KUCHING: Ekspedisi Pengembaraan 4x4 Trans Nusantara 2024 menjadi platform kepada Malaysia khasnya Sarawak dalam mencetuskan idea baharu serta kerjasama dalam bidang pelancongan dan aktiviti sosioekonomi.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ekspedisi yang turut termasuk Sarawak itu akan membantu mempromosikan warisan budaya yang kaya dan keajaiban semula jadi Borneo melalui pengalaman yang unik dan menyeronokkan.
“Ini adalah peluang untuk mereka (peserta ekspedisi) menikmati keindahan sebenar Kepulauan Borneo merentasi laluan yang benar-benar memberi inspirasi.
“Acara ini akan meningkatkan kesedaran tentang transformasi utama sistem pengangkutan dan rentas sempadan kita akan datang.
“Inovasi dan perkongsian antara sektor awam dan swasta dan merentasi sempadan antarabangsa, akan menjadi bahan penting dalam usaha ini,” ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa menyempurnakan Majlis Pelepasan Ekspedisi Pengembaraan 4x4 Trans Nusantara 2024 anjuran Borneo Overland Expeditions dan Indonesia 4x4 Overland di Tebingan Kuching, hari ini.
Ekspedisi berkenaan yang mengambil masa 40 hari disertai 60 ahli dengan 25 kenderaan pacuan empat roda yang terdiri daripada ahli dari Sarawak, Sabah, Kuala Lumpur, Johor Bahru serta penyertaan antarabangsa dari Indonesia, Brunei Darussalam, Singapura, Norway dan Australia.
Abdul Karim berkata, ekspedisi itu tepat pada masanya kerana Indonesia telah merancang rangkaian kereta api yang meluas menghubungkan negara-negara di Kepulauan Borneo.
Selain itu katanya, Brunei telah membina jambatan terpanjang di Asia Tenggara sementara Malaysia kini sedang menyiapkan Lebuh Raya Pan Borneo yang menghubungkan Sarawak dan Sabah.
“Ketika Indonesia memindahkan ibu kotanya dari Jakarta ke Ibu Kota Nusantara di Kalimantan, Borneo hubungan dua hala antara Indonesia dan Malaysia, khususnya Sarawak akan berkembang maju dalam aktiviti sosial dan ekonomi,” ujarnya.
Tambah beliau, tahun 2024 menandakan masa penting dalam sejarah wilayah BIMP EAGA apabila Brunei, Indonesia, Malaysia dan Filipina bekerjasama ke arah hubungan dua hala merentas sempadan dan kesalinghubungan dalam pengangkutan.
Justeru katanya, kerajaan Sarawak melalui Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP) berbangga menjadi sebahagian daripada ekspedisi monumental itu.
Beliau dalam pada itu memberitahu Malaysia perlu belajar daripada ketersambungan Kepulauan Indonesia yang mempunyai rangkaian luas 17,000 pulau, kepulauan terbesar di dunia.
“Ekspedisi ini akan merentasi lebih 8,000km darat dan laut melalui Kepulauan Indonesia melalui Kalimantan, Sulawesi, Flores, Lombok, Bali dan Jawa.
“Ekspedisi ini juga merancang untuk melawat IKN (Ibu Kota Nusantara), ibu kota baharu Indonesia di Kalimantan semasa majlis perasmiannya yang akan diadakan di sana pada 17 Ogos ini.
“Ekspedisi ini akan mengambil masa selama 40 hari ke atas tapak bersejarah, alam semula jadi dan warisan dunia yang tidak terkira banyaknya di seluruh Kepulauan Indonesia seperti Gunung Bromo, Candi Borobudur, Danau Kalimutu, Labuan Bajo, Pontianak, Gunung Rinjani, Bali, Toroja Land, Pulau Komodo dan banyak lagi,” katanya.
Hadir sama Ketua Ekspedisi Harry Sanusi serta dua pengarah dari Epic Borneo Robert Tan dan Jeremy Tay merangkap pengelola utama ekspedisi.