Anda di sini

Tampilkan calon muda pada PRN17: Mazlan

Advertisement
 Arifin bersama Mazlan merakamkan gambar kenangan bersama perwakilan yang hadir pada Mesyuarat Agung Tahunan Gagasan Rakyat Bahagian Lumadan.
ALBUM: Arifin bersama Mazlan merakamkan gambar kenangan bersama perwakilan yang hadir pada Mesyuarat Agung Tahunan Gagasan Rakyat Bahagian Lumadan.

# Berikutan trend pengundi masa kini yang lebih memihak kepada calon muda

BEAUFORT: Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Lumadan, Mazlan Joehari Manan mencadangkan kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk mengetengahkan calon dari kalangan orang muda di beberapa kerusi berpotensi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Mengulas lanjut, Mazlan berkata ia berdasarkan trend pengundi masa kini yang lebih memihak kepada calon muda menerusi beberapa siri pilihan raya kecil (PRK) yang diadakan sebelum ini.

Katanya lagi, mengikut statistik pengundi hari ini sebanyak 40 peratus jumlah itu dipelopori pengundi muda dan faktor lain contohnya calon daripada orang muda juga memainkan peranan yang cukup besar dalam memastikan kemenangan parti.

"Kita dapat saksikannya pada siri PRK sebelum ini yang terbaru PRK Dun Mahkota di Johor apabila Barisan Nasional (BN) dengan calon orang muda berjaya mengalahkan calon senior parti lawan dengan majoriti besar.

"Momentum ini yang sedang berlaku sekarang, justeru cadangan saya sewajarnya kepimpinan parti mengambil peluang ini dengan mengetengah lebih ramai calon orang muda pada PRN ke-17 akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Mesyuarat Agung Tahunan Gagasan Rakyat Bahagian Lumadan yang diadakan di Dewan Pa' Musa, baru-baru ini.

Mesyuarat Agung Tahunan bahagian itu telah dirasmikan oleh Naib Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif.
MAZLAN
MAZLAN

Ketika ditanya mengenai kewajaran kerjasama di antara GRS-UMNO Sabah pada PRN17, Mazlan menyerahkan soal itu kepada pucuk pimpinan GRS untuk mempertimbang perkara berkenaan.

Katanya, kebimbangan kemungkinan sejarah 'kudeta' berulang lagi jika kerjasama itu dibentuk, beliau berpendapat itu bukan persoalannya.

Namun apa yang perlu diambil kira ialah bagaimana untuk memastikan kestabilan politik terjamin hasil daripada kerjasama itu.

"Kalau kerjasama itu boleh menstabilkan keadaan politik dan memberi kemajuan kepada Sabah, saya serahkan kepada pimpinan negeri untuk memikirkan bagaimana bentuk kerjasama itu.

"Biarlah bentuk kerjasama itu satu penyatuan yang kukuh, maksudnya janganlah di pertengahan jalan mempunyai masalah-masalah tertentu hingga timbul tindakan tidak sepatutnya.

"Biarlah kita bersama-sama sehingga ke akhir kerana apa yang penting bagi kita ialah kestabilan politik yang mampu membawa kemajuan dan kemakmuran kepada rakyat," katanya.

Turut hadir pada Mesyuarat Agung Tahunan Gagasan Rakyat Bahagian Lumadan,Ketua Gagasan Rakyat Bahagian Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob; Ketua Gagasan Rakyat Bahagian Kuala Penyu, Datuk Limus Jury; Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah dan Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Ruslan Muharam.

 
  • oleh
  • Advertisement