Anda di sini

Muda dengan Ilmu, Tua dengan Ilmu

Advertisement
 
 

Oleh: Roslan Jomel

Ada sebuah buku, tulisan Syeikh Mustafa Al-Ghalayini, berjudul Hidup Tidak Sering Kali Baik-baik Sahaja, yang ingin saya petik kata-katanya, “Sebenarnya, generasi masa kini tidak ketinggalan daripada pencapaian generasi terdahulu. Bahkan mampu menjangkau pencapaian mereka, sekiranya anak-anak muda ini berani bergerak maju, melakukan hal-hal bermanfaat dan berusaha dengan sebaik-baiknya untuk menghadapi pelbagai rintangan demi merealisasikan cita-cita tersebut.” 

     Kebetulan, isu yang dibangkit melalui rencana ini ialah tentang jarak antara pengarang generasi lama dan baharu. Dalam laman Jendela DBP, disiarkan tulisan kononnya berlaku kerenggangan hubungan akrab antara dua generasi pengarang. Umpama minyak dan air, tidak mungkin bersatu atau bersimbiosis secara sukarela. Memang wujud garis pemisah dua kelompok pengarang itu seperti yang kononnya berlaku semenjak kebelakangan ini? Adakah dengan tidak terlibat dalam pertemuan sastera bertaraf arus utama menjadi kayu ukur untuk membuktikan pandangan sedemikian? Perubahan zaman, gaya hidup dan kecenderungan cita rasa peribadi menjadi penyebab mengapa dua golongan pengarang itu tidak dilihat bersama-sama dalam sebarang aktiviti sastera. Ia bukan masalah besar pun kepada kesusasteraan. Ada isu yang lebih genting dan mendesak daripada bergulat dengan isu “Muda-Tua”.

     Sebaik sahaja menghampiri halaman kelima rencana ini ditaip, saya baharu teringat suatu hal yang masih relevan untuk diperkatakan pada masa sekarang. SN Muhammad Haji Salleh pernah memetik pandangan Cecil Rajendra bahawa golongan penulis kita di sini (Malaysia, maksudnya) begitu ghairah, riuh dan sibuk dengan hadiah-hadiah kecil tempatan. Saya terlupa, dalam buku yang mana satu, tulisan itu termuat. Pertama kali saya menemui kenyataan bernada sinikal (mengganggu jiwa) itu pada usia awal 20 tahun dan belum pun memiliki sebuah buku. Ternyata, hal yang disentuh oleh SN Muhammad Haji Salleh masih wujud dalam kalangan pengarang kita. Landskap kesusasteraan tempatan, berbahasa Melayu, memang saiznya masih tetap begitu sahaja kalau tiada usaha serius penterjemahan dilakukan. Pun begitu, darjat kesusasteraan kita masih kekal berada dalam tempurungnya, andai para pengarang tidak berusaha mempertingkatkan kualiti pada naskhah-naskhahnya.

     Jika anda bertanya, apa perkembangan kesusasteraan negeri atau kebangsaan, dari awal penglibatan saya sehingga sudah memiliki lebih daripada enam buah buku, jawaban saya – tiada apa yang memberangsangkan. Begitu dan begitu sahaja. Anda boleh untuk tidak bersetuju dan menyanggah pendapat saya. Tiada masalah. Bukan bermaksud untuk pesimis. Saya tidak ingin berpura-pura atau bernada manis tentang senario bidang yang telah digeluti hampir 20 tahun itu. Benar, hadiah demi sayembara dilaksanakan dan penulis-penulis baharu muncul, tetapi itu bukan barometer daya peningkatan memajukan sastera yang merakyat sifatnya. Sastera masih terasing, tidak mendatangkan faedah dan kurang popular untuk dijadikan sebagai tema perbincangan para pembesar. Malahan saya cemburu dengan suasana sastera di negeri jiran - Sabah. Golongan penulis yang sudah lama bergelumang dengan asam garam dunia penulisan, pasti mengetahui apa sebab-sebabnya. 

     Beberapa orang tokoh sasterawan (kerana kerap diberikan anugerah dan diiktiraf sebagai sasterawan terulung di peringkat nasional), mengingatkan dalam tulisan mahupun ucapan, bahawa karya sastera merupakan pancaran pemikiran, gagasan intelektual, revolusi budaya dan bukan ruang untuk menimbunkan sampah sarap yang remeh-temeh. Pendek kata, harus ada wacana ilmu sebagai teras karya. Namun pada hakikatnya, ia tidak sepenuhnya berlaku dalam ranah kesusasteraan kebangsaan yang heboh oleh isu-isu kecil. Mengapa? Kadang-kadang kita tidak mengambil serius tentang perkara asas (pencapaian sesebuah karya) kerana lebih mengutamakan aktiviti-aktiviti artifisial yang sekadar lebih bersifat pertemuan kelompok tertentu. Sebagaimana ditegaskan oleh Budi Darma dalam buku Solilokui, “Dalam masyarakat yang tidak intelektual, kerja intelektual dianggap sama dengan kerja pertukangan.” Itulah perkara yang tidak zahir dalam pandangan pihak tertentu. 

     Kembali pada peristiwa hari ini. Kononnya penulis muda dan veteran saling bercakaran dalam beberapa isu kesusasteraan. Apa yang dilakukan oleh pengarang generasi baharu dianggap tidak menyerlahkan kecerdasan pemikiran, meleset kualitinya dan ingin berjauhan dengan kelompok pengarang lama. Pengarang baharu mahu membentuk pengucapan yang bertentangan dengan gaya konvensional penulis lama. Tetapi dianggap sebagai sampah dan tidak menyumbang kepada kemajuan sastera nasional. Sedangkan pengarang yang sekian lama berkarya pun masih terperangkap dengan ungkapan dan kaedah usang. Zaman untuk berbunga-bunga dan berpuitis, sudah ketinggalan. Pengarang lama lebih gemar berada di bawah naungan persatuan penulis dengan pelbagai aktiviti dalam hotel. Tetapi pengarang generasi baharu tidak berminat dengan sebarang acara yang mewajibkan mereka berpakaian formal sambil mendengar tokoh masyarakat menyampaikan teks ucapan berjela-jela.

     SN Shahnon Ahmad (dalam buku Sastera Pengalaman, Ilmu, Imaginasi dan Kitarannya) pernah menegur sikap para pengarang yang terlalu melebih-lebihkan aktiviti berpersatuan sehingga menjejaskan kualiti penulisan. Saya sendiri bersahabat dengan beberapa orang penulis yang terlibat secara aktif dalam persatuan. Apa yang dibimbangkan oleh SN Shahnon Ahmad tidak salah. Apa yang penting ialah kesungguhan dan keghairahan seseorang penulis itu untuk memajukan standard penulisannya. Bidang penulisan sama juga dengan proses pembelajaran. Jika seseorang berhenti atau tidak berminat dengan hal-hal baharu, maka penulisannya akan melekat pada tahap lama. Terbukti beberapa orang penulis yang bergiat secara konsisten dalam persatuan penulis masih sahaja mampu menghasilkan karya-karya cemerlang yang diperakui dalam penilaian sastera peringkat kebangsaan.

     Tidak ada apa-apa yang hebatnya digelar penulis muda yang kononnya lebih berani dan bebas untuk memberontak. Anda juga pasti tua pada suatu hari nanti. Berpenampilan rebel dengan seluar jean lusuh dan rambut melepasi bahu – ia sudah pun menjadi fenomena dari era Beat Generation sehingga sekarang. Tiada apa-apa tambahan keistimewaannya. Sepanjang penglibatan dalam penulisan kreatif, saya pernah merasai apa yang dinamakan sebagai generasi baharu. Biasa sahaja. Bahkan, saya masih ingat dengan gelaran penulis “mi segera” yang dilemparkan kepada para penulis muda. Gelaran sedemikian terasa pedas untuk diterima. Demi mencapai kedudukan sebagaimana yang diperoleh pengarang-pengarang mapan, seseorang penulis harus menyaingi mereka dengan keluasan pembacaan dan teguh dengan jalur pemikiran tersendiri. Jika jalan fikiran dan idea dalam penulisan masih tetap statik, ia menandakan tiada anjakan kedewasaan seseorang dalam bidang yang diceburi. Hal itulah yang paling mendukacitakan dalam sikap seorang penulis.

     Juga tiada apa-apa sebarang kelebihan apabila seseorang itu digolongkan sebagai pengarang yang sudah memiliki sederet sijil kemenangan dan duduk paling depan dalam setiap majlis. Pengarang mapan, tua, veteran, berpengalaman, besar, tersohor dan paling kerap karyanya disiar – tidak memberi apa-apa keunikan khas. (Sekarang begitu mudah menembusi ruangan kreatif di pelbagai bentuk media massa). Kemajuan kesusasteraan, sewajarnya, tidak memerlukan personaliti, nama, gelaran akademik, kabel atau kroni serta kasut hitam berkilat. Dari dahulu dan selamanya, biarlah ketinggian kualiti menjadi penilai untuk memperakui sesebuah karya sastera. Andai kriteria asas itu dilonggarkan atas tujuan untuk menyemarakkan dunia sastera atau memberikan ruang kepada para penulis yang belum lagi mencecah keupayaan yang melayakkannya sebagai pemenang,  itu merupakan bibit-bibit awal untuk meruntuhkan perkembangan kesusasteraan. Hanya kehebatan sesebuah karya yang menjadi pemisah antara pengarang baharu atau bernama besar. Tetapi pada hakikatnya, sastera kita masih sahaja pada tahap biasa-biasa sahaja. Lebih menyedihkan lagi, ranah sastera kita sering kali diriuhkan dengan isu-isu kecil yang tidak menumbuhkan kecanggihan akal fikiran dan intelektual ke tahap yang sepatutnya. 

     Apa yang menjadi punca konflik kedua-dua generasi itu, barangkali masing-masing ada ego. Itu masalah sikap dan mentaliti. Pengarang lama mahukan kedudukan mereka diletakkan di tempat paling utama. Ada kerusi beropol khas disediakan. Sementara karyawan generasi baharu mahukan ruang dan suara mereka juga diberikan sokongan dan pengiktirafan daripada pihak berwenang. Sekali lagi saya ingin memetik nama SN Muhammad Haji Salleh dan untuk sekian kali menyatakan bahawa bidang kesusasteraan merupakan suatu pekerjaan yang menuntut kecanggihan akal, ketinggian ilmu dan keluasan pemikiran. Ia bukan bidang main-main apatah lagi menjadi ruang untuk mengisi agenda-agenda tertentu. Dunia sastera kita sederhana besar, paling mengecewakan kalau dikendalikan dengan fikiran yang kecil. Sehingga kini, saya belum menemui karyawan muda/baharu dari Sarawak yang menunjukkan karakter istimewa dan kelainan pemikiran untuk diserapkan dalam urusan kesusasteraannya. Bukan semata-mata dilihat daripada kerja penulisan, tetapi paling mustahak, pada etika dan jati dirinya sebagai manusia berjiwa besar.

     Dari tahun ke tahun, generasi terdahulu bergandingan dengan generasi baharu untuk meneruskan kelangsungan budaya penulisan karya kreatif, di peringkat negeri dan kebangsaan. Pada tahap seterusnya, generasi baharu menguasai wacana dan langgam penulisan untuk mengawet kesegaran dan sudut pandang berbeza. Sastera hanyalah ruang yang sentiasa menghulurkan tangan kepada sesiapa yang ingin memasukinya. Tiada yang aneh dengan kitaran alamiah sebegitu. Lalu, jika anda mahukan kejayaan ekspres untuk menjadi popular (kaya), di sini memang ada potensi untuk menjulang tuntutan nafsu materialis sebegitu. Pengarang generasi baharu memerlukan bimbingan dan kritikan membina sebagai pedoman dalam penulisan. Begitu juga pengarang yang kononnya dianggap besar, perlu juga menunjukkan teladan dan kerendahan jiwa untuk menyelami karya-karya pengarang semasa. Namun pada hakikatnya, seperti pernah disuarakan oleh Zaen Kasturi, bidang kritikan sastera kita masih sahaja berada dalam keadaan, hidup segan mati tidak mahu. Ia tidak lagi serancak dan segarang, seperti suatu ketika dahulu. 

     Benar, wujud esei-esei kritikan sastera di Sarawak yang “terpaksa” ditulis oleh golongan penulis sendiri. Siapakah lagi hendak diharapkan? Terus berharap dengan sarjana-sarjana dari Semenanjung, satu bukti yang mengesahkan perkembangan kesusasteraan di Sarawak masih belum seimbang. Naik meremang bulu roma membaca esei-esei sastera yang mengaplikasikan teori-teori besar ke atas sesebuah karya tempatan. Naskhah-naskhah lama dan baharu dianalisis dan ditaburkan haruman pujian yang melemahkan tulang tubuh apabila dibaca. Sehingga kini, di manakah sarjana sastera yang benar-benar berkaliber, berani dan jujur serta tidak khuatir untuk menyatakan sikap dan pandangan aslinya terhadap sesebuah karya para penulis Sarawak? Para penulis kontemporari juga wajar menulis esei-esei yang melepaskan pemikiran dan gagasan mereka dan bukan sekadar menjadi tukang cerita dan penulis bait sajak. Perkembangan kesusasteraan tidak akan berlaku jika para penulis hanya mengutamakan pekerjaan naskhah fiksyen semata-mata. Hidup dalam dunia yang serba-serbi moden dan kompleks menagih seseorang pengarang untuk lebih peka, berilmu dan kemas kini serta responsif dengan isu-isu semasa. 

     Manakala segelintir penulis yang berkecenderungan untuk mengutamakan kepuasan artistik, kebebasan dalam urusan pengkaryaan, kejap dengan prinsip dan bergerak secara terasing, perlu bersedia dengan cabaran-cabaran yang bakal ditempuhi. Ia pilihan masing-masing. Ada yang memasuki bidang penulisan kerana sememangnya ingin menjadi penulis. Menghasilkan buku demi buku. Sama ada diterbitkan oleh institusi terkenal, atau di belakang rumah. Dan kepada yang terjerumus dalam dunia penulisan kreatif ini kerana “panggilan dari dalam”, itu juga jalur dipilih sebagai insan seni mandiri. Tidak semua yang arif dalam kesusasteraan berada di meja editorial dan mengendalikan ruang seni. Maka, siapakah yang bersalah andai sikap dan bentuk karya yang berlainan dan radikal diketepikan atas sebab provokatif dan menyimpang daripada norma sastera? Kadang-kadang pengarang baharu muncul, beranggapan semakin pelik, tidak masuk akal dan lain daripada yang lain dalam mengungkapkan gaya penulisan, maka ia dianggap canggih serta terkini. Pembaharu sastera, kononnya. Itulah pentingnya membaca sejarah kesusasteraan supaya tidak merasa besar dan dahsyat, sedangkan apa yang dilakukan itu sudah basi.

     Apabila situasi sastera semasa kecoh dengan beberapa tulisan yang mempertanyakan ketiadaan penyair muda dalam acara pertemuan penyair-penyair peringkat Nusantara, berlakulah apa yang dinamakan ulangan polemik yang tidak pun menaikkan daya keintelektualan seseorang penulis. Baik seorang itu penyair, cerpenis, novelis atau penyanyi lagu puisi, tiada sesiapa pun dianggap berdosa kalau tidak menyertai mana-mana persatuan penulis. Malahan terlibat dengan penuh komited dalam aktiviti-aktiviti persatuan penulis,  juga bukan merit untuk melayakkan seseorang itu wajar diangkat sebagai sasterawan terbilang dan penting. 

     Polemik, perkataan yang berasal daripada Yunani kuno, membawa maksud berhujah untuk menegaskan pendirian, perselisihan pendapat, perbahasan yang menyebabkan berlakunya perdebatan dan pembantahan tentang beberapa perkara dan isu tertentu. Polemik berlangsung secara berdepan dengan siri soal jawab di pentas atau berlaku dalam tulisan yang termuat dalam akhbar, majalah, buku dan dalam talian (kerana kita hidup di era Internet). Sebagai seorang yang gemar dengan hal-hal kontroversi dan menggugah pemikiran, saya menyukai polemik yang hasilnya nanti mencerdaskan diri dan memperkayakan perbendaharaan idea. Namun jika polemik yang tercetus kerana hal-hal sepele, ia hanya membuang masa untuk diikuti. Pergeseran idea dan mentaliti pengarang lama dan baharu, sering kali membosankan kerana masih sahaja mengutarakan isu-isu lapuk. Umpama air krim pelbagai perisa, bak kata Abdullah al Andalusi (ilmuwan, pemikir dan pakar debat Islam kontemporari).

     Para pengarang, tidak kisahlah, baharu, muda dan veteran, sedar, hanya dengan ilmu - sesuatu urusan, pekerjaan dan bidang itu akan berjaya diharungi. Apalah guna mengeruhkan ranah kesusasteraan dengan menaikkan isu-isu yang tidak sepatutnya diberikan tumpuan. Lihatlah polemik ilmiah yang berlaku dalam hal-hal besar berkaitan teologi, manhaj, sifat-sifat Tuhan dan kesesatan golongan agamawan, disiarkan secara terbuka kepada pihak awam. Memanfaatkan kemudahan alat telekomunikasi di alam maya, seseorang dengan mudah menangguk ilmu-ilmu baharu dan jika tidak bersikap teliti, mudah pula terjatuh dalam perangkap yang menggelincirkan iman kepada audiensnya. Polemik yang berteraskan ilmu, disiplin yang benar dan perbincangan secara terbuka, apatah lagi membicarakan isu-isu penting, seharusnya juga berlaku dalam acara kesusasteraan di peringkat arus utama. Alangkah mengharukan ranah sastera kebangsaan diganggu dengan isu-isu murahan. Lupakan desas-desus kosong, dan teruslah belajar demi menghasilkan karya-karya hebat.

     Saya tamatkan rencana ini dengan petikan daripada sebuah buku yang sangat menarik untuk dilampirkan sekali. Semua pengarang muda nantinya mengalami fasa transisi dalam penulisan apabila meningkat usia. Menghidupkan suasana sastera dengan membangkitkan isu-isu yang disebutkan di atas, tidak mungkin meninggikan mutu khazanah persuratan negara. Biarkan pengarang muda dengan cara pergerakan mereka. Manakala pengarang berusia, teruskan dengan kesenangan mereka beraktiviti dalam persatuan. Mustahak, isi kandungan kesusasteraan wajar disuntik dengan elemen-elemen bermanfaat dengan ilmu yang benar. Kebanyakan komuniti penulis dalam negara yang berkarya dalam bahasa Melayu, beragama Islam. Tiada apa yang hebat dan istimewanya menjadi sasterawan genius. Namun hal yang wajar diingati ialah, ada aspek lain lebih bermakna, bahawa penulisan merupakan suatu wadah dan wahana dalam menyusuri akar keilmuan (anugerah Tuhan) pelbagai bidang.

“Al-Quran merupakan sumber ketamadunan yang menjadi dustur umat Islam sejak 1400 tahun yang lampau serta telah mengangkat dan memartabatkan darjat masyarakat Arab di mata dunia dengan kemuliaan Islam yang dimiliki dan tiada tandingan daripada masyarakat lain. Senario ini jelas memaksa masyarakat dunia, termasuk Barat dan Eropah, untuk melakukan penyelidikan dan penterjemahan al-Quran supaya mereka juga tidak ketinggalan untuk mengambil seberapa banyak kemajuan daripada tamadun Islam dan membina ketamadunan mereka sendiri. Akhirnya, mereka berjaya melakukan reformasi zaman pada awal abad ke-15 Masihi di Eropah dengan kebangkitan teknologi dan intelek pada zaman itu yang diistilahkan sebagai zaman Renaissance. Renaissance atau zaman pembaharuan merupakan  zaman perubahan budaya ilmu yang mempengaruhi kehidupan intelektual Eropah pada awal zaman tersebut. Bermula di Itali, pengaruh zaman ini tersebar ke serata Eropah menjelang abad ke-15 Masihi, bermula selepas pengaruh intelektual Islam di Andalusia dan Baghdad. Para ilmuwan Eropah mula meneroka penemuan baharu dalam pelbagai cabang ilmu seperti kesusasteraan, falsafah, politik, seni, sains, astronomi, agama dan lain-lain. Renaissance melambangkan kelahiran semula Eropah dari tempoh ketandusan ilmu yang agak lama kepada kebangkitan tamadun baharu.” 

(Petikan daripada buku Tradisi Intelektual Andalusia, Pengaruh Disiplin al-Quran, penerbit Universiti Sains Malaysia, 2016, tulisan Mohd Zamrus Mohd Ali.) 

 
 
Advertisement