Anda di sini

MPKN platform utama selaras dasar, hala tuju KUSKOP

Advertisement
EWON
EWON

KOTA KINABALU: Majlis Pembangunan Keusahawanan Nasional (MPKN) dibentuk sebagai platform utama bagi menyelaras dasar dan hala tuju pembangunan keusahawanan dan koperasi yang inklusif antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri. 

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, MPKN juga berperanan dalam mewujudkan kerjasama yang kolektif di antara KUSKOP dan semua pihak berkepentingan di peringkat Persekutuan dan negeri.

Katanya, ia bagi memastikan pelaksanaan strategi dan inisiatif yang digariskan di bawah Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN2030) akan memberi impak kepada ekosistem keusahawanan yang lebih holistik. 

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan MPKN Bilangan 1 Tahun 2024 yang dihadiri oleh menteri dan exco keusahawanan negeri, pegawai kanan kementerian, jabatan, agensi di Kuala Lumpur semalam.

Menurutnya, Mesyuarat MPKN itu membincangkan mengenai pelaksanaan program keusahawanan dan koperasi 2024 dan cadangan fokus serta inisiatif keusahawanan bagi 2025 oleh KUSKOP. 

"Melalui kertas pembentangan ini, wakil-wakil kerajaan negeri mengemukakan beberapa cadangan tambahan baharu dan penambahbaikan ke atas inisiatif keusahawanan.

"Ia seterusnya akan diselaraskan di bawah Belanjawan 2025 KUSKOP dan dibincangkan dengan Kementerian Kewangan pada 27 Ogos 2024.

"Turut diberi penelitian adalah mengenai pelaporan Pelan Tindakan Bersepadu PKS (SMEIPA) 2023/2024 oleh SME Corp. Malaysia," jelasnya. 

Beliau berkata, mesyuarat itu mengambil perhatian serius mengenai kementerian atau agensi dan kerajaan negeri yang masih belum melaporkan program pembangunan keusahawanan melalui SMEIPA. 

Justeru katanya, mekanisme pelaporan SMEIPA sedia ada akan diperkukuhkan bagi memastikan penyediaan pelaporan pelaksanaan inisiatif keusahawanan yang lebih komprehensif. 

"Ia bagi mengurangkan pertindihan pelaksanaan program yang melibatkan kumpulan sasar dan skop program yang sama serta memacu sinergi yang lebih mantap antara Kementerian, agensi dan kerajaan negeri.

"Selain itu, mesyuarat kali ini turut dimaklumkan mengenai pelaporan prestasi Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) pada 2023 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia," katanya. 

Ewon berkata, mesyuarat itu juga mengambil maklum mengenai Pendaftaran Status PMKS sehingga Julai 2024 oleh SME Corp. Malaysia yang bertujuan antara lain bagi memastikan bantuan secara bersasar dapat disalurkan kepada PMKS yang layak.

Advertisement