KUCHING: Sarawak Australia Business Chamber (SABC) telah melantik Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sebagai Penaung.
Surat pelantikan itu telah disampaikan kepada Abang Johari semasa lawatan rasmi beliau ke Sydney, Australia baru-baru ini.
Presiden SABC Rodger Chan Siong Boh menekankan kepentingan peranan Abang Johari sebagai Penaung dalam membantu SABC bergerak ke hadapan dan menambah baik hubungan perdagangan Sarawak-Australia.
"SABC berusaha untuk bekerjasama rapat dengan komuniti perniagaan dan kerajaan Australia dan Sarawak untuk mempromosi dan meningkatkan perdagangan dan hubungan dua hala antara Sarawak-Australia.
"Selain Australia, SABC merupakan ahli pengasas dan rakan kongsi utama Komuniti Ekonomi Borneo (BEC) yang dimulakan oleh Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN.
"BEC terdiri daripada masyarakat, kerajaan dan pemimpin perniagaan dari Indonesia Kalimantan, Brunei, Sarawak, Sabah dan Labuan.
"Borneo ialah kuasa ekonomi hijau yang sedang pesat membangun dengan Sarawak sebagai peneraju serantau ASEAN dalam tenaga hijau dan ibu kota hijau baharu Indonesia juga terletak di Borneo.
"Terdapat banyak peluang untuk syarikat Australia bekerjasama dengan SABC bukan sahaja untuk Sarawak tetapi juga Borneo dan ASEAN," katanya dalam kenyataan, baru-baru ini.
Rodger Chan turut menyatakan keyakinannya penerimaan Abang Johari terhadap peranan Penaung SABC akan mendorong pihaknya untuk menggalakkan ekonomi hijau dan memenuhi misi memajukan hubungan perdagangan dan ekonomi antara Sarawak, Borneo dan Australia.
"Abang Johari sangat dihormati di Australia dan rantau ini dalam kepimpinannya dalam ekonomi hijau, tenaga boleh diperbaharui, hidrogen dan ekonomi sirkular.
"SABC telah mewujudkan hubungan dan menandatangani MoU dengan Australia Malaysia Business Council (AMBC) di negeri-negeri Australia yang berbeza, termasuk AMBC Victoria, AMBC Queensland dan AMBC New South Wales.
"SABC sedang dalam proses menandatangani MoU dengan AMBC di Australia Barat dan Australia Selatan," tambahnya.
Sementara itu, dalam maklum balasnya, Abang Johari yang menerima pelantikan itu mengesahkan komitmennya untuk menyokong usaha SABC serta perdagangan dan hubungan antara Sarawak dan Australia.