KOTA KINABALU: Program Membudayakan Masyarakat Berkoperasi (MASKOP) menunjukkan kesan ketara terhadap peningkatan penubuhan koperasi baharu.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, program MASKOP yang dianjurkan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Institut Koperasi Malaysia (IKMa) dan Bahagian Koperasi di Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) adalah program kesedaran untuk memupuk pembudayaan berkoperasi di kalangan masyarakat di seluruh negara.
“Hasilnya, pada 2023 kita berjaya mendaftarkan sebanyak 1,001 koperasi baharu. Ini satu rekod terbesar dalam sejarah pendaftaran koperasi yang tidak pernah mencecah sehingga 1,000 pendaftaran koperasi dalam satu tahun.
“Pada Januari hingga Julai tahun ini, jumlah permohonan pendaftaran koperasi yang kita terima sebanyak 1,165 permohonan dan daripada jumlah itu sebanyak 524 permohonan diproses, berjaya didaftarkan dan diberikan sijil koperasi.
“Sabah adalah negeri yang terbesar dari segi jumlah pendaftaran koperasi baharu tahun ini iaitu 147 koperasi, diikuti Selangor 80 koperasi," katanya.
Beliau berkata demikian dalam Rancangan Bicara Naratif 'Gerakan Koperasi Penyumbang KDNK Negara' yang disiarkan secara langsung di TV1 di Angkasapuri Kuala Lumpur semalam.
Ewon percaya peningkatan yang amat ketara itu adalah hasil daripada MASKOP yang dilaksanakan di beberapa daerah di Sabah.
Selain itu pihaknya turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga kementerian terutama SKM dan IKMa serta gerakan koperasi negara atas kejayaan mencatatkan perolehan mencecah RM64 bilion pada tahun lepas, melebihi sasaran RM60 bilion yang ditetapkan pada 2025 dalam Dasar Koperasi Malaysia 2030 (DaKoM).
Menurutnya, pencapaian itu perlu diperkasakan lagi dan kerana itu kerajaan khususnya KUSKOP menyediakan DaKoM 2030, Pelan Transformasi Koperasi Malaysia (TransKoM) 2025, dan Pelan Tindakan Digitalisasi Koperasi (DigiKOP) untuk memacu gerakan koperasi supaya lebih mampan dan berdaya saing dengan sektor swasta.
“Mudah-mudahan, dengan adanya dasar-dasar dan program sokongan serta bantuan yang kita sediakan, bukan hanya nilai perolehan dapat diperkasa tetapi nilai aset, keanggotaan dan sumbangan nilai eksport juga akan meningkat. Kita mahu gerakan koperasi menembusi pasaran antarabangsa.
“Saya ingin melihat koperasi itu sebagai satu entiti perniagaan yang diiktiraf sama seperti kita memberi pengiktirafan kepada perusahaan-perusahaan lain yang dilaksanakan oleh syarikat-syarikat ataupun perniagaan yang dilesenkan oleh kerajaan tempatan,” katanya.
Beliau mahu KUSKOP mewujudkan satu sinergi dan kerjasama berpasukan dengan semua agensi di bawah kementerian itu dan mewujudkan lebih banyak koperasi baharu melalui gerakan membudayakan masyarakat beroperasi.
Menurutnya, bagi memulakan kebersamaan kerjasama ini, KUSKOP mengadakan Kongres Koperasi Kebangsaan pada tahun ini yang tidak pernah dibuat sejak sekian lamanya, bagi membincangkan masa hadapan koperasi.
“Pada masa sama, saya ingin melihat akta koperasi dan garis garis panduan pembangunan koperasi dapat dipinda sesuai dengan kehendak semasa, supaya lebih praktikal dengan situasi semasa yang ada di negara kita, mengambil kira cabaran-cabaran yang ada di seluruh dunia.
“Pada April lepas saya menghadiri Persidangan Menteri-Menteri Koperasi Asia Pasifik dan apabila saya membentangkan kenyataan menteri dan mendengar kenyataan-kenyataan daripada beberapa negara yang lain sebenarnya gerakan koperasi kita terkehadapan dalam beberapa sektor.
“Tetapi kita juga masih boleh belajar daripada negara-negara yang sudah jauh terkehadapan dan mengambil iktibar di beberapa negara yang masih ingin membangunkan sektor koperasi mereka,” katanya.
Ewon mahu, koperasi di negara ini bukan hanya bersaing dan membangun dalam Malaysia tetapi menembusi pasaran antarabangsa dengan kerjasama gerakan koperasi di seluruh dunia.
Sehubungan itu katanya, pada November ini beliau dijemput oleh Menteri Perdagangan Arab Saudi untuk satu ekspo francais di Riyadh dan beberapa program yang diaturkan antara lainnya menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan pihak Kementerian Perdagangan Arab Saudi.
“Saya ingin bawa gerakan koperasi ini bersama-sama supaya koperasi yang sudah sedia eksport menyertai ekspo peringkat antarabangsa kerana saya ingin mengantarbangsakan koperasi,” katanya.