TUNIS: Sekurang-kurangnya 12 rakyat Tunisia termasuk tiga kanak-kanak maut selepas sebuah bot pendatang karam di luar pantai pulau tenggara Djerba kelmarin, menurut pihak berkuasa kehakiman.
Bot itu tenggelam pada awal pagi dan 29 orang telah diselamatkan, jurucakap mahkamah Medenine Fethi Baccouche memberitahu AFP, sambil menambah bahawa lima lelaki dan empat wanita adalah antara yang terkorban, dan punca kejadian itu masih belum diketahui.
Pengawal Negara Tunisia menyatakan bahawa ia telah dimaklumkan oleh empat pendatang yang berjaya berenang ke tepi pantai.
Tunisia dan negara jiran Libya telah menjadi kawasan pelepasan utama bagi pendatang yang mahu mencari kehidupan lebih baik di Eropah.
Penghijrahan beramai-ramai adalah berpunca daripada ekonomi Tunisia yang lemah dan kadar pengangguran yang melambung tinggi.
Negara Afrika Utara itu turut digegarkan oleh ketegangan politik, selepas Presiden Kais Saied mengetuai rampasan kuasa pada Julai 2021. — AFP