PENAMPANG: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui agensi di bawahnya akan sentiasa berusaha untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat terutama dalam membantu rakyat berpendapatan rendah.
Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, pelbagai inisiatif dan kemudahan disediakan terutamanya akses kewangan seperti pinjaman, geran bantuan dan beberapa dana telah diperuntukkan oleh agensi di bawah KUSKOP.
Antara katanya, inisiatif terkini KUSKOP adalah untuk membantu mempermudahkan aktiviti perniagaan koperasi dan usahawan di Malaysia, melalui agensi-agensinya adalah seperti penyediaan dana sebanyak RM2.5 juta oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) untuk tujuan membiayai Program Pembangunan Koperasi melalui ANGKASA berjumlah RM2 juta dan RM500 ribu untuk Tabung Pendidikan ANGKASA.
"Melalui Program Pembangunan Koperasi melalui ANGKASA ini, koperasi-koperasi dibantu untuk mengembangkan perniagaan di samping menyebarluaskan lagi jaringan perniagaan termasuklah memasarkan produk dan perkhidmatan secara atas talian, menguruskan persijilan halal dan lain-lain keperluan koperasi yang berkaitan dengan usaha-usaha memperkasakan kegiatan ekonomi negara," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Hari Koperasi Negara (HKN) Peringkat Negeri Sabah 2024 di sini, hari ini.
Sementara itu, beliau berkata, penganjuran program-program seperti ini merupakan satu manifestasi kepada usaha dan sumbangan gerakan koperasi dalam memastikan ia tetap relevan sebagai satu sektor penyumbang kepada kekuatan sosioekonomi negara.
Melalui HKN juga katanya, gerakan koperasi akan diberi pengiktirafan dan penghargaan ke atas pencapaian dan kejayaan yang dicipta disepanjang tahun sehingga membolehkan sesuatu koperasi itu diberi penilaian yang baik dan cemerlang.
"Saya difahamkan pada hari ini, lapan anugerah koperasi akan disampaikan kepada koperasi-koperasi yang telah menunjukkan prestasi terbaik sepanjang tahun 2023.
"Saya percaya ini adalah sebagai satu inisiatif berterusan pihak SKM sejak HKN pertama diadakan 22 tahun yang lalu, dalam memberi galakan kepada warga koperasi untuk terus relevan, berdaya saing dan berkembang maju yang mana akhirnya akan menyokong pencapaian objektif Dasar Koperasi Malaysia (DaKoM) 2030, Dasar Keusahawanan Negara (DKN) 2030 dan Pelan Transformasi Koperasi (TransKom) 2021-2025," katanya.
Menurutnya, bagi tahun ini sehingga 15 Julai 2024, secara keseluruhan SKM telah meluluskan sebanyak RM5.7 juta berbentuk Bantuan Pembangunan SKM.
Katanya, ia bagi membantu menampung kos peralatan dan infrastruktur aktiviti perniagaan, kepada 126 koperasi di seluruh Malaysia.
"Manakala pembiayaan bagi menambah modal pusingan perniagaan koperasi yang telah diluluskan di bawah Tabung Modal Pusingan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (TMPSKM) adalah berjumlah RM152.13 juta mewakili permohonan daripada 96 buah koperasi.
"Untuk tempoh yang sama, Sabah telah menerima sebanyak RM1.07 juta Bantuan Pembangunan SKM yang memanfaatkan 10 koperasi, manakala sebanyak RM1.9 juta telah diluluskan dalam bentuk pembiayaan TMPSKM kepada 3 buah koperasi," katanya.
Selain SKM katanya, agensi-agensi KUSKOP yang lain seperti TEKUN Nasional, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), SME Corp, SME Bank, PERNAS, selain bank-bank koperasi iaitu Bank Rakyat dan Coop Bank Pertama turut menyediakan insentif-insentif dan dana pembiayaan yang terbuka kepada semua entiti perniagaan termasuklah koperasi.