Anda di sini

Wartawan UK hilang di pulau Greece ditemui mati

Advertisement
Pemandangan di sekitar Pulau Symi, Greece di mana Mosley ditemui mati kelmarin setelah hilang sejak Rabu. - Gambar AFP
Pemandangan di sekitar Pulau Symi, Greece di mana Mosley ditemui mati kelmarin setelah hilang sejak Rabu. - Gambar AFP

ATHENS: Guru kesihatan dan personaliti TV British Michael Mosley ditemui mati kelmarin di pulau Symi, Greece, beberapa hari selepas dilaporkan hilang, menurut pihak polis.

"Orang dalam sebuah bot melihat satu mayat berhampiran pantai berbatu," kata ketua polis wilayah selatan Aegean Petros Vassilakis kepada AFP.

Mayat itu ditemui kru televisyen saluran awam ERT Greece yang sedang membuat penggambaran di kawasan tersebut di mana lelaki berusia 67 tahun itu dilaporkan hilang Rabu lalu selepas keluar berjalan kaki sendirian di tepi pantai dalam suhu panas.

Isterinya Clare Bailey dalam satu kenyataan mengesahkan tentang kematiannya meratapi kehilangan suaminya yang dianggap hebat, melucukan, baik hati dan bijak.

"Dia pergi mendaki, mengambil laluan yang salah dan pengsan di mana dia tidak dapat dilihat dengan mudah oleh pasukan mencari dan menyelamat yang meluas," katanya yang seterusnya menyampaikan penghargaan kepada pasukan di Symi yang berusaha gigih mencari suaminya.

Wartawan ERT Aristides Miaoulis berkata, salah seorang jurukamera melihat sesuatu yang aneh berhampiran pagar, kira-kira 50 meter dari gigi air.

"Kami mendapati ia adalah seorang lelaki yang terlentang di atas pantai."

Datuk Bandar Symi Lefteris Papakalodoukas juga bersama kru terbabit dan mengesahkan mereka telah menemui Mosley, yang sedang dalam percutian di pulau itu bersama isterinya.

"Ia adalah mayat wartawan yang kami cari sejak beberapa hari lalu," katanya kepada ERT sambil menambah, Symi mengalami suhu panas melampau sejak beberapa hari lalu dan kawasan di mana mangsa kali terakhir dilihat adalah sukar kerana ia amat berbatu.

Koroner Despina Nathena memberitahu ERT bahawa kematian Mosley dipercayai tiada unsur jenayah tetapi puncanya tidak dapat dipastikan dengan tepat kerana sudah mereput.

Sebahagian besar wilayah Greece menyaksikan suhu panas melampau pada minggu pertama bulan ini, dengan Symi mencatatkan suhu setinggi 39.3 darjah Celsius, di mana ia hampir dengan pulau Rhodes dan barat Turkiye.

Pihak berkuasa Greece pada Jumaat mengumumkan mereka mempertingkat usaha mencari Mosley, yang pernah bekerja sebagai jurubank pelaburan sebelum mendapat kelayakan sebagai doktor perubatan dan kemudian menjadi penulis, wartawan, pengarah dokumentari dan pengacara berjaya.

Beliau membuat dokumentari sains dan sejarah, selain tampil sebagai guru kesihatan di hadapan kamera dan penulis buku pemakanan terlaris.

Mempopularkan pemakanan berpuasa berkala 5:2, beliau juga terkenal dalam program TV British "Trust Me, I'm a Doctor" dan podcast radio BBC 'Just One Thing', kerap tampil dalam 'The One Show' BBC dand 'This Morning' ITV serta menjadi penulis kolum bagi akhbar tabloid Daily Mail. - AFP

Advertisement