Anda di sini

Bagnaia memenangi perlumbaan GP Catalunya

Advertisement
Bagnaia meraikan kejayaannya di atas podium selepas menjuarai perlumbaan MotoGP Grand Prix Catalunya di Litar de Catalunya di Montmelo. — Gambar AFP
Bagnaia meraikan kejayaannya di atas podium selepas menjuarai perlumbaan MotoGP Grand Prix Catalunya di Litar de Catalunya di Montmelo. — Gambar AFP

BARCELONA: Juara dunia dua kali, Francesco Bagnaia, merampas kemenangan perlumbaan MotoGP Grand Prix Catalunya pada Ahad, sekali gus menghampiri pendahulu keseluruhan kategori pelumba, Jorge Martin.

Bagnaia, yang menunggang jentera Ducati, mengekori rapat pendahulu perlumbaan, Martin, sebelum memintasnya pada pusingan ke-20 di selekoh kelima di mana dia terbabas dalam perlumbaan pecut pada Sabtu, untuk meraih kemenangan ketiganya musim ini.

Martin gagal menyaingi dan Bagnaia melepasi garisan penamat dengan kelebihan hampir dua saat untuk menghampiri jurang 39 mata di belakang Martin dalam senarai keseluruhan kategori pelumba.

Pelumba tuan rumah, Marc Marquez, menduduki tempat ketiga, di hadapan Aleix Espargaro, yang mengumumkan pada awal minggu ini bahawa dia akan bersara pada akhir musim ini.

Marquez berada di kedudukan ketiga keseluruhan, 41 mata di belakang Martin.

“Sejujurnya, saya berasa marah semalam (kemalangan dalam perlumbaan pecut ketika mendahului perlumbaan pada pusingan terakhir) tetapi saya tahu potensi yang saya ada dan dapat memenangi perlumbaan,” kata Bagnaia.

“Ia adalah permulaan sukar tetapi kemudian saya melihat beberapa pergelutan di kelompok hadapan dan saya berusaha lebih kuat lagi.

“Jentera cukup hebat, pasukan melakukan tugas yang luar biasa menyediakan jentera dan sekarang saya tidak sabar untuk perlumbaan seterusnya (di Grand Prix Itali).”

Tempat ketujuh di permulaan perlumbaan untuk pasukan Pramac Ducati, Martin melepasi Pedro Acosta ke tangga kedua dan kemudian memintas Bagnaia pada selekoh ke-10 untuk mendahului perlumbaan ketiga berbaki 20 pusingan.

Acosta cuba mengejar pada hari ulang tahun kelahiran yang ke-20 tetapi terbabas sedikit dari litar pada pusingan ke-11 tetapi berjaya kembali bermula di kedudukan ke-20.

Selepas Bagnaia memintas Martin, dia mengekalkan kedudukannya sehingga ke garisan penamat.

“Saya berasa sangat gembira, sangat bangga, bermula dari petak ketujuh, saya memulakan perlumbaan dengan sempurna dan memintas selekoh pertama ke kedudukan keempat,” kata Martin.

“Menjelang akhir perlumbaan, saya cuba mengekalkan rentak tetapi itu sahaja yang mampu saya lakukan.

“Saya cuba memberikan tekanan ke atas Bagnaia tetapi tiada apa yang dapat saya lakukan dan ia sukar.”

Selepas permulaan hambar, Marquez, yang memburu kemenangan pertama dalam perlumbaan MotoGP sejak 2021, memecut dari kedudukan ke-14 untuk pasukan Ducati-Gresini.

Dia akhirnya melepasi pelumba Aprilia, Espargaro untuk menduduki tempat ketiga.

Espargaro, 34, yang memenangi perlumbaan pecut pada Sabtu dan berharap untuk memenangi perlumbaan pada Ahad seperti dilakukan olehnya tahun lepas tetapi berasa terkilan walaupun bermula di petak pertama.

“Saya bermula dengan buruk tetapi saya berjaya bangkit - saya cuba bersabar kerana saya perlumbaan agak panjang,” kata Marquez, yang menaiki podium untuk kali ketiga berturut-turut.

“Saya dapat mempertahankan kedudukan di tempat ketiga, saya bersimpati dengan Aleix kerana ia adalah perlumbaan terakhirnya di Catalunya tetapi gembira untuk kembali bersaing di kelompok hadapan sekali lagi.” — AFP
 

Advertisement