Anda di sini

SMJ hala tuju bersama, milik semua anak watan Sabah

Advertisement
 Penulis (kanan) menerima surat pelantikan sebagai rakan strategik media Sekretariat SMJ daripada Datu Rosmadi (kiri) sambil disaksikan Ramlee (tengah) pada Majlis Apresiasi Media, Jumaat lepas.
APRESIASI: Penulis (kanan) menerima surat pelantikan sebagai rakan strategik media Sekretariat SMJ daripada Datu Rosmadi (kiri) sambil disaksikan Ramlee (tengah) pada Majlis Apresiasi Media, Jumaat lepas.


Kesejahteraan untuk rakyat Sabah. Itulah empat perkataan yang masih segar dalam ingatan Datuk Hj Datu Rosmadi Datu Sulai, ketika Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hj Hajiji Hj Noor meminta pasukannya menyediakan kerangka Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Aspirasi yang dicetuskan oleh Ketua Menteri kira-kira tiga tahun lalu itulah menjadi detik kelahiran SMJ, iaitu sebuah agenda pembangunan holistik cetusan idea dan pemikiran Hajiji sejurus mengambil alih teraju pemerintahan negeri pada September 2020.

Bermula dari situ, sebuah pasukan khas dibentuk sebagai urusetia dengan diketuai Ramlee Hj Kariah, yang pada masa itu Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri Sabah, seorang sarjana pentadbiran perniagaan penghususan corporate entrepreneuship dari Universiti  Malaysia Sabah (UMS) dan kini menjadi Ketua Pegawai Operasi SMJ.

HAJIJI
HAJIJI

Dengan gerak kerja yang sistematik berformulakan aspirasi pemimpin, kesejateraan rakyat dan pembangunan ekonomi negeri,  Ramlee turut mengurusetiakan sesi libat urus bersama semua  Setiausaha Tetap dan Ketua Jabatan, yang biasanya  bermula 9 malam hingga selewat jam 1 pagi pada setiap malam. Komitmen tinggi itu bertujuan menterjemahkan libat urus berdasarkan data dan fakta menjadi sebuah dokumen.

Ramlee dan pasukannya bersengkang mata siang dan malam menyediakan kerangka hala tuju tersebut, dalam tempoh dua minggu, sebagaimana diminta oleh Ketua Menteri.

Menepati tempoh waktu ditetapkan, deraf awal dibentangkan dan diperhalusi untuk penambahbaikan sebelum dibentang semula kepada Ketua Menteri.

Antara yang terlibat dari semasa ke semasa dalam sesi penambahbaikan ini termasuk Datuk Armizan Mohd Ali yang pada masa itu Setiausaha Sulit Kanan kepada Ketua  Menteri (kini Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup).

Selanjutnya pada bulan Januari 2021, bagi tujuan supaya Hala Tuju SMJ ini bersifat inklusif, satu sesi untuk mendapatkan input  atau partisipasi orang awam telah dibuat melalui Open Day, dan semua input  awam yang diperoleh diproses dan diambil kira dalam HTSMJ ini.

 

Setelah semuanya selesai, maka Hala Tuju Pembangunan SMJ 1.0 (2021-2025) pun dilancarkan pada 29 Mac 2021. Ia mencakupi tempoh lima tahun sehingga 2025.

Cerita ini dikongsikan oleh Datu Rosmadi, selaku Ketua Pegawai Penyelaras Sekretariat Sabah Maju Jaya, ketika Majlis Apresiasi Media di sebuah hotel di ibu negeri, Jumaat lepas.

Beliau mengimbas lagi kisah beberapa pertemuan susulan dengan Ketua Menteri yang mahukan Hala Tuju SMJ itu benar-benar memanfaatkan rakyat negeri ini.

"Saya tidak mahu melihat ada orang kita yang dihimpit kemiskinan sehingga kelaparan," demikian antara ungkapan Ketua Menteri yang masih diingat oleh Datu Rosmadi, justeru isu kemiskinan menjadi antara fokus diberi penekanan dalam hala tuju itu.

Realitinya, Hala Tuju SMJ itu sendiri menggariskan tiga teras utama yang masing-masing diwakili huruf S, M dan J yang diambil daripada singkatan SMJ.

Huruf S mewakili sektor utama ekonomi iaitu pertanian, perindustrian dan pelancongan, diikuti huruf M yang mewakili modal insan dan kesejahteraan rakyat, manakala huruf J mewakili jaringan infrastruktur dan kelestarian hijau.

Tiga teras itu akan dipacu lima pemboleh daya iaitu kemampuan fiskal, kemudahan kewangan, keberkesanan dan kecekapan penyampaian, kecemerlangan tadbir urus berintegriti dan kerajaan digital.

Untuk memastikan hala tuju itu mencapai matlamatnya, setiap teras dan pemboleh daya akan disokong dengan pelbagai inisiatif.

Di sebalik pelbagai suara-suara sinis dan nakal mengenai SMJ, ia sebenarnya telah pun mencipta banyak kemajuan dan kejayaan tanpa disedari.

Angka-angka pertumbuhan, jumlah pelaburan dan pembangunan prasarana sudah nyata di depan mata. 

 

Dalam tempoh tiga tahun pelaksanaannya, landskap pembangunan dan ekonomi Sabah sudah jauh berubah.

Inilah hasil hala tuju SMJ yang digerak berpandukan lima objektif, iaitu membina negeri dan masyarakat bersatu, aman makmur dan sejahtera; mengoptimumkan sumber dan hasil negeri; merangsang pemulihan ekonomi; meningkatkan ekonomi rakyat; dan membangunkan modal insan.

Dalam perutusannya pada laporan tahunan SMJ, Hajiji menyatakan rasa optimis momentum Hala Tuju SMJ ini akan terus bergerak dalam landasan tepat berdasarkan kepada pelbagai petunjuk positif.

Yang penting, katanya, semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing dengan komitmen untuk bersatu padu, bekerjasama dan bekerja keras mencapai pelan pembangunan SMJ.

"Ini kerana SMJ adalah hala tuju bersama milik semua anak watan Sabah," katanya, sekali gus menggambarkan impian besar Ketua Menteri untuk menjadikan Sabah terus membangun, maju dan berjaya!.
 

Advertisement