Anda di sini

Penyasaran subsidi diesel bantu perkukuh kedudukan fiskal kerajaan: Ahli ekonomi

Advertisement
Harga diesel di semua stesen runcit di Semenanjung Malaysia ditetapkan pada kadar RM3.35 seliter mulai 12 tengah malam. - Gambar BERNAMA
Harga diesel di semua stesen runcit di Semenanjung Malaysia ditetapkan pada kadar RM3.35 seliter 10 Jun. - Gambar BERNAMA

Oleh Anas Abu Hassan

KUALA LUMPUR: Mekanisme penyasaran subsidi diesel di Malaysia yang bermula semalam akan mengukuhkan kedudukan fiskal negara, kata ahli ekonomi.

Ketua Ahli Ekonomi Global Juwai IQI, Shan Saeed berkata lebih banyak negara kini menghapuskan subsidi dan beralih kepada pendekatan yang dipacu oleh pasaran untuk mengukuhkan fiskal melalui kunci kira-kira.

"Kerajaan boleh menjimatkan kos dan menggunakan dana daripada penjimatan untuk pelaburan infrastruktur atau pembangunan. Pelaburan infrastruktur mempunyai korelasi langsung dengan kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia.

"Ia adalah keputusan yang tepat pada masanya kerana subsidi menyeluruh mewujudkan ketidakcekapan dan tidak produktif pada peringkat makro. Harga harus didorong oleh kuasa pasaran mengikut penggunaannya," katanya kepada BERNAMA

Pada Ahad, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengumumkan pelaksanaan penyasaran subsidi untuk diesel berkuat kuasa 10 Jun, yang akan membolehkan kerajaan dijangka menjimatkan kira-kira RM4 bilion setahun, dan mengukuhkan kedudukan kewangan negara. 

Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Ekonomi Malaysia Profesor Dr Yeah Kim Leng berkata pelaksanaan rasionalisasi subsidi bahan api tahun ini akan mengukuhkan kedudukan fiskal dan kecekapan ekonomi negara.

Beliau menyatakan rasionalisasi subsidi diesel pada masa ini dilaksanakan ketika inflasi masih kekal rendah dan stabil pada 1.8 peratus dalam tempoh tiga bulan hingga April tahun ini.

Namun begitu, beliau berpendapat bahawa sebarang kenaikan inflasi dijangka kecil dan berlaku sekali sahaja disebabkan subsidi masih diberikan kepada kumpulan sasar, seperti melalui Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).

"Inflasi keseluruhan diunjurkan kekal pada atau lebih tinggi sedikit daripada 2.5 peratus tahun lepas, tetapi ia diunjurkan kekal dalam julat unjuran rasmi di antara 2.0 hingga 3.5 peratus tahun ini," tambahnya.

Mengulas mengenai rasionalisasi subsidi bagi petrol, Yeah berkata peralihan daripada subsidi menyeluruh kepada subsidi bersasar perlu diperluaskan kepada RON95, yang menyumbang sebahagian besar daripada beban subsidi yang tidak mampan.

"Mekanisme yang serupa dijangka disediakan oleh kerajaan untuk melindungi kumpulan yang terdedah dan berpendapatan rendah daripada kesan inflasi melalui rasionalisasi subsidi bahan api," katanya. - BERNAMA

Advertisement