Anda di sini

Terokai potensi besar perniagaan keringkam 

Advertisement
  • Usahawan dalam industri tekstil dan pakaian digalak mengembangkan lagi industri mereka dalam seni keringkam
Rubiah (dua kanan) melawat pameran usahawan yang menyertai Program WINS sambil ditemani Ahmad Kamal (kanan). 
Rubiah (dua kanan) melawat pameran usahawan yang menyertai Program WINS sambil ditemani Ahmad Kamal (kanan). 

KUCHING: Usahawan dalam industri tekstil dan pakaian digalak mengembangkan lagi industri mereka dalam seni keringkam, kata Datuk Rubiah Wang. 

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu berkata, sulaman tangan tradisional yang rumit itu berpotensi besar untuk menjadi perniagaan yang menguntungkan. 

Selain itu katanya, penglibatan dalam industri keringkam juga boleh mengekalkan seni dan keindahan warisan budaya tradisional masyarakat Melayu Sarawak itu. 

“Seni keringkam boleh digunakan sebagai satu aspek kemahiran di mana tujuannya bukan sahaja untuk memelihara warisan tetapi juga untuk melahirkan usahawan yang berjaya. 

“Ini kerana selendang atau tudung keringkam boleh mencecah ribuan ringgit bergantung kepada motif dan rekaan sulamannya,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan penutupan Program Wacana Ilmu-Wanita Inspirasiku (WINS) anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Negeri Sarawak di Mydin Vista Tunku di sini, hari ini.

Mengenai program itu, Rubiah berkata segala pandangan dan maklum balas yang dikongsi sepanjang acara dua hari itu harus dijadikan sebagai motivasi kepada peserta khususnya usahawan luar bandar untuk bercita-cita menjadi lebih berjaya. 

Beliau berkata usahawan baharu dijangka menimba ilmu dan meningkatkan kualiti serta kebolehpasaran produk mereka melalui sesi perkongsian oleh panel usahawan serta klinik latihan yang dianjurkan pada program itu. 

“Usahawan mesti mempunyai semangat daya saing yang tinggi dan dapat mengenal pasti produk berkualiti dan mengetahui pasaran mereka. 

“Apa yang penting di sini ialah produk mereka mendapat sambutan baik dan sentiasa di hati pelanggan di samping ditambah baik dari semasa ke semasa,” katanya. 

Dalam pada itu, kira-kira 300 peserta Kelas Kemahiran KEMAS, Usahawan Quick Win, Peserta Kursus Kemahiran Jangka Pendek (KKPJ), Peserta Program Bantuan Ekonomi Kampung (BEK) dan Peserta Program Peningkatan Pendapatan (PPP) menyertai program itu. 

Antara objektif program itu, memberi peluang kepada kumpulan sasar terutama kaum wanita untuk bersama-sama usahawanita yang berjaya di setiap negeri berkongsi pandangan dan pengalaman. 

Program itu turut bertujuan mewujudkan rangkaian usahawan Quick Win luar bandar hasil bimbingan KEMAS melalui potensi perniagaan dalam talian dan memberi maklumat berkaitan peningkatan pendapatan oleh pihak kerajaan kepada usahawan rintis kecil sederhana. 

Hadir sama Ketua Pengarah KEMAS Datuk Ahmad Kamal Idris Mohd Narawi serta yang lain. 
 

Advertisement