Anda di sini

Lima koperasi Sarawak tersenarai dalam Indeks 100 Koperasi Terbaik Malaysia

Advertisement
Awang Tengah bersama ahli MPKN Sarawak selepas mesyuarat diadakan di Kuching, hari ini.
Awang Tengah bersama ahli MPKN Sarawak selepas mesyuarat diadakan di Kuching, hari ini.

KUCHING: Lima koperasi di Sarawak telah tersenarai dalam Indeks 100 Koperasi Terbaik Malaysia pada 2024 dengan sumbangan perolehan sebanyak RM93.5 juta.

Menurut kenyataan Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED), perkara itu diumumkan pada Mesyuarat Majlis Perundingan Koperasi Negeri (MPKN) Sarawak yang dipengerusikan Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri MINTRED Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yang diadakan di sini, hari ini.

“Lima koperasi ini adalah Koperasi Koperkasa Sarawak Berhad, Koperasi Penanam Sawit Mampan Daerah Bau Berhad, Koperasi Al-Bait Sarawak Berhad, Koperasi SESCO Sarawak Berhad dan Koperasi Penanam Sawit Mampan Daerah Tatau Berhad,” katanya.

Sehubungan itu MPKN Sarawak berharap gerakan koperasi khususnya di Sarawak berubah menjadi sebuah institusi yang berdaya saing serta berdaya maju supaya dapat menjana pendapatan yang lebih tinggi dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Sementara itu mesyuarat yang duadakan itu adalah mesyuarat pertama MPKN Sarawak pada tahun ini.

Mesyuarat MPKN Sarawak bertujuan menyelaras gerakan koperasi dan mendapatkan maklum balas mengenai kemajuan terkini berkaitan gerakan koperasi daripada anggota Majlis.

“MPKN Sarawak terdiri daripada 26 anggota yang turut diwakili 10 wakil agensi KUSKOP termasuk SKM selaku urus setia, tujuh wakil gerakan koperasi dan 10 wakil daripada kementerian/jabatan/agensi peringkat persekutuan dan Sarawak.

“Bagi Sarawak sehingga Disember 2023, telah mencatat jumlah koperasi sebanyak 1,190 buah dengan keanggotaan melebihi 313,917 orang,” menurut kenyataan itu.

Manakala jumlah perolehan koperasi adalah RM368.97 juta.

Advertisement