Anda di sini

MSU pada kedudukan ke-51 universiti terbaik dunia bagi pelajar antarabangsa

Advertisement
MSU universiti ke-51 terbaik dunia bagi pelajar antarabangsa.
MSU universiti ke-51 terbaik dunia bagi pelajar antarabangsa.

KUCHING:Management and Science University (MSU) kekal berada dalam kelompok 12 universiti terbaik Malaysia dan berada dalam kedudukan ke-580 di dunia menurut laporan Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings (WUR) 2025 baru-baru ini.

Menerusi kenyataan akhbarnya hari ini, pada edisi tahun 2025 QS WUR secara keseluruhannya telah menyenaraikan 28 institusi pengajian tinggi Malaysia daripada 1,503 institusi di seluruh dunia.

"Di mana 5,663 institusi telah melalui proses penilaian iaitu peningkatan sebanyak 2,700 universiti baharu berbanding tahun lepas.

"Aspek terbaik ialah melalui indikator nisbah pelajar antarabangsa di mana telah menempatkan MSU pada kedudukan ke-51 dunia, kedudukan ketiga di Malaysia iaitu peningkatan 41 anak tangga," katanya.

Turut merekodkan peningkatan ialah indikator nisbah fakulti antarabangsa iaitu peningkatan 54 anak tangga yang menempatkan MSU pada kedudukan ke-126 dunia, kedudukan pertama di Malaysia.  

Turut mencatatkan peningkatan sebanyak 87 anak tangga ialah indikator nisbah pelajar dan fakulti pada kedudukan ke-389 dunia, kedudukan ke-12 di Malaysia.

Selain itu, penilaian QS WUR 2025 juga adalah berdasarkan kepada enam  indikator utama yang lain iaitu reputasi majikan, reputasi akademik, sitasi per fakulti, rangkaian penyelidikan antarabangsa, kelestarian serta kebolehpasaran dan impak graduan. 

QS WUR 2025 menilai lima bidang utama iaitu penemuan dan penyelidikan, kebolehpasaran dan impak graduan, pengalaman pembelajaran, jalinan global serta kelestarian. 

"Pencapaian ini signifikan dengan ekosistem MSU yang menitikberatkan kepada aspek pembelajaran dan pengajaran alaf baharu melibatkan kerjasama pintar bersama lebih 2,000 rakan industri daripada pelbagai sektor tempatan dan antarabangsa serta rangkaian kerjasama dengan lebih 350 institusi pendidikan tinggi global merangkumi rantau Asia Tenggara, Asia Timur, Asia Tengah, China, Timur Tengah, Eurasia, Eropah, Asia Barat serta Oceania. 

Manakala secara keseluruhannya komuniti pelajar antarabangsa MSU adalah terdiri daripada 67 negara di seluruh dunia termasuk Uzbekistan, Turkiye, Mesir, Jordan, Singapura, India, USA, Indonesia, Somalia, Brunei, Sudan, Yaman, Ghana, Sri Lanka, China, Thailand, Maldives, Algeria, Tanzania, Timor-Leste, Chad dan lain-lain.

Berdasarkan Indeks Kebolehpasaran Graduan (Talentbank GE Index 2024), MSU telah diiktiraf sebagai antara universiti pilihan majikan terkemuka di Malaysia apabila disenaraikan dalam kalangan Employer Choice University 2024.

Ini merupakan kesinambungan kepada Kajian Pengesanan Graduan 2022 oleh Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia (KPT) menyaksikan kebolehpasaran graduan MSU berada pada tahap 99 peratus yang merupakan antara tertinggi di Malaysia. 

Sekali gus memberikan indikasi positif keberkesanan setiap program pembelajaran dan pengajaran yang dirancang dalam melahirkan kelompok graduan yang versatil dengan personaliti yang seimbang, holistik dan kompeten serta mencapai standard tertentu di peringkat global. 

Advertisement