Anda di sini

Hidrogen boleh menggantikan diesel 

Advertisement
  • Abang Johari optimis dengan potensi hidrogen yang boleh dijadikan sebagai sumber tenaga alternatif kepada bahan api diesel
Abang Johari pada sidang media selepas merasmikan Persidangan dan Pameran Hidrogen Hijau Asia Pasifik 2024 (APGH 2024) hari ini. - Gambar Roystein Emmor
Abang Johari pada sidang media selepas merasmikan Persidangan dan Pameran Hidrogen Hijau Asia Pasifik 2024 (APGH 2024) hari ini. - Gambar Roystein Emmor

Oleh Marlinda Mardzuki

KUCHING: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg optimis dengan potensi hidrogen yang boleh dijadikan sebagai sumber tenaga alternatif kepada bahan api diesel.

Beliau berkata, ini terutamanya apabila hidrogen boleh dihasilkan dengan kos yang lebih rendah.

"Carilah alternatif untuk menggantikan diesel, supaya dengan ini tidak akan ada lagi keperluan untuk subsidi.

“Jika kita boleh mengurangkan kos pengeluaran hidrogen, mengapa perlu lagi menggunakan diesel.

"Jika kita boleh menukar kepada sumber tenaga lain selain diesel, secara automatic semua permasalahan (contoh subsidi diesel) akan dapat diatasi,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan dan Pameran Hidrogen Hijau Asia Pasifik 2024 (APGH 2024) di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta memberi komen mengenai harga baharu diesel di Semenanjung Malaysia yang telah ditetapkan pada RM3.35 seliter bermula semalam.

Mengulas lanjut Abang Johari berkata, untuk mengurangkan kos hidrogen, penggunaan minyak perlu dihentikan.

"Mengapa bercakap tentang diesel apabila kita mempunyai hidrogen? Untuk mengurangkan kos hidrogen, hentikan penggunaan minyak, itulah penyelesaiannya.

"Melihat kepada situasi semasa di mana kita masih menggunakan diesel, harganya akan naik lagi dan lebih banyak subsidi akan diminta. 

“Jadi, mengapa tidak hanya menggunakan sumber tenaga alternatif yang murah daripada diesel?" soalnya.

Kelmarin, Menteri Kewangan Il Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengumumkan bahawa harga diesel di semua stesen runcit Semenanjung ditetapkan pada kadar RM3.35 bagi setiap liter iaitu harga pasaran tanpa subsidi bermula semalam (10 Jun). 

Katanya, ia adalah harga pasaran tanpa subsidi berdasarkan purata bulan Mei 2024 mengikut formula Automatic Pricing Mechanism.

“Dengan penetapan harga dan pelaksanaan subsidi diesel secara bersasar, ia dapat memberikan penjimatan sebanyak RM4 bilion setahun di samping dapat mengukuhkan kedudukan kewangan negara untuk jangka masa panjang.

"Keputusan penyasaran subsidi (oleh kerajaan) bukan langkah mudah malah ia diberi perhatian khusus. 

“Kita mahu hentikan ketirisan yang merugikan rakyat dan negara, tahun demi tahun kita tanggung kerugian besar dan boleh merencatkan ekonomi negara," katanya.

Advertisement