suara-suara yang bertanya sekiranya WARISAN akan ada gabungan dan berkongsi dengan mana-mana pihak?.

"Jadi setakat ini kita belum membuat sebarang keputusan, walaupun itu antara pilihan yang kita akan lakukan," jelasnya.

Turut hadir, Timbalan Presiden WARISAN Datuk Darrel Leiking dan Ketua Penerangan WARISAN Datuk Mohd Azis Jamman.
 

  • oleh
  • Advertisement