Anda di sini

Konvoi Jiwa Merdeka KUSKOP, semarak semangat patriotik

Advertisement
 Ewon ketika merasmikan pelancaran Program Konvoi Jiwa Merdeka KUSKOP bersama warga kementerian itu.
KONVOI: Ewon ketika merasmikan pelancaran Program Konvoi Jiwa Merdeka KUSKOP bersama warga kementerian itu.

PUTRAJAYA: Pelancaran Program Konvoi Jiwa Merdeka Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyemarakkan lagi semangat patriotik dalam kalangan warga kementerian dan agensi-agensinya.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick melancarkan program itu sempena sambutan Bulan Kebangsaan 2024 di sini hari ini.

Beliau berkata, program berkenaan antara pengisian Bulan Kebangsaan KUSKOP dan menyifatkan warga kementerian itu sebagai antara rakyat Malaysia yang amat bertuah kerana mendapat tempat dalam perkidmatan awam.

Katanya, penempatan dalam kementerian itu harus ada nilainya iaitu memastikan Malaysia terus merdeka, maju ke hadapan dan membangun.

“Sehubungan itu saya menyeru seluruh warga kementerian dan agensi-agensi di bawah kementerian ini yang dipertanggungjawabkan dalam pembangunan usahawan dan koperasi supaya terus melipatgandakan usaha memberikan perkhidmatan terbaik membela nasib usahawan-usahawan mikro, kecil dan sederhana, penjaja dan peniaga kecil serta koperasi agar mereka terus maju bersama, seiring pembangunan negara ini.

“Komuniti penjaja dan peniaga kecil, usahawan dan koperasi perlu dibantu agar mereka juga dapat membantu membangunkan negara ini dalam bidang keusahawanan,” katanya ketika berucap melancarkan Konvoi Jiwa Merdeka KUSKOP.

Ewon berkata, bagi penjawat awam, antara pengisian kemerdekaan adalah memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat yang memerlukan pembelaan.

“Sebagai warganegara, kita seharusnya bersyukur dan bertuah kerana menjadi sebahagian daripada rakyat Malaysia yang berdaulat dan merdeka sehingga kita dapat menjalani kehidupan harian dalam suasana yang aman damai dan harmoni,” katanya.

Mengimbas sejarah Malaysia, Ewon berkata, negeri-negeri di Semenanjung Malaysia (Tanah Melayu) mencapai kemerdekaan pada 1957, kemudiannya pada 1963, Sabah dan Sarawak mendapat pentadbiran beberapa minggu lebih awal sebelum menubuhkan Malaysia.

“Negara ini ditubuhkan melalui satu perjanjian iaitu Perjanjian Malaysia dan sehingga hari ini keluarga Malaysia dan Persekutuan Malaysia harus terus dibangunkan dan dipertahankan dengan baik oleh seluruh rakyat negara ini,” katanya.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ramanan Ramakrishnan; Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Keusahawanan) KUSKOP Datuk Zamri Salleh; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pemantauan) Noor Afifah Abdul Razak, dan ketua-ketua dan wakil-wakil agensi KUSKOP.
 

Advertisement