Anda di sini

Kumpulan Kibing bakal bina kilang kaca solar bernilai RM7.2 bilion

Advertisement
 Hajiji (tengah) menyaksikan majlis menandatangani MoU di antara Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Datuk Thomas Logijin (duduk dua kiri) dan Peguam Negara Datuk Nor Aisah Mohd Yusof (duduk kiri) manakala Kibing diwakili oleh Celine Lee (duduk dua kanan) dan William Chen (duduk kanan).
MOU: Hajiji (tengah) menyaksikan majlis menandatangani MoU di antara Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Datuk Thomas Logijin (duduk dua kiri) dan Peguam Negara Datuk Nor Aisah Mohd Yusof (duduk kiri) manakala Kibing diwakili oleh Celine Lee (duduk dua kanan) dan William Chen (duduk kanan).

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri melalui Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan anak syarikat Kibing Group iaitu SBH Kibing New Solar Energy (M) Sdn Bhd bagi memperluaskan pelaburannya di Sabah.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor menyaksikan majlis menandatangani MoU berkenaan di sini hari ini sekali gus menjadi bukti komitmen SBH Kibing New Solar Energy (M) Sdn Bhd untuk membina enam barisan pengeluaran kilang pembuatan kaca solar di Kimanis Papar.

Hajiji berkata, perkembangan terbaru itu membuktikan usaha kerajaan negeri untuk mempercepatkan pertumbuhan sektor perindustrian sememangnya berkesan.

Beliau menegaskan, inisiatif 'Mesra Pelabur Sabah' seperti yang digariskan dalam pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) meningkatkan keyakinan pelabur dalam menarik syarikat asing ke negeri ini serta mengembangkan pelaburan sedia ada.

Menurutnya, Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan berdedikasi untuk menyelaras dan memudahkan pelaburan itu bagi memastikan pelaksanaannya berjaya dan memacu pertumbuhan ekonomi di negeri ini.

Pelaburan SBH Kibing New Solar Energy dianggarkan berjumlah RM7.2 bilion yang akan dilaksanakan dalam tiga fasa, dan bakal mewujudkan sejumlah 5,000 peluang pekerjaan untuk rakyat Sabah.

Kumpulan Kibing melabur lebih RM3 bilion dalam kilang pemprosesan pasir silika dan kilang pembuatan kaca solar yang menjana 1,800 pekerjaan di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP).

Syarikat itu turut menambah barisan pengeluarannya yang ketiga kepada kemudahan sedia ada di KKIP yang mewakili pelaburan tambahan dengan anggaran bernilai RM700 juta serta mewujudkan kira-kira 600 peluang pekerjaan tambahan.

Kilang pembuatan SBH Kibing New Solar Energy (M) Sdn Bhd pada masa ini mengeluarkan 1,200 tan kaca solar setiap hari, yang akan digandakan kepada 2,400 tan sehari bulan ini.
 

  • oleh
  • Advertisement