BAITULMUQADDIS: Tentera Israel kelmarin mendakwa telah “membunuh” pemimpin Hamas di Lubnan, ketika ia meneruskan operasi untuk menyasarkan kumpulan pejuang yang disokong oleh Iran di negara itu.
“Semalaman IAF (tentera Israel) menyerang dan memusnahkan kumpulan pimpinan Fatah Sharif, ketua bagi cabang Lubnan dalam pertubuhan Hamas,” kata tentera Israel dalam satu kenyataan.
“Sharif telah bertanggungjawab untuk menyelaras aktiviti Hamas di Lubnan dengan operatif Hizbullah. Dia turut bertanggungjawab bagi usaha Hamas di Lubnan untuk merekrut operatif serta memperolehi senjata,” tambah kenyataan itu.
“Dia mengetuai usaha pembangunan kuasa bagi pertubuhan Hamas di Lubnan dan beroperasi untuk memperkembangkan kepentingan Hamas di Lubnan, sama ada dari segi politik dan ketenteraan,” katanya.
Hamas menyatakan pada awal kelmarin bahawa Sharif telah terbunuh dalam serangan udara ke atas rumahnya di kem Al-Bass di selatan Lubnan.
Kumpulan itu berkata dia telah terbunuh bersama dengan isteri, anak lelaki dan anak perempuannya dalam “pembunuhan oleh pengganas dan penjenayah”.
Media rasmi Lubnan, Agensi Berita Negara, melaporkan serangan udara ke atas Al-Bass berhampiran bandar Tyre, menyatakan ia adalah “kali pertama” kem itu telah disasarkan.
Sharif juga merupakan seorang pekerja di agensi bagi pelarian Palestin Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, UNRWA, namun sejak beberapa bulan ini dia telah diarahkan untuk cuti pentadbiran.
“Sharif merupakan seorang kakitangan UNRWA yang diarahkan untuk cuti pentadbiran tanpa gaji pada Mac, dan sedang menjalani siasatan berikutan dakwaan yang diterima oleh UNRWA mengenai aktiviti politiknya,” kata agensi itu. — AFP