KOTA KINABALU: Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew mengetuai delegasi pemain pelancongan Sabah menyertai EventXpo sempena Minggu Acara Perniagaan Malaysia 2024 (MBEW 2024) yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
EventXpo 2024 itu julung kali dianjurkan oleh Persatuan Persidangan, Pameran dan Pembekal Malaysia (MACEOS).
Christina menyokong penyertaan Biro Konvensyen Sabah (SCB) yang telah membuat penampilan sulung pada EventXpo berkenaan.
Katanya, SCB adalah agensi yang baharu diwujudkan di bawah bidang kuasa Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS).
“EventXpo selama tiga hari ini mempamerkan semua aspek pengurusan acara perniagaan dan telah menjemput semua peserta bertemu dengan pakar industri pelancongan.
“Ia memberikan peluang terbaik kepada pemain pelancongan dan pempamer produk untuk mendapatkan pendedahan serta meneroka peluang rangkaian perniagaan untuk pertumbuhan ekonomi,” katanya.
Ahli MACEOS Sabah yang mengambil bahagian terdiri daripada Hello Sabah Events (Sri Pelancongan Sabah), Sounds Tech Production, Borneo Excursions, Xplore Sabah, Kinabalu Heritage Travel, AEI Wellness, Firm Horizon Sdn Bhd, Amazing Borneo, Hilton Hotel Kota Kinabalu, Discovery Tours, dan Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).
MBEW2024 telah dilancarkan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Dr Yasmeen Yasim.