Anda di sini

‘Dancing Queen Concert – A Tribute to Queen and ABBA’ dijangka rancakkan kedatangan pelancong

Advertisement
Abdul Karim (tengah) serta yang lain mempromosikan konsert itu semasa sesi fotografi.
Abdul Karim (tengah) serta yang lain mempromosikan konsert itu semasa sesi fotografi.

KUCHING: Konsert dikenali ‘Dancing Queen Concert – A Tribute to Queen and ABBA’ dijadual diadakan pada 23 Jun ini dijangka merancakkan lagi kedatangan pelancong di sini.

Pengarah Urusan Front Row Ameerah Alsree berkata, berdasarkan jualan tiket ‘Queen Tribute Concert’ dua tahun lalu, 30 peratus penonton konsert adalah dari luar Sarawak, termasuk Singapura, Brunei Darussalam dan Indonesia.

“Berdasarkan sambutan memberangsangkan daripada penonton semasa konsert dan maklum balas yang menggalakkan selepas itu, jelas menunjukkan persembahan itu telah mencetuskan keinginan tinggi untuk lebih banyak acara sebegini dianjurkan di Sarawak.

"Diilhamkan oleh sambutan hebat ini, kami rasa pencinta muzik akan teruja melihat Killer Queen kembali di Kuching untuk satu lagi persembahan goyang," katanya pada sidang akhbar malam tadi.

Ameerah berkata, konsert tahun ini diharap dapat menarik lebih ramai pengunjung antarabangsa dan memainkan peranannya mempromosikan pelancongan di rantau ini, bagi menyokong sasaran Kerajaan Sarawak iaitu empat juta ketibaan pengunjung tahun ini.

Killer Queen diketuai Alif Putra, seorang pemain gitar berbakat tinggi, dikenali sebagai Steve Vai dari Singapura, manakala vokal utama ialah Alfred Ayal, penyanyi berbakat dan persembahannya telah menjadikannya sebagai 'Freddie Mercury of Indonesia'.

Bagi konsert tahun ini, kumpulan ABBORN dari Eropah turut akan membuat persembahan.

“Queen dan ABBA sangat membentuk serta mempengaruhi muzik dan budaya pop dengan lagu-lagu abadi yang dihargai oleh semua generasi masa kini.

"Memandangkan Queen tidak membuat persembahan secara langsung di Asia dan ABBA tidak mempunyai rancangan semasa untuk bersatu semula, ini adalah cara kami membawa muzik ikonik kumpulan-kumpulan ini dalam pertunjukan live ke Sarawak," kata Ameerah.

Beliau berkata ABBORN, yang ditubuhkan pada 1999, telah menjelajah terutama di Eropah dengan persembahan muzik secara 'live', koreografi dipentaskan dan pakaian retro mempesonakan mengingatkan zaman disko.

Ini adalah kali pertama kumpulan itu membuat persembahan di Asia.

Sebahagian daripada jualan tiket akan disalurkan kepada Yayasan Jantung Sarawak.

Antara yang hadir pada sidang media itu, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Setiausaha Tetap Kementerian Datu Sherrina Hussaini, Pengarah Yayasan Jantung Sarawak Datuk Anne Teng, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sarawak Tourism Board Yusfida Khalid dan pengerusi penganjur konsert Zaid Zaini.

‘Dancing Queen Concert – A Tribute to Queen and ABBA’ akan diadakan pada 23 Jun ini di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).

Advertisement