Anda di sini

Alcaraz juara Terbuka Perancis

Advertisement
Alcaraz mendakap trofi yang dimenangi selepas menumpaskan Zverev pada final tenis lelaki perseorangan di Terbuka Perancis. — Gambar AFP
Alcaraz mendakap trofi yang dimenangi selepas menumpaskan Zverev pada final tenis lelaki perseorangan di Terbuka Perancis. — Gambar AFP

PARIS: Carlos Alcaraz bangkit semula untuk menewaskan Alexander Zverev dalam pertarungan lima set di final Terbuka Perancis pada Ahad dan menjadi pemain paling muda yang memenangi kejuaraan Grand Slam di semua tiga permukaan berbeza.

Jaguh dari Sepanyol berusia 21 tahun itu berdepan masalah kekejangan untuk bangkit dari ketinggalan 1-2 sebelum menang 6-3, 2-6, 5-7, 6-1 dan 6-2 dalam masa empat jam dan 19 minit di Stadium Philippe Chatrier.

“Sesuatu yang saya impikan, berada di kedudukan ini sejak saya mula bermain tenis, sejak berusia lima enam tahun. Jadi ia satu perasaan yang sangat hebat,” kata Alcaraz.

Alcaraz menambah kejuaraan Terbuka Perancis kepada kejuaraan Wimbledon yang dimenanginya ketika menewaskan Novak Djokovic tahun lepas dan juga kejuaraan Terbuka Amerika (AS) pada 2022.

Dia akan memulakan kejohanan Terbuka Australia tahun hadapan dengan peluang menjadi pemain paling muda yang melengkapkan kejuaraan Grand Slam.

Zverev, pemain pilihan keempat dari Jerman, masih menunggu kejuaraan Grand Slam yang pertama.

Dia juga tewas dalam final terakhir kejohanan Grand Slam dalam lima set, sekali lagi mensia-siakan  pendahuluan dua set ketika menentang Dominic Thiem di Terbuka AS pada 2020.

Zverev mempunyai harapan yang tinggi untuk akhirnya menang kali ini – selepas tewas enam kali di peringkat separuh akhir tetapi Alcaraz ternyata terlalu kuat dalam saat penting ketika dia berjaya mengikat rekod pertemuan di antara mereka pada 5-5.

“Ia hebat sekali. Suasana, sokongan sentiasa hebat,” kata Zverev, 27.

Alcaraz berkata sebelum final di mana dia mahu menyertai barisan pemain dari negaranya, termasuk idola Rafael Nadal, yang memenangi kejuaraan Terbuka Perancis, dan meraikan kejayaan sebagai juara kelapan dari Sepanyol.

Zverev mengharungi permulaan hambar, melakukan dua kesilapan servis di awal permainan untuk memberikan Alcaraz kelebihan pada set pertama.

Tetapi Alcaraz jelas tidak alah kepada debaran bermain di final pertama di sini apabila mulai hilang fokus untuk memberikan Zverev rentak.

Dan secara tiba-tiba, Zverev mengawal permainan dan mendahului set 2-1.

Namun Zverev sekali lagi hilang rentak seperti di set pertama, membolehkan Alcaraz bangkit bergaya pada set keempat dan hanya memberikan satu mata kepada lawannya untuk membawa permainan ke set kelima.

Zverev juga harus menyalahkan dirinya sendiri apabila gagal mengawal emosi apabila berang dengan keputusan penjaga garisan, menyebabkan cemuhan daripada penonton.

Tindakannya itu jelas menjejaskan permainannya, membolehkan Alcaraz mengekalkan rentak untuk mengesahkan kejuaraan sulung Terbuka Perancis. — AFP 

Advertisement