BEAUFORT: Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan yang dimenangi Parti Bersatu Sabah (PBS) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) lepas akan terus ditandingi parti itu dalam PRN akan datang.
Naib Presiden PBS, Datuk Ruslan Muharam berkata, keputusan itu telah diputuskan oleh Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Panglima Hajiji Noor bagi mengukuhkan lagi gabungan itu.
Malah katanya, perkara itu turut ditegaskan Pemangku Presiden PBS, Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam dalam ucapan semasa merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PBS ke-39 bagi lima Bahagian Pedalaman Bawah di Dewan Pa' Musa dekat sini.
"Dalam ucapan Pemangku Presiden PBS sebentar tadi memberitahu bahawa jelas Pengerusi GRS mahu kerusi-kerusi yang disandang parti komponen dalam GRS dikekalkan.
"Jika berlaku sebaliknya (ada perubahan) ia dikhuatiri akan menjadi 'bibit-bibit' perbalahan, " katanya.
Dalam pada itu, Ruslan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan yakin keputusan yang diputuskan pucuk pimpinan dalam gabungan dan rakan komponen mengenai perkara itu telah diteliti sebaiknya.
Beliau juga percaya, keputusan pucuk pimpinan mengenai soal itu adalah suatu keputusan yang bijaksana sekaligus menyumbang kepada kekuatan gabungan dalam menghadapi PRN akan datang.
Katanya tidak ada sebab untuk membuat perubahan kerana wakil rakyat (ADUN-ADUN) yang ada sekarang daripada setiap komponen telah bekerja bersungguh-sungguh untuk menyelesaikan isu rakyat.
"Bukan itu sahaja, setiap ADUN-ADUN juga telah merangka pelbagai pembangunan termasuklah aspek pendidikan dan ekonomi untuk dilaksanakan bersama kerajaan Negeri dibawah pimpinan gabungan, " katanya.