Anda di sini

Tentera Darat Malaysia laksana Eksesais Pasak Bumi

Advertisement
Anggota yang terlibat dalam pembukaan Eksesais Pasak Bumi yang telah diadakan di Padang Kawad Batalion Ke-10 Rejimen Renjer Diraja, Kem Muara Tuang, hari ini.
Anggota yang terlibat dalam pembukaan Eksesais Pasak Bumi yang telah diadakan di Padang Kawad Batalion Ke-10 Rejimen Renjer Diraja, Kem Muara Tuang, hari ini.

KUCHING: Tentera Darat Malaysia (TDM) telah melaksanakan Eksesais Pasak Bumi untuk meningkatkan daya pemerintahan dan kawalan di peringkat Seksyen, Platun dan Kompeni dalam keadaan yang mencabar. 

Markas 1 Divisyen dalam satu kenyataan hari ini berkata, eksesais dilaksanakan selama lapan hari bermula 21 hingga 28 Mei 2024 di sekitar kawasan Kampung Tembawang Baru sehingga ke Sampadi. 

“Eksesais ini turut melibatkan pasukan-pasukan di bawah naungan formasi 1 Divisyen dan 3 Bgd iaitu 71 BOD, 3 Wksp Bgd, 3 SSB dan Rej 511 AW. 

“Pelaksanaan EPB ini akan melibatkan atur gerak Pasukan Tempur sejauh 40km dan Pasukan Bantuan Tempur sejauh 25km,” menurut kenyataan itu.

Eksesais itu turut menguji tahap kemahiran individu dalam pandu arah, disiplin medan, Ilmu Medan Perang (IMP) serta taktik dan kompetensi dalam perancangan dan perlaksanaan serang hendap, serangan serta-merta serta serangan ke atas khemah musuh

Pembukaan Eksesais Pasak Bumi telah diadakan di Padang Kawad Batalion Ke-10 Rejimen Renjer Diraja Kem Muara Tuang itu dirasmikan Pemangku Panglima 3 Briged Kolonel Mohamed Rosly Darasid.

Ia menyaksikan kekuatan seramai 12 pegawai dan 251 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP).’

Perbarisan dimulakan dengan nyanyian lagu Tentera Darat, pemakaian toha kepada Pengendali, Pelaku Biru, Tim Wasit serta Musuh. 

Sementara itu Mohamed Rosly dalam ucapannya mengingatkan kepada semua lapisan pegawai dan anggota LLP supaya mengambil serius setiap latihan.

Katanya mereka juga perlu memastikan setiap peringkat anggota mahir dan cekap dalam pelaksanaan tugas mengikut bidang masing-masing. 

Selain itu beliau berpesan supaya menekankan beberapa aspek penting yang melibatkan keselamatan, disiplin medan dan kerjasama sebagai satu kumpulan sepanjang eksesais ini berlangsung. 

Perbarisan diakhiri dengan teriakan ‘Agi Idup Agi Ngelaban’ dan bacaan doa.

Pelaksanaan eksesais ini seiring dengan Teras Pertama yang telah digariskan dalam Perintah Ulung Panglima Tentera Darat Ke-30 iaitu Cakna Etos Kepahlawanan.

Advertisement