Anda di sini

Sarawak kini beralih kepada era restorasi hutan: Abang Johari

Advertisement
Abang Johari bersama Hamden serta yang lain merakam kenangan pada majlis Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Sarawak 2024 di Hutan Simpan Sabal, Simunjan hari ini. - Gambar UKAS
Abang Johari bersama Hamden serta yang lain merakam kenangan pada majlis Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Sarawak 2024 di Hutan Simpan Sabal, Simunjan hari ini. - Gambar UKAS

KUCHING: Sarawak yang dahulunya bergantung kepada industri pembalakan kini beralih kepada era baru yang mengutamakan usaha restorasi kawasan hutan.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, era bergantung kepada industri pembalakan sebagai sumber pendapatan kini telah berubah.

“Dalam era baharu ini, kita tidak lagi bergantung dengan pemotongan pokok sebagai sumber pendapatan, sebaliknya hari ini kita beralih kepada penanaman semula iaitu restorasi hutan.

“Sebab itu politik dahulu adalah politik kayu balak. Sekarang kita ubah, kita tidak bergantung kepada kayu (balak) tetapi kepada kepintaran dan inovasi kita dalam restorasi hutan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Sarawak 2024 di Hutan Simpan Sabal, Simunjan kira-kira 60 kilometer dari Serian, hari ini.

Abang Johari memberitahu, kerajaan Sarawak telah berjaya mengurangkan kadar pembalakan di negeri ini sebanyak kira-kira dua juta meter padu setahun.

Beliau berkata, ini hasil daripada dasar mematuhi keperluan pensijilan pengurusan hutan untuk kedua-dua hutan asli dan hutan ladang.

“Justeru, saya mahu industri (pemain) tahu mengapa kita mengurangkan eksport kayu balak dan mengapa kita tidak menggalakkan penebangan pokok balak.

“Ini kerana sekarang kita mempunyai alternatif untuk (membangunkan) ekonomi kita,” katanya sambil menambah, dasar yang diamalkan Sarawak sekarang turut membolehkannya mengekalkan kira-kira 62 peratus kawasan hutan di negeri ini.

Sementara itu, Abang Johari ketika ditemui media memaklumkan bahawa protokol antarabangsa berkaitan perdagangan karbon di Sarawak dijangka tidak akan mengambil masa yang lama untuk dimuktamadkan.

Katanya, ketika ini Sarawak sedang berkerjasama dengan organisasi antarabangsa dan Bank Dunia bagi penggubalan protokol yang jelas untuk memastikan dasar perdagangan karbon dapat dilaksanakan dengan baik.

“Bagi memuktamadkan protokol perdagangan karbon tidak juga lama dan kita sedang meneroka semua parameter undang-undang berkaitan, tetapi ia bergantung kepada teknologi kerana CCUS (penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon) ini masih baharu. 

“Sebaik sahaja kita mempunyai pangkalan data, maka pihak terlibat akan melihat antara negara yang terlibat bagi mencari penyelesaian dan formula,” jelasnya.

Meskipun belum ada protokol yang ditetapkan untuk perdagangan karbon katanya, namun terdapat garis dasar sedia ada untuk mengira simpanan dan prinsip perdagangan karbon berpandukan kepada Protokol London.

Sehubungan itu katanya, kerajaan persekutuan perlu segera memperkenalkan undang-undang perdagangan karbon kerana industri tersebut melibatkan hubungan antara negara antarabangsa. 

“Saya juga baru balik dari Indonesia untuk kita bekerjasama dalam industri ini terutamanya di kawasan Kalimantan kerana Kepulauan Borneo mempunyai banyak kawasan paya bakau sesuai untuk CCUS.

“Industri ini melibatkan hubungan kerajaan dan kerajaan, jadi Malaysia juga mesti memperkenalkan undang-undang serta dasar perdagangan karbon,” katanya.
 

  • oleh
  • Advertisement