Anda di sini

Brunei, Kalimantan dan Sabah diajak sertai Taste of Borneo di Miri 

Advertisement
Ting (duduk tengah) bersama ahli jawatankuasa dan tetamu bergambar pada majlis makan malam Taste Of Borneo 3.0 pada Jumaat. 
Ting (duduk tengah) bersama ahli jawatankuasa dan tetamu bergambar pada majlis makan malam Taste Of Borneo 3.0 pada Jumaat. 

MIRI:  Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP) Sarawak menyokong cadangan melibatkan penyertaan pengusaha  dari negara jiran Brunei Darussalam, Kalimantan di Indonesia dan Sabah dalam karnival makanan Taste of Borneo di Miri pada Oktober depan. 

Timbalan Menterinya Datuk Sebastian Ting berkata, citarasa makanan yang diketengahkan dalam karnival itu akan menjadi lebih lengkap dengan adanya  penyertaan dari ketiga-tiga tempat itu yang turut berada dalam kepulaun Borneo. 

"Kementerian sangat menyokong penyertaan Brunei, Sabah dan Kalimantan dan ini akan menjadikan karnival ini benar-benar Borneo.

"Ini merupakan cadangan yang baik untuk mengajak mereka bersama kita, " jelas Ting. 

Beliau berkata demikian pada sidang media Taste of Borneo 3.0 di sebuah hotel di sini, pada Jumaat.

Ting yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau turut berbangga dengan cita-cita penganjur iaitu Persatuan Cina Sarawak (SCA) untuk menghasilkan rekod baharu Malaysia (MYBOR) semasa karnival itu kelak. 

Pengerusi penganjur yang juga Naib Presiden SCA Harry Lee memberitahu, penganjur berjaya menghasilkan rekod MYBOR pada karnival 2.0 tahun lalu dengan menampilkan persembahan tarian kebudayaan tanpa henti selama lima jam. 

Aktiviti kali ini akan diadakan di pekarangan tempat letak kereta pusat beli-belah Boulevard selama 12 hari bermula 30 Oktober hingga 10 November. 

Beliau memberitahu, dengan tema 'Perpaduan Dalam Kepelbagaian' 19 persatuan etnik dan kaum di sini telah dijemput untuk mengambil bahagian menjual pelbagai juadah enak dan istimewa untuk dinikmati bersama pengunjung. 

Menurut Harry, penganjur merancang untuk menjemput Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk merasmikan aktiviti ini. 

Turut berucap, ADUN Pujut yang juga Datuk Bandar Adam Yii yang meluahkan keyakinan bahawa pengendalian yang lebih terancang dan tersusun akan menjadikan aktiviti itu lebih besar dan dinantikan ramai. 

"Kita (Majlis Bandaraya Miri) mahu bekerjasama untuk menjadikan acara ini acara yang signifikan untuk Miri," jelasnya. 

Hadir sama Presiden SCA Ting Pang Soon.

Advertisement