Anda di sini

Salah Parkir atau Salah Parkir?

Advertisement
 

Oleh: Intan Zubaidah

KERETA Afif berhenti di depan tempat letak kereta dengan lambang OKU. Pemandu kereta Produa Bezza berwarna merah itu bingung. Niat hati untuk parkir, berbelah bahagi. Tempat letak kereta itu masih kosong. Pintu masuk pusat beli-belah lebih dekat. Patutkah dia menggunakan tempat letak kereta itu?

    Dia menggenggam kemudi keretanya erat-erat. Dari cermin pandang belakang, tidak terlihat ada kenderaan lain berada di belakang keretanya. Ini bermakna, dia masih punya kesempatan untuk berfikir masak-masak.

    Perut sudah lapar. Nasi ayam Hainan di kedai nasi ayam terkenal pusat beli-belah itu sudah memanggil-manggil. Peluang keemasan ada di depan mata. Tentu rugi sekiranya peluang itu disia-siakan begitu sahaja.

    Masalahnya, di balik perut yang lapar, ada hati yang serba salah. Andai ada pemandu OKU lain yang mahu parkir nanti, tidakkah keretanya akan mengganggu. Namun tempat letak kereta OKU itu ada dua. Barangkali kehadiran keretanya dapat dipertimbangkan.

    Tempat letak kereta dengan lambang OKU itu ditenungnya lama-lama. Logo orang berkerusi roda yang terpampang, membawa ingatannya ke tempat letak kereta salah sebuah bangunan kerajaan beberapa bulan lalu.

    Tempat letak kereta dengan lambang yang sama, kosong tidak diparkir. Hal itu membuat niat untuk menggunakan tempat letak kereta itu muncul di lubuk hatinya lagi. Pun begitu, dia harus memastikan keadaan sekeliling tenang terlebih dahulu.

    Sedang dia meliarkan matanya ke kanan dan kiri, suatu kejadian janggal tertangkap oleh pandangannya. Seorang lelaki berbaju biru langit keluar dari pintu sisi bangunan tersebut. Di belakang lelaki itu kelihatan dua orang lelaki buta berbaris mengekorinya. Mereka memegang bahu orang di depan mereka umpama gerabak kereta api yang bersambung panjang. Mereka berjalan berbaris menuju ke sebuah van putih.

    Afif membuka tingkap kereta persis ketika lelaki berbaju biru langit itu lalu di tepi keretanya. Di situlah baru Afif dapat melihat logo orang memegang tongkat putih tersemat di dada kanan lelaki itu. Ternyata mereka datang dari sebuah persatuan OKU bermasalah penglihatan.

    “Tuan, jauhnya berjalan. Kenapa tak pakai tempat letak kereta OKU tu?”

    “Tak boleh katanya …”

    “Kenapa? Abang-abang ni semua bukan ke OKU? Jikalau OKU tak boleh pakai tempat letak kereta tu, siapa yang boleh pakai?”

    “Katanya sebab logo tu.”

    Perhatian Afif ditumpukan ke arah logo yang dimaksudkan. Setahunya, logo orang berkerusi roda itu juga dikenali sebagai The International Symbol of Access (ISA). Logo itu bukan melambangkan kemudahan OKU namun ia sebenarnya melambangkan kawasan kurang berhalangan.

    “Logo tu kan gambar orang dengan kerusi roda. Jadi, tempat letak kereta tu cuma untuk OKU fizikal berkerusi roda sahaja.”

    “Walaupun logo tu guna gambar orang berkerusi roda, logo tu tidak khusus untuk OKU berkerusi roda saja, tuan. Saya memang ada dengar, sekarang logo tu sedang dalam perancangan untuk diubah supaya lebih menggambarkan semua kategori OKU tapi sementara ni logo tu masih mewakili semua OKU.”

    Katanya, “Cuma kenderaan yang ada pelekat khas OKU saja yang boleh letak kereta di situ, encik. Untuk dapat pelekat tu pula kena mohon dengan JPJ.”

    “Betul!”

    “Pihak JPJ hanya boleh keluarkan pelekat tu kepada pemandu yang ada kad OKU dari JKM sahaja. Salah satu syarat lain untuk mohon adalah kenderaan yang didaftarkan dengan pelekat OKU tu mestilah kenderaan yang sudah dimodifikasi. Walaupun saya warden mereka, saya tak layak mohon sebab saya bukan pemandu OKU. Van persatuan kami pun van biasa. Tak ada modifikasi.”

    “Waris atau penjaga dibolehkan untuk mohon pelekat tu, tuan. Pertubuhan atau persatuan yang berdaftar secara rasmi dengan JKM pun boleh mohon juga.”

    “Tak apalah. Takut ada orang lain yang lebih memerlukan yang nak pakai tempat letak kereta ni.”

    Afif sekadar mampu menelan liur. Lelaki berbaju biru laut menuntun barisannya ke arah van sebelum berlalu pergi meninggalkan Afif dengan tanda soal besar di kepalanya. Kenapa maklumat seumpama itu bercanggah dalam kalangan masyarakat?

    Kata-kata lelaki berbaju biru langit tadi ada benarnya. Namun selama tempat letak kereta itu masih kosong, apalah salahnya untuk digunakan. Mereka pun bukan datang ke sana setiap hari. Mereka datang jika ada urusan sahaja. Alangkah lebih baik, jika kemudahan itu dimanfaatkan daripada disalah guna oleh pemandu bukan OKU yang tidak bertanggungjawab.

    Tangan yang tadi menggenggam erat kemudi kereta, dia renggangkan. Jari-jarinya mengetuk lembut kemudi kereta mengikut rentak lagu di radio. Sesekali bunyi perut tidak mahu kalah mendendangkan melodi lapar.

    Rasa lapar memang tidak dapat dilawan. Selagi tidak diturut, hidup rasanya tidak akan tenang. Dia nekad. Keputusannya sudah bulat. Dia pun memarkirkan keretanya ke tempat letak kereta OKU yang disediakan.

    Jantungnya berdebar. Perasaan ragu tiba-tiba membuat dia sedikit gentar. Soalnya, adakah semua peraturan ini sudah benar? Mungkin dia yang terlalu berani untuk mencabar?

    Sebenarnya dia tidak perlu cemas. Dia punya keutamaan. Dia boleh memanfaatkannya. Meskipun dia akan dianggap mementingkan diri bagi sesetengah pihak tetapi dia tidak melanggar sebarang peraturan. Masih jelas dalam ingatannya waktu dia mengurus sendiri segala sesuatu yang berkaitan dengan tatacara yang ditetapkan.

    Wanita dengan tag nama Jessica menyambut dokumen-dokumen yang diserahkan oleh Afif. Wajahnya begitu serius. Setiap kertas yang dilampirkan, dia semak penuh teliti. Dia sangat tekun hingga seandainya terjadi gempa bumi pun pasti dia tidak akan perasan.

    “Banyak ke yang mohon, puan?” Tanya Afif, ramah.

    “Tak,” jawab Jessica, ringkas.

    “Sebab tu ke kenapa peraturan tempat letak kereta OKU tu macam tak diambil serius?” Pertikai Afif, membuka topik.

    “Encik tahu berapa jumlah OKU yang berdaftar di Malaysia?”

    Afif membuka telefon pintarnya. Dia mencari jawapan di Google dan mendapati bahawa sejumlah 600000 OKU telah mendaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat setakat penghujung tahun 2022.

 

    “Daripada 33 juta rakyat Malaysia, 600000 ialah OKU. Jumlah tu terbahagi kepada tujuh kategori. Encik tahu apa saja kategorinya?”

    Afif sempat menggumam sejenak sebelum menjawab, “Masalah penglihatan, masalah pendengaran, masalah pertuturan, masalah pembelajaran, masalah mental, cacat fizikal dan OKU pelbagai, iaitu mereka yang memiliki lebih daripada satu ketidakupayaan …”

    “Daripada semua kategori tu, encik rasa berapakah jumlah OKU yang mempunyai lesen memandu?”

    Logik Jessica mulai mempengaruhi cara fikir Afif. Biarpun Google tidak dapat memberi jawapan pasti untuk soalan itu namun dia yakin peratusannya tidak akan sebesar mana.

    Tekanya, hanya OKU pendengaran, OKU pertuturan dan OKU fizikal sahaja yang masih berkemungkinan untuk memandu. Beberapa kategori lain juga mungkin ada yang boleh tetapi angkanya lebih sedikit. Jika dipecahkan lagi kepada peratusan kategori yang memerlukan tempat letak kereta OKU, jumlahnya tentu semakin mengecil.

    “Isu tempat letak kereta OKU ni memang tak berkesudahan sebab negara kita belum berjaya dapat cari jalan penyelesaian,”

    “Sebab OKU ni minoriti ke?”

    Wanita berwajah mulus dengan gincu merah itu menumpukan perhatiannya ke arah layar komputer. Tetikus digerakkan dan ditekan-tekan. Mata yang fokus mencari sesuatu, sedikit terbeliak sewaktu apa yang dicari sudah ditemui. Dia memusingkan layar leper itu ke arah Afif.

    Giliran anak mata Afif pula yang fokus membaca segala sesuatu yang terpapar. Semakin lama dibaca semakin pening kepala. Terlalu rumit hingga sulit untuk difahami dalam waktu singkat.

    “Saya hadir semasa perbincangan bersama wakil-wakil OKU daripada semua kategori berkenaan perkara ni,” cerita Jessica, mengimbas kembali.

    Afif menyandarkan tubuhnya ke kerusi tanda menyerah. Lebih baik dia mendengar cerita pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan itu sahaja. Barangkali lebih senang dihadamkan daripada membaca laporan yang begitu memeningkan itu.

    “Salah satu cadangan yang dikemukakan adalah untuk mewujudkan nombor plat OKU bagi kenderaan milik OKU. Cara tu dirasakan lebih mudah untuk pihak berkuasa tempatan kenal pasti kenderaan milik OKU. Pihak OKU pun tak perlu berurusan dengan JPJ dua kali untuk dapat nombor plat waktu beli kereta dan datang balik untuk mohon pelekat berlogo OKU …”

    “Bagus juga tu.”

    “Tapi cadangan tu ditolak. Pihak OKU takut cara tu akan datangkan bahaya untuk mereka. Bukan setakat pihak berkuasa sahaja yang akan mudah kenal kereta mereka tetapi pihak yang ada niat jahat pun akan mudah mengambil kesempatan. Mereka akan mengecam nombor-nombor plat OKU tu untuk merancang hal-hal yang tak sepatutnya …”

    “Apalah bezanya dengan pelekat OKU, puan?”

    “Nombor plat wajib ada pada semua kenderaan. Pelekat OKU pula diperoleh jika dipohon. Pemandu OKU yang rasa dia tak perlukan pelekat tu, tak perlu mohon. Setidaknya, orang tak tahu yang dia OKU …”

    Afif mempersoalkan juga akan cerita salah seorang kenalannya. Di sesetengah tempat, kereta tanpa pelekat khas OKU dibenarkan untuk parkir dengan syarat kad OKU pemandu atau penumpang kereta tersebut diletakkan di papan pemuka kereta.

   “Disebabkan belum ada ketetapan tentang perkara ini, penguatkuasaan perkara ni tertakluk kepada bidang kuasa pihak berkuasa tempatan dan mungkin berbeza-beza antara satu dengan yang lain …” kata pegawai itu sebagai kesimpulan.

    Senyum Afif terukir tipis. Patutlah kata putus yang dicari belum tercapai. Tidak ada kaedah yang benar-benar sesuai untuk dilaksanakan. Keburukannya, perkara ini akan terus-menerus menjadi perbalahan.

    Hendak diperbesar-besarkan pun, penggunanya cumalah sebilangan kecil. Mereka pasti lebih berminat untuk memperjuangkan isu-isu yang lebih besar seperti pekeliling 1% pekerja OKU di sektor kerajaan yang belum dilaksanakan secara menyeluruh.

    “Tapi jikalau tak mula diselesaikan, sampai bila-bilalah tak ada penyelesaian, kan?” tanyanya kepada dirinya sendiri.

    Fikiran yang kalut, cepat-cepat diabaikan. Ingatan yang membuat pening, cukuplah jadi pengalaman. Enjin kereta dimatikan. Isi saku diperiksa. Kunci kereta, dompet serta telefon pintar, dipastikan ada. Perut yang lapar sudah tidak sabar-sabar. Dia pun keluar dari kereta lalu berjalan menuju ke pintu masuk pusat beli-belah itu.

    Kedai nasi ayam berada di tingkat tiga. Kereta diparkir di tingkat satu. Ini bermakna dia perlu menaiki eskalator untuk sampai ke atas. Jika mahu menggunakan lif juga tidak dilarang. Hanya letaknya di hujung bangunan dan terlalu jauh dari pintu masuk.

   Nasi ayam Hainan yang diidamkan, dipesan. Perut yang lapar, dia isi secukupnya. Tekak yang dahaga, dibasahkan dengan yang manis-manis. Seusai makan, dia pun pulang. Dari awal dia memang tidak ada rancangan lain.

    Dalam perjalanan ke tingkat satu, panggilan alam pula berbunyi. Begitulah nakalnya perut. Tidak diisi, memberontak lapar. Sudah diisi, menyerang dengan sakit. Jika tidak dituruti, menjadi penyakit.

    Terpaksalah Afif bergegas mencari tandas. Dia turun ke tingkat satu terlebih dahulu. Dia harus berjalan ke hujung bangunan tepatnya ke arah lif. Laluan ke tandas berada di kiri lif.

    “Berbarislah pula!” keluh Afif tatkala melihat beberapa orang sedang menunggu giliran untuk masuk.

    Isi perut semakin tidak boleh dibawa berbincang. Sebelum terjadi sebarang hal yang memalukan, dia perlu mencari jalan keluar. Dia benar-benar keluar dari tandas itu dan berjalan lurus ke arah tandas OKU.

    Pintu tandas dia tolak tetapi tidak terbuka. Ditolak-tolak, tetap tidak terbuka. Kesal mula merasuk hati. Sekiranya hendak diikutkan marah, ringan sahaja tangannya untuk membuka paksa pintu itu. Untungnya, kewarasannya masih sedar akan adab di tempat awam.

    “Tak payah cakap tempat letak kereta OKU, masalah tandas OKU pun tak selesai-selesai.”

    Mahu tak mahu, dia kembali ke tandas biasa. Biarpun tidak rela, dia terpaksa berbaris menunggu giliran. Setelah menyahut panggilan alam, Afif mahu cepat-cepat pulang. Dari laluan keluar dari kawasan tandas, dia dapat melihat pintu utama pusat beli-belah itu. Letaknya betul-betul lurus di depan. Ya, lurus di depan tetapi jaraknya sekitar satu pusingan padang bola sepak.

    Tercungap-cungap dia berjalan. Tepat pada saat sampai ke kereta, seorang lelaki bermisai dengan seragam pengawal keselamatan menjeling tajam ke arahnya. Riak curiga terbaca jelas. Mana tidaknya, seseorang yang gagah berjalan menghampiri kereta dengan pelekat OKU serta parkir di tempat yang dikhaskan untuk OKU.

    Hati Afif sedikit ralat tetapi dia tetap masuk bersahaja ke dalam kereta. Jelingan seumpama itu memang lumrah untuknya. Lebih baik dia mengatur semula nafasnya yang tercungap-cungap daripada membersihkan namanya yang bukanlah orang terkenal itu.

    Enjin kereta dan penyaman udara dia hidupkan bagi mengeringkan peluh. Kedudukan kerusi ditarik sedikit ke belakang. Bagi mengurangkan lenguh di paha serta lutut akibat berjalan jauh, seluar panjangnya disingsing ke atas. Sepasang kaki palsu yang menempel pada lutut, dilucutkannya. Barulah dia dapat bersandar dengan tenang dan nyaman.

    Selang beberapa minit kemudian, cermin keretanya diketuk. Terlihat pengawal keselamatan tadi berdiri di sisi keretanya. Afif lantas membuka penuh cermin keretanya.

    “Saya ada buat salah ke, bang?”

    Pengawal keselamatan itu terdiam. Sepasang kaki palsu serta kereta yang dimodifikasi, memadam semua rasa curiga. Tempat letak kereta OKU diparkir oleh kereta dengan pelekat OKU dipandu oleh seorang OKU. Hal apa lagi yang perlu dipermasalahkan?

 
 
Advertisement