Anda di sini

Jaminan buat Ten Hag elak dipecat

Advertisement
Pemain Man Utd meraikan kejayaan selepas dinobatkan juara Kejohanan Piala FA Inggeris setelah menumpaskan Manchester City pada perlawanan final di Stadium Wembley. — Gambar AFP
Pemain Man Utd meraikan kejayaan selepas dinobatkan juara Kejohanan Piala FA Inggeris setelah menumpaskan Manchester City pada perlawanan final di Stadium Wembley. — Gambar AFP

LONDON: Erik ten Hag melakukan tugas meyakinkan untuk mengelak pemecatan ketika Manchester United mengejutkan Manchester City untuk memenangi kejuaraan Piala FA Inggeris dengan kemenangan 2-1 di final pada Sabtu.

Ten Hag dilaporkan akan dipecat tidak kira apa jua keputusan di Stadium Wembley selepas satu musim bermasalah di mana malah dia sendiri menggambarkan ia sebagai “teruk” pada minggu ini.

Tetapi pengurusan United mungkin mempunyai pandangan kedua selepas kehebatan taktikal Ten Hag menjejaskan harapan City mencipta satu lagi sejarah.

City menjadi pilihan utama untuk memenangi kejuaraan berganda Liga Perdana dan Piala FA yang kedua berturut-turut.

Namun Ten Hag menemui satu cara untuk menangani skuad kendalian Pep Guardiola menerusi gol dalam separuh masa pertama oleh Alejandro Garnacho dan Kobbie Maino untuk meletakkan United di landasan kejuaraan Piala FA yang pertama mereka dalam tempoh lapan tahun.

Jeremy Doku merapatkan kedudukan pada minit ke-87 tetapi ia ternyata terlalu lewat untuk mengubah nasib kelab jiran United itu.

Ten Hag meraikan kejayaan itu dengan mencium piala ketika dia menjulangnya di tempat menerima pingat.

Ditanya jika dia bimbang tentang masa depannya, dia berkata: “Saya tidak tahu. Satu-satu perkara yang saya lakukan ialah membuat persediaan untuk pasukan saya.

“Ini adalah satu projek bagi saya. Apabila saya datang ke sini, saya boleh berkata keadaan cukup bermasalah. Sekarang kami lebih bagus. Kami tidak berada di kedudukan yang kami mahukan.”

Guardiola menambah: “Tahniah kepada United. Ia adalah perlawanan sengit. Ia boleh berlaku. Pada akhirnya, mereka menjaringkan dua gol dan kami gagal menjaringkan lebih banyak gol.”

Selepas menamatkan musim dengan satu kejuaraan, jika tempoh dua tahun membimbing kelab berakhir, pemecatan Ten Hag akan mengimbau kembali apa yang berlaku kepada rakan senegara dari Belanda, Louis van Gaal, yang dipecat dua hari selepas United menewaskan Crystal Palace untuk memenangi Piala FA pada 2016.

Ten Hag akan berharap pendekatan lebih berbeza seperti kemenangan Piala FA pada 1990 ketika di bawah kendalian Alex Ferguson, yang memulakan satu tempoh hebat selepas desakan untuk pemecatannya di awal musim.

Ferguson turut hadir menyaksikan satu perlawanan yang dilabel sebagai hari pengebumian Ten Hag tetapi mengubahnya menjadi hari keraian untuk jurulatih dari Belanda itu.

Pemilik bersama baharu United, Jim Ratcliffe, yang mempunyai kawalan ke atas operasi bola sepak di Old Trafford, turut hadir bersama-sama dua pemilik bersama, Joel dan Avie Glazer.

Dikaitkan dengan Thomas Tuchel, Mauricio Pochettino dan Gareth Southgate, antara lain, masih ada banyak yang perlu difikirkan buat Ratcliffe selepas United menamatkan musim Liga Perdana Inggeris di tangga kelapan - kedudukan paling rendah mereka sejak 1990 - dan tersingkir dari Liga Juara-Juara di pusingan pertama.

Ten Hag percaya masalah kecederaan adalah punca masalah dan dia boleh menunjukkan kepada dua kejuaraan yang dimenanginya dalam tiga penampilan di final sebagai bukti bahawa apa yang boleh dia lakukan apabila memiliki skuad penuh.

Ten Hag menamatkan kemarau enam tahun tanpa kejuaraan United apabila memenangi Piala Liga Inggeris tahun lepas dan sekarang menebus kekalahan 1-2 kepada City di final Piala FA tahun lepas walaupun menamatkan musim liga dengan ketinggalan 31 mata di belakang City musim ini.

Dengan kemenangan ini, United akan layak beraksi dalam Liga Europa musim hadapan, mengelak musim pertama tanpa kejohanan di Eropah sejak musim 2014/2015.

Kekalahan adalah yang pertama dalam bola sepak domestik buat City sejak tewas kepada Aston Villa dalam liga 171 hari yang lalu.

Minggu lepas, City menjadi pasukan pertama yang memenangi trofi Liga Perdana Inggeris dalam empat musim berturut-turut.

Namun anak buah Guardiola kelihatan keletihan selepas meraikan kejuaraan liga yang keenam mereka dalam tujuh tahun. — AFP
 

Advertisement