Anda di sini

STU Miri sampaikan Bintang BSG kepada 21 guru

Advertisement
John Unggat dari SK Sungai Seputi, Long Lama menerima Anugerah Kesetiaan daripada Ting (empat kiri) disaksikan Kullin (tiga kiri) dan Ladde (kanan) pada majlis tersebut, pada Sabtu.
John Unggat dari SK Sungai Seputi, Long Lama menerima Anugerah Kesetiaan daripada Ting (empat kiri) disaksikan Kullin (tiga kiri) dan Ladde (kanan) pada majlis tersebut, hari ini.

MIRI: Seramai 21 guru menerima Anugerah Bintang Setia Guru (BSG) daripada Kesatuan Guru-Guru Sarawak (STU) Bahagian Miri pada majlis di sebuah hotel di sini, pagi Sabtu.

Mereka merupakan ahli-ahli yang telah dan akan bersara pada tahun lepas dan tahun ini.

Anugerah disampaikan Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Sebastian Ting.
 
Ting yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau turut mengumumkan sumbangan geran RM10,000 kepada STU.

Terdahulu Presiden STU Kullin Djayang berkata, anugerah adalah inisiatif yang sangat bermanfaat serta satu penghargaan yang amat bernilai kepada rakan-rakan guru yang bakal dan telah bersara. 

Beliau percaya jiwa pendidik kalian tetap masih ada walaupun telah bersara.

"Jiwa seorang bekas guru walau di manapun mereka berada dan apa sekali tugas yang mereka lakukan selepas bersara sentiasa semangat tetap berkobar-kobar.

"Ini kerana ilmu dan pengalaman kalian tidak mungkin pudar malah sentiasa subur serta terus bersinar," jelasnya. 

Menurut Kullin, ramai pesara guru masih bertugas di institusi pendidikan swasta sama ada sebagai guru, mentor atau membuka pusat pendidikan sendiri. 

Ini menunjukkan bahawa ilmu dan pengalaman luas pesara masih diperlukan di negara ini, tambahnya. 

Selain itu kata beliau, ramai pesara juga menceburi bidang lain seperti pertanian, perniagaan serta bidang paling mencabar iaitu bidang politik.

Semua tugas ini tegasnya, adalah lebih besar, lebih mencabar dan lebih memerlukan tumpuan penuh serta komitmen yang tinggi.

"Kita sedar berapa banyak pengorbanan, sumbangan serta hasil tangan yang telah kalian tinggalkan untuk generasi yang baru. Jasa dan sumbangan yang tidak ternilai ini amat sukar untuk dibalas," jelasnya. 

Turut disampaikan ialah Anugerah Kesetiaan kepada 24 guru dan Sijil Galakan Akademik kepada tiga guru yang mendapat Sarjana Pendidikan.

Selain itu, seramai 17 pelajar menerima Insentif Akademik SPM dan STPM 2023.

Insentif Rekrutmen Ahli Baharu pula disampaikan kepada 43 guru. 

Program diteruskan dengan Mesyuarat Agung STU Miri kali ke-21 dengan pengesahan kehadiran 78 guru. 

Hadir sama pengerusinya Ladde Rawing.

  • oleh
  • Advertisement