KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) membentangkan cadangan inisiatif Belanjawan 2025 kepada Kementerian Kewangan.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, cadangan-cadangan inisiatif yang dibentangkan itu mengambil kira input daripada pelbagai pihak termasuk agensi-agensi KUSKOP.
Katanya, pembentangan semua cadangan inisiatif itu adalah hasil yang diterima daripada bahagian-bahagian dan agensi-agensi di bawah KUSKOP.
Menurutnya, cadangan itu juga diperoleh melalui dialog belanjawan yang diadakan di Kuala Lumpur (bagi wilayah Semenanjung) dan di Sabah (bagi wilayah Borneo).
Selain itu, pihaknya turut menerima input melalui libat urus khas dengan pimpinan persatuan penjaja negeri-negeri dan pandangan daripada Exco-Exco Keusahawanan Kerajaan-Kerajaan Negeri semasa mesyuarat Majlis Pembangunan Keusahawanan Nasional (MPKN) yang dipengerusikannya pada minggu lepas.
“Saya ucap terima kasih kepada Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan pasukan beliau atas sesi libat urus ini.
“Mudah-mudahan Belanjawan 2025 dapat memacu penyertaan, prestasi dan sumbangan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dan gerakan koperasi kepada kemajuan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan media, selepas Sesi Libat Urus Inisiatif Belanjawan 2025 bersama Kementerian Kewangan di Putrajaya hari ini.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ramanan Ramakrishnan; Ketua Setiausaha KUSKOP Datuk Seri Suriani Ahmad dan pihak pengurusan tertinggi KUSKOP.