Anda di sini

F1: Verstappen bangkit bergaya

Advertisement
Verstappen meraikan kejayaan bersama kru pasukannya selepas memenangi perlumbaan F1 Grand Prix Kanada di Litar Gilles Villeneuve di Montreal, Quebec. — Gambar AFP
Verstappen meraikan kejayaan bersama kru pasukannya selepas memenangi perlumbaan F1 Grand Prix Kanada di Litar Gilles Villeneuve di Montreal, Quebec. — Gambar AFP

MONTREAL: Max Verstappen mengurangkan tekanan pada Ahad apabila melengkapkan kemenangan hatrik di Grand Prix Kanada untuk mengekalkan pendahuluan keseluruhan kategori pemandu di awal musim.

Selepas tewas dalam dua dari tiga perlumbaan terakhir, juara dunia tiga kali  itu bangkit di tahap kompetetif terbaiknya, dan dengan bantuan beberapa keputusan taktikal, untuk melepasi garisan penamat dengan kelebihan 3.897 saat di hadapan pemandu McLaren, Lando Norris.

George Russell, pemandu pasukan Mercedes yang bermula di petak pertama permulaan, menamatkan perlumbaan di  tempat ketiga, di hadapan rakan sepasukannya, Lewis Hamilton.

Verstappen meraih  kemenangan ketiga berturut-turut di Litar Gilles Villeneuve dan kemenangan perlumbaan yang ke-60 dalam kariernya, selepas bermula di petak kedua dan kali ini, bernasib baik dengan kehadiran dua kali Kereta Keselamatan.

“Ia adalah perlumbaan yang agak gila dengan banyak yang berlaku,” kata Verstappen. 

“Kami terpaksa terus berusaha dan sebagai sebuah pasukan, kami melakukan tugas yang sangat baik hari ini. Kami tetap tenang dan masuk ke pit pada masa yang tepat.”

Dengan kedua-dua pemandu pasukan Ferrari gagal menamatkan perlumbaan – hanya dua minggu selepas Charles Leclerc meraih kemenangan pertama di Grand Prix Monaco – kemenangan Verstappen membolehkannya memiliki kelebihan 56 mata berbanding  Leclerc dalam senarai keseluruhan kategori pemandu.

“Kehadiran kereta keselamatan memberikan kelebihan kepada kami kali ini,” tambah Verstappen, merujuk kepada perlumbaan Grand Prix Miami di mana dia hilang kelebihan, membolehkan Norris meraih kemenangan pertamanya. “Tetapi selepas itu, kami berjaya membina jurang dengan agak baik.”

Hamilton, yang mengkritik dirinya sendiri selepas perlumbaan, dipintas Russell pada akhir pusingan tetapi berjaya menamatkan perlumbaan di hadapan Oscar Piastri dari pasukan McLaren dan juara dunia dua kali, Fernando Alonso dari pasukan Aston Martin.

Pemandu tuan rumah, Lance Stroll, menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh untuk pasukan Aston Martin, di hadapan Daniel Ricciardo dari pasukan RB dan dua pemandu pasukan Alpine, Pierre Gasly dan Esteban Ocon.

“Menarik sekali,” kata Norris, yang, bersama-sama Piastri, memberikan McLaren mata pertama mereka di Kanada sejak 2014 pada ulang tahun ke-56 kemenangan pasukan, bersama-sama Bruce McLaren di Grand Prix Belgium pada 1968.

Pada hari diselubungi cuaca panas dan hujan, lima pemandu – Sergio Perez (Red Bull), dua pemandu Ferrari dan dua pemandu Williams – gagal menamatkan perlumbaan.

Kemenangan Verstappen membolehkannya mengumpul 194 mata, di hadapan Leclerc dengan 138 mata dan Norris dengan 131 mata.

Dalam kategori pengeluar, Red Bull mengumpul 301 mata, di hadapan Ferrari dengan 252 mata. — AFP

Advertisement