SUBANG: AirAsia memulakan operasi dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), yang lebih dikenali sebagai Lapangan Terbang Subang, dengan penerbangan pertama ke Sabah dan Sarawak.
Pengerusi Eksekutif Capital A, Datuk Kamarudin Meranun berkata, kedua-dua penerbangan ini menandakan peristiwa penting dalam sejarah syarikat penerbangan itu dengan menghubungkan semula perkhidmatan selepas 24 tahun pelancaran operasi pertamanya dari lapangan terbang yang sama.
“Penerbangan pertama AK4102 dari Kota Kinabalu berlepas pada jam 6:25 pagi dan tiba di Lapangan Terbang Subang pada jam 9:00 pagi.
“Ketibaan pesawat disambut dengan pancuran air dan diraikan oleh pihak pengurusan Capital A dan AirAsia diikuti dengan majlis perlepasan penerbangan AK4235 ke Kuching dari Lapangan Terbang Subang pada jam 9:30 pagi.
“Penyambungan semula perkhidmatan penerbangan AirAsia ke Lapangan Terbang Subang akan meningkatkan lagi kesalinghubungan dalam negara dan di rantau ini,” katanya semasa majlis terbabit.
Menurutnya, tahun lalu, syarikat penerbangan ini membawa lebih daripada 14 juta tetamu di seluruh rangkaian domestik dengan 918 penerbangan mingguan.
“Dengan penambahan operasi di Subang, syarikat penerbangan ini berhasrat untuk meningkatkan lagi jumlah penumpang domestiknya.
“Kepulangan kami ke Lapangan Terbang Subang adalah satu kenangan manis buat semua kakitangan AirAsia, inilah tempat di mana segalanya bermula di mana kami merealisasikan impian untuk mendemokrasikan perjalanan udara.
“Kami berbangga untuk membawa pesawat kami kembali ke Subang kerana ia bukan sahaja mengimbau masa lalu malah merangka hala tuju baharu untuk masa depan kami,” katanya.
Tambahnya, kepulangan ini juga adalah kejayaan penting bagi AirAsia dan kepulangan ke Subang ini juga diyakini akan menandakan permulaan baharu dalam sejarah seiring usaha berterusan mencapai kejayaan dan menetapkan taraf baharu dalam industri penerbangan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Capital A serta Penasihat AirAsia Aviation Group Tan Sri Tony Fernandes berkata, Lapangan Terbang Subang sentiasa mempunyai tempat istimewa di hatinya dan di sinilah mereka memulakan langkah pertama sebagai sebuah syarikat penerbangan kecil dengan impian yang besar.
“Hari ini kami kembali dengan semangat dan harapan yang sama beserta pengalaman dan cita-cita yang jauh lebih besar untuk menerokai peluang pertumbuhan baharu bagi AirAsia dan Capital A.
“Pelan pembangunan semula Lapangan Terbang Subang dijangka merealisasikan aspirasi Malaysia untuk menjadi hab penerbangan terkemuka di rantau ini.
“Penyambungan semula perkhidmatan pesawat satu lorong di sini adalah langkah ke arah memodenkan lapangan terbang bersejarah ini sebagai terminal bandar berpotensi tinggi yang akan berfungsi sebagai hab untuk pengembara perniagaan,” katanya.
Beliau berkata, AirAsia kini berada di kedudukan terbaik untuk mengembangkan perkhidmatan melalui perniagaan Capital A lain seperti Teleport, MOVE, Asia Digital Engineering, Santan, GTR dan lain-lain serta komited untuk menyumbang kepada transformasi penting dalam industri penerbangan negara.
Dalam pada itu, Pengarah Urusan AirAsia Malaysia Datuk Kapten Fareh Mazputra, berkata, Lapangan Terbang Subang mewakili impian yang terus berkembang dan sebagai seseorang yang memulakan kerjaya dengan AirAsia dari lapangan terbang ini, kepulangan ini adalah sangat bermakna.
“Kehadiran semula kami di sini dengan penerbangan pertama ke Sabah dan Sarawak, bukan sahaja mengimbau kejayaan kami di masa lalu malah memperkukuhkan masa depan kami.
“Lokasi strategik lapangan terbang ini dengan kedudukannya yang berdekatan dengan pusat bandar dan kawasan setempat menawarkan pengalaman perjalanan lebih optimum dan fleksibel untuk para tetamu, terutamanya mereka yang membuat perjalanan ke dan dari Sabah dan Sarawak.
“Kami berharap untuk menjadikan Subang sebagai hab keenam AirAsia di Malaysia pada masa akan datang seterusnya mengembangkan lagi rangkaian kami dan meningkatkan kebolehcapaian untuk pengembara di rantau ini,” katanya.
Kepulangan AirAsia ke Lapangan Terbang Subang memperkukuh kedudukannya sebagai syarikat penerbangan terbesar berdasarkan kapasiti di Malaysia dan pengembangan ini juga menjadikannya syarikat penerbangan dengan rangkaian domestik paling luas sebanyak 40 laluan di seluruh negara dengan 1,860 penerbangan domestik mingguan menjelang akhir Disember 2024.