Anda di sini

Wong Su Chung anak Sarawak pertama tawan Everest

Advertisement
Wong mengibarkan bendera Ibu Pertiwi dan Jalur Gemilang selepas berjaya tiba di puncak Gunung Everest pada 19 Mei lalu. 
Wong mengibarkan bendera Ibu Pertiwi dan Jalur Gemilang selepas berjaya tiba di puncak Gunung Everest pada 19 Mei lalu. 

MIRI: Bendera Ibu Pertiwi dan Jalur Gemilang berkibar megah di Gunung Everest susulan kejayaan pendaki solo negara, Wong Su Chung, 60, dari Miri yang menjadi rakyat Sarawak pertama berjaya menawan puncak tertinggi di dunia setinggi 8,848.86 meter itu tepat jam 9.37 pagi pada 19 Mei lalu. 

Kepulangan beliau yang juga Pengarah Urusan Homelite Development Sdn Bhd disambut meriah sebagai Hero Sarawak oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Sebastian Ting yang mewakili kerajaan Sarawak, ahli keluarga, kakitangan syarikat, rakan-rakan dan penduduk Miri di Lapangan Terbang Miri pada jam 11.40 pagi Sabtu.

Wong ketika ditemu bual berkata, beliau bersyukur kepada Tuhan kerana memberinya kekuatan untuk mengecapi kejayaan menawan puncak tertinggi dunia itu tepat pada sambutan ulang tahun perkahwinannya yang ke-34. 

Ting (kanan) memberikan jambangan bunga sebaik tibanya Wong di balai ketibaan Lapangan Terbang Miri hari ini. 
Ting (kanan) memberikan jambangan bunga sebaik tibanya Wong di balai ketibaan Lapangan Terbang Miri hari ini. 

Menurutnya, persiapan untuk menawan puncak Everest mengambil masa tiga tahun berserta kekuatan mental yang kuat, beliau setiap hari berdoa kepada Tuhan agar impiannya tercapai. 

“Perjalanan untuk sampai ke puncak itu banyak cabarannya tetapi saya tetapkan dalam hati dan kuatkan perasaan untuk mengatasi setiap cabaran sepanjang perjalanan itu dan tidak sesekali berputus asa. 

“Bagi saya, sampai ke puncak adalah bahagian pertama, tetapi turun dengan selamat semasa badan letih adalah satu lagi cabaran besar kerana di situlah bahaya mengintai,” katanya. 

Ketibaan Wong (tengah) disambut meriah di Miri hari ini oleh ahli keluarga, kakitangan syarikatnya dan rakan-rakan. 
Ketibaan Wong (tengah) disambut meriah di Miri hari ini oleh ahli keluarga, kakitangan syarikatnya dan rakan-rakan. 

Selain itu kata beliau, sepanjang pendakian kekuatannya juga hadir daripada semangat dan sokongan keluarga dan rakan-rakan yang tanpa henti berdoa atas keselamatannya. 

“Saya berusia 60 tahun, dan tidak ramai di peringkat umur ini yang mahu mencuba aktiviti pendakian lasak sebegini, tetapi bagi saya, ini adalah sesuatu yang saya mesti mencubanya sebagai satu cabaran peribadi,” ujarnya. 

Raut wajah gembira jelas terpancar apabila dapat kembali ke pangkuan keluarganya dengan selamat terutama apabila melihat isterinya Lim Shaw Chyi dan tiga anak perempuannya Esther, Rachel dan Jessy menyambut kepulangannya. 

Tarian singa menyambut ketibaan Wong di Lapangan Terbang Miri, hari ini. 
Tarian singa menyambut ketibaan Wong di Lapangan Terbang Miri, hari ini. 

Sementara itu, Ting ketika ditemui berkaya perasaan berbesar hati bagi pihak kerajaan Sarawak atas kejayaan Wong menjadi rakyat Sarawak pertama berjaya menawan puncak Gunung Everest. 

“Bagi pihak kerajaan Sarawak, kami mengucapkan tahniah atas kejayaan beliau dan cukup berbangga dengan pencapaian ini walaupun pelbagai cabaran terpaksa dihadapi oleh Wong sepanjang pendakian ini. 

“Kejayaan ini cukup menakjubkan kerana di usia beliau yang masuk 60 tahun masih kuat untuk menawan puncak gunung tertinggi itu yang jarang-jarang sekali berlaku untuk individu pada usia sebegini. 

“Secara peribadi, saya akan mengesyor dan mencadangkan kepada Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan yang juga Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, agar mempertimbangkan untuk melantik Wong sebagai duta di bawah kementerian ini. 

“Saya percaya dengan kejayaan besar beliau ini, ia sangat bagus untuk Sarawak secara keseluruhannya terutama dari segi pelancongan,” katanya. 

  • oleh
  • Advertisement