PENAMPANG : Ketua Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO)
Penampang, Billy Joe Dominic tampil menjawab dakwaan Naib Presiden Parti Warisan, Terrence Siambun mengenai Pelan Mitigasi Banjir, Hospital dan pembangunan di Penampang seperti yang dilaporkan media tempatan baru-baru ini.
Katanya, dakwaan bahawa Warisan meluluskan pelan mitigasi banjir di Penampang adalah tidak benar.
"Sebenarnya, pelan ini diluluskan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sebelum Warisan memerintah.
“Namun, pelaksanaan projek Tebatan Banjir Penampang terhenti selama hampir tiga tahun disebabkan oleh kekurangan peruntukan untuk mengalihkan utiliti dan masalah pemindahan penduduk di kawasan pembinaan tebatan banjir,” katanya.
Beliau berkata, apabila Datuk Ewon Benedick mengambil alih sebagai Ahli Parlimen Penampang, beliau berusaha mendapatkan peruntukan tambahan dan mempermudahkan urusan agensi kerajaan yang bertanggungjawab melaksanakan projek terbabit.
“Kini, dengan usaha Ewon, projek tebatan banjir sedang giat dijalankan demi manfaat penduduk Penampang,” katanya.
Dalam pada itu, berhubung dakwaan Terence kononnya Hospital Penampang diluluskan semasa era pemerintahan Warisan, Billiy Joe berkata hakikat dan kenyataannya, tiada hospital yang diluluskan pada masa itu.
“Sebaliknya, hanya sebuah klinik kelas tiga yang dirancang untuk dibina. Klinik ini dijangka akan ditender pada tahun 2025. Peruntukan asal untuk projek ini sudah ditarik balik kerana kegagalan pelaksanaannya pada waktu yang ditetapkan.
"Sekali lagi, Ewon memainkan peranan untuk memohon agar peruntukan tersebut disalurkan semula untuk memastikan pembinaan klinik ini dapat diteruskan," katanya.
Billy Joe berkata, dalam aspek pendidikan di Penampang, kerajaan sudah menyediakan peruntukan tahunan kepada sekolah-sekolah di Penampang untuk melaksanakan pelbagai aktiviti.
Katanya, pelajar dari Penampang juga mendapat manfaat daripada pinjaman boleh ubah Yayasan Bank Rakyat serta biasiswa Angkasa yang ditawarkan kepada anak-anak ahli Koperasi yang ingin melanjutkan pelajaran.
"Agensi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) memainkan peranan aktif dalam menyokong sekolah-sekolah dan membantu pembangunan pendidikan di Penampang," katanya.
Menurutnya, meskipun tempoh dua tahun pentadbiran Ewon di Penampang mungkin bukan sempurna, namun terdapat beberapa pencapaian yang signifikan.
“Ini termasuklah penyelesaian masalah tanah di Togudon, pembinaan jambatan di Babagon, pembinaan jalan raya Terian-Buayan serta pembinaan projek Tamu Desa.
“Inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) oleh agensi KUSKOP juga aktif membantu golongan usahawan di Penampang,” katanya.
Menurutnya, penjelasan ini bukanlah bertujuan untuk menyerang mana-mana pihak, sebaliknya untuk membetulkan fakta yang mungkin disalahertikan oleh rakan-rakan di Warisan.
"ADUN Moyog masih daripada Warisan, dan Warisan juga sebahagian daripada kerajaan perpaduan. Yusoff Apdal, adik kepada Presiden Warisan, juga Timbalan Menteri di peringkat Persekutuan," katanya.
Sehubungan itu beliau berkata, ini bukan masa untuk menuding jari atau berpolitik.
"Sebaliknya, marilah kita bersama-sama menyelesaikan masalah di Penampang dan berusaha memajukan kawasan ini.
"Bila tiba masa pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN), barulah kita berpolitik. Buat masa ini, sebarang kekurangan boleh disempurnakan melalui kerjasama. Itu lebih baik untuk semua pihak," katanya.