Anda di sini

Guardiola optimis, yakin kemampuan Bratis bersaing

Advertisement
 

BRATISLAVA: Pengurus Manchester City, Pep Guardiola (gambar) kelmarin berkata bahawa dia tidak memandang ringan lawan mereka dalam aksi Liga Juara-Juara minggu ini, Slovan Bratislava ketika skuadnya terus menyesuaikan diri tanpa pemain tengah utama, Rodri.

Juara Eropah 2023 itu bertandang ke Bratislava untuk perlawanan kedua dalam format baharu Liga Juara-Juara, selepas diikat tanpa jaringan dalam perlawanan pertama oleh  Inter Milan.

Lawan mereka pada Selasa, bagaimanapun merasai pengalaman pertama dalam pertandingan elit kelab bola sepak Eropah sejak 1992, dan memulakan kejohanan ini dengan kekalahan 1-5 kepada Celtic dua minggu lepas.

“Apabila anda memenangi empat kejuaraan Liga Perdana Inggeris secara berturut-turut dalam salah satu liga paling sukar di dunia dan memenangi Liga Juara-Juara dua tahun yang lalu, kami menerima hakikat bahawa kami akan  menjadi pasukan pilihan menang setiap kali kami bermain,” kata Guardiola dalam sidang media, sehari sebelum perlawanan menentang juara Liga Slovakia  itu.

“Mereka tidak memberikan saya (kemenangan) 2-0 sebelum perlawanan – ia bermula dengan 0-0, padang yang sama. Kami harus membuktikannya.

“Kami akan menurunkan pasukan terbaik untuk bersaing dan menewaskan mereka.

“Saya amat menghormati mereka dan corak permainan mereka tetapi kami akan cuba mengawal permainan.”

Paling utama dalam corak permainan City akan ditentukan oleh barisan tengahnya.

Pemain Manchester City hadir pada sesi latihan di Manchester, England, kelmarin. — Gambar AFP
Pemain Manchester City hadir pada sesi latihan di Manchester, England, kelmarin. — Gambar AFP

Bercakap selepas Guardiola pada sidang media yang sama, pemain pertahanan City, John Stones, menyatakan bahawa dia  “100 peratus” bersedia untuk mengisi tempat Rodri jika dipanggil.

Rodri dijangka tidak akan dapat beraksi lagi sehingga tamat musim ini selepas mengalami kecederaan serius di bahagian lutut pada awal bulan September.

Walaupun bermain di posisi pertahanan tengah, Stones pernah diturunkan di posisi tengah beberapa kali oleh Guardiola sebelum ini.

“Ia berlaku dengan kerap sepanjang dua tahun yang lalu di mana saya bermain di posisi tengah. Ia sukar di final Liga Juara-Juara 2023 kerana saya bermain di posisi lebih atas, sesuatu yang baharu bagi saya tetapi saya menikmatinya,” kata Stones.

“Apa jua posisi yang diberikan kepada saya, atau siapa sahaja yang bermain di posisi tengah, pernah bermain di posisi ini sebelum ini dan tahu apa yang dimahukan oleh pengurus.”

Stones menambah dia ada bercakap dengan Rodri hujung minggu lepas dan memberikan perkembangan terkini tentang pemain antarabangsa Sepanyol berusia 28 tahun itu.

“Saya ada bercakap dengan Rodri semalam (Ahad) dan dia sedang  menjalani pemulihan yang baik.

“Dia dalam semangat yang baik. Sekarang dia tahu apa yang berlaku dan tahu dia dalam proses untuk kembali pulih, dia sudah menerima semua ini.” — AFP

Advertisement