Anda di sini

Program XCESS, SME Bank platform PMKS tembusi pasaran antarabangsa

Advertisement
 Ewon (tengah) ketika dalam majlis berkenaan.
KENANGAN: Ewon (tengah) ketika dalam majlis berkenaan.

PUTRAJAYA: Program XCESS SME Bank adalah platform kepada usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) negara menembusi pasaran antarabangsa.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, selain menyediakan akses pembiayaan dan pelbagai bentuk sokongan, termasuk khidmat nasihat perniagaan dan latihan untuk meningkatkan kecekapan dan daya saing PKS, program XCESS pada tahun ini juga membuka peluang kepada usahawan PMKS merentas sempadan melalui sesi padanan perniagaan dengan 24 pembeli antarabangsa dari 12 negara.

“Program SME Bank XCESS ini juga adalah wadah untuk mewujudkan kerjasama dan jaringan strategik antara usahawan PMKS dengan kerajaan serta agensi-agensi kerajaan.  

“Saya yakin kita semua boleh berganding bahu dan bekerjasama secara kolektif seiring nilai Malaysia MADANI demi mencapai sasaran yang lebih besar,” katanya ketika berucap melancarkan SME Bank Xcess, di sini, kelmarin.

Ewon berkata, peranan kementerian ialah terus menggalak dan mengukuhkan peranan sektor PMKS dalam kemajuan ekonomi negara. 

“Komitmen ini diterjemahkan dengan menyediakan persekitaran yang diperlukan seperti, mengukuhkan infrastruktur yang menyokong pembangunan PMKS, membina kapasiti dan keupayaan PMKS dan meningkatkan akses kepada pembiayaan. 

“Saya melihat program SME Bank XCESS 2024 ini menyokong komitmen kerajaan kerana ia memberi peluang yang baik kepada usahawan PMKS berinteraksi dan berbincang dengan pelabur, pemasar serta agensi-agensi yang akan membantu dari segi peningkatan kapasiti dan pasaran,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan amat komited memastikan visi Dasar Keusahawanan Nasional 2030, menjadikan Malaysia sebuah negara keusahawanan unggul dan mewujudkan ekosistem keusahawanan yang holistik serta kondusif menjelang 2030.  

“Sumbangan PMKS kepada KDNK meningkat kepada 39.1 peratus pada tahun 2023 dengan nilai ditambah sebanyak RM613.1 bilion, berbanding 38.6 peratus pada tahun sebelumnya. 

“Ini membuktikan sektor PMKS memainkan peranan penting dalam pemangkin pertumbuhan ekonomi yang mampan,” katanya.

Ewon turut merakamkan penghargaan kepada SME Bank atas kejayaan pertukaran perjanjian dengan TM dan juga antara CEDAR dan MARC. 

“Kerjasama ini akan memberi manfaat besar kepada PMKS dalam mendapatkan akses kepada sumber, pengetahuan, dan pasaran yang lebih luas,” katanya dan menambah kerjasama strategik antara agensi kerajaan, sektor swasta dan komuniti perniagaan amat penting dalam memastikan kejayaan program-program pembangunan PMKS.

Katanya, kementerian menyokong penuh inisiatif-inisiatif itu seiring dengan usaha untuk memperkasa dan memperluas pasaran PMKS Malaysia ke peringkat global.
 

Advertisement