Anda di sini

Mahuchikh dedikasi kemenangannya kepada Ukraine 

Advertisement
Mahuchikh ketika beraksi dalam acara lompat tinggi wanita di Kejohanan Atlet Eropah di Stadium Olympic di Rom. — Gambar AFP
Mahuchikh ketika beraksi dalam acara lompat tinggi wanita di Kejohanan Atlet Eropah di Stadium Olympic di Rom. — Gambar AFP

ROM: Atlet dari Ukraine, Yaroslava Mahuchikh memberikan negaranya, yang dicengkam peperangan, pingat emas pertama pada kejohanan olahraga Eropah di Rom apabila memenangi acara lompat tinggi wanita pada Ahad.

Pada malam memaparkan enam final yang lain, Wojciech Nowicki dari Poland, memenangi kejuaraan ketiga berturut-turut dalam acara baling tukul besi.

Atlet dari Britain, Dina Asher-Smith memenangi emas kedua di Eropah dalam acara 100 meter wanita, menjelang acara olahraga di Sukan Olimpik dari 26 Julai hingga 11 Ogos.

Mahuchikh, juara dunia yang melarikan diri apabila Rusia mengebom bandar kelahirannya, Dnipro pada Februari 2022, memenangi pingat emas dengan lompatan pada ketinggian 2.01 meter dan akan menjadi salah seorang atlet bintang untuk Sukan Olimpik yang akan berlangsung di Perancis.

Memulakan kejohanan, Mahuchikh menjadi pilihan utama muncul pemenang selepas pencapaian terbaiknya musim ini adalah 2.04 meter, 6cm lebih tinggi dari pencabar terdekatnnya, Angelina Topic.

Ia dibuktikan dalam keadaan yang sukar apabila acara berlangsung ketika hujan lebat dengan Topic hanya mampu meraih perak dengan lompatan pada ketinggian 1.97 meter sementara seorang lagi atlet dari Ukraine, Iryna Gerashchenko memenangi pingat gangsa dengan ketinggian 1.95  meter.

“Saya datang ke Rom untuk mempertahankan kejuaraan saya dan menjadi juara berganda Eropah. Ia adalah apa yang saya lakukan malam ini,” kata Mahuchikh.

“Dan sekali lagi saya melakukan lompatan 2.01 – ia satu keputusan yang bagus dan menunjukkan bahawa saya boleh melompat lebih tinggi lagi. Sasaran saya dicapai dan terima kasih kepada Tuhan kerana saya tidak merasai sebarang kesakitan di pangkal paha.”

Asher-Smith mengekalkan prestasi sempurna selepas permulaan buruk untuk memenangi kejuaraan Eropah kedua dalam acara 100 meter wanita selepas memenangi acara yang sama di Berlin pad 2018.

Dia mencipta masa 10.99 saat, diikuti Ewa Swoboda dari Poland dengan catatan 11.03 saat, mengatasi Zaynab Dosso dari Itali.

“Saya sememangnya boleh berlari lebih pantas lagi,” kata Asher-Smith.

“Ini adalah peningkatan ke arah Sukan  Olimpik. Saya gembira untuk berada dalam keadaan seperti ini selepas beberapa bulan dalam persediaan baharu, ia benar-benar sukar untuk dicapai.”

Ada drama dalam acara baling tukul besi lelaki apabila Nowicki, juara bertahan Sukan Olimpik dan pemenang lima kejuaraan dunia, yang memerlukan saat akhir untuk memenangi kejuaraan Eropah yang ketiga.

Berada di kedudukan ketiga menjelang balingan keenam dan terakhir, atlet berusia 35 tahun dari Poland itu mengeluarkan seluruh keringat untuk melakukan balingan sejauh 80.95 meter untuk melonjak ke kedudukan teratas.

Ia menyebabkan Bence Halasz dari Hungary tercicir ke tangga kedua dengan balingan sejauh 80.49 meter, diikuti Mykhaylo Kokhan dari Ukraine dengan balingan sejauh 80.18 meter.

Dalam acara lain, Ana Peleteiro-Compaore, pemenang pingat gangsa di Sukan Olimpik dari Sepanyol, melakukan lompatan sejauh 14.85 meter untuk kali keempat bagi mengesahkan kemenangan dalam acara lompat kijang wanita.

Tempat kedua dimenangi Tugba Danismaz dari Turki, yang mencipta rekod kebangsaan 14.57 meter sementara Ilionis Guillaume dari Perancis di tempat ketiga.

Ada dua pingat emas dikutip oleh atlet dari Perancis, tuan rumah Sukan Olimpik 2024.

Alice Finot akhirnya memenangi acara 3,000 meter lari berhalangan selepas pada awalnya dibatalkan kerana berada di luar laluan.

Selepas berjaya membuat rayuan, dia akhirnya diberikan kemenangan, dengan pingat perak dimenangi Gesa Krause dari Jerman dan gangsa dimenangi Elizabeth Bird dari Britain.

Emas kedua Perancis dimenangi Gabriel Tual dalam acara 800 meter lelaki, mengatasi Mohamed Attaoui dari Sepanyol dan Catalin Tecuceanu dari Itali. — AFP

Advertisement