Anda di sini

Lelaki cabul kehormatan anak saudara dipenjara tujuh tahun

Advertisement
 

SIBU: Mahkamah Majistret di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan tujuh sebatan terhadap seorang lelaki berusia 40 tahun kerana mencabul kehormatan dua anak saudaranya antara 2008 dan 2013.

Tertuduh yang berasal dari Beranang, Selangor itu mengaku bersalah di mahkamah berasingan di hadapan Majistret Oon Kork Chern dan Romario Jonoi terhadap lima pertuduhan dirangka mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda, sebat atau mana-mana kombinasi dua daripada hukuman itu jika sabit kesalahan.

Kedua-dua majistret turut memerintahkan agar hukuman penjara dijalankan secara serentak dari tarikh sabitan.

Lima pertuduhan adalah berkaitan dengan serangan seksual secara fizikal terhadap mangsa, yang kedua-duanya berada di bawah umur ketika kejadian dengan niat untuk mengaibkan kehormatan mereka melalui pelukan dan sentuhan pada bahagian badan mereka.

Kesalahan itu dilakukan antara Disember 2008 dan April 2015 di sebuah rumah di Kampung Bahagia Jaya di sini.

Berdasarkan fakta kes, mangsa dan tertuduh tinggal di rumah yang sama milik nenek mangsa.

Tertuduh ditahan pada 29 September, jam 12.30 tengah hari di Jalan Kampung Nyabor di sini.

Pendakwaan dijalankan oleh ASP Siti Mariyah Dahari manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
 

  • oleh
  • Advertisement